Saturday, September 4, 2010

Polis Marin M'sia nafi bogelkan pegawai Indonesia

Polis Gerakan Marin (PGM) tidak sewenang-wenang menggunakan gari terhadap rakyat asing yang ditahan mencerobohi perairan negara, kata Komander PGM Datuk Isa Munir.

Beliau berkata pasukan itu juga hanya akan menggari individu yang terlibat dalam jenayah seperti pembunuhan atau rompakan, bukannya terhadap mereka yang mencerobohi perairan.

Merujuk insiden 13 Ogos lalu sebagai contoh, yang menimbulkan salah faham segelintir kumpulan di Indonesia sehingga melancarkan protes terhadap Malaysia, Isa menafikan PGM bertindak kasar seperti didakwa.

Dalam insiden itu, PGM menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana memasuki perairan negara serta menahan tujuh nelayan Malaysia.

Polis Malaysia telah didakwa melepaskan beberapa das tembakan ke arah pegawai penguatkuasa Indonesia ketika kejadian dan selepas ditangkap, mereka digari serta dibogelkan.

Isa yang menafikan dakwaan itu, menjelaskan bahawa pihaknya hanya melepaskan dua das tembakan menggunakan "flare-gun" yang hanya mengeluarkan percikan seperti bunga api dan bukannya peluru, sebagai tanda amaran.
Pistol signal

"Pistol ringan atau pistol signal biasanya digunakan untuk menerangi kawasan, dan bagi mengeluarkan cahaya untuk memberi amaran kepada bot-bot di perairan, ia bukan seperti pistol biasa yang mempunyai peluru.
"Kita tidak akan sesekali melepaskan tembakan berpeluru secara melulu selagi tidak berasakan nyawa kita terancam dan mengikut prosedur," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata PGM juga tidak menggari mereka sejurus tangkapan itu, tetapi terpaksa mengikat tangan seorang daripada pegawai penguatkuasa republik berkenaan dengan tali setelah dia bertindak agresif.

"Kebiasaannya kami yang mengawal perairan tidak membawa gari. Gari hanya akan dibawa dalam operasi, terutama dalam memerangi aktiviti keganasan dan jenayah.

"Tetapi kita terpaksa mengikat tangan salah seorang daripada mereka kerana kita tidak mahu dia bertindak lebih agresif...kita ambil langkah terbaik dengan tidak melakukan sebarang kekerasan terhadap mereka," katanya.
Seluar dalam

Mengenai dakwaan kononnya pegawai Indonesia itu dibogelkan, Isa berkata seorang daripada mereka menyorok di bilik enjin ketika ditahan dan keadaannya ketika itu memang sudah hampir bogel dengan hanya berseluar dalam.
Isa turut mempersoalkan tindakan penguatkuasa Indonesia itu yang melarikan diri ketika didekati PGM selepas mereka menahan lima bot nelayan Malaysia.

Berdasarkan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), beliau berkata nelayan Malaysia masih berada di perairan negara ketika kejadian.

"Sebelum itu, PGM mendapat maklumat bahawa nelayan kita ditahan (oleh polis Indonesia) dan apabila kita periksa melalui GPS, kita dapati mereka berada di dalam kawasan kita, lapan batu dari Tanjung Punggal, dalam wilayah Malaysia," katanya.

Beliau berkata pada kebiasannya, jika ada nelayan asing mencerobohi perairan negara, PGM akan mendekati mereka dan memberi arahan supaya keluar secara baik.

"Selalunya kita mendekati mereka dan bertanya kepada mereka... mungkin mereka masuk tanpa disengajakan," katanya.

Beliau turut mengingatkan nelayan Malaysia agar memasang dan menggunakan GPS supaya dapat mengetahui di mana koordinat mereka dan tidak melepasi sempadan perairan negara.

"Kebanyakan bot-bot nelayan, termasuk pukat tunda, kini menggunakan GPS, kita hanya dapat menjejak mereka jika berlaku kecemasan sekiranya mereka mempunyai GPS.

"Kebanyakan mereka arif mengenai kawasan perairan, meskipun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, kita galakkan mereka menggunakan GPS dalam memastikan bahawa mereka tidak akan melepasi sempadan negara lain," katanya.

Maruah Islam Dan Kedaulatan Melayu Tercemar, Antara Pemerintah Serta Rakyat Jelata Siapakah Yang Harus Untuk Di Persalahkan Sebenarnya !!

Nampaknya, mutakhir ini bukan sahaja bangsa Melayu yang dilihat terlalu lemah, malah agama Islam itu sendiri kini dilihat semakin lemah dan dilemahkan. Dek kerana kuasa, kini orang bukan Islam boleh melakukan apa sahaja terhadap Melayu dan Islam. Soalnya, siapakah yang melemahkan kita, sedangkan pemimpin negara adalah orang Melayu yang kononnya beragama Islam. Maka itu, wajarkan kita dihina sedemikian rupa oleh pihak-pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Mereka melihat berlaku kelemahan dalam sistem pentadbiran dan pemimpin itu sendiri. Lantaran itulah mereka menggunakan kesempatan untuk mencucuk jarum agar mereka nampak lebih kuat. Kenapa ini berlaku, tatkala umat Islam Malaysia dicanangkan berada dalam era kegemilangan. Kini, penghinaan terus menjad-jadi disana-sini hatta di alam siber sekali pun. Kenapa umat Islam tidak berani melawan?. Apakah dek kerana kuasa yang mencengkam mereka?. Begitu juga apabila Melayu dan bangsa Malaysia di hina, kenapa bila ada yang bangkit menentang akhirnya dinafikan?. Semua ini adalah dek kerana kerakusan pemimpin yang mahu meneruskan kuasa. Lantas meminggirkan permasalah sejagat yang sepatutnya dititik beratkan. Banyak bukti, kini bangsa Melayu dan Islam terus dipermain dan ditertawakan mereka. Itu belum termasuk lagi dengan berlambaknya, anak Melayu Islam yang "murtad" dan memilih agama lain selain Islam untuk survival hidup mereka. Inilah yang amat kita takutkan, Islam dan Melayu itu semakin lemah dan dilemahkan. Agenda siapakah yang menyebabkan semua ini berlaku. Soalnya, kenapa ia terus direstui oleh pihak-pihak tertentu yang selama ini mendabik dada kononnya merekalah pembela bangsa Melayu dan Islam.

Maruah Tercemar Tetapi Di Halang Membantah

Cuba lihat senario hari ini, jelas sekali mereka yang cuba mempertahankan Melayu dan Islam akhirnya dipersalahkan. Misalnya, dalam kes rakyat Indonesia semakin ghairah membuat kempen "ganyang dan sweeping Malaysia" di negara mereka. Bendera kita dibijak serta dibakar, malah kedutaan kita dilemparkan dengan najis manusia. Tambah meruntunkan, ia berlaku di bulan Ramadhan yang mulia ini tatkala umat Islam menjalani ibadah puasa. Tambah memeritkan, jalur gemilang yang mahu dikibarkan menjelangnya Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu pula dihina sedemikian rupa. Bukankah bendera itu lambang kedaulatan sesebuah negara?. Di Malaysia, pernah terjadi kes seorang wanita didakwa atas kesalahan "melilitkan" bendera pada tubuh badan beliau dengan penampilan seksi yang mengiurkan. Beliau dikatakan menghina lambang kedaulatan negara akibat perlakukan tersebut. Ramai yang mengutuk dan marah atas tindakan itu. Soalnya, kenapa rakyat kita dihalang untuk membantah tatkala rakyat seberang bertindak "kasar" kepada kita?. Malah, seperti biasa pihak polis ditugaskan menjadi penghalang perkara itu. Akhirnya dua orang individu telah ditangkap di depan Kedutaan Indonesia ketika cuba membakar bendera negara itu. Kenapakan rakyat kita tidak diberi ruang untuk menyatakan bantahan secara terbuka atas tindakan keterlaluan rakyat Indonesia itu?. Kenapa perlu ada polis yang sepatutnya memantau tetapi cuba menghalang?. Sedangkan polis di sana tidak pula begitu pula!

Biarpun ia bertujuan baik, untuk tidak mengeruhkan keadaan namun seharusnya ada ruang diberikan untuk menunjukkan kemarahan. Kedaulatan negara kita tercemar, makanya apakah kita harus berdiam diri?. Bukankan rakat Indonesia akan menuduh kita takut dan "tidak berani melawan". Akhirnya mereka terus membakar api dan jambatan, tanpa menyedari bahawa kita sudah banyak berkorban untuk kesejahteraan rakyat mereka. Bahkan hampir dua juta rakyat Indonesia mencari rezeki di negara kita. Malah, kita juga sering terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di negara mereka seperti untuk insiden gempa bumi, letusan gunung berapi dan bencana Tsunami di Acheh dulu. Kini segala jasa dan pengorbanan kita seolah-olah dinafikan oleh mereka. Apakah kita harus berpeluk tubuh dan hanya sekadar mengharapkan perundingan peringkat atasan semata-mata. Akhirnya jadilah kita seperti Israel dan Palestin, yang telah beratus-ratus kali mengadakan rundingan tetapi hasilnya tetap sama akhirnya. Mereka dinafikan hak di bumi sendiri!

Hina Gereja Di Hukum, Hina Surau Bagaimana?
Masih kita ingat pada 13 Ogos 2010 yang lalu dimana Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua beradik yang didapati bersalah membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati awal tahun ini. Kedua tertuduh iaitu Raja Mohamad Faizal, seorang penghantar surat dan Raja Mohamad Izham, pekerja bank, didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja itu pada 11.50 malam, 7 Jan lepas. Mereka dituduh melakukan perbuatan itu bersama beberapa orang yang masih bebas, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Itulah hukuman yang diterima apabila ada mana-mana orang Melayu dan Islam melakukan perbuatan khianat terhadap tempat ibadat orang-orang Kristian di negara ini. Namun, anehnya kenapa bila berlaku insiden yang sama terhadap rumah ibadat orang Islam kebanyakkan daripada mereka terlepas?. Tiada hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah terbabit. Terbaru kes tiga remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di Seremban baru-baru ini terhadap pertuduhan berkaitan insiden menyimbah cat dan melemparkan botol minuman keras di sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat Negeri Sembilan. Malah ibubapa kanak-kanak tersebut kemudian begitu mudah memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan anak mereka. Maka, adakah wajar remaja ini dilepaskan begitu sahaja? Biarpun 22 September ini dipilih sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu, namun sebagai umat Islam kita sepatutnya merasa tercabar apabila "rumah Allah" dihina sedemikian rupa oleh pihak terbabit.

[Soalnya, kenapa tidak ada pihak yang berani tampil untuk menyatakan bantahan secara terbuka atas hal ini. Apakah dek kerana ia melibatkan Islam, makanya kita tidak berani berbuat demikian?. Sebaliknya, jika ia melibatkan Kristian atau agam lain maka mereka lebih terkehadapan dalam membuat tindakan?. Oleh itu, wajarlah remaja terbabit dikenakan tindakan keras atau penghinaan yang dilakukan itu. Islam sepatutnya dijulang dan bukan dilemahkan !!. Kita gusar memang ada agenda terancang pihak-pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan umat Islam di Malaysia ini sebenarnya. Oleh itu, usahlah terusan memainkan sentimen perkauman seperti yang berlaku sekarang. Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang dan maka itulah laungan 1Malaysia yang diwar-warkan itu perlulah diberi perhatian yang sewajarnya. Kita adalah Bangsa Malaysia yang berdaulat sejak dulu, kini dan untuk selamanya].

'Sweeping': Pak polis ini polis Indonesia atau M'sia?

Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA), yang berdemonstrasi di Jakarta semalam, turut memaparkan sepanduk dengan anti-Malaysia yang turut memaparkan watak kartun Malaysia, Upin dan Ipin.

Watak Upin dan Ipin telah menjadi idola banyak warga Indonesia sejak filem animasi buatan Malaysia ditayangkan di republik itu.

Kumpulan demonstrasi itu telahpun membawa sepanduk berbunyi “Diplomasi No, Perang Yes” serta peringatan pada pengguna jalan “Maaf perjalanan anda terganggu, ada sweeping warga Malaysia”.

Gerakan usir atau sweeping rakyat Malaysia dibuat di hadapan bangunan pejabatnya, di Jalan Diponegoro No 58 Jakarta namun ia dihalang oleh pasukan Polis Indonesia.

Kira-kira 20 anggota Bendera cuba menahan beberapa kereta yang melalui jalan itu untuk memeriksa identiti pemandu dan penumpang pada jam 4.30 petang, menjadikan lalu lintas di jalan itu sesak.

Tetapi belum sempat mereka menjalankan pemeriksaan, pasukan polis terus menghalang mereka dan membentuk barisan untuk memisahkan mereka dengan kereta.

Tindakan polis itu telah membuat penunjuk perasaan menjadi emosional dan mereka mula berdalih memberitahu polis bahawa tindakan mereka adalah untuk membela negara.

“TKI-TKI (tenaga kerja Indonesia) kita di Malaysia ditangkap, disiksa. Mengapa kita tidak boleh sweeping? Pak Polis ini Polis Indonesia atau Polis Malaysia?” jerit penunjuk perasaan di depan bekas pejabat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu.

Sungguhpun mereka berjanji akan memeriksa identiti pengguna kenderaan dengan cara baik tanpa kekerasan, pasukan polis tetap tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

Koordinator BENDERA, Mustar Bonaventura berkata "sweeping" merupakan balasan ke atas sikap kerajaan Malaysia yang sampai sekarang belum meminta maaf dan tidak memberi respons dengan baik nota bantahan Indonesia, menunjukkan ia tidak mempunyai iktikad baik.

“Kalau sampai kita temukan warga Malaysia, kita akan pulangkan segera,” kata Mustar dalam pidatonya.

Demonstrasi itu dilakukan selama kira-kira sejam setelah gerimis di sebahagian ibu kota ini.

Polis memberitahu bahawa mereka hanya mengizinkan BENDERA berdemonstrasi dan menyampaikan pendapat tanpa mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, dua portal berita Tempo dan Rakyat Merdeka memetik Ketua Polis Indonesia Jenderal Bambang Hendarso Danuri memberi peringatan kepada
masyarakat Indonesia agar tidak terpengaruh dengan ajakan "sweeping" warga Malaysia yang berlegar di laman sosial Facebook dan Twitter.

“Bagaimana kalau mereka juga di-sweeping kerana kita merazia (membuat operasi) warga Malaysia di sini? Jangan memikirkan diri sendiri,” katanya, dan menambah kata bahawa polis akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang ikut serta melakukan "sweeping".

Tindakan undang-undang akan diambil terhadap penunjuk perasaan yang membakar bendera atau merosakkan bangunan perwakilan asing, katanya.

Sekumpulan kecil pelajar turut mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan pada kira-kira pukul 5 petang ini.

Demonstrasi berterusan dilakukan beberapa kumpulan masyarakat bagi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia.

Kedua-kedua belah pihak mendakwa penahanan itu dibuat kerana kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing-masing.

Semua tahanan itu telah dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara itu pada 17 Ogos.

Gambar fitnah: Polis digesa ambil tindakan segera

GEORGETOWN, 4 Sept: Pihak polis digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melalui penyebaran gambar teknik pertindihan (super impose) menyembelih lembu korban.
Ketua Pemuda Dapsy Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, polis sepatutnya menjalankan siasatan secara menyeluruh dan segera mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja cuba bermain dengan isu sensitif.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.
"Tindakan penyebaran gambar 'super impose' ini adalah melampau. Ia adalah isu yang sangat sensitif dan merbahaya kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.
"Ketua Menteri tahu membezakan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan. Ini termasuklah dalam isu yang membabitkan hal agama," katanya.
Manakala Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman mengulas isu itu berkata apa yang telah dilakukan adalah suatu tindakan jahat dan keji.
Kata beliau, kumpulan yang kecewa itu akan membuat apa saja sama ada melalui media ataupun internet bagi mengelirukan masyarakat.
"Sejajar dengan ini, maka kerajaan negeri amat berharap rakyat tidak akan terpedaya dengan tindakan terdesak yang telah dilakukan oleh mereka yang semakin kecewa.
"Sehubungan dengan itu risalah penjelasan mengenai isu ini dan beberapa isu seperti dakwaan doa dalam khutbah Jumaat turut diperjelaskan melalui pengedaran 150,000 risalah untuk seluruh rakyat negeri ini," ujarnya.