Saturday, January 25, 2014

Perkauman: NGO Islam sokong PR, BN bincang bersama

KUALA LUMPUR: NGO Islam mengalu-alukan usaha Pakatan Rakyat untuk duduk bersama Umno BN bagi membincangkan isu perkauman dengan segera bagi mencari formula terbaik demi memelihara kesejahteraan rakyat negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abd Manan berkata, saranan Pakatan Rakyat itu wajar disambut oleh Umno BN sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.  

"Terutama kepada Umno yang sering dilihat membakar api perkauman dan wajar diterima oleh Umno jika benar-benar memikirkan kesejahteraan negara," katanya kepada Harakahdaily.

Namun, Abim kesal apabila perkara sensitif yang dijaga dengan tertib oleh kerajaan dipermainkan sewenang-wenangnya untuk meraih sokongan tanpa memikirkan risiko yang berlaku.

"Emosi rakyat sedang dibakar dengan api perkauman sebelum perkara ini jadi tidak terkawal wajar pihak yang terlibat terutama pemimpin parti politik duduk bersama berbincang," katanya.
 
Cadangan Pakatan Rakyat itu, bagi beliau satu tindakan yang menunjukkan kematangan berpolitik dan wajar disambut oleh Umno BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Zaid Kamaruddin berkata, walaupun saranan ini 'overdue' tetapi ianya satu usaha yang bagus kerana ianya memperlihatkan kemuafakatan parti-parti politik demi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Tambahnya, kepentingan itu terutamanya bagi mengelak membawa isu-isu perkauman yang boleh mengundang perpecahan.

Namun kata beliau, perkara ini harus ditangani dengan tepat dan bijaksana bukan dipolitikkan.

"Lebih baik parti-parti politik duduk bersama bagaimana hendak selesaikan isu perkauman yang sering ditimbulkan oleh pihak tertentu, jika tidak ditangani dengan baik rakyat akan rugi.

"Jika dibiarkan dibimbangi suasana akan bertambah buruk dan semakin sukar untuk ditangani. Kenyataan Pakatan Rakyat yang baik dan wajar untuk Umno BN sahut," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Majlis Pakatan Rakyat sepakat mengajak Umno BN untuk duduk bersama membincangkan isu perkauman yang dilihat semakin dijadikan modal oleh pihak tertentu bagi menimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat.

Keadaan ini berikutan, ada pihak cuba menimbulkan provokasi seperti mahukan peristiwa 13 Mei berulang setelah tidak berpuas hati apabila rakyat mengadakan demonstrasi 'Kangkung' sebagai bantahan terhadap kenaikan harga barang di Pulau Pinang tempoh hari.  

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu juga menegaskan bahawa demonstrasi 'kangkung' itu tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya ianya adalah isu ekonomi iaitu kenaikan harga barang yang telah membuatkan rakyat semakin terhimpit.

No comments:

Post a Comment