Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu menjelaskan empat
perkara berkaitan maklum balas yang boleh menimbulkan spekulasi
berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan air.
Demikian dinyatakan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung MoU berkenaan.
“Tanggungjawab
saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus
mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di
pihak PR atau BN,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandang dalam satu
kenytaan, sebagaimana di bawah.
Penstrukturan industri air di
Selangor dan Lembah Klang bakal menjadi salah satu dari projek yang
ditanggung dana awam yang terbesar dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sebagai
seorang yang sebelum ini paling lantang mengkritik apabila perjanjian
konsesi dan perjanjian kerajaan dirahsiakan, saya berhadapan dilema
besar apabila Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menandatangani
satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan air yang isi
kandungannya dirahsiakan dari rakyat.
Pada masa yang sama, saya
telah mendapat satu salinan softcopy MoU itu pada hari Khamis 27
Februari 2014. Salinan itu diperolehi melalui Puan Arfaezah Aziz,
Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Melalui beberapa sumber, saya telah
mengesahkan bahawa MoU yang ditandatangani adalah MoU yang sama dengan
salinan softcopy yang saya perolehi.
Oleh itu, atas dasar
prinsip ketelusan dan kesedaran (a matter of conscience) saya telah
membuat keputusan untuk mendedahkan MoU ini. Ada beberapa persoalan
besar yang perlu diperjelaskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri
Besar Selangor yang bersabit dengan kepentingan awam.
Adalah
menjadi harapan saya MoU dan komitmen yang dimeterai oleh Tan Sri Khalid
Ibrahim ini bolehlah dibahaskan dengan seobjektif mungkin demi menjamin
kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.
Urusniaga dibiayai rakyat
Keseluruhan
urusniaga jual beli aset air dan pajakan aset air yang terlibat di
dalam penstrukturan ini akan dibiayai sepenuhnya oleh dana rakyat.
Kerajaan
Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan membeli aset
air ini dari Kerajaan Negeri dan pemegang konsesi sedia ada. Pembelian
oleh agensi Kerajaan Persekutuan ini akan dibiayai melalui penerbitan
bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, ia
samalah dengan Kerajaan Persekutuan berhutang untuk membayar pemegang
konsesi sedia ada.
Oleh sebab itulah, harga pampasan dan
pembelian yang dibayar kepada pemegang konsesi adalah cukup sensitif
kerana ia bersamaan dengan tanggungan hutang baru yang dijamin oleh
Kerajaan Persekutuan. Lebih tinggi harga pampasan dan pembelian itu,
maka lebih untunglah pemegang konsesi dan lebih tinggi hutang negara
yang ditanggung rakyat.
PAAB kemudiannya akan memajak pula aset
air ini (empangan, loji rawatan, sistem paip dan lain-lain) kepada
syarikat baru yang dilantik sebagai operator selepas penstrukturan. PAAB
akan mengenakan bayaran pajakan tahunan (annual lease charges) ke atas
operator ini. Lebih tinggi pinjaman yang ditanggung PAAB (dijamin
Kerajaan Persekutuan), maka lebih tinggilah bayaran pajakan tahunan yang
dikenakan ke atas operator kerana PAAB perlu mengumpul dana untuk
membayar balik hutang.
Lebih tinggi bayaran pajakan tahunan,
maka lebih tinggi kos yang ditanggung operator. Ini bermakna operator
tiada pilihan lain kecuali menaikkan tarif air di Selangor untuk
menanggung kosnya termasuk bayaran pajakan tahunan kepada PAAB.
Kerajaan
Persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2 melalui
kaedah yang sama dan melibatkan dana awam, maka lebih tinggi kos Projek
Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang ditanggung
rakyat.
Oleh itu, harga pampasan kepada pemegang konsesi sedia ada akan membawa kesan yang besar kepada rakyat melalui:
1. Hutang negara yang diambil oleh PAAB dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (ditanggung oleh rakyat)
2. Kenaikan tarif air akibat bayaran pajakan tahunan yang lebih tinggi (ditanggung oleh rakyat)
Kesan isi kandungan MoU
Saya khuatir isi kandungan MoU adalah berat sebelah yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.
Projek Langat 2: Mengikat hanya di pihak kerajaan negeri
Pertama,
keseluruhan dokumen itu adalah satu memorandum persefahaman sahaja yang
tidak mengikat, kecualilah yang bersabit dengan kelulusan serta merta
Projek Langat 2.
Rujuk Artikel 5(b) di dalam MoU yang secara
jelas menyebut bahawa tanggungjawab Kerajaan Selangor ialah “memastikan
bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama
ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung
pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak
berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh
batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa
jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau
diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan
Persekutuan.”
Pada masa yang sama, semua tanggungjawab Kerajaan
Persekutuan mengenai penstrukturan air hanyalah satu persefahaman yang
tidak mengikat di sisi undang-undang. Tidak ada satu artikel lain pun di
dalam MoU itu yang dirujuk sebagai mengikat (binding and irrevocable)
kecualilah Artikel 5(b) bersabit kelulusan Projek Langat 2. Malah
Artikel 5(b) ditulis khusus dalam konteks kelulusan Projek Langat 2.
Dari
MoU itu, jelas bahawa Kerajaan Negeri telah pun memberi Kebenaran
Merancang secara serta merta (rujuk Artikel 5(a)) dan semua kebenaran
lain termasuklah pengambilan dan pendaftaran tanah dalam tempoh 30 hari
dari tarikh MoU.
Ini bermakna, Kerajaan Selangor seolah-olah
melepaskan satu-satunya senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan
Persekutuan iaitu Projek Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang
mengikat dari Kerajaan Persekutuan.
Dengan lulusnya Projek
Langat 2, kedudukan Kerajaan Selangor untuk berunding dengan Kerajaan
Persekutuan dalam isu penstrukturan air adalah tempang.
Tidak menyentuh mengenai pemegang konsesi sedia ada
Kedua,
MoU itu langsung tidak merungkai masalah terbesar yang selama ini
membantutkan rundingan penstrukturan air iaitu keengganan pemegang
konsesi sedia ada terutamanya Puncak Niaga dan Syabas menerima harga
tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor.
Di dalam MoU, tidak
ada satu artikel pun yang merujuk kepada persoalan ini. Ia hanya disebut
secara tidak langsung di dalam Artikel 3 iaitu tanggungjawab Kerajaan
Persekutuan untuk memudahcara (facilitate) penstrukturan melalui
peruntukan undang-undang, itu pun tidak mengikat kerana ia hanya satu
persefahaman.
Ini bermakna, walaupun Projek Langat 2 telah
diluluskan, status rundingan dengan pemegang konsesi adalah di takuk
lama iaitu belum selesai. Tawaran yang dibuat Kerajaan Selangor perlu
dijawab oleh pemegang konsesi menjelang 10 Mac 2013.
Jika
pemegang konsesi bersetuju, rakyat perlu tahu secara terperinci harga
tawaran akhir da nisi kandungan perjanjian untuk menilai kenapakah
pemegang-pemegang konsesi ini tiba-tiba bersetuju kalau harga tawaran
tetap sama, sedangkan mereka menentang selama ini.
Jika pemegang
konsesi tidak bersetuju, maknanya Kerajaan Selangor terpaksa berunding
dan mencari jalan baru kerana tidak ada komitmen yang mengikat di pihak
Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan penstrukturan ini.
RM2 bilion tambahan untuk ambil alih ekuiti pemegang konsesi sedia ada
Ketiga,
Artikel 4(iii) menyebut bahawa “ selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan
Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2
billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan
pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.”
Saya
menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada
pemegang konsesi selain dari tawaran sedia ada Kerajaan Selangor
(melalui KDEB) yang berjumlah RM9.65 bilion itu. Artikel 4(iii) juga
perlu dibaca bersama dengan Artikel 4(i) yang menyentuh mengenai tawaran
asal dari KDEB berjumlah RM9.65 bilion.
Ringkasnya, Kerajaan
Persekutuan memberi persefahaman bahawa untuk mendapatkan persetujuan
dari pemegang konsesi sedia ada, peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion
akan digunakan untuk mengambilalih ekuiti pemegang konsesi. Saya
menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada
pemegang konsesi, menjadikan jumlah bayaran pampasan kepada pemegang
konsesi bukanlah RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion (termasuk RM2
bilion tambahan).
Proses kelulusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Keempat,
kuasa yang ada mengikut Perlembagaan Negeri adalah dimandatkan melalui
Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco). Oleh kerana MoU ini tidak
dibentangkan di Exco kerana hanya diketahui dan dimuktamadkan
kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan (seperti kenyataan Puan
Faekah Hussin yang merundingkan MoU ini), maka ia sudah tentu tidak
melalui Mesyuarat Exco.
Tanpa kelulusan Mesyuarat Exco, kesahihan MoU ini boleh dipersoalkan.
Empat
perkara di atas adalah maklum balas yang boleh menimbulkan spekulasi
dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.
Tanggungjawab
saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus
mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di
pihak PR atau BN.