Wednesday, November 7, 2012

Tiada fatwa kafir harbi atau kafir zimmi


Fatwa dan pandangan hukum di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh badan berautoriti iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberitahu kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap isu-isu agama yang berbangkit di kalangan masyarakat.

Katanya, walaupun kerajaan meyakini akan prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan namun perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu agama merupakan isu sensitif bagi umat Islam.
“Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi, kerana hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Dalam pada itu Ogos lalu, seorang guru pondok yang merupakan pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah telah menimbulkan kontroversi dengan satu dakwaan bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Kenyataan Abdullah yang dipetik Utusan Malaysia mengatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun pelbagai pihak mengecam kenyataan tersebut.

Jamil Khir menambah, sehingga kini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai Kafir Harbi atau Kafir Zimmi yang dikeluarkan oleh Jawatan Fatwa Negeri-Negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Beliau juga menegaskan setiap pendapat atau pandangan hukum oleh mana-mana individu atau institusi selain daripada dua entiti tersebut tidak boleh dianggap sebagai fatwa.

Jamil Khir bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada sudah ada tindakan diambil atau tidak terhadap individu yang mengeluarkan hukum orang bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi.

Apa usaha Jakim beri kefahaman berkenaan hudud


Perdana Menteri diminta menyatakan apakah usaha Jakim melalui agensi-agensi berkaitan seperti Yadim, Majlis Fatwa Kebangsaan, TV AL-Hijrah dan Radio Ikim dalam memahamkan berkenaan perundangan Islam, Hudud, Qisas dan Takzir.


Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan Dr. Mohd Hatta Md Ramli [PAS-Kuala Krai] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PAS yang turut mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan hari ini seperti di bawah.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] meminta Menteri Pelajaran menyatakan kenapa Pentaksiran Berdasarkan Sekolah diperkenalkan di sekolah-sekolah Kerajaan, sedangkan banyak sistem operasi on-line tidak berkesan dan "lambat". Mengapa Kementerian Pelajaran tidak mahu memberi elaun tambahan untuk guru-guru yang terpaksa memasukkan (key-in) markah dan maklumat di rumah, yang melibatkan masa bersama keluarga dan terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi serta para guru terpaksa melanggan broadband untuk membuat kerja sekolah?

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kejadian letupan loji di Kompleks PETRONAS Kerteh semenjak ia beroperasi serta nyatakan punca dan akibat kejadian dan langkah-langkah mengatasinya.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan berhubung peratus saham FGV yang dilanggan oleh individu, syarikat, peneroka dan apakah nama dan peratus syarikat yang melanggan saham terbabit termasuk di dalam dan luar negara.

Che Uda Che Nik [Sik] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan industri getah negara banyak melibatkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar berbanding dengan Industri sawit yang melibatkan ladang-ladang besar dan GLC yang kaya raya. Apakah langkah yang di ambil oleh Kerajaan untuk menstabil harga getah dalam memastikan pekebun kecil tidak terus tertindas dan terus berada dalam kemiskinan kekal.

Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan anggaran kos tambahan yang diperlukan oleh Projek Rancangan Pengairan Bukit Sena Padang Terap bagi membolehkan ia beroperasi dengan sempurna.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan bilakah kali terakhir kakitangan MAS menerima bonus dan adakah penyelarasan semula gaji mereka akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan “roadmap” Kualiti Petrol (Fuel Quality) untuk kenderaan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan petrol dan diesel untuk pengguna.

RM207b: PAS bantu waris buruh paksa tuntut pampasan

PAS menubuhkan Sekretariat Jejak bagi menjejaki waris bekas buruh binaan landasan keretapi Siam ke Burma bagi menuntut pampasan RM207 bilion dari kerajaan.

Sekretariat yang baru ditubuhkan itu bukan sahaja bertujuan untuk menjejak mereka yang terlibat tetapi juga akan membantu mereka mendapatkan tuntutan yang dianggarkan bernilai antara RM2.8 juta hingga RM3 juta setiap keluarga.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini Sekretariat Jejak telah berjaya mengumpul 123 waris keluarga mangsa di Perak dan 347 waris di Pahang.

"Waris yang kita jejaki ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma.

"Kita akan melebarkan sayap Sekretariat Jejak ke setiap negeri bagi mendapatkan maklumat dan menjadikan pengantara kepada waris untuk membuat tuntutan," jelasnya pada sidang media di parlimen.

Sementara itu Nizar turut mendesak kerajaan memberi penjelasan di mana wang berjumlah RM207 bilion hasil tuntutan 30,000 mangsa landasan maut itu.

"Kita mahu penjelasan dari Kementerian Kewangan berhubung isu ini, yang bagi saya sehingga sekarang tidak ada penjelasan langsung walaupun ada maklumat mengatakan ia telah dibawa ke kabinet untuk dibincangkan.

"Menurut laporan sebuah laman web pihak berkuasa di sana pembayaran telah dibuat kepada Malaysia oleh Kerajaan Jepun sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, tapi sehingga kita tiada penjelasan diberikan oleh Kerajaan Malaysia," sambungnya lagi.

Satu persatuan yang diberi nama Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942-1946 ditubuhkan yang mana akhirnya telah berjaya didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Januari 2011.

Sejak didaftarkan secara rasmi, Ahli Jawatankuasa Persatuan telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari Kerajaan Malaysia, tapi hingga kini masih gagal.

Turut serta pada sidang media sebentar tadi, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss serta anggota jawatankuasa Sekretariat Jejak Negeri Perak.

Sekretariat Jejak boleh dihubungi ditalian 019-2316539 dan 013-3266194.