Tuesday, September 22, 2015

Untuk apa Pakatan Rakyat 2.0?


Foto ihsan Sinar Harian

Sebentar tadi menyaksikan kejayaan penubuhan blok pembangkang baru yang dinamakan Pakatan Harapan atau Pakatan 2.0. Gabungan itu berjaya dibentuk setelah rundingan meja bulat yang dianggotai oleh Parti Amanah Negara, PKR dan DAP mencapai persetujuan bersama.    

Saya tertarik dengan kenyataan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi mengenai keengganan PAS untuk turut serta dalam penubuhan Pakatan Rakyat 2.0. Hal ini kerana parti jelas mendukung keputusan Tuan Guru Presiden dengan penuh yakin dan jitu.

Sebelum kita memahami kenapa Pakatan Rakyat 2.0 hendak ditubuhkan, kita perlu terlebih dahulu memahami punca keretakan dalaman Pakatan Rakyat sehingga terjadi apa yang didakwa sebagai 'runtuh'nya Pakatan Rakyat sebelumnya - sepertimana dakwaan DAP.

Ini penting terutamanya bagi mereka yang begitu ghairah menyertai wadah yang baru ditubuhkan, dan begitu teruja dengan pakatan baru yang bakal dibentuk.

Kita patut bertanya balik, apakah tujuan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP?

Jika jawapannya adalah bagi meneruskan agenda menentang UMNO dan BN, kita katakan, tak cukup lagikah dengan peranan yang telah dimainkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka kata penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi meneruskan agenda membela rakyat dan mengagihkan kekayaan hasil negara kepada semua lapisan masyarakat dengan adil dan saksama, kita katakan, tak cukup lagikah dengan matlamat dan Dasar Bersama yang telah digariskan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka kata tujuan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi memerangi rasuah dan penyelewengan kerajaan UMNO/BN, mengembalikan kebebasan media, mengukuhkan institusi awam, mengembalikan fungsi mahkamah dan sebagainya, kita katakan adakah Pakatan Rakyat sebelum ini tidak menjalankan fungsi memerangi rasuah dan pengukuhan institusi awam dalam kerajaan UMNO/BN?

Jika mereka kata Pakatan Rakyat 2.0 komited dalam meringankan beban rakyat, menurunkan harga minyak, mengurangkan tarif elektrik, menghapuskan subsidi korporat kepada kroni,  menyediakan rumah mampu milik,  memberi pendidikan percuma, menghapuskan PTPTN dan sebagainya, kita katakan, bukankah semua itu telah pun diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka 'berkeras' mengatakan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi meneruskan kelansungan Pakatan Rakyat yang telah 'terkubur', kita tanya balik sebab apa Pakatan Rakyat terkubur?

Akhirnya mungkin mereka akan jawab, PAS telah langgar rangka kerja dan Dasar yang telah dipersetujui secara bersama. (Soalan ini mungkin DAP yang akan jawab, bukan pihak dari parti Amanah hehe)

Jika DAP menuduh PAS yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat, kita tanya apa yang menyebabkan semua itu berlaku?

Maka jawapannya tak lain tak bukan ialah kerana Usul Rang Undang-Undang Persendirian (Private Member Bill) Enakmen Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Tuan Guru Presiden.

Saya ingin mengajak semua ahli-ahli PAS yang ghairah menyertai Parti Amanah Negara dan begitu teruja dengan pembentukan Pakatan Rakyat 2.0, pernahkah anda terfikir bahawa punca kepada terjadinya semua ini ialah kerana usul undang-undang jenayah syariah/hudud?

Ketika PAS dan rakan komponen Pakatan pembangkang yang lain mempunyai 95% persamaan dan hanya 5% perbezaan, maka mengapakah kita berpecah hanya kerana perbezaan yang hanya 5% itu sahaja?

Jawapannya ada pada DAP itu sendiri.


DAP, jawablah dengan jujur dan ikhlas

Sebelum ini DAP menuduh PAS melanggar rangka kerja dan dasar yang telah dipersetujui secara bersama. 

Kita tanya balik apa itu rangka kerja dan Dasar Bersama?

Baiklah, tak perlu saya minta jawapan dari mereka, kerana saya tahu jawapan yang mereka beri takkan sama dengan perkara yang sebenarnya telah berlaku. Maka lebih baik saya yang menjawabnya.

Dasar Bersama ialah suatu polisi yang dipersetujui secara bersama bahawa ketiga-tiga pihak berhak meneruskan atau mendukung prinsip serta agenda parti masing-masing manakala percanggahan dalam agenda dan prinsip ini diuruskan dalam mekanisme persefahaman iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.

Rangka kerja bersama pula ialah dokumen persefahaman yang dicapai oleh ketiga-tiga pihak dalam menentukan tindakan dan pendekatan yang munasabah bagi mencapai tujuan-tujuan politik sesuai dengan peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

Berdasarkan definisi yang saya berikan di atas, maka PAS telah pun memperoleh hak untuk meneruskan agenda politiknya berdasarkan kerangka persefahaman bahawa setiap parti berhak untuk berjuang mencapai agenda politiknya.

Manakala berdasarkan definisi rangka kerja yang saya berikan di atas maka PAS berhak mencapai cita-cita politiknya menerusi saluran demokrasi yang betul sesuai dengan peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

Kita perlu faham bahawa antara rangka kerja dan dasar bersama ada hubungkait yang sangat rapat dan erat, maknanya tak mungkin kita boleh menentukan sesuatu rangka kerja tanpa mengambil kira dasar yang telah dipersetujui secara bersama.

Tidak mungkin kita boleh meletakkan satu rangka kerja yang akhirnya mengenepikan atau mengorbankan semangat persefahaman yang dicapai dalam Dasar Bersama. Dengan kata lain rangka kerja yang dibina itu mestilah merujuk kepada Dasar Bersama sebagai pengikat.

Kita harus ingat rangka kerja itu adalah pada perkara yang dimana setiap pihak mempunyai titik-titik persamaan. Dari titik-titik persamaan inilah mereka bergabung dan mereka bergerak dalam satu Pakatan. Namun bagi perkara-perkara yang diluar dari titik-titik persamaan itu tadi, terutama hal yang melibatkan perbezaan dasar, maka setiap pihak berhak membawa perjuangan mereka sendiri, dan tidak terikat kepada rangka kerja bersama, ini kerana ia mengambil kira semangat tolak ansur yang dipersetujui dalam Dasar Bersama, iaitu hak untuk berbeza pendapat dalam soal dasar dan prinsip.

Maka pada perkiraan keseluruhannya PAS telah pun menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakan komponen yang mengikut semangat yang dipersetujui dalam Dasar Bersama.

Namun kini DAP telah menganggap PAS sebagai pengkhianat Pakatan kerana telah meneruskan agenda menegakkan perundangan syariah.

Ketika diperingkat awal penubuhan Pakatan Rakyat pada 2008, DAP dikatakan telah bersetuju untuk menerima bahawa adalah menjadi hak setiap parti memperjuangkan agenda masing-masing. Setiap parti setuju bahwa mereka mungkin ada perbezaan dari sudut dasar parti, tetapi mereka tetap akan bekerjasama dalam beberapa perkara yang mereka anggap ada persamaan. Mana mungkin DAP boleh bekerjasama dengan PAS dalam keadaan mereka sedar bahawa perlembagaan PAS telah tercatat dengan terang dan jelas untuk melihat terlaksananya hukum-hukum dan cara hidup Islam.


Namun setelah berlalunya kesemua itu pelbagai amaran dan kata dua pula telah dilontarkan kepada PAS terutamanya dari pimpinan tertinggi mereka bahawa PAS bukan lagi sebahagian dari komponen Pakatan jika masih berdegil untuk melaksanakan hudud.  

Bermula dari DAP Sarawak dan Sabah yang memutuskan hubungan dengan PAS Negeri Sarawak dan Sabah, DAP Pusat pula bertalu-talu menyerang Presiden PAS kerana didakwa mengusulkan rang undang-undang itu tanpa perbincangan dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan di Malaysian Insider mendakwa, PAS tidak akan dilihat sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat jika ia terus berkeras membentangkan rang undang-undang hudud kerana langkah itu tidak disokong oleh gabungan itu. 

Beliau berpandangan bahawa rang undang-undang itu bertentangan dengan perjanjian yang dicapai dalam mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat terakhir dimana dinyatakan perlu ada perbincangan lanjut diantara ketiga-tiga pihak sebelum langkah seterusnya diambil berhubung perkara itu. 

