Wednesday, April 9, 2014

SAMM desak kerajaan umum tangguh GST

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kerajaan untuk segera mengumumkan penangguhan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penyelaras Kebangsaan Sekretariat GST SAMM, Mohd Faizal Ab Rahman, berkata jika kerajaan enggan menangguhkan pelaksanaan tersebut, kerajaan bakal berdepan dengan gelombang rakyat pada 1 Mei ini.

"Sebagai kumpulan anak muda yang pertahankan rakyat, SAMM memberi kata dua untuk kerajaan mengumumkan penangguhan GST atau bakal berdepan lautan rakyat dalam satu deminstrasi gergasi," kata beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di bangunan parlimen, petang ini.

Tegas Faizal, kesabaran rakyat kini amat nipis, rasa hormat terhadap pemerintah sudah tiada lagi memandangkan rakyat tidak pernah dihormati, malah hak demokrasinya ditipu demi regim mengekalkan kuasa.

Berpendapat bahawa SAMM tidak menolak pelaksanaan GST, Faizal bagaimanapun menegaskan SAMM sebulat suara bersetuju bahawa Malaysia belum bersedia ke arah pelaksanaan GST atas beberapa faktor.

"Antaranya ketirisan melampau dalam pentadbiran negara yang menyebabkan pembaziran harus diatasi terlebih dahulu yang boleh dirujuk melalui laporan audit setiap tahun.

"Begitu juga dengan pelaksanaan GST yang tergesa-gesa tanpa menyediakan asas kukuh terhadap aspek pendapatan rakyat yang masih lagi tidak meningkat di kala ketidaktentuan harga barangan dan kos sara hidup yang semakin membebankan," kata beliau lagi.

Justeru, Faizal menjelaskan rakyat tidak mempunyai pilihan untuk meluahkan rasa tidak puas hati, lebih-lebih lagi apabila Dewan Rakyat telah meluluskan pelaksanaan GST yang mendapat sokongan ahli parlimen Barisan Nasional, semalam.

Sebelum itu, SAMM bertindak menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat berkaitan isu GST.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Saari; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad.

No comments:

Post a Comment