Friday, May 6, 2011

Hamas Sedia Jayakan Perdamaian Dengan Fatah

Sehari selepas menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan kumpulan Fatah, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, berkata mereka sedia menghadapi apa saja untuk memastikan kejayaan perdamaian yang dicapai itu selepas kedua-dua pihak bertelagah selama empat tahun.

"Kami akan mula melaksanakan semua tuntutan perjanjian itu...membentuk kerajaan penyatuan, membebaskan tahanan dan menggerakkan semula Parlimen Palestin," katanya.

Beliau juga menyeru kumpulan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin supaya mematuhi gencatan senjata dengan Israel untuk memberi peluang kepada perjanjian perdamaian itu untuk dilaksanakan.

"Terdapat banyak ancaman kepada perjuangan rakyat Palestin dan semua ancaman ini dapat ditangani menerusi perdamaian," katanya.

Haniyeh yang mengetuai kerajaan pertama Palestin yang dibentuk oleh Hamas pada 2006 selepas memenangi pilihan raya Parlimen, mengesahkan bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan baru Palestin.

Semalam ratusan penyokong Hamas menyertai satu perhimpunan bagi meraikan penyatuan Palestin di bandar Nablus di Tebing Barat.

Ini adalah kali pertama penyokong Hamas berada di Tebing Barat sejak pihak berkuasa Palestin menghalang mereka datang ke situ pada 2007.

Petugas dari stesen televisyen milik pihak berkuasa Palestin dibenarkan untuk pertama kali membuat liputan di Semenanjung Gaza manakala wartawan dari stesen televisyen Hamas Al-Aqsa pula dibenarkan beroperasi dari Tebing Barat.

Penganalisis Palestin, Fahmi Abu Hadeed, bagaimanapun melihat penyatuan antara kedua-dua kumpulan itu akan berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, ini kerana masing-masing mempunyai program tersendiri.

Beliau juga berkata, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak akan mengiktiraf sebuah kerajaan Palestin jika Hamas tidak mengiktiraf Israel. -

Osama: Kenapa Najib bergembira bersama Amerika?

Kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan dunia akan lebih aman sejurus selepas Osama bin Laden diisytiharkan mati dibunuh oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama?

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kata-kata Najib bahawa dunia lebih aman dengan kematian Osama adalah terlalu mudah (simplistik) dan naif.

Bagi beliau, Najib cuba menguatkan lagi penguasaan geo-politiknya untuk memahami satu fakta yang terang lagi bersuluh bahawa 'Osama dan keganasan adalah hasil ciptaan AS.'

Selain Dr Dzulkefli, pelbagai pihak turut mengecam kenyataan Najib yang berkata, dunia akan lebih aman, selamat dan adil dengan kematian Osama.

Akhbar Berita Harian (gambar kiri) yang dikawal Umno juga secara terbuka menolak pandangan itu apabila menyiarkan satu rencana bertajuk "Tiada jaminan kematian Osama penamat keganasan global".

Bahkan, akhbar Umno sendiri, Utusan Malaysia juga nampaknya bertembung pandangan dengan Najib dalam isu ini.

Para pemimpin pertubuhan Islam juga menolak pandangan simplistik dan bodek Amerika Najib itu.

Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini kerana Amerika Syarikat sendiri dianggap sebuah negara imperialis yang sentiasa berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka ke seluruh dunia, khususnya negara Islam dengan menaja keganasan.

“Kenyataan Najib itu mungkin kurang tepat kerana sebenarnya kuasa Amerika sendiri tetap akan meluaskan pengaruh imperialisme mereka ke seluruh dunia yang sebenarnya menggalakkan keganasan itu sendiri,” kata Sheikh Abdul Halim.

Beliau juga percaya bahawa keamanan dunia tidak hanya bergantung dengan kematian seorang Muslim yang sering dilabel pengganas seperti Osama.

“Keamanan ini asasnya adalah keadilan sebagai sebuah idea yang akan menghapuskan penindasan.

“Untuk memastikan keadilan ini mengambil tempat, ia memerlukan usaha bersama. Seorang individu sahaja tidak akan mampu untuk mewujudkan keadilan atau pun mencetuskan keganasan,” kata Sheikh Abdul Halim.

Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar) dan Setiausaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut.

“Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim,” tegas mereka.

