Wednesday, April 9, 2014

Ahmad Said terus bazir wang rakyat

MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sekali lagi menjadi fokus pertikaian u

mum. Agak sukar dipercayai, dalam keadaan rakyat belum pun diberikan penjelasan meyakinkan mengenai kewajaran beberapa projek dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya sebelum, Ahmad tampil pula dengan cerita pembelian dua buah amphicoach (bas dua alam) dengan harga yang amat dipertikaikan.

Akhbar harian Edisi Terengganu, 29 Mac memetik kenyataan beliau bahawa kerajaan negeri bersetuju membeli dua buah ‘bas redah air’ itu dengan nilai RM3 juta sebuah. Kenderaan yang boleh beroperasi di darat dan di air itu dicagarkan menjadi tarikan baru pelancong ke Tasik Kenyir. Berita itu bagaimanapun tidak disambut baik rakyat. Bagi mereka Ahmad terlalu angkuh dan sewenangan membelanjakan wang rakyat, apabila beliau bagaikan langsung tidak terkesan oleh cemuhan dan kritikan hebat pelbagai pihak sebelum ini terhadap lawatan beliau dan rombongan ke Antartika beberapa bulan lalu. Hingga kini rakyat masih gagal melihat kewajaran pemergian beliau ke benua ais itu, terutama apa manfaatnya untuk rakyat Terengganu?
Kini datang pula kes  amphicoach ini. Bagi penulis, pertikaian dilontarkan pelbagai pihak terhadap kerajaan Terengganu, khususnya Ahmad sendiri berhubung perkara ini ada asasnya. Penilaian dibuat rakyat terhadap beberapa perancangan BN sebelum ini banyak mempengaruhi persepi mereka terhadap pembelian terbaru ini.
Pertama, cuba lihat dari sudut potensi pulangan pelaburan. Apakah kajian teliti sudah dibuat bahawa perbelanjaan RM6 juta wang rakyat dalam kes ini bakal memberikan pulangan ekonomi yang menguntungkan kerajaan dan rakyat Terengganu? Apakah ada jaminan ia tidak mengulangi “kesilapan perancangan” beberapa projek mega sebelum ini?
Rakyat Terengganu sudah ada banyak pengalaman. Contohnya dalam kes kejohanan Piala Monsun dan pembangunan Pulau Duyong yang menelan ratusan (malahan mungkin ribuan) juta wang rakyat.
Alasan utama juga untuk tarik pelancong.
Akhirnya, selepas sudah terbukti tidak menguntungkan, kejohanan itu tidak lagi diteruskan di Pulau Duyong. Secara tersirat BN mengakui, pelaburan berjutajuta ringgit di situ gagal menarik kehadiran pelancong pada tahap yang dicitakan.

Ini pun sama. Tasik Kenyir cuba dipopularkan sebagai destinasi pelancongan. Berbagaibagai projek “aksesori” bertujuan menarik kehadiran pelancong telah direkawujud di sekitar tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. Ada taman burung, ada ladang anggur, zon akuakultur, pulau bebas cukai dan lain-lain.
Malangnya, selepas beberapa tahun projek-projek itu dilaksanakan, ia terbukti gagal memaut kehadiran jumlah pelancong dihasratkan. Maka timbullah idea bas redah air ini. Apakah berbaloi pelaburan RM6 juta itu, mengambil kira faktor cuaca yang membataskan akvititi di air beberapa bulan dalam setahun?
Kedua, apakah ada kebijakan dalam pembelian itu? Menurut maklumat carian di internet, model amphicoach buatan Malta itu dijual di United Kingdom dengan harga £280,000 (lebih kurang RM1.5 juta) sahaja sebuah. Jika itu benar, bermakna harga yang dibayar BN Terengganu adalah dua kali lebih tinggi (RM3 juta sebuah). Apakah ia urus niaga yang bijak?
Rakyat berhak persoalkan hal ini. Kita sudah ada pengalaman dengan kerajaan BN. Ini bukan kali pertama pembelian dibuat dengan harga berkali ganda lebih tinggi daripada sepatutnya. Kes ini mengingatkan penulis kepada kes pembelian pesawat ambulans oleh Mediair, sebuah “cucu syarikat” kerajaan Terengganu, pada 1990-an dulu. Mediair ialah anak syarikat kepada TDM Berhad. Penubuhannya secara khusus untuk menjalankan operasi pesawat ambulans, kononnya untuk menyediakan perkhidmatan mengangkut orang-orang sakit dari kawasan pedalaman ke hospital-hospital di bandar secara cepat melalui udara.
Pembelian pesawat itu pula dibiayai Tabung Pendidikan Negeri (TPN), di atas hasrat menyewakannya kepada Mediair.
TPN telah membeli pesawat terpakai (second hand) jenis Piper Chyne dengan harga RM6.9 juta.
Sedangkan, sebuah pesawat terpakai jenis sama bernilai hanya AS$200,000 (kira-kira RM800,000 sahaja). Manakala harga sebuah pesawat baru jenis itu hanyalah AS$1.2 juta (lebih kurang RM4 juta sahaja).
Ertinya telah berlaku lebihan bayaran dalam pembelian itu lebih RM6 juta. Di manakah cerdiknya BN? Apabila operasi Mediair mengalami kerugian, sewa yang dijanjikan kepada TPN juga ‘hangus’.
Ketiga, rakyat juga mempersoalkan keutamaan perbelanjaan. Apakah sesuai dengan keadaan rumit yang menghimpit hidup rakyat kini, BN memikirkan berbelanja besar pada sesuatu yang tidak nampak manfaat secara langsungnya untuk mereka?
Tidak adakah aspek atau sektor lain yang lebih perlu diutamakan? Contohnya, menokok pembiayaan pelajar aliran agama ke luar negara (yang dipotong sejak beberapa tahun lalu); atau menambahbaik prasarana pengangkutan awam di darat yang masih jauh dari memuaskan.
Atau mewujudkan sistem perparitan dan saliran yang lebih efisien agar tidak berlaku banjir kilat; atau beli sampan dan bot penyelamat lebih banyak/baik bagi digunakan di waktu banjir (ambil pengajaran kelembapan kerja bantuan banjir di Kemaman tahun lepas).
Bilakah agaknya BN mahu belajar cara lebih ‘cerdik’ menguruskan kewangan negeri?

No comments:

Post a Comment