Saturday, January 25, 2014

Himpunan kata-kata lawak

Kalaulah dihimpunkan kata-kata hikmat para menteri, tidak mustahil kata-kata hikmat menteri Malaysia akan tersenarai dalam 10 terhebat aka terlawak di dunia. Apa tidaknya, sejak belakangan ini kata-kata pak menteri sering dijadikan bahan lawak jenaka rakyat.

Siapa yang tidak pernah dengar ungkapan “harga minyak (petrol dan diesel) di Malaysia masih murah berbanding negara jiran” – kata-kata yang sering dijadikan alasan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak. Selepas ungkapan ini menjadi klise – kerajaan menukar pula kepada “kerajaan mengurangkan subsidi minyak...” – perkara yang sama tetapi cuba diselindung daripada sudut sebenar.

Selain itu, ungkapan “Kalau ayam mahal, jangan makan ayam,” – ujar menteri berkaitan berhubung rungutan rakyat apabila harga ayam yang semakin mahal. Juga – “kerajaan menaikkan harga gula untuk mengelakkan rakyat kena kencing manis.” – perihatinnya kerajaan pada kesihatan rakyat.

Apabila rakyat marah-marah kerana tol bakal dinaikkan, maka menteri berkaitan, berkata, “Guna jalan yang tidak bertol...” Ketika tarif elektrik naik, kerajaan dengan rendah hatinya menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan kenaikan tidak membebankan rakyat!

Tidak lupa juga bahawa sang penasihat menyeru rakyat supaya menerima segala kenaikan itu sebagai ketentuan Allah dan rakyat tak perlu merusuh sehingga menyusahkan diri sendiri. Namun yang peliknya ketika harga kangkung turun, rakyat disuruh berterima kasih kepada kerajaan. Bukankah penurunan harga kangkung itu juga ketentuan Allah, kenapa pula mesti berterima kasih kepada kerajaan? 

Yang pasti, jika tidak suka segala kenaikan ini, silalah pindah ke negara lain. Ya, betul, jika tidak sukakan apa-apa yang kerajaan Selangor, Pulau Pinang & Kelantan buat – jangan bising-bising, silalah keluar dari negeri tersebut! Amacam?

Kesimpulannya, kadang kala rakyat perlukan penglipur lara ini untuk mengubat kerisauan akibat kos hidup semakin meningkat. Terima kasih bapak menteri kerana sudi menghiburkan kami.

No comments:

Post a Comment