Saturday, February 1, 2014

TG Nik Abdul Aziz selamat nikahkan Exco Kelantan


KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengakad nikah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan pasangannya, Wan Sakinah Wan Ismail di Kampung Banggol, Kota Bharu. (Foto: Facebook Tuan Guru)

Abdul Fattah merupakan wakil rakyat Dun Bukit Panau, Tanah Merah di mana isterinya sebelum ini, Datin Fahimah Mahmod, meninggal dunia pada 28 April tahun lalu di Hospital Pakar Perdana, kerana mengidap barah paru-paru.

Muhammad Ali peluk Islam di puncak kegemilangan

SIAPA tidak kenal Muhammad Ali, peninju dunia kulit hitam berasal daripada Amerika Syarikat?

Muhammad Ali dilahirkan sebagai Cassius Marcellus Clay, Jr. Dilahirkan di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat pada 17 Januari 1942; beliau kini berusia 72 tahun.

Ketika berusia 33 tahun, beliau menyertai Nation of Islam pimpinan Elijah Mohamad dan akhirnya memeluk Islam pada 1975.

Pada 1999, Ali dianugerahi “Sportsman of the Century” oleh Sports Illustrated. Beliau menyandang juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali.

Dengan jolokan “The Greatest” (Yang Maha Besar, meskipun beliau kemudiannya menyedari bahawa hanya Allah Yang Maha Besar), Ali terlibat dalam beberapa pertarungan tinju bersejarah. Di antaranya dengan Joe Frazier dan George Foreman yang dikalahkannya dengan KO (knockout) untuk memenangi juara tinju dunia bagi kali kedua.

Di sepanjang kareer tinjunya, Ali hanya mengalami 5 kekalahan (4 kalah dengan kiraan mata dan satu TKO) dan tanpa seri.

Ali mencatat 56 kali kemenangan dengan 37 KO dan 19 kiraan mata.

Ali terkenal dengan gaya bertinjunya yang lain dari yang lain. Dia digambarkan sebagai “menari bak kupu-kupu dan menyengat bagaikan lebah” dan menggunakan teknik “the rope-a-dope”.
Ali pernah digantung daripada beraksi kerana enggan menyertai program kerahan tenaga tentera pemerintah Amerika Serikat dalam perang Vietnam. Ungkapan beliau yang terkenal ketika menolak kerahan tenaga itu adalah:Saya tidak ada masalah dengan orang-orang Vietcong, dan tidak ada satupun orang Vietcong yang memanggilku dengan sebutan Nigger!”

Sikap antiperang beliau terserlah apabila mengecam secara terbuka kempen ketenteraan Amerika Syarikat di Vietnam dengan berkata:

“Saya tidak akan pergi 10 ribu batu untuk menolong serangan dan pembakaran terhadap manusia dan melanjutkan dominasi majikan kulit putih yang memperhambakan manusia berkulit berwarna di seluruh dunia. Ini adalah hari dan era di mana ketidakadilan yang biadab berakhir.

“Mengapa mereka mengarahkan saya memakai uniform dan pergi puluhan ribu batu jauhnya dari kediaman saya dan menggugurkan bom dan menembak peluru ke arah orang berwarna perang di Vietnam sedangkan orang yang dipanggil Negro di Louisville (Amerika Syarikat) dilayan seperti anjing dan dinafikan hak asasi mereka sebagai manusia?”
Paling membanggakan Malaysia mempunyai pengalaman manis bersama Muhammad Ali!

Pada 30 Jun 1975, satu perlawanan bersejarah untuk merebut Tali Pinggang Tinju Heavyweight Sedunia (World Heavyweight) telah diadakan di antara Muhammad Ali dan seorang lagi lagenda tinju dunia, Joe Bugner.

Sebelum itu, Bugner yang juga Juara Tinju Eropah kelahiran Hungary, pernah bertarung dengan Ali pada 1973. Ali menang dalam perlawanan 12 pusingan itu. Dalam perlawanan itu, Ali mengakui bahawa Bugner mempunyai keupayaan untuk menjadi juara dunia dalam sukan tinju.

Ini mendorong Bugner untuk bertemu kali kedua dengan Muhammad Ali dan Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi acara bersejarah itu.

Pertarungan bersejarah pada 1975 di Stadium Merdeka telah disaksikan secara langsung di seluruh tanah air (menerusi RTM) dan 59 buah negara lain. Sekalipun tewas, Bugner kemudiannya menempa nama selaku Juara Tinju Heavyweight WBF, Juara Tinju Heavyweight Australia dan Juara Tinju Heavyweight PABA, pada tahun-tahun berikutnya.

Ali telah mengaut keuntungan sebanyak $2 juta manakala Bugner mencatat keuntungan $500,000 dalam perlawanan yang disaksikan lebih 22,000 orang penonton di Stadium Merdeka.

Selepas perlawanan bersejarah ini, Ali buat kali pertama menyatakan hasratnya untuk bersara. Meskipun perlawanan ini kemudiannya dicemari dengan kontroversi kes mahkamah yang menggegarkan politik Selangor dan negara, pertarungan Muhammad Ali-Joe Bugner akan terus dikenang oleh peminat tinju tanah air khususnya, sebagai salah-satu peristiwa bersejarah negara.

Libatkan rakyat dalam permuafakatan nasional

KUALA LUMPUR: Jika permuafakatan nasional menjadi agenda teras pemimpin negara, Perdana Menteri perlu berani berterus terang apakah agenda utamanya, natijah yang diharap akhir daripada agenda ini serta kepentingan utamanya kepada rakyat.

AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, rakyat tidak mahu dikorbankan dengan politik polemik buat kesekian kalinya, dan rakyat bosan mengadap isu yang direka dan dibentangkan setiap hari bagi meraih keuntungan pihak terbabit, sedangkan negara terus dihimpit dengan hutang yang tinggi, kos sara hidup yang melampau disamping bebanan cukai yang keterlaluan ditanggung.

“Selesaikan masalah rakyat adalah agenda besar permuafakatan nasional dan libatkan semua pihak termasuk rakyat di peringkat bawahan agar merkea juga mampu menyumbang dalam memastikan rekonsiliasi nasional menjadi agenda besar negara,” ujarnya menerusi facebook, sebagaimana di bawah

Ketika idea rekonsiliasi atau permuafakatan nasional dicanang di seluruh negara, pilihanraya kecil Dun Kajang terpaksa diadakan berikutan Adun tersebut, Lin Chin Cheh meletak jawatan.

Tanpa angin tanpa ribut, tanpa kematian tiba-tiba pilihanraya kecil terpaksa diadakan di Dun berkenaan.

Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan isu PRK Kajang, kerana terlalu ramai ahli politik dan pemimpin yang meluahkan kemarahan, kekecewaan tidak kurang juga yang memuji tindakan pemimpin PKR itu.

Permuafakatan nasional adalah agenda perpaduan dengan tujuan membina sebuah negara yang harmaoni, bersatu, aman, makmur.