PM membodek Amerika

“PM terlalu 'membodek' AS dan Obama. Islam menolak sebarang keganasan. Namun, kita kena faham mengapa keganasan terus berlaku?” bidas Dr Dzulkefly (gambar) dalam ulasannya mengenai hal ini.

Menurut Dr Dzul, terdapat dua penyebab utama kezaliman AS iaitu dalam bentuk polisi dan tindakan.

“AS pembekal WMD (weapon of mass destruction – senjata pemusnah besar-besaran) serta terus membekalkan senjata tercanggih dengan penyelidikan mereka termasuk kepada Iraq (Saddam), Israel dan lain-lain merupakan punca kezaliman akibat daripada tindakan.

"Ketidakadilan polisi pula berlaku khasnya di kawasan Timur Tengah dan Palestin juga merupakan salah satu bentuk kezaliman AS,” terangnya lagi.

Najib sepatutnya, kata Dr Dzul peka dengan hati-budi dan maruah umat Islam khususnya di Timur Tengah dan Palestin, di mana kezaliman terhadap negara-negara Islam di sana dibiarkan berterusan oleh kuasa-kuasa di Barat.

“Berdekad Barat mengizinkan kezaliman. Inilah punca segalanya,” ujar beliau. “PM sepatutnya kata - dunia tidak akan selamat kalau Amerika masih bersikap dwi-standard menyokong keganasan di Timur Tengah dan Palestine walaupun Osama dibunuh.”

Selain itu, Dr Dzul berkata Najib juga harus bertanya balik kepada Obama, “Bukankah Osama anak didik Amerika? Mengapa Osama berpaling tadah selepas tamat blok Russia?”, di mana menurutnya ia adalah disebabkan sikap dwi-standard AS sendiri.

Sekiranya Najib ingin menjadi juara umat Islam, Dr Dzul menasihatkan beliau supaya jangan bertindak semata-mata kerana ingin membodek Obama dan AS untuk kerana mahu diundang ke White House dan merenungkan siapa penaja kezaliman yang sebenarnya di dunia ini.

“Malangnya apabila ada pemimpin negara umat Islam yang membodek AS kerana mahu diundang ke Rumah Putih. Tindakan ini amat mengaibkan umat Islam.

"PM kalau mahu jadi juara umat Islam, jangan bertindak 'membodek’ Obama-AS. Jangan berbolak-balik! PM perlu menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf dengan kadar segera bagi menjaga sensitiviti umat Islam,” nasihat Dr Dzul.

Persoalan yang harus direnungkan semua umat Islam

Sebagai pemimpin Islam, patutkah Najib mengeluarkan kata-kata begitu, atau lebih tepat lagi, adakah Najib terlupa bahawa dirinya seorang Islam dan juga seorang pemimpin yang majoritinya Islam ketika mengeluarkan kenyataan tersebut yang ternyata akan menyinggung sensitiviti umat Islam sedunia?

Ataupun, itu sememangnya jiwa Umno seperti yang dinyatakan oleh MCA tempoh hari, apabila parti tersebut menyuruh PAS membuang perjuangan Islamnya sekiranya ingin menerima jemputan Umno menyertai Barisan Nasional (BN)?

Jikalau Umno masih ingat akan perjuangan Islam, sepatutnya MCA sudah lama melenting untuk keluar daripada BN.

Adakah ini bermakna MCA, yang kebelakangan ini telah semakin menunjukkan belang anti-Islamnya, masih sanggup berada dalam BN sehingga kini semata-mata kerana mereka 100% yakin dan pasti bahawa Umno sudah tidak berpaksikan lagi pada Islam dalam segala tindak-tanduknya?

Isteri menteri keselamatan seludup kokain

Isteri kepada seorang Menteri Keselamatan Afrika Selatan, Sheryl Cwele didapati bersalah menyeludup kokain ke negara ini.

Mahkamah Tinggi Pietermaritzbur semalam mendapati, Cwele, yang berkahwin dengan Menteri Siyabonga Cwele, bersalah kerana menggunakan wanita muda untuk menyeludup dadah ke negara ini.

Menurut laporan media tempatan, hukuman ke atasnya dijadualkan diputuskan hari ini. – AFP

Adakah PAS perlu mendukung kemungkaran Umno?


“Apakah saudara juga meminta PAS untuk mendukung segala kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan Umno, sama ada dalam aspek agama Islam atau pengurusan negara supaya tidak digelar sebagai pengkhianat Islam?” tanya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Dr Juanda Jaya dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya.

Beliau melontarkan pertanyaan itu sebagai menjawab balas kepada kenyataan yang dilakukan oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya kelmarin, di mana beliau menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Tuan Ibrahim berkata apabila soal perpaduan, penyatuan dan kerjasama diketengahkan, sudah tentunya keadaan akan disifatkan sebagai janggal sekiranya ada pihak yang menentang usaha tersebut, tambahan pula bila mana Islam sendiri telah meletakkan asas yang sangat kukuh ke arah nilai tersebut.

Namun begitu, dengan bersangka baik pada niat Dr Juanda, beliau berpendapat mungkin idea yang dilontarkan olehnya disebabkan perkara itu dilihat daripada aspek penyatuan kaum Melayu, sudah pastinya tidak menepati apa yang dibawa ajaran Islam kerana Islam membina penyatuan yang jauh lebih luas daripada penyatuan kaum.

“Islam sendiri melihat penyatuan Islam melampaui kaum, dan seruan penyatuan universal di atas nama Islam inilah telah berjaya merobohkan asaniyah qaumiyah yang selama ini menjadi penghalang kepada pembanguan sesebuah negara, dan terutamanya bilamana sesuatu kaum merasa cemburu di atas kejayaan kaum lain,” terang Tuan Ibrahim.

Namun, beliau mengingatkan bahawa dalam Islam, penyatuan besar ini telah mencipta satu sejarah bangsa manusia yang hebat bilamana Islam yang sifatnya rahmatul lil Alamin telah berjaya diterima dengan penuh hormat oleh seluruh manusia.

Sebagai seorang mufti, nasihat Tuan Ibrahim, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

Dari sudut ini, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, kewujudan PAS dan Umno tidak seharusnya dilihat dari sudut perpecahan.

“Kerana kalau ianya dianggap perpecahan kerana wujudnya pelbagai parti politik, sepatutnya yang dipersalahkan ialah kerajaan yang menerima pendaftaran parti-parti politik; tapi ini sudah tentunya ini bertentangan dengan kehendak demokrasi itu sendiri,” jelasnya.

Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Tuan Ibrahim menyeru supaya seharusnya memikirkan persoalan bahawa, “Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, sama ada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

“Bukankah jauh lebih baik bagi Dr Juanda untuk bertindak menasihati UMNO agar jangan menganiaya negeri yang majoriti umat Islam, seperti Kelantan dengan menyekat royalti minyak milik negeri, bantuan perkapita tahunan mengikut jadual yang telah dimeteraikan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, pelaburan asing dan selainnya?

Lihatlah bagaimana hebatnya Umno menyerang negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, sedangkan sepatutnya kerajaan pusat bersikap adil dengan pilihan rakyat,” tambah beliau.

Di samping itu, Tuan Ibrahim juga menyampaikan pesanan kepada Dr Juanda agar tidak mengaitkan PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat seperti melihat parti Islam sebagai punca kegagalan penyatuan Melayu kerana ia adalah tidak adil dan bakal mengundang pelbagai reaksi ahli-ahli dan para pimpinan PAS yang masih terasa luka lama akibat ditendang keluar Barisan Nasional pada 1978.

“Melihat PAS sebagai punca gagal penyatuan Melayu juga adalah tidak adil kerana sejarah lampau yang dilalui oleh PAS sewaktu penggabungan dengan BN sangat besar kesannya, terutama apabila PAS ditendang keluar.

Ekoran itu, PAS pecah kepada tiga kumpulan dan kehilangan Kelantan akibat perbuatan khianat Umno terhadap pengorbanan PAS pada waktu itu. Lantaran itu, menuduh PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat sepatutnya tidak berlaku, kerana ianya akan mengundang pelbagai reaksi ahli dan pimpinan yang masih terasa luka lama tersebut,” tegur beliau secara halus.

Guna Segala 'senjata' Tawan Selangor Semula - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menggesa UMNO Selangor menggunakan segala 'senjata' yang ada dinegeri itu bagi merampas kembali Selangor daripada pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau dipetik berkata demikian ketika berucap di 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat- Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, malam semalam.

"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).

"Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.

Najib juga meminta agar UMNO Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke- 13 kelak.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

"Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah," katanya.

Anak syarikat kerajaan Kedah tanggung Puteri Umno

Sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) didakwa telah menymbangkan dana tetap kepada Puteri Umno ketika Kewdah ditadbir oleh BN sebelum ini.

Ia melibatkan sumbangan dana syarikat milik kerajaan (GLC) itu kepada Pergerakan Puteri Umno Kedah yang berjumlah RM30,250 bagi tempoh Julai 2003 hingga Februari 2004.

Pendedahan ini dibuat melalui laman blog prokerajaan 'Kedah La Ni' dan turut disebarkan melalui laman sosial 'facebook' penyokong-penyokong kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Turut disenaraikan adalah butiran lengkap sumbangan syarikat kepada sayap Umno itu yang menyalahi matlamat penubuhan syarikat dan dikategorikan sebagai perbelanjaan tidak berkepentingan ketika pergerakan tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaakub (gambar).

Mengikut rekod perbelanjaan syarikat 2003, pergerakan itu menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000 (27 Julai), RM7,000 (5 Ogos) dan RM1,000 (22 Disember). Manakala pada 2004 pula, mereka menerima RM7,000 (5 Januari), RM4,250 (24 Februari) dan RM10,000 (25 Februari).

Sidang Dun Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan penyelewengan dana GLC berjumlah hampir RM8 juta oleh pengurusan terdahulu hingga mengakibatkan STDC mengalami kerugian.

Susulan pendedahan itu Pemuda PAS Alor Setar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 April lalu dan menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan bagi membantu siasatan.

Umno musuh nombor 1 negara

Bagaimana PAS boleh bersatu dengan Umno sedangkan Umnolah yang 'menjajah' bumi dan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, Umno bertindak zalim terhadap rakyat dan bumi Malaysia dengan mencengkam kebebasan rakyat dan bertindak tanpa keadilan kepada rakyat dan bumi Malaysia.

“Fatah dan Hamas boleh bersatu menentang Israel, mengapa Umno dan PAS tidak dapat bersatu membela umat Melayu?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Hamas setuju untuk bersatu dengan Fatah semata-mata atas tujuan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.

Katanya lagi, penjajahan Israel zalim, yang mencengkam kebebasan rakyat Palestin dan penjajahan yang menidakkan keadilan sejati kepada rakyat dan bumi Palestin.

“Bagaimana boleh kami, PAS bersatu dengan golongan (yakni Umno) yang mengamalkan budaya rasuah, yang mempratikkan budaya politik samseng dan yang mempersendakan hukum Allah SWT?” soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Justeru, PAS tegasnya akan terus memperjuangkan untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang negara agar badan keadilan dan perundangan (judiciary) benar-benar bebas dan Peguam Negara (AG) bertanggungjawab kepada Parlimen.

Selain itu, tambahnya SPR, SPRM dan ROS diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan pembentukan IPCMC dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Kesimpulannya, kata beliau kembalikan supremacy of parliament yang telah dinodai oleh Kerajaan Umno BN semenjak merdeka lagi.

“Jika Umno jujur dia membentangkan pindaan perlembagaan dan undang-undang, kalau Umno itu ikhlas, maka pulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Di samping, beliau juga mahu Umno BN menubuhkan Suruhanjaya-suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pembelian kapal selam Scopene, saham-saham allocation untuk Bumiputra dari 1970 sehingga sekarang dan siapa penerimanya, penggunaan pendapatan minyak dan gas negara daripada 2004-2009, kes kematian pegawai kastam, Sarbani dan kes PKFZ.

"Kami menentang parti Umno bukan kerana dia Umno, kami menentang parti Umno kerana mereka zalim, mereka menindas rakyat Malaysia, mereka merompak harta negara dan mereka (parti Umno bukan ahli Umno) adalah musuh nombor satu negara,” ujarnya.

Skirt: BAM, KBS patut bantah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Menteri Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan bantahan rasmi kepada Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di atas keputusan mereka melaksanakan syarat wajib pemakaian skirt kepada pemain badminton wanita. DPPWP kesal kerana, BAM dan KBS tidak proaktif bagi membantah keputusan itu.

DPPWP melihat bahawa alasan yang digunakan oleh BWF yang mahu ianya dijadikan tarikan supaya lebih ramai penonton boleh hadir melihat pertandingan di gelanggang sebagai alasan yang tidak masuk akal dan remeh. Mereka sepatutnyanya menghormati hak wanita yang sepatutnya tidak diekspolitasi batang tubuh dan pemakaian mereka hanya untuk menarik penonton.

Sepatutnya BWF membincangkan tentang strategi peningkatan kualiti pemain wanita untuk menarik perhatian penonton, bukannya dengan cara memaksa mereka memakai skirt untuk dijadikan bahan pameran di tengah gelanggang.

DPPWP yakin, idea ini timbul selepas BWF melihat populariti dan promosi melampau media terdapat pemain-pemain tenis pada masa sekarang berbanding dahulu kerana fesyen skirt mereka. Tetapi itu bukanlah contoh terbaik yang patut dibawa ke dalam arena badminton yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.

DPPWP berharap pertubuhan wanita dan NGO Malaysia bangkit menyuarakan isu ini kerana kita tidak mahu gambar-gambar jelek yang tidak sepatutnya, dirakamkan ketika saat perlawanan berlangsung. Rakaman itu pastinya mengaibkan pemain-pemain wanita yang secara tidak langsung dieksploitasi bagi menaikan kutipan jualan tiket dan jualan surat khabar berita sukan dengan gambar-gambar sensasi.

DPPWP juga melihat peraturan ini bakal menyekat pemain-pemain wanita Islam untuk melibatkan diri dalam sukan ini. Dan ini adalah diskriminasi melibatkan kepercayaan agama. Mengapa tidak BAM memulai contoh dengan bereksperimentasi mengadakan pertandingan kebangsaan dengan semua pemain Islam menutup aurat. Jika ahli sukan wanita dan lelaki di Iran boleh menunjukan prestasi yang baik dalam sukan menggunakan pakaian menutup aurat kenapa Malaysia tidak berani untuk melakukannya.

DPPWP berharap agar masyarakat sukan mendapat pembelaan yang sewajarnya dari agensi-agensi sukan di negara dan tidak sewenang-wenangnya dibiarkan terikat dengan peraturan tidak masuk akal oleh badan sukan antarabangsa.

Sekirannya BWF masih berkeras untuk menguatkuasakan arahan itu, DPPWP mendesak agar BAM memboikot Pertandingan Badminton Terbuka Singapura pada 14 Jun yang juga menjadi pertandingan pertama yang akan menguatkuasakan keputusan BWF ini. Dan seterusnya mengadakan kempen boikot secara terbuka supaya Persatuan di negara lain seperti China, Korea, Indonesia, Thailand dan sebagainya turut memboikot.

'Belasah' pemuda: Pengarah sekolah digantung tugas

Pengarah sebuah Sekolah Henry Gurney di Keningau, Sabah, telah dipindahkan dan digantung tugas sementara menunggu siasatan polis dan siasatan dalaman berhubung dakwaannya terbabit membelasah seorang pemuda pada lewat bulan ini.

Menurut akhbar tempatan, The Borneo Post dalam laporannya yang memetik sekretariat Jabatan Penjara dan ketua perhubungan awamnya, Supri Hashim berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis bagi menentukan hukuman yang setimpal ke atas pengarah itu.

Arahan itu berikutan dakwaan bahawa pengarah sekolah pemulihan akhlak berkenaan telah meminta sekumpulan rakannya bagi membelasah seorang lelaki berusia 23 tahun di sebuah kedai serbaneka sebelum tengah malam 29 April lalu.

Tindakan kumpulan berkenaan berjaya dirakamkan oleh kamera CCTV 24 jam yang dipasang di kedai berkenaan. Ia menunjukkan pemuda itu berulang-kali ditumbuk, tendang dan diterajang serta dipukul dengan pelbagai objek termasuk kerusi plastik dan tali pinggang.

Visual berkenaan sejak itu disebarkan secara meluas di Internet, khususnya di laman sosial Facebook.

Adalah dipercayai pengarah itu dan tiga yang lain ditahan pada 3 Mei lalu dan kenyataan mereka dirakamkan selepas mangsa, Ben Cheah Ping Xen, membuat laporan polis berhubung serangan ke atasnya itu.

Bapa mangsa, Cheah You Hock menuntut campur tangan "pihak berkuasa yang lebih tinggi" bagi memastikan “tindakan pantas dan bersesuaian” dikenakan ke atas pengarah itu dan rakan-rakannya.

Beliau juga merayu agar kes tersebut tidak ditutup begitu sahaja, lebih-lebih lagi ia dirakamkan di kamera keselamaatn kedai berkenaan dan tersebar di Internet.