Saturday, January 25, 2014

TURUN 2.0 tetap berlangsung di Seberang Jaya

SEBERANG JAYA: Himpunan Aman Turunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau TURUN 2.0 yang dijadualkan esok dari jam 2.00 hingga 4.00 petang tetap akan dilangsungkan di Business Centre dekat sini.

Koordinator TURUN 2.0 Khairul Ishak menyarankan semua peserta memakai baju hitam sebagai lambang bantahan serta datang lebih awal untuk mengelak kesesakan jalan raya memandangkan himpunan itu akan turut disertai para peserta dari negeri-negeri utara Semenanjung.
"Semua peserta yang datang hedaklah memakai baju berwarna hitam sebagai lambang bantahan.  Jangan lupa datang lebih awal untuk parkir kenderaan di Tapak Pesta Seberang Jaya," ujarnya.

Beberapa lokasi perarakan telah ditetapkan dengan dipimpin para pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Tempat perkumpulan di Bandar Sunway akan dipimpin Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, aktivis Jingga 13, Fariz Musa dan Wanita PKR.
Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Che’gu Bard akan memimpin kumpulan dari Stesyen Minyak Caltex dan Petronas bersebelahan Lebuhraya Sungai Nyiur.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Dr Mujahid Yusuf Rawa pula akan memimpin perhimpunan dari Masjid Taman Sembilang.

Para peserta juga digalakkan membawa bahan-bahan kempen untuk dipamerkan sepanjang bantahan dan mengawal tingkah laku bagi mengelak provokasi.
"Skuad Keadilan tidak teragak-agak untuk menarik mereka yang terbabit keluar daripada kawasan perarakan sekiranya ada yang bersikap tidak murni," jelas beliau.

Khairul turut memohon kerjasama pihak polis bagi menjaga ketenteraman awam sepanjang perhimpunan berlangsung.

No comments:

Post a Comment