Friday, October 23, 2015

Isu Tol : PAS bersedia menggalas mandat


Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyarankan kepada mana-mana parti politik dan pimpinan politik mempunyai rasa kebertanggungjawaban yang tinggi dalam mengemukakan cadangan-cadangan ke arah mengatasi kemelut yang dihadapi oleh rakyat. Cadangan-cadangan yang dikemukakan hendaklah holistik, iaitu mengambil kira semua aspek golongan-golongan berkepentingan dan realistik, iaitu mengambil kira semua kedudukan berkaitan status negara pada hari ini. Sebagai sebuah parti yang bersedia menggalas mandat menerajui negara, PAS ingin menjadi sebuah parti yang bertanggungjawab kepada semua rakyat dan negara dengan memberikan penyelesaian yang holistik dan realistik sehingga memuaskan hati semua pihak.
Di samping itu, kewujudan sesebuah parti politik dalam negara ini bukan semata-mata untuk mendapatkan teraju pemerintahan negara, tetapi yang juga penting parti-parti politik harus terlibat dalam memberikan pendidikan politik kepada rakyat. Salah satu aspek pendidikan politik yang terpenting ialah memandu rakyat supaya mereka boleh membuat keputusan politik yang betul dan menarik rakyat untuk bersama-sama terlibat membuat dasar. Sesebuah parti politik dan seseorang pemimpin politik dalam mengemukakan sesuatu cadangan bagi menghadapi sesuatu masalah, perlu mengemukakan kesemua pilihan-pilihan kepada rakyat dan berunding bersama-sama mereka untuk membuat keputusan yang tepat. Adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab mengemukakan sesuatu cadangan yang separa masak, kemudian menggula-gulakan rakyat supaya mudah termakan dengan janji manis tersebut.

Dua hari yang lalu, PPP telah memberi maklumbalas kepada cadangan separa masak Pakatan Harapan (PH), yang berhasrat menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang 1, dengan membebankan pembayar-pembayar cukai jalan lain yang jarang atau tidak pernah menggunakan lebuhraya tersebut. Cadangan untuk menggunakan dana dari kutipan cukai jalan sekitar RM 2.3 billion setahun untuk menyelengggara Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang 1, adalah satu cadangan yang sambi lewa dan culas. Dana dari kutipan cukai jalan yang sekarang hanya digunakan untuk menyelenggara jalanraya-jalanraya tidak bertol yang anggaran panjangnya 100,000 km di seluruh negara, sudah pasti tidak mencukupi sekiranya selepas ini digunakan pula untuk menyelenggara Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

Kos untuk menyelenggara Lebuhraya Utara Selatan yang panjangnya hampir 960 km adalah begitu tinggi ditambah lagi dengan kos menyelenggara Jambatan Pulau Pinang. Dianggarkan sebanyak RM 1 billion diperlukan untuk lebuhraya ini bagi menyelenggara, membiayai operasi dan lain-lain urusan berkaitan setiap. Sekiranya kos ini dipindahkan bebannya kepada pembayar-pembayar cukai jalan, sudah pasti kutipan cukai jalan berjumlah RM 2.3 billion setahun yang sebelum ini digunakan hanya untuk 100,000 km jalanraya-jalanraya tidak bertol, tidak lagi mencukupi menampung penyelengggaran tersebut. Cadangan ini bukan sahaja tidak adil kepada pembayar-pembayar cukai yang jarang atau langsung tidak menggunakan lebuhraya tersebut, bahkan berkemungkinan menyebabkan cukai jalan selepas ini terpaksa dinaikkan.

Selain daripada itu, perlu dipertimbangkan bahawa syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang ini, 49% kepentingannya dimiliki oleh KWSP yang mewakili 13 juta orang pencarum. Dalam membina dan menyelenggara lebuhraya di bawah kendaliannya, syarikat konsesi ini menanggung hutang sekitar RM 11 billion, dengan pengertian lain KWSP dan pencarum-pencarumnya juga terbeban dengan liabiliti tersebut. Sekiranya cadangan simplistik menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang oleh Setiausaha Agung DAP baru-baru ini diambil, daripada mana dana diperolehi untuk melepaskan liabiliti ini? Atau selepas ini KWSP dan pencarum-pencarumnya akan terpaksa menanggung hutang tanpa memperolehi pendapatan sepatutnya dari pelaburan mereka?

Cadangan yang dikemukakan oleh PH melalui Setiausaha Agung DAP ini turut menimbulkan tanda tanya, bagaimana pula tol-tol lebuhraya yang lain. Mengapa hanya Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang dihapuskan, sedangkan tol-tol di sekitar Lembah Kelang yang lebih membebankan penduduk kota yang menggunakannya sehari-hari tiada pula cadangan penghapusan. Lebuhraya Utara Selatan selalunya digunakan oleh mereka yang memandu dari satu bandar ke satu bandar yang lain dengan kekerapan bagi seseorang yang amat rendah. Manakala tol-tol yang berada di sekitar Lembah Kelang terpaksa dilalui oleh jutaan orang penduduk kota setiap hari untuk pergi ke tempat kerja. Mengapa tol-tol ini tidak disentuh? Malah lebih menarik untuk ditanya, kenapa kerajaan negeri dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP sendiri, merancang untuk membina tiga lagi lebuhraya seumpamanya di Pulau Pinang, kalau dia benar-benar berhasrat menghapus tol di Malaysia.