Ia adalah idea baik dan bernas kerana semua pihak boleh duduk semeja berbincang meskipun berlainan agenda politik malah ideologi pegangan politik mereka.

Demi negara, kesemua pihak harus akur dengan kepentingan bersama dan mencapai kata sepakat bagi memastikan negara dapat di terajui dengan baik.

Soalnya, mampukah kesemua pihak terbabit bermuafakat dengan jujur dan ikhlas tanpa ada kepentingan peribadi mahupun politik tertentu di sebaliknya?

Adakah tidak ada suatu perbincangan belakang tabir yang merencanakan sesuatu termasuk mengatur skrip politik negara dengan perjalanan yang sedemikian rupa, bagi melestarikan cita-cita dan kehendak mereka?

Apakah PRK Dun Kajang juga adalah hasil perbincangan tahap tertinggi pihak berkaitan dan adakah ia terjemahan daripada rekonsiliasi nasional yang dislogankan itu?

Apa yang pasti, Perdana Menteri gemar bermain dengan istilah yang begitu hebat pada pandangan rakyat namun kosong pada pengisian dan kaku pada penghayatannya.

Slogan 1Malaysia’, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, endless possibilities’ adalah mainan beliau sejak dahulu dan terkini menggunakan istilah rekonsiliasi nasional bagi menjustifikasikan tindakan politik beliau.

Yang penting di sisi rakyat, bukannya slogan yang dilaungkan itu tetapi apakah hasil dari kesemua slogan yang diungkapkan malah dijenamakan sehingga menggunakan jutaan duit negara itu.

Mengikut rekod, slogan-slogan tersebut terus berlalu mengikut rentak politik selera semasa dan menjadi sejarah tatapan generasi akan datang.

Kesannya tiada yang membanggakan rakyat melainkan hanya kepada kepentingan golongan tertentu.

Jika permuafakatan nasional menjadi agenda teras pemimpin negara, PM perlu berani berterus terang apakah agenda utamanya, natijah yang diharap akhir daripada agenda ini serta kepentingan utamanya kepada rakyat.

Rakyat tidak mahu dikorbankan dengan politik polemik buat kesekian kalinya, dan rakyat bosan mengadap isu yang direka dan dibentangkan setiap hari bagi meraih keuntungan pihak terbabit, sedangkan negara terus dihimpit dengan hutang yang tinggi, kos sara hidup yang melampau disamping bebanan cukai yang keterlaluan ditanggung.

Selesaikan masalah rakyat adalah agenda besar permuafakatan nasional dan libatkan semua pihak termasuk rakyat di peringkat bawahan agar merkea juga mampu menyumbang dalam memastikan rekonsiliasi nasional menjadi agenda besar negara.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Cikgu Mala santuni kaum Tionghua Dun Pemanis


SEGAMAT: Menjelang Sambutan Tahun Baru Cina, Normala Sudirman dan NGO Skuad Cikgu Mala Prihatin menyantuni Kaum Tionghua di Dun Pemanis di beberapa lokasi dan premis perniagaan sekitar Dun Pemanis.

Kegembiraan jelas kelihatan di wajah mereka apabila mantan calon PRU13 Dun Pemanis ini beramah mesra sambil mengedarkan Kad Tahun Baru Cina dan limau mandarin. Normala yang lebih mesra disapa dengan panggilan Cikgu Mala disambut dengan rasa gembira dan ceria.

 Apa yang paling mengharukan sebaik sahaja beliau tiba untuk mengunjungi Kaum Tionghua ini, mereka sedang sibuk menaikkan banner Ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang ditempah khas sebagai penghargaan kerana menjadi calon PRU13 yang lalu.

Dengan ditemani suaminya, Cikgu Maarof Abd Mutalib, aktiviti menyantuni kaum Tionghua ini lebih dilakukan pada waktu malam memandangkan ramai keluar menikmati makan malam bersama keluarga menjelang Tahun Baru Cina.

Walau bagai manapun, waktu siang juga skuad ini terus menyantuni kaum Tionghua di Dun Pemanis. Tidak ketinggalan juga wakil PKR dan wakil kaum India juga bersama mengiringi Cikgu Mala dalam program ini.

Momentum sokongan moral sebelum ini dalam PRU13 terus digerakkan dan diserlahkan dengan memberikan sokongan kepada parti PAS melalui inisiatif  usaha mereka yang akan mengadakan 'Jamuan Muhibbah Sempena Tahun Baru Cina Bersama Cikgu Mala'  pada 12 Februari ini jam 8.00 hingga 10 malam di No. 251 , Jalan Pee Khang Hai, Kg. Abdullah Segamat, Johor.

Selain pimpinan PAS kawasan yang dijemput, tetamu istimewa serta pimpinan yang menyatakan persetujuan untuk hadir memeriahkan majlis mereka adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Hu Phang Chaw (Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat), Tan Chen Choon (Adun Jementah) dan Julailey Jemadi (mantan calon PKR Parlimen Sekijang) dalam PRU13 yang lalu.

Cikgu Mala melahirkan rasa terharu atas sokongan kaum Tionghua yang ingin bersama dengan PAS serta menyokong penuh usaha untuk menawan Dun Pemanis pada PRU13 yang lalu dan menolak Lau Chin Hoon calon BN dari Gerakan.

Cuma cabaran di Dun Pemanis adalah ingin melonjakkan sokongan di Felda Pemanis 1, Felda Pemanis 2 dan Felda Medoi. Beza majoriti kemenangan BN mengatasi PAS adalah 1,329 undi sahaja.

Justeru, Cikgu Mala beriltizam untuk terus berbakti kepada penduduk Dun Pemanis tanpa mengira perbezaan pendirian politik, sempadan batasan agama atau kaum kerana yang penting usaha untuk meninggikan izzah kemuliaan Islam sentiasa membara demi mencari mardhatillah.

"Saya optimis, keikhlasan untuk berbakti ikhlas dari hati, akan sampai ke hati pengundi suatu hari nanti. Yang penting, masyarakat Tionghua suka kepada PAS dan sentiasa akan mememberikan sokongan hingga pada PRU14 nanti," ujarnya.

Selaku Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Pemanis yang telah diamanahkan sebelum PRU13 yang lalu, beliau berazam untuk terus menjadikan platform ini agar dapat terus menyantuni pengundi dan berharap dapat terus menjadi sebagai 'Duta PAS ' dan penghubung komunikasi muhibbah serta perantara antara kaum Tionghua dengan ahli PAS di Dun Pemanis.


Najib sesuai jadi pemimpin ketika aman walaupun berdarah bangsawan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini bukan saja dipertikai dan diragui oleh rakyat biasa, malah sudah banyak kelompok yang sebelum ini memberi sokongan kepadanya sudah menarik brek tangan masing-masing dan mulai terbuka mengkritik serta mempertikaikannya.

Bagi blogger Shahbudin Husin, meskipun Najib mempunyai ramai penyokong dah kelihatan menonjol, tetapi semuanya itu bukan kerana kualiti kepimpinan atau ketegasannya dalam menyelesaikan masalah.