Kenyataan itu turut disusuli dengan kenyataan angkuh dari Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Datuk Teng Chang Kim pada Mei lalu yang mendakwa PAS dipersilakan keluar dari Pakatan Rakyat kerana isu hudud tidak termasuk dalam kerangka Pakatan Rakyat. 

Namun dalam pada itu, Lim Kit siang dalam satu ceramah di Kota Bahru  masih berdalih dengan mendakwa beliau menerima pandangan Al-Qardhawi yang mengatakan bahawa pelaksanaan hudud mempunyai beberapa syarat dan kondisi yang membolehkan pelaksanaannya berjalan dengan adil dan saksama, seolah-olah DAP menerima pelaksanaan undang-undang Islam itu. 

Akhirnya ia menimbulkan persoalan, apakah DAP ini sebenarnya mengizinkan umat Islam untuk melaksanakan perundangan syariah sekalipun mereka tidak bersetuju dengan perundangan itu atau mereka memang berhasrat menentang sebarang bentuk pelaksanannya walau dalam keadaan apa sekalipun?

Jika mereka katakan mereka tidak bersetuju sama sekali, ini membawa maksud bahawa pihak yang akan bekerjasama dengan mereka takkan menegakkan sama sekali soal perundangan dan cara hidup Islam. Pilih samada mahu berkerjasama dengan mereka dalam 'rangka kerja dasar bersama'  atau atau 'ditendang keluar' sekiranya masih bertegas menegakkan perundangan Islam.

Jika dikatakan mereka menerima perbezaan dasar dalam setiap parti komponen Pakatan dan menganggap pilihan umat Islam untuk melaksanakan hudud adalah hak mereka yang perlu dihormati mengapa pula mereka menyerang habis-habisan Kerajaan PAS Kelantan?

Jika DAP mendakwa mereka menentang rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah itu kerana mereka beranggapan rang undang-undang itu belum sesuai dilaksanakan, siapa DAP untuk menentukan hak umat Islam dalam menentukan halatuju ummat mereka sendiri? Apakah umat Islam pula perlu mendapatkan nasihat mereka sebelum boleh melaksanakan undang-undang yang melibatkan kepentingan umat Islam itu sendiri?


Nak kemana akhirnya mereka itu?

Akhirnya semua ini akan menimbulkan persoalan mengenai masa depan pihak yang akan membentuk kerjasama dengan DAP ini. Persoalan ini menarik kerana kita mahu jawapan dan sikap yang jelas dari DAP berkenaan soal pelaksanaan agenda Islam dan ketuanan syarak. Ini kerana kita mahu melihat apakah 'nasib' yang akan menimpa kumpulan yang turut mendakwa mereka juga mahu memperjuangkan Islam, cuma mereka berbeza strategi dengan PAS.

Jika pihak seperti Parti Amanah Negara mendakwa DAP akan menerima agenda Islam, kita katakan selama 7 tahun kita bertahaluf belum cukup lagikah gambaran Islam yang telah PAS persembahkan kepada mereka? Termasuk antara mereka yang terlibat dengan beberapa siri dialog dan wacana mengenai perundangan syariah dengan pemimpin DAP adalah pemimpin dari Parti Amanah itu sendiri ketika mereka masih menjawat jawatan dalam PAS. Sepatutnya sekarang ini DAP dah lama menghormati pendirian PAS.

Jika mereka mendakwa DAP tidak akan menerima agenda Islam kerana itu hak mereka maka apa pula kewajaran untuk parti Amanah bertahaluf dengan menubuhkan Pakatan Baru yang berpegang kepada Rangka Dasar bersama?Bolehkah DAP berpegang kepada dasar 'bersetuju untuk tidak bersetuju' sedangkan ketika bertahaluf dengan PAS pun mereka gagal berpegang kepada dasar itu apatah lagi menghormati semangat persefahaman itu? Sejauhmana Parti Amanah ini boleh mengenengahkan agenda Islam dalam Pakatan Harapan yang baru dibentuk ini?

Jika mereka kata DAP boleh menerima agenda Islam namun mereka merasakan ia bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang perundangan Syariah takkala negara masih dilanda pelbagai kebejatan kita katakan negeri Kelantan dah lama dipulihkan dari soal kebejatan dan penyelewengan selepas PAS mengambil alih pemerintahan dari kerajaan UMNO/BN 25 tahun yang lalu. Malah apa yang membanggakan tingkat moraliti dan penghayatan agama dikalangan rakyat Kelantan lebih tinggi berbanding negeri lain. Maka sudah sampai masanya PAS bercakap soal menegakkan perundangan syariah kerana PAS dah pulihkan struktur pemerintahan dan masyarakat dari kerosakan UMNO/BN. Namun hasrat kerajaan Kelantan ini masih dihalang oleh DAP Pusat. Mereka malah menyerang PAS Pusat dan memutuskan hubungan Tuan Guru Presiden sedangkan usul itu hanya melibatkan negeri Kelantan dan bukan di peringkat persekutuan.

Bayangkan jika usul di peringkat negeri Kelantan yang hanya melibatkan masyarakat muslim pun ditentang habis-habisan saya tak tahu bagaimana Parti Amanah yang bergerak dalam wadah baru Pakatan Harapan yang disertai DAP boleh menegakkan perundangan Islam diperingkat pusat. Dengar macam kelakar jer.

Sebenarnya inilah antara beberapa persoalan yang perlu dijawab dan difikirkan oleh mereka yang begitu teruja dengan penubuhan Pakatan Harapan yang baru dilancarkan. Apa yang saya lihat ialah penubuhan Pakatan Harapan ini sebenarnya hanya 'menyalin' semula rangka kerja dan dasar bersama Pakatan Rakyat yang lalu, cuma perubahan yang berlaku ialah di sudut pelaksanaan agenda Islam dimana ia akan dilonggarkan berbanding pendekatan PAS yang teguh berpegang pada prinsip.

Amat malang sekali apabila dasar dan matlamat mereka sedikit pun tidak tergugat, namun kita umat Islam pula perlu melonggarkan dan melunakkan dasar dan matlamat kita semata-mata mahu berkerjasama dengan mereka.

Jika ahli PAS yang berhasrat menyeberang ke Parti Amanah merenung dengan insaf bahawa punca keretakan Pakatan Rakyat yang lepas dan punca kewujudan Pakatan Harapan yang baru hanyalah kerana isu hudud, mereka tentu akan berfikir dua kali untuk berkerjasama dengan parti orang kafir itu.

Sebenarnya tidak ada yang tidak kena dengan gabungan Pakatan Rakyat yang lepas, kerana segala rangka kerja dan Dasar Bersama yang dibentuk cukup lengkap dan sempurna, cuma perkara yang memastikan ia berjalan dengan lancar dan jayanya ialah sikap konsisten dari rakan komponen parti.

Isu yang sebenarnya ialah, rangka lah seberapa banyak pun 'rangka kerja' atau gubal lah seberapa banyak 'Dasar Bersama' pun, persoalan yang melingkari kita ialah sebenarnya ialah pada sikap, dimana didalam suatu kerjasama politik yang melibatkan perbezaan dasar, sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain amatlah penting. Buatlah seberapa banyak pun Pakatan yang ada, namun jika sikap degil dan keras kepala terus menyelubungi pemimpin-pemimpin parti ini, maka apa jua bentuk Pakatan pun akan menemui kegagalan dan kehancuran.


"Istiqamah hingga kemenangan"

Oleh - Serambi Musolla



Renungan Dari Bumi Suci (Siri 1)

Renungan Dari Bumi Suci (Siri1)

Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27;
Maksudnya; "Dan buatlah perisytiharan di khalayak ramai untuk mereka laksanakan ibadah Haji pasti mereka datang kepada kamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus, mereka datang dari seluruh pelusuk negeri yang jauh"
Allah Taala mengarahkan Nabi Ibrahim alaihissalam membuat perisytiharan ibadah haji. Jaminan daripada Allah ialah manusia pasti datang meskipun berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus.
Berjalan kaki menunjukkan kesungguhan. Meskipun tiada kenderaan mereka sanggup berjalan kaki walaupun ke tempat yang jauh demi menunaikan Haji.
Unta yang kurus ditafsirkan dengan dua keadaan. Sama ada kerana ketiadaan unta yang gemuk namun kerana keinginan membuak-buak untuk hadir ke Mekah maka mereka sanggup menunggang unta yang kurus.
Atau dengan maksud jauhnya perjalanan hinggakan unta yang gemuk asalnya menjadi kurus.
Dalam riwayat Ibnu Abbas, Mujahid dan Ikrimah melaporkan Nabi Ibrahim bertanya bagaimanakah suaraku akan sampai kepada manusia? Allah menjawab; tugasanmu ialah menyeru dan Kami yang menyampaikannya.
Demikiankah janji Allah. Manusia hanya perlu melaksanakan perintah-Nya. Jaminan selanjutnya adalah milik Allah. Namun, berapa ramai yang bersedia untuk yakin?
Seruan haji sampai kepada manusia sejak zaman Ibrahim alaihissalam bersambung ke zaman Nabi kita Muhammad saw sehingga ke hari ini tanpa putus.
Sehingga kini bumi Mekah tidak pernah sunyi daripada manusia. Tiada yang menarik melainkan Kaabah. Mekah adalah bumi panas gersang tanpa tumbuhan. Tanpa air melainkan Zamzam. Ibadah Haji menjadi sebab berkembangnya pelancongan ibadah. Terbentuknya pasar dan transit barangan antara Yaman di selatan dan Syam di utara di zaman silam.
Sehingga kini ia memberi sumber rezki kepada jutaan manusia yang berniaga dan menguruskan pelbagai perkara melibatkan ibadah haji.
Ibrahim alihissalam hanya melaksanakan perintah mengisytiharkan ibadah haji. Kehadiran manusia adalah jaminan daripada Allah kerana Dia yang membuka hati manusia.
Demikianlah yang perlu kita yakini dalam apa jua pekerjaan. Tugasan kita hanyalah melaksanakan perintah Allah. Hasilnya terserahlah kepada Allah.
Bagi pendakwah, tugasannya ialah menyampaikan seruan lalu hasilnya sama ada manusia menerima atau menolak terserahlah kepada Allah. Namun, Allah pasti membuka hati sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
8 Zulhijjah 1436 H / 22 September 2015 jam 11.30 pg waktu Mekah


Panda disusukan anak sendiri kelaparan

Panda disusukan anak sendiri kelaparan

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar anak panda yang dilahirkan, bukan milik Malaysia dan perlu dipulangkan kepada negara China.

Persoalannya cerdikkah Malaysia apabila setiap  panda dilahirkan di Malaysia, maka kerajaan kena bayar RM2.5 juta dan anak yang dilahirkan kena diserah kepada negara China apabila meningkat umur 2 tahun.

Kalau anak itu menjadi milik Malaysia, agak berbaloi juga. Pelik, tetapi benar. Semua orang ketawa mendengar laporan ini. Tetapi inilah Malaysia negaraku. Anak sendiri kelaparan panda disusukan. 
Inilah kisah dua ekor panda Fu Wa (jantan) Feng Yi (betina) yang tinggal di Malaysia atas dasar setiakawan serta pinjaman, ia turut membabitkan kos kepada Malaysia.

Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3  juta setiap tahun. Ertinya dalam jangka 10 tahun kos sewa panda sahaja RM30 juta.

Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Kita tidak faham apa nilai tambah kepada negara apabila kerajaan sanggup membayar dengan harga yang begitu mahal.

Adakah dengan adanya panda, berlaku peningkatan  kadar pelancong di negara ini kerana mereka hendak melihat binatang ajaib ini?

Saya bimbang takut projek beruang panda ini hanya akan menambahkan dana untuk orang yang "berwang" sahaja.

Pada peringkat awal lagi ketika keterujaan menyambut panda ke Malaysia, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berpendapat keutamaan perlu diberikan memastikan memastikan survival haiwan terancam di Malaysia seperti harimau, penyu, orang utan dan badak Sumatra.

Kos RM3 juta setahun yang kena dibayar kepada negara China, alangkah baiknya jika digunakan untuk pemeliharaan binatang kehidupan liar.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
22 September 2015



Pendirian Presiden PAS didukung


1. Riuh rendah negara membincangkan situasi masa depan politik pembangkang apabila Yb Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Presiden PAS menegaskan tiada Tahaaluf Siasi (kerjasama politik yang diikat denga terma syarat) bersama pengkhianat.
2. Penegasan Tuan Guru Presiden PAS berkait isu penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 adalah didukung oleh seluruh saf kepimpinan PAS masa kini. Malah menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat dan pintar.
3. Ianya didirikan diatas beberapa noktah :

i - PAS masih dalam Pakatan Rakyat. Ini semua orang tahu. Kita hanya terputus Tahaaluf dengan DAP tetapi tidak dengan Pakatan Rakyat yang masih mempunyai dua kompenan Tahaaluf iaitu PAS dan PKR.
ii - Justeru itu tidak berbangkit isu Pakatan Rakyat 2.0 sementara komitmen PAS masih dalam Pakatan Rakyat.

iii - Pakatan Rakyat 2.0 belum wujud malah usaha mewujudkannya juga masih kabur dan PAS tidak berminat mewujudkan versi 2.0 itu kerana Pakatan Rakyat versi asal masih utuh dan apa yang perlu ialah mengukuhkan versi asal dengan komitmen yang sudah jelas sebelum ini dan membuat penerokaan baru yang efektif kepada Pakatan Rakyat.

iv - Usaha mewujudkan Pakatan Rakyat 2.0 turut melibatkan DAP dan Parti Pekerja Malaysia (yang diberi nama Parti Amanah Negara).

v - Sedang PAS baru sahaja dikhianati oleh DAP yang menyerang PAS dari segenap sudut termasuk mensasarkan peribadi Presiden PAS. Malah serang saraf dan provokasi DAP terhadap PAS belum berakhir sehingga hari ini.

vi - PAS tidak boleh bertolak ansur dan tidak boleh mengiktiraf sikap dan tindakan bekas pimpinan dan ahli PAS yang menikam PAS dari belakang, kemudian bertindak keluar PAS lalu menubuhkan parti baru untuk berdepan dengan PAS pula dipentas politik tanahair.

v - PAS tidak mahu ia menjadi precedent case kepada umum. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Precedent sebegini akan merosakkan kesejahteraan iklim politik negara justeru ia mengheret negara menghalalkan sebuah pengkhianatan politik.

vi - Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya disepanjang zaman sehingga ia menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah swt. Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan rakyat apatah lagi perjuangan Islam.

vii - Penegasan begini bukan angkuh namanya. Bukan sombong dan ego. Sebaliknya ia adalah penegasan yang berpaksi kepada prinsip dan maruah perjuangan. Ia dibuat dengan segala kerendahan diri kepada Allah swt yang memerintahkan kita agar memelihara kemuliaan Islam dan perjuangannya.

viii - Sementelah kompenan Pakatan Rakyat 2.0 sendiri masih dalam keadaan keliru dan dilemma. Parti yang baru ditubuhkan itu (mengambil alih parti lama) masih belum jelas hala tuju dan tidak diketahui umum perlembagaan partinya, kecuali mereka bermaksud meneruskan dasar dan perlembagaan parti lama itu sendiri sebagai Parti Pekerja Malaysia yang berhaluan kiri.

ix - Usahkan perlembagaan, nama parti yang baru pun belum disahkan secara muktamad oleh pendaftar pertubuhan.

x - Lebih mengelirukan, Presiden parti baru itu sendiri jelas nyatakan sikapnya tidak perlukan PAS dan tidak yakin untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0, Timbalan Presidennya pula berkata, marilah menyertai Pakatan Rakyat 2.0 dan Naib Presidennya pula berkata PAS adalah musuh politik no 1 mereka.

xi - Ertinya , sesama mereka terlebih dahulu kena duduk berbincang dan bermusyawarah untuk mencari kesepakatan sebelum mengundang PAS apatah lagi untuk menganggap PAS sombong dan angkuh.

4. Penegasan Yb. Tuan Guru Presiden PAS tidak mahu PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0 itu sangat tepat dan pintar. Bukan kerana menganggap hanya PAS yang hebat dan PAS lebih baik dari yang lain, tetapi kerana tidak mahu menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang tidak baik dan terjerumus dalam satu situasi yang keliru dan terumbang ambing dalam percaturan politik semasa sedang PRU 14 semakin hampir.

5. PAS mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri dalam menghadapi PRU 14 dan berusaha memenanginya. Masih banyak ruang ijtihad dan tindakan politik yang boleh dilaksana dan direncanakan sebagai persiapan PAS mendepani PRU 14 kelak. Ianya akan dihalusi, dicermati dan dimusyawarahkan sebaik mungkin. Insyaallah, PAS tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya dan menang disamping PAS mengalu - alukan mana - mana pihak yang mahu bersahabat dan mendukung cita - cita perjuangan PAS untuk sama - sama menghayun tangan melangkah kaki menuju kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat.

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat