YB Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara-DAP)
Dato' Haji Husam Musa (ADUN Salor-PAS)
Kuala Krai, 16 Julai - AJK PAS Pusat yang juga EXCO Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Dato' Haji Husam Musa memberi jaminan jika Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-13 untuk mentadbir Malaysia, Pakatan Rakyat akan mencari jalan terbaik untuk memansuhkan cukai selama 5 tahun. Idea ini ditawarkan oleh Dato' Haji Husam Musa dalam ceramah anjuran Urusetia Penerangan Pakatan Rakyat di Kuala Krai, Kelantan semalam.
Penceramah lain yang turut hadir ialah ADUN Mengkebang, YB Ustaz Latiff, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr.Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) YB Tony Phua.
Pakatan Rakyat memiliki formula istimewa untuk merealisasikan "Malaysia Yang Bebas Cukai Demi Kesejahteraan & Kemakmuran Rakyat" kata Dato' Haji Husam Musa.
Semua Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat membantah sekeras-kerasnya tindakan drastik Kerajaan UMNO/BN menaikkan harga barangan keperluan asas tanpa membentangkan terlebih dahulu untuk dibahaskan dalam sidang Parlimen. Jelas dan Nyata bahawa UMNO/BN bertindak sesuka hati seumpama Negara ini milik mutlak mereka dan bebas berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan kepada rakyat yang rata-ratanya masih berpendapatan rendah dan miskin.
Dat' Haji Husam yang juga EXCO Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan menyelar etika kerja Kerajaan UMNO/BN yang zalim dan tidak bertanggungjawab apabila projek-projek mega yang memakan kos mencecah billion ringgit serta pembelian dengan kos yang melampau dan tidak masuk akal tetap diteruskan pada masa rakyat terus menerus dibebani dengan pelbagai kenaikan harga dan cukai contohnya yang terbaru kenaikan barangan keperluan asas yang diumumkan secara tergesa-gesa oleh Najib pada malam 15 Julai selepas sahaja Sidang dewan untuk penggal ini ditangguhkan. .
Kenaikan harga barang tanpa kenaikan taraf ekonomi dan gaji rakyat Malaysia yang majoritinya terdiri dari petani,nelayan, buruh, peladang, bekerja sendiri dan bekerja di sektor swasta pastinya akan membebankan rakyat akibat malapetaka ekonomi dan inflasi yang teruk di Malaysia.
Dato' Haji Husam serta barisan penceramah dalam majlis penerangan isu semasa mengajak semua rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama untuk menolak UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang serta menyokong Pakatan Rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan Negara Malaysia.