“Penonjolannya lebih terapung kerana keupayaannya mewujudkan rangkaian dan menjaga penyokong serta mereka yang setia dengan sikap kemurahan hati dan sedia menolong mereka yang datang meminta bantuan dengannya,” tulisnya di dalam blog http://shahbudindotcom.blogspot.com/ semalam.

Menurutnya, dalam banyak isu kritikal yang berlaku dalam negara sejak dulu, ketegasan Najib hampir tidak menonjol.

Beliau berpandangan, dengan darah bangsawan yang mengalir dalam tubuh, Najib sebenarnya lebih sesuai menjadi pemimpin ketika aman dan bukannya dalam suasana krisis.

Sebab itu, katanya daripada kekurangan majoriti 30 kerusi dalam pilihan raya 2008, jumlah itu makin berkurangan kepada 23 kerusi sahaja dalam pilihan raya 2013 lalu.

“Kebarangkalian untuk majoriti terus berkurang atau mungkin kalah terus tidak dapat ditolak lagi jika Najib terus berada di kedudukannya sekarang,” tulisnya lagi.

Gerakan Sokong Syariah tuntut Langkawi bebas arak

KUALA LUMPUR: Gerakan Sokong Syariah (Gesa), anjuran gabungan beberapa NGO iaitu Mapim, Salimah, Teras dan Landas menuntut agar pihak kerajaan membatalkan bebas cukai ke atas arak di Langkawi dan dalam rangka kempen Gesa di pulau itu atas tema "Langkawi Bersyariat".

“Kami mendesak agar pulau ini bebas daripada arak. Kami dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak berdolak dalik lagi untuk membasmi gejala arak di pulau Langkawi jika masa depan rakyat serta keutuhan sosial masyarakat mahu dijamin,” tegas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Gesa amat yakin Langkawi tanpa arak tidak akan menjejaskan pelancongan di pulau itu kerana pelancong bukan datang ke Langkawi semata-mata untuk minum arak.

Kenyataan penuh sebagaimana di bawah.

Gerakan Sokong Syariah (Gesa), anjuran gabungan beberapa NGO iaitu Mapim, Salimah, Teras dan Landas menuntut agar pihak kerajaan membatalkan bebas cukai ke atas arak di Langkawi dan dalam rangka kempen Gesa di pulau itu atas tema "Langkawi Bersyariat", kami mendesak agar pulau ini bebas daripada arak.

Kami mendapati undang-undang mengenai arak yang ada di negara ini terlalu longgar. Akta Kastam 1967, Seksyen 2(1) mentakrifkan in toxicating liquor atau alkohol yang memabukkan ialah cecair yang mengandungi 2% sahaja ‘alcohol proved’ atau pun alkohol mutlak. Bir dan todi atau mana-mana arak native semuanya mengandungi melebihi 2%. Jadi ia adalah cecair yang memabukkan.

Walau pun peruncit memerlukan lesen untuk menjual minuman keras, lesen tidak diperlukan untuk menjual bir di dalam botol atau di dalam tin. Ini kerana dalam Akta Eksais 176, Seksyen 20(1) sudah menetapkan semua rak yang disuling atau yang ditapai memerlukan lesen.

Seksyen 32(1) yang mensyaratkan penjualan liquor yang memabukkan memerlukan lesen. Namun Seksyen 32(1)(a) dan (b) pula mengecualikan jualan runcit bir atau todi dalam botol atau dalam tin dan ini tidak memerlukan lesen.

Ha ini menyebabkan bir boleh dijual di 7 Eleven yang mana pekerjanya adalah juga di kalangan anak Melayu sendiri.

Seksyen 32(1) (c) pula membenarkan jualan runcit liquor yang memabukkan di kedai-kedai bebas duti yang dilesenkan di bawah Seksyen 65 (d) Akta Kastam 1967. Jadi ini menunjukkan bahawa penjualan arak ini boleh dijual di mana-mana sahaja.

Memetik kenyataan daripada dokumen yang pernah dikeluarkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) bertajuk 50 Cara Selamatkan Malaysia. Pada perkata ke-23: “Kita tidak boleh bertolak ansur dengan industri arak. Bukan sahaja masalah sosial merebak akibat arak malah negara akan berhadapan dengan risiko yang besar dari segi kesihatan awam dan keselamatan awam jika dibiarkan berterusan. Pemerintah tidak lagi boleh melihat industri arak sebagai penyumbang ekonomi negara sedangkan ia bukan sahaja dosa besar dalam menghalalkannya malah ia adalah musibah yang sangat berat untuk diatasi jika industri ini dibiarkan terintegrasi dalam ekonomi negara. Haramkan segala pengiklanan dan promosi arak. Banteras arak yang dijual secara pek yang murah yang mensasarkan anak muda untuk mudah membelinya. Semak semua premis penjualan arak dan jangan disambung jualan arak bila tamat tempohnya”.

Menurut Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 45 peratus penduduk dunia tidak mengambil minuman beralkohol.

Kami ingin menjelaskan fakta status konsumsi arak di Malaysia amat memprihatinkan.

 Malaysia pengguna arak no.10 dunia!

 45% remaja bawah 18 tahun pengguna arak.

 Setiap tahun rakyat Malaysia belanja RM1.9 bilion untuk arak.

 200 000 orang adalah penagih arak.

 Carlsberg pernah untung RM110 juta tahun 1999 di Malaysia

 Jualan samsu bernilai RM180 juta setahun.

 Prof Dr  M Parameshvara, kematian akibat arak lebih banyak berbanding akibat heroin.

Pada 10 November 2013 lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Pusat akan terus membangunkan industri pelancongan di pulau Langkawi "ke tahap lebih tinggi" dengan menjadikannya sebagai destinasi percutian dunia berkonsepkan nautika mewah.

Beliau menambah bahawa industri pelancongan di Langkawi perlu dibawa ke fasa seterusnya, dan ini memerlukan "beberapa pelabur besar dan jenama terkemuka" untuk menarik minat lebih ramai pelancong luar, termasuk yang berpendapatan tinggi.

Kami khuatir jika matlamat menarik pelancong berpendapatan tinggi dijadikan agenda utama, penghakisan moral dan akhlak serta kondisi sosial penduduk pulau ini dikompromi.

Malah kesan berantai akibat projek perlancongan tanpa batasan ini amat membimbangkan terutama terhadap budaya hidup masyarakat.

Tidak keterlaluan untuk kami menyatakan pembangunan sektor pelancongan yang dibangunkan tanpa kawalan dan tanpa kesedaran sosial yang tinggi bukan sahaja berpotensi menggugat moral masyarakat terutama golongan generasi muda malah seluruh tamadun Islam.

Kami dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak berdolak dalih lagi untuk membasmi gejala arak di pulau Langkawi  jika masa depan rakyat serta keutuhan sosial masyarakat mahu dijamin.

Kami amat yakin Langkawi tanpa arak tidak akan menjejaskan pelancongan di pulau ini kerana pelancong bukan datang ke Langkawi semata-mata untuk minum arak.

Mohamad turun padang fokus masalah Melayu P Pinang


Mohamad mengadakan pertemuan dengan Exco Agama dan Yang Dipertua MAIPP.
PULAU PINANG: Bagi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turun padang meninjau permasalahan rakyat atau ziarah ke pejabat kerajaan bukan perkara asing bahkan menjadi rutin tugas hariannya sekiranya ada masa lapang.

Makan di kedai mamak, minum petang di warung kopi di tepi jalan tidak menjadi masalah untuknya kerana di situlah banyak saluran maklumat diperolehi.

Sikap berlapang dada menyenangkan orang ramai bertemu dan bersapa tanpa rasa segan untuk bersembang apa saja topik walaupun dirinya merupakan pemimpin Gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Apabila beliau dilantik mengepalai PAS Pulau Pinang, Umno, Berjasa dan sekutunya terkedu kerana bimbang pengaruhnya boleh menyebabkan beberapa buah kerusi 'berhantu' Umno bakal hilang lagi.

Pemilihanya sebagai Pesuruhjaya PAS negeri merupakan satu hirisan berbisa pisau beracun kepada pengacau yang selalu mengadu domba mengecam kerajaan yang mengamalkan prinsip 'Cekap, Akauntabili dan Telus' pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Semasa mengemudi mesyuarat pertama PAS negeri, beliau bertekad memfokuskan kepada beberapa perkara yang menjadi isu penting seperti perumahan, tanah dan ekonomi khusususnya melibatkan orang Melayu.

Sekaligus apa yang dikehendaki beliau memang menjadi motif Kerajaan Pakatan Rakyat untuk bertindak berlainan daripada BN yamg lebih mementingkan keuntungan peribadi daripada membantu rakyat.

Maka, sebab itu langkahnya turun meninjau sendiri keadaan rakyat disambut baik oleh jentera PAS di kawasan-kawasan khasnya di sebelah pulau kerana banyak isu negeri ini dialami oleh penduduk pulau berbanding tanah besar di Seberang Perai.

Gandingan bersama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pastinya memantapkan lagi perjalanan PAS Pulau Pinang kerana Mujahid memang hadam isu Pulau Pinang sebelum beliau memenangi Pilihanraya Umum di Parlimen Parit Buntar sejak 2008.

Baru-baru ini, Mohamad bersama anggota Dewan Harian Perhubungan PAS negeri mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi seperti di Batu Feringgi, Kampung Pokok Asam di Jelutong dan Kampung Batu Uban di Bayan Baru.

Ketika ditanya apakah matlamat tinjauan tersebut, beliau berkata, ia adalah untuk melihat sendiri keperitan hidup rakyat bawahan selain mencari formula bagaimana untuk membantu Kerajaan Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut yang ditinggalkan oleh BN.

Beliau berkata, lazimnya isu tanah menjadi masalah besar di lokasi berkenaan, maka sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat seharusnya diselesaikan dengan baik bagaikan 'menarik rambut dalam tepung'.

Jika dilakukan secara kasar, ujarnya, Umno, Perkasa serta badan bukan kerajaan (NGO) yang pro BN akan mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat negeri melalui siri demonstrasi tidak bermoral, membelakangkan adab dan tatasusila anak Melayu.

Pihak tersebut hanya tahu membelasah Pakatan Rakyat walhal bila tahu perkara sebenar mereka tidak pula kedengaran memohon maaf.

Menurutnya lagi, jika ada rakyat bertindak silap menduduki tanah TOL, tanah wakaf dan sebagainya tanpa kebenaran, kerajaan negeri jangan beremosi tetapi melaksanakan tanggung jawab dengan baik.

Ini, katanya kerana jika tersalah percaturan sesebuah kerajaan boleh 'bungkus' kerana rakyat adalah penentu kerajaan pada masa depan.

Mohamad dan anggota Dewan Harian PAS Pulau Pinang meninjau rumah mangsa pembangunan di Batu Feringgi.

Anak pasangan di Sweden gembira pulang ke Malaysia

SEPANG: "Kami berasa sungguh gembira berada di sini, kami masih belum tahu ke mana kami mahu pergi selepas ini," kata Aishah Azizul Raheem, anak sulung pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden.

Itu reaksinya ketika ditanya perasaannya dan tiga adiknya sebaik tiba di tanah air.

Aishah, 14, dan adik-adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.

Keempat-empat beradik itu ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, seorang pegawai khas beliau serta seorang saudara keluarga itu.

Bapa mereka Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia dan ibu mereka Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, masih direman pihak berkuasa Sweden selepas ditahan pada 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak lelaki mereka yang enggan solat.

Empat beradik itu kemudiannya dibawa untuk bertemu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini.
  
Dua hari lepas, empat beradik itu diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm oleh pihak berkuasa Sweden dalam satu majlis di pejabat kedutaan dan kemudian diserah kepada seorang pegawai kedutaan yang merupakan keluarga angkat Islam Malaysia baharu mereka.

Sebelum ini, empat beradik itu ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam berikutan penahanan ibu dan bapa mereka.

Tahanan reman Azizul Raheem dan Shalwati telah dilanjutkan tiga kali sejak mereka ditahan pada 18 Dis lepas.

Tiada had penahanan reman di Sweden. -

Gerakan Kajang: Biduk lalu kiambang bertaut

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor nampak dengan jelas percubaan Umno untuk memporak-perandakan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat kini.

Bagi blogger Abu Hassan Adam, pihak Umno yang sentiasa ‘memainkan’ berita-berita negatif  berkaitan negeri Selangor yang mana hampir setiap malam TV arus perdana semacam milik Umno akan menayangkan berita-berita mengenai negeri Selangor dan Pulau Pinang juga yang memaparkan berita dari sudut yang tidak menyenangkan.

Menurutnya, apa saja yang ‘tidak menyenangkan’ berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Rakyat tentunya tertanya-tanya apakah kesemua perkara ‘buruk’ hanya berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

“Kisah sampah yang tidak berkutip berlaku di Selangor. Kisah serbuan Jais ke atas gereja dan merampas Bible hanya berlaku di Selangor. Kisah ‘serangan’ ke atas gereja juga berlaku di Pulau Pinang. Pendek kata apa saja yang tidak menyenangkan berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

“Rakyat tentunya akan bertanya juga bahawa apakah tidak adakah berlaku perkara yang sedemikian di negeri-negeri lain,” tulis beliau di dalam blognya, sebagaimana di bawah.