PPP melihat hasrat rakyat untuk menghapuskan tol tidak boleh dilakukan hanya dengan mengemukakan cadangan-cadangan simplistik untuk meraih populariti. Bagi menangani isu ini, rakyat perlu didedahkan dengan kesemua pilihan-pilihan yang ada, analisa kos manfaat, dampak negatif yang kemungkinan timbul dan lain-lain lagi aspek berkaitannya, kemudian proses rundingan berterusan bersama rakyat dan pihak berkepentingan perlu dilakukan sehinggalah hasrat menghapuskan tol tercapai. Proses seperti inilah yang sedang diterokai oleh PAS, IKATAN dan hampir 200 NGO dalam KONGRES RAKYAT dalam mengatasi sesuatu masalah rakyat dan negara termasuklah isu tol. PPP akan mengemukakan kesemua pilihan-pilihan (opsyen) berkaitan isu tol ini kepada rakyat melalui KONGRES RAKYAT dalam tempoh masa terdekat, sehingga satu hari nanti hasrat rakyat menghapuskan Tol tercapai.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki     
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
23 Oktober 2015
10 Muharram 1437

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Jangan ulangi kesilapan lalu

Kedatangan Barat ke Nusantara atas misi perdagangan berakhir dengan kejayaan mereka melaga-lagakan pemerintah di negara ini bagi memudahkan penjajahan mereka ke atas kedaulatan negara. Sistem pecah dan perintah "divide and rule" yang diamalkan oleh mereka ternyata membuahkan hasil yang sangat lumayan, bilamana orang Melayu khasnya raja-raja yang menjadi pemerintah pada masa itu berjaya dipecah-belahkan sehingga sebahagian mereka tanpa segan memohon bantuan Inggeris demi mempertahankan survival kuasa politik mereka.

Akibatnya negeri berada dalam era penjajahan ratusan tahun. Kemerdekaan 1957 hanya berjaya mengembalikan kuasa ke tangan rakyat negara ini, namun sebahagian sistem yang dipaksakan oleh penjajah terus di amalkan sehingga kini.
Kini kita sedang melihat bagaimana hancurnya negara umat islam khasnya Afghanistan, Iraq dan kini Syria dan Yaman.
Golongan yang berbangga memohon pertolongan Amerika dan sekutu Barat satu waktu dahulu, kini menderita di atas tindakan mereka. Kita tentu masih ingat bagaimana ribuan rakyat Iraq menyambut kedatangan tentera Amerika dengan kuntuman bunga dan bersorak kegembiraan bila melihat kedatangan Tentera Bersekutu bersama dengan infantri mereka.
Penjajahan Barat tidak pernah terhenti di dunia moden, ia bukan lagi berkisar pada ketenteraan tapi juga melalui perdagangan dan ekonomi.
Negara kini berada dalam situasi yang hampir sama. Isu TPPA bukan hanya sekadar perjanjian perdagangan tetapi ia adalah satu bentuk penguasaan dan blok pegangan yang akan bertukar kepada blok ketenteraan dan penjajahan baru.
Dalam persaingan untuk menguasai ekonomi dan pengaruh dunia, Amerika menyedari saingan kuasa baru China. Di sisi blok perdagangan, Amerika memerlukan tindakan segera.
Malaysia perlu melepaskan diri dari ikatan perjanjian TPPA yang kini sedang berusaha mengikat dengan pelbagai peraturan ke atas negara kita.
Di saat ini, semua parti politik mesti meletakkan kepentingan negara jauh lebih besar dari polemik kepartian dalam keadaan negara berhadapan dengan kegagalan mengurus pelbagai isu utama yang menimbulkan kemelut dalaman, sehingga meninggalkan negara jauh ketinggalan dalam persaingan global. Namun apa yang perlu disedari oleh semua ialah kemelut tersebut kini menuntut perubahan menyeluruh kepada kepimpinan baru yang lebih bertanggungjawab.
PAS menentang perjanjian TPPA dan mendesak kerajaan tidak menandatangani perjanjian tersebut. Kita perlu memelihara kedaulatan negara dan menentang sebarang campur tangan asing dalam meneruskan masa depan negara.
Di saat ini semua parti politik samada blok pembangkang atau kerajaan mesti sepakat dalam membuat keputusan besar bagi masa depan negara. Kesilapan lalu tidak sepatutnya diulang semula oleh kepimpinan masa kini. Jangan disebabkan skandal seseorang pemimpin, negara diperas ugut untuk bersetuju dengan TPPA.

Tuan Ibrahim Tuan Man 
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015
Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat