Wednesday, April 9, 2014

MH370: Kenapa tiada taklimat kepada MP Pakatan?

Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan penolakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk memberikan taklimat berkaitan MH370 kepada ahli parlimen PR.

Sikap tersebut dilihat seolah-olah Shahidan cuba berdolak-dalik untuk mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata sebelum ini Shahidan meminta wakil Pakatan mengemukakan notis untuk tujuan taklimat tersebut, namun tidak bersedia mengadakan taklimat selepas permintaan untuk memberi notis diberikan.

"Sebelum ini, beliau minta kami mengemukakan notis untuk tujuan tersebut. Selepas notis dihantar, beliau kemudiannya membalas notis tersebut dengan mengatakan kerajaan hanya akan memberi taklimat berkaitan MH370 selepas semua jawatankuasa khas yang dilantik selesai membuat siasatan.

"Perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan, apa masalah yang tidak boleh hendak bagi taklimat kepada Pakatan, sedangkan taklimat sama diberikan kepada wakil rakyat BN. Sedangkan banyak lagi persoalan yang tidak terjawab berkaitan krisis tersebut," tegas beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Tambah Mahfuz, sekiranya kerajaan tidak mahu mengadakan taklimat untuk wakil rakyat Pakatan secara berasingan, sepatutnya mereka turut dipanggil ketika taklimat bersama ahli parlimen BN sebelum ini.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mendakwa Shahidan tidak menunaikan janji apabila sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mengatur taklimat tersebut pada 8 April.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan melalui surat balasan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk memberi taklimat, sebaliknya hanya berbuat demikian selepas jawatankuasa selesai melakukan siasatan, selain turut menafikan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan krisis tersebut," kata beliau pada sidang media yang sama.

Tegas Anthony, taklimat ini bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat, sebaliknya ia boleh dijadikan platform untuk berbincang memandangkan banyak persoalan di sebalik tragedi ini.

Dalam pada itu, beliau turut kesal kerana tiada sebarang tanda-tanda untuk kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) biarpun esok merupakan hari terakhir persidangan parlimen.

"Jadi, macam tiada langkah proaktif dari kerajaan untuk menangani krisis ini. Soal sekarang, bukan soal mencari pesawat MH370 sahaja, tetapi ia lebih dari itu, iaitu soal sistem radar negara, imigresen dan perkara utama lain yang merupakan isu nasional," kata beliau.

Sebelum ini, Pakatan menuntut taklimat yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Bagaimanapun, taklimat tersebut tidak dapat diadakan ekoran ketiadaan Najib dan Hishammuddin  dalam negara.

Justeru, Shahidan menggesa Pakatan mengemukakan notis untuk permohonan taklimat bagi tarikh lain, namun selepas wakil Pakatan menyerahkan notis, Shahidan mengatakan kerajaan hanya akan memberi taklimat selepas laporan dari jawatankuasa yang dibentuk kerajaan  selesai.

No comments:

Post a Comment