Amat sesuai rasanya peribahasa ini dirujukkan kepada keadaan kemelut politik yang berlaku di Selangor kini. Walau apa pun tohmahan yang dilemparkan kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat ekoran daripada kekosongan Dun Kajang, namun percayalah kesemua isu yang dibangkitkan akan reda dan keadaan akan pulih seperti sedia kala. Dan sekiranya dizinkan Allah, DS Anwar Ibrahim akan muncul dengan kemenangan majorti yang lebih besar. berpeganglah kepada peribahasa Melayu bahawa ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

Dikatakan terdapat ‘perbalahan politik’ antara TS Khalid Ibrahim dan Azmin. Peribahasa Melayu juga ada ‘menyentuh’ tentang isu yang sebegini. ‘Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga’. Maknanya sekiranya terdapat perbalahan antara dua saudara ‘ seibu-sebapa’ maka perbalahan sedemikian tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Apatah lagi ‘perbalahan’ itu merupakan ‘perbalahan politik’. Lagi senang dan cepat untuk diselesaikan.

Dan patah lagi apabila dicampuri pula oleh ‘pihak ketiga’ ia itu Umno yang merupakan ‘musuh’ yang sama bagi kedua-dua ‘adik-beradik’ yang sedang bermusuhan. Pantang orang Melayu yang pergaduhan adik-beradik dicampuri oleh pihak ketiga. Bagi ‘adik-beradik’ yang bermusuhan tetap menganggap bahawa ‘cubit peha kiri, peha kanan akan terasa sakitnya’ dan sebagaimana peribahasa orang Cina pula blood is thicker than water.

Aku nampak Itulah gambaran suasana yang berlaku di Selangor kini. ‘Dua beradik’ bergaduh. Betul. Pergaduhan politik. Sekiranya kepimpinan UMNO bijak berpolitik seharusnya jangan mencampuri pergaduhan itu. Biarkan. Biarkan ‘si luncai terjun dengan labu-labunya’. Sepatutnya UMNO membiarkan pergaduhan itu berlarutan agar UMNO akan mendapat ‘hasil’ yang lumayan. Tetapi disebabkan ‘perkiraan’ dan ‘perhitungan’ yang salah maka UMNO cuba ‘kacau daun’ dalam perbalahan ‘adik-beradik’ itu. Kesannya ialah kedua ‘adik beradik dan kaum kerabat’ berbaik semula dan rakyat Selangor khususnya akan menuding jari ke arah UMNO yang sepatutnya dipersalahkan.

Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor nampak dengan jelas percubaan UMNO untuk memporak-perandakan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kini. Pihak UMNO yang sentiasa ‘memainkan’ berita-berita negatif  berkaitan negeri Selangor. Hampir setiap malam TV arus perdana (semacam milik UMNO) akan menayangkan berita-berita mengenai negeri Selangor (dan Pulau Pinang juga) yang memaparkan berita dari sudut yang tidak menyenangkan.

Apa saja yang ‘tidak menyenangkan’ berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Rakyat tentunya tertanya-tanya apakah kesemua perkara ‘buruk’ hanya berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Kisah sampah yang tidak berkutip berlaku di Selangor. Kisah serbuan Jais ke atas gereja dan merampas Bible hanya berlaku di Selangor. Kisah ‘serangan’ ke atas gereja juga berlaku di Pulau Pinang. Pendek kata apa saja yang tidak menyenangkan berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Rakyat tentunya akan bertanya juga bahawa apakah tidak adakah berlaku perkara yang sedemikian di negeri-negeri lain? Apakah pemerintahan di negeri-negeri yang diuruskan oleh Barisan Nasional itu laksana pimpinan ‘malaikat’. Pasti rakyat akan berfikiran sedemikian.

Aku yakin rakyat boleh terima kritikan-kritikan yang dilemparkan ke atas pentadbiran Selangor itu dengan syarat kebaikan yang dilakukan oleh Selangor dan Pulau Pinang itu dilaporkan juga. Sekurang-kurangnya rakyat tahu dan sedar bahawa kelemahan sesebuah negeri itu disebabkan kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan pemimpinnya.

Mungkin pada anggapan kepimpinan Pakatan Rakyat ‘campurtangan’ pihak tertentu dalam pentadbiran di negeri Selangor sudah sampai ke peringkat ‘mencucuk mata’. Perselisihan pendapat ‘adik-beradik’ sudah dilihat cuba dieksploitasi oleh pihak UMNO yang hanya menunggu sebagai ‘vultures’ untuk menguasai negeri ini. Atas dasar itulah sesuatu tindakan drastik dan luar biasa dilakukan oleh pucuk pimpinan yang membawa kepada tindakan mengosongkan Dun Kajang dan memberi laluan kepada DS Anwar bertanding di Dun berkenaan.

Di sinilah letaknya betapa perlunya cara berfikir secara waras pihak-pihak tertentu yang menganggap bahawa tindakan PKR di Dun Kajang ini sesuatu yang membazirkan wang rakyat. Atau ada juga yang mengatakan bahawa mereka (sekutu Pakatan Rakyat) akan memulaukan PRK berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Aku fikir dalam menangani isu yang sebegini memerlukan pemikiran yang amat terbuka dan memerlukan renungan dan menungan yang amat mendalam dari pihak pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya pemimpin muda yang akan terus menerus berjuang untuk mencapai hasrat perjuangan mereka. Golongan ini perlu melihat sesuatu senario politik itu dalam suasana menyeluruh dan tidak seharusnya dikuasai oleh emosi dan pemikiran yang sempit.

Anak muda terutamanya, jangan terburu-buru membuat keputusan. Tunggu dan lihat cara ‘abang-abang’ bertindak. Walau secerdik dan sepandai mana sekalipun tindakan golongan muda, namun kadang-kadang tewas juga berbandng dengan tindakan ‘abang-abang’ dan ‘kakak-kakak’ yang sudah agak berpengalaman.

Semoga terus berjuang. - http://abuhassanadam.blogspot.com/

Pengkritik 'Serampang Kajang' gagal fahami politik demokrasi

KUALA LUMPUR: 'Serampang Kajang' merupakan strategi politik untuk mengalahkan BN yang korup dan zalim, kata Naib Presiden PKR, R Surendran.

Ini, katanya tidak bercanggah dengan hasrat dan kemahuan rakyat; malah, ianya adalah demi kepentingan rakyat.

Beliau menyatakan demikian merujuk kritikan berkenaan perletakan jawatan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dan keputusan PKR untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Banyak kritikan yang diterima hingga kini lebih bersifat reaksi menyentap, belum difikirkan dengan mendalam dan kurang memahami politik kepartian dan pilihanraya,” jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, pilihanraya merupakan asas strategi bagi mana-mana parti politik di dalam sesebuah demokrasi moden.

Kata beliau, ia hak sesebuah parti politik untuk meminta rakyat membuat pilihan sebagai satu langkah strategi politik, sama ada melalui pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.

Menurutnya, gengan menggunakan pilihanraya untuk meraih kelebihan politik, PKR/Pakatan Rakyat sebenarnya memperkukuh sistem demokrasi sedia ada.

Katanya, penggunaan pilihanraya sebagai langkah strategi yang sihat perlu dipupuk dan digalak.

“Pakatan Rakyat berniat menambah kekuatan dengan penggunaan sistem pilihanraya secara sah; ini berbeza apabila dibandingkan dengan BN yang melemahkan pilihanraya, dan menyalahguna kuasa eksekutif untuk menindas dan menganiaya musuh untuk terus memegang kuasa,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, pilihanraya kecil merupakan satu cara yang amat baik untuk mendengar suara rakyat; setiap pilihanraya kecil yang diadakan mengukuhkan demokrasi, dan mengiakan demokrasi penyertaan.

Justeru, katanya pengkritik 'Serampang Kajang' mungkin gagal mengamati bahawa sebuah demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik.

“Kelebihan ini boleh diperolehi melalui cara-cara yang sah dan dibenarkan, termasuklah pilihanraya kecil,” jelasnya lagi.

Menurutnya, mereka turut terlupa kata-kata dan semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbang malah membenarkan situasi-situasi sebegini.

“Perkara 51 membenarkan seseorang wakil rakyat untuk meletakkan jawatan tanpa sebab atau syarat. Perkara 51 ditulis untuk membolehkan pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik,” katanya lagi.

Pengamal undang-undang itu menambah, memaksa berlakunya pilihanraya kecil adalah strategi politik yang diamalkan di pelbagai negara demokrasi matang.

Jelasnya, pada 2008, Ahli Parlimen David Davis telah meletakkan jawatan dari House of Commons, UK untuk memaksa berlakunya pilihanraya kecil demi memberi fokus kepada isu kebebasan awam.

Pada tahun 1986, katanya kesemua Ahli Parlimen Unionist telah meletakkan jawatan dari parlimen UK sebagai satu strategi politik.

Beliau berkata, berbeza dari apa yang dikatakan pengkritik, tiada apa-apa kesalahan dalam memaksa berlakunya pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik.

“Mereka yang berkata pilihanraya kecil itu membazir wang ringgit mungkin tidak faham bahawa tidak dapat tidak wang ringgit memang terpaksa dibelanjakan demi menghidupkan sesebuah demokrasi.

“Fokus mereka sepatutnya kepada pilihanraya yang bersih, bukannya demokrasi yang murah,” katanya lagi.

Dua kanak-kanak cedera dikelar bapa makin pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan dua kanak-kanak perempuan yang cedera parah dikelar bapa mereka di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang dekat sini Khamis lepas, dilaporkan semakin pulih.

Jurucakap Unit Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata keadaan seorang daripada kanak-kanak itu yang dirawat di hospital itu semakin pulih dan mampu untuk makan selepas dibedah semalam.

Katanya kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu yang cedera di belakang tengkuk dan putus ibu jarinya dalam kejadian itu menjalani pembedahan di hospital itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Setakat pagi tadi, jururawat yang bertugas memberitahu dia kelihatan sangat tenang malahan memberi kerjasama apabila disuruh makan.

"Bagaimanapun, kami tidak pasti bila dia dibenarkan keluar daripada wad," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
  
Di Hospital Kajang, adik kepada kanak-kanak itu yang berusia 10 tahun yang cedera di bahagian belakang kepala dan tangan dalam kejadian itu juga dilaporkan stabil.

Ini dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang Khamis itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit berusia 44 tahun yang mengganggur sejak dua tahun lepas, mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka. –

Kajang: PR ada kelebihan isu, BN serang peribadi Anwar

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) dijangka mempunyai kelebihan berbanding Barisan Nasional (BN) daripada segi penggunaan isu yang mampu menambat hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, berkata antara isu dijangka mampu mempengaruhi pengundi akan dibawa PR dalam PRK terbabit seperti kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Di pihak PR memang kelebihan ada dengan isu berkisar kos sara hidup seperti kenaikan harga barang, kegagalan BN menunaikan janji sebelum pilihan raya umum tidak menaikan harga barangan keperluan utama atau tarif perkhidmatan tertentu,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.

Dr MaszleeDr Maszlee yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata beliau menjangkakan pengundi Cina di Kajang ketika ini masih kekal dalam mood memilih calon PR sebagai wakil mereka di Dewan Negeri Selangor.

Sementara itu, BN pula pada peringkat awal akan memainkan isu perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang.

Katanya, isu peletakan jawatan itu secara perlahan akan hilang ekoran penerangan yang dibuat barisan kepimpinan PR.

“Ramai terkejut dengan perletakkan jawatan, tidak kira penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pengundi biasa di peringkat akar umbi tetapi kita lihat dua tiga hari ini penjelasan oleh Rafizi, Dr Manuaty, Khalid Samad dan kepimpinan PR lain akan meredakan suasana. Jadi isu letak jawatan ini akan hilang.

“Manakala, isu prestasi Adun lama bukan isu besar sebab bila Anwar bertanding, banyak isu nasional yang timbul,” katanya.

Dr Maszlee berkata, BN tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menggunakan strategi politik tipikal mereka dengan menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR dalam PRK Kajang itu.

“Tun Mahathir sendiri sudah mula tidak menekankan isu persoalan peletakan jawatan Adun PKR tetapi main isu peribadi Anwar. Menyerang peribadi Anwar juga bukan isu yang besar sebenarnya tetapi hanya itu sahaja pilihan yang BN ada ketika ini,” katanya.

Lady Evelyn Cobbold: Wanita British pertama tunai haji

Hidup sebagai kaum bangsawan dengan kegelimangan harta, kehormatan, dan kemasyhuran sering kali diimpikan ramai orang.
Hidup sebagai bangsawan laksana hidup di sebuah negera dongeng dengan sekali perintah segala keinginan boleh menjadi kenyataan. Begitu juga yang dialami oleh Lady Evelyn Cobbold.

Sesuai dengan gelaran Lady yang melekat pada namanya, Evelyn Cobbold lahir sebagai seorang anak bangsawan. Lahir dengan nama Evelyn Murray di Edinburgh pada 17 Julai 1867, Evelyn merupakan anak tertua dari bangsawan Scotland, Charles Adolphus Murray, Pangeran Dunmore ke-7 dan Lady Gertrude Coke, anak perempuan dari Pangeran Leicester kedua.
Dengan takdir hidup yang dijalaninya sebagai anak bangsawan, sejak kecil Evelyn merasa berbagai macam kenikmatan.

Namun, Evelyn dan keluarganya berhijrah mengikut ayahnya ke Wilyah yang lebih eksotik di Afrika Timur. Sejak itu kehidupan Evelyn banyak dikelilingi pembantu tempatan dari penduduk asli Mesir dan Algeria. Evelyn banyak menghabiskan musim sejuk bersama dengan pembantu tersebut dan kehidupannya juga banyak dipengaruhi oleh cara-cara Islam dan tradisi Arab.

Tentang kehidupan masa kecilnya, Evelyn menulis: "Aku menghabiskan musim sejuk di Vila Moorish, di sebuah lembah di luar Algeria. Di sanalah aku belajar bahasa Arab dan yang paling aku gemari adalah saat melarikan diri dari status bangsawanku dan melawat masjid bersama teman-teman Aljazairku. Tanpa sedar, aku merasa menjadi seorang Muslim di dalam hatiku.

"Beberapa tahun berlalu dan aku tinggal di Rom bersama beberapa rakan Itali dan tuan rumah menawarkan aku adakah aku mahu bertemu Paus. Tentu saja saya sangat mahu. Kemudian, semasa Yang Mulia Paus tiba-tiba bertanya adakah aku seorang Katolik, beberapa saat lamanya aku tidak menjawab untuk kemudian berkata bahawa aku seorang Muslim."

Untuk seorang wanita bangsawan, umur seperti Evelyn adalah lewat dalam bab pernikahan. Dia berkahwin pada usia 24 tahun dengan John Dupuis Cobbold, seorang lelaki keturunan keluarga pembuat bir yang kaya raya di sebelah timur Inggeris.
Mereka bertemu di Kaherah dan berkahwin di sana pada April 1891. Pasangan suami isteri ini dikurniakan tiga orang anak yang lahir antara tahun 1893 hingga 1900.

Pada tahun 1900, Lady Evelyn melakukan perjalanan tanpa suaminya. Dia kembali ke Afrika Utara tahun 1911 pada usia 43 tahun dan melakukan perjalanan di Mesir. Pada tahun 1912, buku tentang perjalanannya tersebut diterbitkan dengan judul Wayfarers in the Libyan Desert.
Sejak saat itulah dan seterusnya, pengakuan dirinya sebagai seorang Muslim semakin meningkat. Lady Evelyn kemudian menukar namanya menjadi Lady Zainab.

Setiap musim sejuk Lady Zainab melawat Mesir dan sejak tahun 1915 dia menjalin persahabatan dengan Marmaduke Pickhall, dengan seorang Inggeris Muslim yang menghasilkan salah satu penterjemahan Al-Quran ke dalam bahasa Inggeris yang sangat dihargai.

Pada tahun 1920, maklumat yang bersifat jenaka menyebarkan bahawa Lady Evelyn masuk Islam menjadi penyebab kerenggangan hubungannya dengan keluarga Cobbold. Akhirnya, pada tahun 1922 Evelyn dan suaminya rasmi bercerai.
Evelyn memperoleh harta yang sangat banyak, termasuk hutan mengandungi rusa di Glencarron. Harta tersebut menjadikan dirinya sebagai wanita terkaya di wilayahnya. Selepas kematian suaminya pada tahun 1929, Evelyn mula serius untuk melakukan perjalanan haji ke Mekah.

Keseriusannya pergi mengerjakan haji diwujudkan dengan mengemukakan permohonan ke Hafiz Waba, Menteri Arab Saudi di London yang kemudian menuliskan surat permohonan rasmi kepada Raja Abdul Aziz di Riyadh.
Lama permohonan tersebut untuk dibalas. Bukan sifat Evelyn untuk menunggu, dia kemudian menghantar surat perkenalan kepada Harry St . John (Abdullah Philby) di Jeddah.
Philby sendiri telah menjadi Muslim sejak tahun 1930. Sambil menunggu izin dari Raja, Philby lah yang menetapkan perjalanan menggunakan kereta ke Madinah.

Akhirnya, pada tahun 1933, keinginan evelyn untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan selepas Raja Abdul Aziz mengabulkan permohonannya.


Demikianlah kisah Lady Evelyn Cobbold, seorang wanita bangsawan Inggeris pertama yang menunaikan haji ke Mekah. Bahkan, boleh dikatakan bahawa Lady Evelyn lah wanita asli kelahiran Inggeris pertama yang melakukan perjalanan haji. Kisah perjalanan haji Evelyn dituliskan dalam buku yang berjudul Pilgrimage to Mecca (Berhaji ke Mekah).

Dalam sejarahnya, tidak banyak fakta yang didapati bahawa Evelyn secara rutin melaksanakan ibadah solat. Namun, diyakini bahawa dia telah mengisytiharkan syahadah dan mengerjakan haji menjadi puncak membuktikan dunia sebagai Muslim.
Lady Evelyn Zainab meninggal 30 tahun selepas menunaikan haji, tepatnya pada Januari 1963, salah satu bulan yang paling sejuk dalam sejarah Inggeris. Evelyn dikebumikan mengikut syariat Islam di kawasan Glencarron.

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Kuasa mutlak Sultan Selangor lantik MB - bekas hakim

KUALA LUMPUR: Pencalonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.

Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menerangkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.
  
"Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa," katanya kepada pemberita di Menara Felda di sini, baru-baru ini.

Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota Dun sebagai menteri besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan, dan syarat kedua, seorang menteri besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Mengikut peruntukan tersebut, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama," katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi di mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik menteri besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

"Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain," katanya.

Namun, Mohd Noor berkata calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti PAS atau PKR.

Katanya, Sultan juga tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelantikan itu.

"Namun, sebagai contoh, sekiranya wakil A yang mendapat majoriti undi, tetapi wakil B pula menjadi pilihan Sultan, maka parti akan membuat keputusan siapa menjadi menteri besar melalui proses lobi antara satu sama lain. Jadi, apabila wakil B dipilih, maka wakil B akan berjumpa Sultan dan mendapatkan perkenan Sultan.

"Ini bermakna (satu daripada) parti beralah. Tapi, kalau parti tetap dengan keputusan majoriti untuk memilih wakil A, maka Sultan tidak boleh lantik B. Ini kerana sekiranya wakil B dilantik dan kemudian mendapat undi tidak percaya, dia kena buang juga," terang beliau.

Dalam situasi sekarang, Mohd Noor berkata Dun Selangor sudah bersidang dan katakan Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu, maka boleh diusulkan di dewan, beliau dicalonkan jadi menteri besar.

"Menteri Besar sedia ada (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjadi MB atas perkenan Sultan untuk lima tahun. Kalau beliau hendak meletak jawatan sebelum lima tahun, beliau boleh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan.

"Sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan, maka adakan usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai menteri besar dan (jika) usul (itu) menang, beliau kalah. Maka, beliau kena lepaskan jawatan," terang Mohd Noor.

Katanya selepas melantik menteri besar, Sultan juga diperuntukkan kuasa untuk melantik Exco kerajaan negeri berdasarkan cadangan menteri besar.

Berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan negara, Mohd Noor berkata kriteria bagi seseorang calon untuk bertanding kerusi Dun,  beliau mestilah warganegara Malaysia, beralamat di negeri yang ingin ditandingi, berumur lebih 21 tahun, sempurna akal, tidak muflis dan tidak pernah dipenjara melebihi satu tahun (tetapi boleh bertanding selepas tamat hukuman).

"Alamat kad pengenalan calon mestilah di negeri tersebut, contohnya dalam kes kekosongan Dun Kajang, mana-mana calon yang ingin bertanding, perlu beralamat di Selangor. Tetapi, undang-undang tidak menyatakan berapa lama calon perlu duduk di Selangor," katanya.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu Isnin lepas.

Kepada persoalan sekiranya keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar nanti berpihak kepada kerajaan, adakah ia akan menjejaskan peluang Anwar untuk bertanding, Mohd Noor berkata ia tidak terjejas kerana Anwar masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"(Namun), sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan tuduhan itu adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjayanya sebagai ahli politik atau profesion yang lain akan berakhir," jelasnya.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Bagaimanapun, pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskan beliau atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Pada 20 Jan 2012, Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan rayuan terhadap pembebasan Anwar dijangka didengar pada 12 dan 13 Feb ini di Mahkamah Rayuan. -

Aishah, Farah Asyikin minta padam gambar lama



JELUTONG: Bekas penyanyi terkenal tanahair, Wan Aishah Ariffin dan Farah Asyikin sekali lagi menyeru mana-mana pihak yang masih menyimpan gambar lama mereka dalam Youtube agar memadamkannya.

Bagi mereka, tidak cantik gambar dalam keadaan jahiliah disiarkan memandangkan mereka telah berhijab dan tidak lagi terlibat dalam dunia glamour itu.

"Harap semua pihak memahami perasaan kita yang telah lari dari dunia glamour.  Gambar yang ada dalam simpanan individu terutamanya yang masih disiarkan dalam Youtube harap buang. Biarlah ianya berlalu sebagai kenangan, " jelas mereka dalam program santai bersama artis sempena Sambutan 25 tahun PAS Jelutong petang tadi.

Bagi mereka, perkara yang sudah biarkan ia pergi kerana yang penting matlamat masa depan diteruskan dengan penuh kesedaran.

Menyentuh mengenai masa silam sambung Aishah, mula mendapat hidayah apabila kehilangan emak saudara serta rasa terlalu ingin bertudung selepas itu.

"Selepas kematian emak saudara tiba saya rasa lain pada diri. Kehendak bertudung rasa makin menghampiri. Bila bertanya pada diri kenapa tidak boleh bertudung sedangkan semasa menziarahi emak saudara boleh pakai sampai seharian," terangnya.

Manakala Farah Asyikin pula menjelaskan, ia berpunca daripada penceraian yang membawa kepada kemurungan dan sepi.

Beliau sanggup bermain dengan kucing untuk menghilangkan perasaan sunyi.

Katanya, kucing yang dijumpai di tepi jalan itulah sebenarnya teman bercakap untuk menghilangkan 'stress'.

"Kemusnahan rumah tangga pertama membuatkan diri terumbang ambing. Lalu memasuki peraduan nyanyian sebagai suka-suka dan cuba merakamkan album namun ada saja rintangan yang datang," ujarnya.

Kajang: Prinsip BN 'lawan tetap lawan', kata Zahid

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) memegang prinsip 'lawan tetap lawan' biarpun belum memuktamad calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun secara lazimnya kerusi Dun Kajang diperuntuk kepada MCA namun kuasa mutlak pemilihan calon terletak di tangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan akan diputus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Saya berpendirian bahawa jika BN putuskan untuk letakkan calon dalam PRK Dun Kajang dari parti mana sekalipun, terutama jika parti itu pernah meletakkan calonnya dalam PRU lalu di Dun itu, maka kita akan hormati keputusan tersebut.

"Dan sekiranya seseorang calon itu telah dimuktamad menjadi calon rasmi BN, pendirian saya secara peribadi 'lawan tetap lawan' kerana mana-mana parti yang meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, tetap dianggap musuh politik BN," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional 2014 (Pena) peringkat negeri Selangor di Universiti Teknologi Mara hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, yang juga Ketua Penerangan Umno.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya, Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 27 Jan lepas dan sehari selepas itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum sebagai calon pada PRK berkenaan. - Bernama

Khairy sayang Chong Wei, tidak izin bertanding di Kajang


KUALA LUMPUR: Ketegasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) yang tidak sekali-kali membenarkan Chong Wei dipilih sebagai calon BN di Dun Kajang dengan alasan pemain badminton itu adalah harta negara seharusnya dikalungkan pujian.

Bagi blogger Shahbudin Husin, Khairy nampaknya sangat sayangkan masa depan dan reputasi gemilang Chong Wei serta mahukan ia kekal dalam sanjungan rakyat sampai bila-bila.

“Memilih Chong Wei sebagai calon sebenarnya adalah membunuh reputasi dan masa depannya,” tulis beliau di dalam blognya.

Bagi beliau, sekiranya benar ingin menghargai jasa dan sumbangan Chong Wei kepada negara selama ini, sebaik saja bersara nanti, jaguh badminton negara itu sepatutnya dilantik sebagai Senator supaya beliau sekurang-kurangnya boleh bersuara dan memberi idea di peringkat tertinggi mengenai kemajuan sukan negara.

“Jika tidak cukup dengan itu, selepas dilantik sebagai Senator, Chong Wei juga boleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sebagai orang nombor dua kepada KJ,” tulisnya lagi.

Bayangkan betapa bersinarnya Kementerian Belia dan Sukan apabila kementerian itu diterajui oleh KJ dan dibantu oleh Chong Wei.

Menruutnya, itulah sebenarnya cara yang betul untuk menghargai dan membalas jasa Chong Wei selama bertahun-tahun beliau mencurahkan keringatnya mengharumkan nama negara melalui dunia badminton dan bukannya dengan menyediakan ‘tali gantung’ di Kajang sebagai anugerah kepada persaraannya.
Baca lagi

PRK Kajang: Umno lebih awal membazir – Saifuddin Abdullah

KOTA BHARU: “Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di parlimen Kuala Selangor dan Dun Permatang.
“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,” kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pada 1997 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abu Hassan Omar meletak jawatan bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, sebagai Menteri Besar Selangor.
Muhammad meletak jawatan ekoran pertuduhan di mahkamah Australia berikutan kegagalannya mengisytiharkan tunai RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.
Abu Hassan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di Dun Permatang, yang mana ketika itu disandang Datuk Jamaluddin Adnan.
Pada pilihan raya kecil 29 Mei 1997 itu Barisan Nasional mengekalkan kedua-dua kerusi dan Abu Hassan dilantik menjadi Menteri Besar 6 Jun.
Saifuddin sekarang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates berkata, tidak ada sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.
“Begitu juga dengan kes di Perak selepas pilihan raya umum 2008, seeloknya diadakan pilihan raya kecil apabila tiga Adun Pakatan Rakyat beralih sokongan kepada BN,” katanya pada diskusi anjuran kerajaan negeri di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi.
Diskusi sebagai gelanggang baru menggantikan wacana mengupas tajuk 'Demokrasi Di Malaysia' turut mengundang anggota parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator.
Khalid pula berkata, pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai sebahagian usaha untuk memperkukuhkan lagi Pakatan di Selangor ekoran berlaku beberapa isu sebelum ini.
Menurutnya juga Umno kini berhempas pulas mahu merampas Selangor selepas misi mereka pada pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa untuk memperkukuhkan kedudukan Pakatan di Selangor. Dengan kedudukan sebagai wakil rakyat beliau boleh berperanan dengan lebih rasmi lagi.
“Sebelum ini beliau tidak boleh bertindak secara rasmi kerana tidak ada kedudukan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya.