Thursday, November 5, 2015

Kritikan terhadap Da’i Milenia, PU


                                                          

SLOGAN Islam sebagai rahmah lil-‘aalamiin kini menjadi popular dalam dunia politik dan dakwah. Aktivis-aktivis Muslim sekarang mula sedar bahawa mereka perlu membawa Islam keluar dari zon selesa monokultural.

Tetapi bagaimanakah merealisasikan kesedaran ini secara praktis? Kita lihat bagaimana rancangan TV Da'i Milenia dan PU (Pencetus Ummah) berusaha mewujudkan kesedaran dakwah dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Ini langkah yang sangat bagus.

Tambah lagi peserta-pesertanya adalah daripada kalangan orang muda. Ini akan menggalakkan orang muda untuk bergiat dalam dunia dakwah.

Tetapi wacana yang dibawa oleh program-program ini adalah juga bersifat monokultural walaupun bertemakan dakwah.

Kita langsung tidak nampak kehadiran mood multikultural dalam kalangan penonton di dalam studio. Yang nampak ialah mood tudung labuh dan kopiah.

Di mana penonton Cina dan India bukan Muslim? Di mana penonton ‘mini skirt’, penonton yang berambut warna-warni, penonton yang hip hop dan Korean?

Salah seorang peserta PU memakai baju hitam yang mempunyai cap seolah-olah iblis semestinya berbaju hitam dan memasang cap di atas kepala. Peserta ini melakonkan watak iblis apabila berceramah.

Selepas habis berceramah, dia kembali menjadi ‘soleh’ dengan menanggalkan cap hitam untuk menonjolkan serban putih di kepala. Mesej yang dibawa hanyalah stereotaip monokultural: serban putih adalah lambang kesolehan dan cap hitam adalah lambang iblis. Adakah iblis tidak berserban putih? Adakah iblis semestinya berwajah hodoh?

Istilah ‘milenia’ membawa gambaran dakwah yang berani keluar dari zon yang lapuk, menuju ke zon milenia, zon global, zon yang bersifat multikultural. Tetapi para juri kelihatan monokultural terdiri daripada golongan ustaz, agamawan dan satu bangsa.

Kita setuju kalau juri-juri dalam program ‘Imam Muda’ adalah terdiri daripada ustaz-ustaz kerana mereka ini memang sesuai untuk menilai kualiti ‘imam’ yang akan mengetuai solat jemaah di masjid. Kebanyakan klien bagi seorang imam adalah mereka yang berada di masjid atau di event-event agamawan.

Tetapi konteks dunia dakwah adalah lain dari dunia masjid. Dakwah ditujukan kepada masyarakat yang terdiri daripada mereka yang pelbagai ideologi, mindset dan fesyen pakaian.

Saya ingin melihat para juri, selain daripada ustaz, juga terdiri daripada penganut agama lain dan pengikut liberalisme kerana mereka inilah yang kita hendak dakwah.

Kita ingin melihat sejauh mana peserta mampu menarik minat mereka untuk mengenali Islam.

Kita ingin mendengar suara rakyat multikultural tentang kualiti peserta-peserta PU dan Da'i Milenia supaya peserta-peserta tidak duduk dalam zon selesa monokultural.

Bahkan saya harap juri akan tanya soalan seperti, ‘Apakah 4 rukun yang paling asas sekali dalam agama Buddha?’ Dakwah sekarang memerlukan ilmu perbandingan agama seperti Zakir Naik.

Saya setuju sangat dengan komen Prof Ridhuan Tee dalam artikel sinarnya yang bertajuk Ilmu Asas Program Realiti TV minggu lepas. Kata beliau "Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba belum apa-apa penceramah sudah menangis, seolah-olah dibuat."

Prof juga menyindir, "Apabila berada dalam pentas agama, mereka seolah-olah malaikat, bertanyakan soalan yang cukup Islamik." Mengapa begitu bersifat ‘malaikat’ sehingga gaya berdiri pun sudah tidak seperti insan biasa?

Ini adalah kerana para juri terdiri daripada para malaikat juga! Bayangkan kalau juri terdiri daripada mereka yang berkata, "Saya rasa Islam ini tidak sehebat agama lain!" Ini akan meletakkan motivasi kepada peserta untuk membawa wacana ketamadunan Islam melalui ethos, pathos dan logos (seperti yang dicadangkan oleh Prof Ridhuan Tee).

Bayangkan seorang juri bukan Muslim mencabar Da’i Hamidah, selaku juara musim ke-3 ini, "Dalam round terakhir ini, yakinkan saya mengapa saya perlu peluk Islam dalam masa 5 minit."

Adakah Da’i Hamidah akan membawa tema tangisan: "Aku Seorang Pendosa" sebagai kata-kata terakhir untuk menyakinkan juri tentang kehebatan Islam sebagai satu-satunya agama yang benar?

Saya tidak meragui kualiti dan peserta yang sudah ada tetapi saya mencadangkan konsep program TV dakwah yang lebih realistik dan luas, bukan stereotaip monokultural.

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro MultiKultural (Murshid)

Sumber artikel : Sinar Harian