Friday, June 6, 2014

GST: Menteri akui kecenderungan peniaga naikkan harga barang

Para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (gambar).
Beliau berkata harga yang ditawarkan peniaga haruslah berpatutan dan sepatutnya mencerminkan kadar enam peratus CBP yang ditetapkan.
Peniaga yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke-57 di Institut Penilaian Negara (INSPENS) dekat sini semalam.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda baru-baru ini agar kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30 peratus sebagai persediaan menghadapi kos kenaikan barangan akibat pelaksanaan CBP.
Beliau berkata, penjawat awam tidak harus terpedaya dengan putar belit fakta pihak tertentu mengenai CBP dan layari laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di http://gst.customs.gov.my/ untuk maklumat CBP.
CBP pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
Mengenai JPPH, Ahmad berkata JPPH pada Jun tahun lepas merupakan yang pertama di Asia Tenggara menerajui penilaian harta intelek menerusi penubuhan unit penilaian harta intelek.
Beliau berkata unit baharu itu dapat membantu membantu industri kecil dan sederhana dalam mempromosikan hasil produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Unit penilaian harta intelek itu ditubuhkan bertujuan menilai kepentingan dari aspek paten, jenama, reka bentuk industri, hak cipta dan lain-lain perkara yang membabitkan harta intelek, kata Ahmad. 

DNA babi: Bukan soal pembuktian tapi krisis kepercayaan

Kedah tidak menganggap kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah bahawa mereka sanggup memakan coklat Cadbury untuk mengesahkan kehalalannya sebagai suatu kenyataan yang remeh, namun pihak kami menilai insiden ini sebagai kehilangan kepercayaan masyarakat kepada badan berwajib berkenaan.
 
Hal ini panas sejak tersiarnya kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 bahawa terdapat unsur DNA babi dalam produk Cadbury.
 
Hal yang sama boleh dilihat bagaimana Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama pernah mengeluar kenyataan yang disiar dalam majalah Times bahawa adakah beliau perlu menampal sijil lahir beliau yang tertera agama Kristian sebagai anutannya semata-mata untuk menafikan desas desus bahawa beliau pernah beragama Kristian.
 
Hal ini bukan isu pembuktian tetapi krisis kehilangan kepercayaan. Kepercayaan masyarakat terhadap Jakim bukan suatu perkara baharu. Penglibatan Jakim dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. 

Kemudian bermula tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan, dikendali sepenuhnya oleh Jakim pada tahun 2002 dan kemudian swastakan kembali pada tahun 2008.
 
Kepercayaan ini kelihatan luntur dan mampu dicerap melalui komen-komen masyarakat Islam melalui media sosial mahupun media cetak sejurus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat ‘qaul jadid’ yang  mengesahkan bahawa dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu, disahkan bebas DNA babi. Jamil juga telah menyifatkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mungkin tercemar.
 
Dalam amalan 'Quality Control dan Quality Assuarance' mana-mana kilang yang mengamalkan pengurusan yang baik, mereka pasti memeriksa sample secara rawak di tempat yang mampu memberi keputusan yang adil dan tepat. Pastilah memilih sampel daripada pasaraya lebih tepat kerana tindakan Jakim mengambil sampel di kilang boleh dieksploitasi, ditukar ganti dan pelbagai penyelewengan yang cocok sinonim agensi kerajaan yang lain.
 
Rakyat Malaysia yang tepu membaca rekod buruk agensi kerajaan melalui Laporan Ketua Audit Negara saban tahun cukup faham benar selok belok korupsi yang boleh berlaku.
 
Lebih menimbulkan keraguan dan persoalan di minda rakyat adalah, adakah tindakan segera Jakim mengambil sampel tambahan di kilang sebagai tindakan ‘double check’ atau tindakan meredakan kemarahan pihak korporat yang terlibat dalam isu ini?
 
Rakyat juga kelihatan menilai Jakim selaku agensi kerajaan yang lemah dan mampu ditolak ke kiri dan ke kanan oleh pihak korporat jika hal penguatkuasaan melibatkan untung rugi sesebuah syarikat walaupun ia melibatkan halal haram dalam pemakanan masyarakat.
 
Kita juga bersetuju dengan pandangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang telah mengkritik keras Jakim kerana tidak memiliki makmal sendiri untuk memastikan status halal makanan lebih telus dan terkawal. Sikap suka bergantung dengan ‘third party’ serta tidak mahu membina kepakaran sendiri adalah sikap yang memundurkan umat Islam disaat negara gah melaungkan Islam wasatiyyah.


Pihak Kementerian Kesihatan yang dikatakan membocorkan maklumat keputusan ujian DNA berkenaan pada bulan Mei yang sepatutnya dibincang pada bulan Februari  juga meragukan rakyat. 

Adakah ada unsur melindungi kesalahan korporat tertentu oleh Kementerian Kesihatan? Adakah korupsi juga berlaku pada pihak kementerian berkenaan sehingga menangguh lama keputusan ujian tersebut dan tidak menyerahkan kepada pihak Jakim yang kelihatan terkapai-kapai semasa pendedahan itu dibuat pada bulan Mei yang lalu?

Adakah pihak Jakim sendiri telah maklum tetapi menyimpan maklumat ini atas desakan pihak tertentu? Hal inilah yang perlu diperjelas oleh Jakim untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada agensi  berkenaan semula.

Anak baik: Ibu bapa jangan serah 100% kepada guru

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyarankan agar institusi kekeluargaan dapat diperkemaskan dengan sebaiknya agar pergaduhan yang berlaku dalam kalangan pelajar perempun dapat dielakkan.

Pengerusi Hewi PMIUM, Sobiroh Mohd Puzi berkara, peranan institusi keluarga cukup penting dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Katanya, ibu bapa adalah individu yang paling penting memastikan keharmonian dalam keluarga mereka.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada beberapa siri pergaduhan yang melibatkan pelajar perempuan yang berpakaian seragam sama ada di dalam kawasan sekolah mahupun luar.

Kelmarin, video pergaduhan melibatkan pelajar wanita tersebar di laman sosial Facebook dan Youtube.

"Saya percaya sekiranya ibu bapa sedar akan hakikat kepentingan mendidik anak-anak dengan cara asuhan yang baik. Sudah pasti akan melahirkan individu dan anak-anak yang baik dan bermoral," ujarnya.

Tambahnya lagi, ibu bapa sepatutnya tidak meletakkan 100 peratus harapan kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang baik.

"Tetapi perlulah bersama-sama mendidik dan ibu bapa sepatutnya mengambil tanggungjawab yang lebih," ujarnya.

Penjelasan Jakim isu DNA babi dalam Cadbury


Keputusan analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat keluaran Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - mengesahkan tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, masih belum meredakan orang ramai daripada memperkatakan isu halal coklat berkenaan.

Bahkan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin berhubung status coklat berkenaan, kerana dianggap mengelirukan umat Islam.

Percanggahan keputusan ujian Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Jabatan Kimia terhadap dua coklat berkenaan telah mewujudkan bermacam andaian dan persoalan.

Pelbagai tohmahan dan cemuhan dilemparkan kepada Jakim. Di laman-laman sosial, ada yang menuduh Jakim kononnya tidak telus, sanggup menipu, makan rasuah dan menyorokkan fakta sebenar, di samping mempertikaikan keputusan analisis Jabatan Kimia, yang dikatakan hanya menimbulkan was-was umat Islam.

'Kami juga Islam'

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata serangan bertali arus terhadap Jakim itu tidak adil memandangkan Jakim telah menjalankan tugas yang diamanahkan sehabis baik.

Katanya masyarakat perlu bertenang dan berfikir secara waras kerana sebagai badan Islam, tidak mungkin Jakim mengkhianati kepercayaan yang diberi.

"Sama seperti anda, saya juga orang Islam, malah pegawai saya juga beragama Islam dan kami ada keluarga yang juga pengguna Islam... takkanlah kami tergamak melihat dan membiarkan keluarga kami dan orang Islam lain untuk memakan produk yang kandungannya mempunyai babi.

"Malah, ramai pekerja di syarikat besar milik antarabangsa ini terdiri daripada orang Islam... takkan mereka hendak lepaskan sesuatu yang tidak halal untuk dimakan kepada masyarakat dan keluarga mereka," katanya dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Othman berkata setiap produk yang memperoleh logo halal disaring menepati prosedur operasi standard (SOP) serta piawaian yang begitu tinggi dan ketat.

"Bukan mudah untuk kami keluarkan sijil halal dan sebab itu kami selalu menerima aduan bahawa Jakim lambat meluluskan permohonan kerana proses penelitian yang sangat ketat," katanya.

Integriti Jakim

Othman berkata kemungkinan untuk berlakunya salah laku dan rasuah adalah sukar memandangkan pasukan dan individu berbeza terlibat dalam proses pemberian sijil halal.
Katanya semua proses permohonan halal termasuk pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis dilaksanakan oleh Jakim sendiri tanpa penyumberan luar bagi menjaga integriti.

"Kita ada empat tahap iaitu bahagian permohonan yang membuat penelitian awal, audit oleh auditor, panel penilai dan kemudian pemantauan berkala yang dibuat oleh pasukan berbeza. Panel penilai tidak terlibat dalam mana-mana pemeriksaan dan auditor juga tidak boleh berada di dalam mesyuarat panel... dia (individu terlibat) tidak boleh pengaruhi keputusan.

"Salah laku agak sukar... kalau orang nak rasuah, mereka nak rasuah di peringkat mana? Di peringkat proses dan audit? Mereka tidak terlibat dalam proses membuat keputusan, malah ada auditor yang membuat laporan syor supaya diluluskan tetapi ditolak oleh panel kerana tidak berpuas hati," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) itu amat penting dalam menjaga kesaksamaan dan bagi mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan.

"Ada cadangan untuk Jakim gunakan penyumberan luar tetapi kita dah ada pengalaman itu dahulu... timbul isu bila Jakim swastakan pemeriksaan dan sebagainya seperti caj, integriti dan tidak mengikut SOP malah sukar dikawal... sebab itu Jakim ambil balik dan putuskan untuk buat sendiri," katanya.

Sijil halal tidak boleh dibeli

Othman berkata adalah mustahil untuk sijil halal dibeli kerana pemohon perlu melalui proses yang amat ketat dan mematuhi semua piawaian halal sebelum sijil diluluskan.

"Jika ada, itu adalah pihak ketiga yang menyamar atau pertubuhan tidak diiktiraf yang mendakwa kononnya mudah mendapat sijil halal sedangkan prosesnya memakan masa yang lama dan amat susah," katanya.

Othman berkata memohon logo halal tidak diwajibkan, tetapi tindakan boleh diambil sekiranya produk tanpa sijil halal diletakkan sebarang logo halal.

"Kita masih meletakkannya (memohon sijil halal) secara sukarela... tetapi kalau tulis halal atau apa-apa cara yang mengaitkan dengan halal, ia salah dan kita boleh ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata pengguna boleh memuat turun aplikasi Halal-Square di telefon bimbit atau alat peranti bagi memeriksa kesahihan sijil halal yang digunakan di premis-premis perniagaan.

"Kita bekalkan poster kepada setiap outlet makanan seperti restoran dan hotel yang boleh diimbas menggunakan aplikasi Halal-Square... pengguna boleh tahu sama ada sijil halal premis itu masih sah, tamat tempoh atau palsu,"  katanya.

Mampu jejas nama negara

Beliau berkata isu halal yang dibesar-besarkan sebelum mendapat pengesahan sah mampu menjejaskan nama Malaysia di mata dunia sebagai hab halal yang menjadi rujukan banyak negara.
Katanya SOP dan standard yang diamalkan Malaysia diiktiraf oleh banyak negara, malah turut diaplikasikan di negara-negara tersebut dalam membangunkan sistem halal masing-masing.

"Sekarang ini negara-negara di Timur Tengah sedang merujuk kepada kita (Malaysia) untuk bimbingan dan bangunkan sistem halal mereka sebab mereka tidak ada sistem sebegitu selama ini... bagi mereka makanan mereka semuanya halal sebab mereka Islam.

"Sebagai negara yang menjadi rujukan banyak negara lain takkanlah kita nak abaikan aspek itu (DNA babi)... kita bimbang kalau isu sebegini memberi imej yang buruk kepada negara," katanya.

Iktiraf badan halal luar

Beliau berkata Jakim turut mempunyai skim Pengiktirafan Halal Badan Luar Negara dan setakat ini 57 badan halal dari 23 negara diiktiraf.

"Ini bagi membantu Jakim dan industri di sini apabila peniaga mengimport bahan mentah, ia memerlukan pengesahan halal dari negara pengeluar... negara pengeluar keluarkan sijil halal dan kita guna pakai.

"Kami tidak mungkin dapat periksa setiap ramuan kerana setiap syarikat mempunyai beratus produk dan beribu bahan ramuan, jadi kita dapatkan kerjasama dengan negara lain dengan menggunakan sistem ini," katanya.

Jakim katanya terlebih dahulu menilai keupayaan badan berkenaan daripada segi syariah, teknikal dan sistem pensijilan terlebih dahulu, sebelum mengiktiraf logo halal yang dikeluarkan mereka.
"Kita pantau bagaimana mereka menjalankan audit di kilang-kilang dan selepas berpuas hati barulah Jakim iktiraf mereka.

"Ada juga negara yang sebelum ini Jakim iktiraf tetapi apabila dibuat semakan semula, didapati mereka tidak lagi patuh dengan keperluan yang ditetapkan, maka Jakim keluarkan mereka daripada senarai," katanya.

Kembalikan keyakinan

Mengakui bahawa isu halal coklat Cadbury itu menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap Jakim tercalar, Othman berkata misinya pada masa ini adalah mengembalikan kepercayaan masyarakat.

"Kesedaran masyarakat sudah begitu tinggi tentang halal, namun mereka sebenarnya tidak faham prosedur yang dibuat Jakim itu bagaimana, sebab itu mereka keliru dan marah pada JAKIM," katanya. 

K'jaan bakal kutip RM3 bilion dari GST petrol, diesel

Sehingga ke hari ini, Barisan Nasional masih berdiam diri dan mengelak dari menjawab soalan saya sama ada GST akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel oleh rakyat. Semakan ke atas senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar cukai sifar (zero-rated) dan dikecualikan (exempt) secara jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

Ini sudah tentu akan menaikkan lagi harga petrol dan diesel tanpa disedari oleh rakyat, seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar sebelum ini. Satu lagi siri kenaikan harga petrol dan diesel akan melonjakkan lagi inflasi dan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang.

Saya membuat kesimpulan bahawa Barisan Nasional akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel. Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan mengutip setiap tahun sekurang-kurangnya RM3.1 bilion dari rakyat dalam bentuk cukai GST yang dikenakan ke atas petrol dan diesel seperti kiraan di bawah:



Bebanan cukai tambahan sejumlah RM3.1 bilion setahun yang dikenakan ke atas rakyat hanya dari pembelian petrol dan diesel adalah satu jumlah yang besar dan mengejut yang semestinya mempunyai kesan berganda ke atas harga barang.

Tindakan mengenakan GST ke atas pembelian petrol dan diesel ini samalah dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 13 sen seliter.

Oleh yang demikian, saya menggesa Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan segera bahawa pembelian petrol dan diesel tidak akan dikenakan GST.

Jika beliau enggan mengumumkan pengecualian pembelian petrol dan diesel dari GST, maka beliau perlu menjelaskan segera bagaimanakah Barisan Nasional akan membelanjakan RM3.1 bilion yang dikutip dari rakyat melalui GST ke atas petrol dan diesel.

Gareth: Keputusan ujian DNA hanya diketahui esok

Keputusan ujian awal DNA pada mayat yang ditemui di Pulau Tioman Rabu lalu hanya akan diketahui esok.

Dalam satu laporan petang ini, Astro AWANI mengakui tersilap lapor berhubung keputusan DNA tersebut dalam laporan awal pagi ini.

Pihaknya yang memetik sumber pihak polis berkata, ujian DNA masih lagi berjalan dan setakat ini tiada keputusan mengenainya dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Sampel ujian DNA mayat akan disepadankan dengan sampel ibu kepada lelaki British yang hilang sejak 27 Mei lalu, Gareth David Huntley, sebelum apa-apa pengesahan dibuat," lapor mereka.

Janet Southwell tiba di Kuantan pada jam 11 pagi dari Pulau Tioman dengan menaiki helikopter bersama teman wanita anaknya, Kit Natariga serta wakil dari Suruhanjaya Tinggi Britain, Karen Song.

Dalam laporan pagi tadi, Astro AWANI malaporkan ujian DNA yang dibuat ke atas mayat tersebut disahkan identitinya sebagai Gareth.

Bagaimanapun pihak mereka membuat pembetulan dengan mengakui tersilap 

Bukan PAS yang offer Mat Said.. tapi Mat Said sendiri yang offer kepada PAS rupanya..


Semalam segala-galanya berakhir apabila tiga ADUN yang buat onar, Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), anak sepupunya, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) tak jadi meninggalkan Umno.

Di saat-saat Umno Terengganu sedang nazak, Umno memerlukan mereka bertiga. Tahniah kepada mereka bertiga yang menyokong Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Razif bersetuju menyediakan bas percuma kepada rakyat Sabtu ini di setiap daerah di Terengganu untuk pergi ke rumah Ahmad Said kerana mengenang jasa beliau sebagai menteri besar Terengganu selama enam tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula merendahkan diri memohon maaf kepada Ahmad Said kerana menganggap majlis perkahwinan anaknya Sabtu ini sebagai masalah peribadi dan bukannya masalah kerajaan.

Ahmad Said sebagai manusia biasa tidak sempurna bertindak emosional apabila menyentuh soal perkahwinan anaknya.

Malah beliau mengakui anaknya trauma selepas Najib enggan menangguhkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar walaupun beliau tahu kontraknya berakhir pada 9 Mei lalu.

Alasannya beliau memilih tarikh Sultan Terengganu lapang maka majlis itu diadakan pada 17 Mei dan bukannya dia sengaja melengah-lengahkan majlis perkahwinan anaknya.

Ada yang menganggap penangguhan peletakan jawatan itu adalah helah Ahmad Said untuk membeli Exco-Exco yang ada.

Ramalan ini tepat apabila seorang Exco yang enggan menyebut nama mengesahkan kepada FMT bahawa bekas menteri besar itu memang berhasrat membawa beberapa exco ke luar negara selepas 12 Mei.

Apabila info ini diketahui oleh Najib, maka Najib bertegas supaya Ahmad Said tetap meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada hari yang sama.

Sebab itu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dihantar ke Kuala Terengganu pada petang yang sama untuk memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Said dan pada malam yang sama diadakan majlis angkat sumpah menteri besar baharu seolah-olah ia diadakan secara tergesa-gesa.

Malah ada sumber yang rapat dengan Ahmad Said berkata bekas menteri besar itu tidak dimaklumkan majlis angkat sumpah itu. Sebab itu Ahmad Said tidak hadiri majlis tersebut.

Sumber yang rapat dengan PAS memberitahu FMT, dua hari sebelum majlis angkat sumpah menteri besar yang baharu, Ahmad Said telah menghantar Bendahari Umno Bahagian Kemaman, Abdul Sidek atau lebih dikenali sebagai Haji Dol menemui pemimpin PAS.

Haji Dol beritahu pemimpin PAS bahawa Ahmad Said akan bawa enam orang Exco keluar dari Umno dan sanggup mengadakan kerajaan campuran dengan PAS di Terengganu.

Maka PAS negeri membuat mesyuarat tergempar pada hari yang sama. Seorang pemimpin PAS kanan tidak setuju dengan tindakan Ahmad Said itu.

Dia bertanya jika bekas menteri besar itu boleh dipercayai. Dengan Umno sanggup dia kencing, apatah lagi dengan PAS nanti.

Katanya, lebih baik buat kerajaan campuran dengan Umno daripada kumpulan Ahmad Said.

Sebab itulah pada malam 13 Mei Ahmad yakin enam orang Exco akan keluar bersamanya.

Sebaliknya dua orang sahaja yang ikut – Ghazali Taib dan Roslee Daud (Bukit Besi). Tiga orang lain menafikan keluar dari Umno iaitu Datuk Mat Jidin Shafie (Permaisuri), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).

Misi Haji Dol gagal sebab itu Ahmad Said kata ada orang PAS melamarnya supaya beliau masuk PAS padahal PAS Terengganu tidak setuju kumpulan Ahmad Said buat kerajaan campuran dengan PAS.

Apabila dua ADUNnya “turn back” iaitu Roslee Daud dan Ghazali Taib, maka Ahmad Said tidak ada pilihan terpaksa kembali menyertai Umno, jika tidak kes SPRM terhadapnya akan diteruskan.

Sumber SPRM memberitahu FMT failnya masih dalam penyiasatan dan berkata ia bukan masa yang sesuai untuk mendakwa Ahmad Said sekarang.

Tetapi apabila beliau “turn back” maka fail itu sudah tentu tidak akan dibuka lagi. Maka pilihan Ahmad kembali ke pangkuan Umno dapat menyelamatkan dirinya.

Mungkin jawatan Duta sedang menanti beliau selepas ini. Tindakan Ahmad Said, Ghazali Taib dan Roslee Daud tidak jadi keluar dari Umno menyebabkan BN kekal memerintah Terengganu dengan BN 17 kerusi dan 15 PAS.

Ahmad Said menyatakan sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai menteri besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baharu.

Semalam penasihat utama Ahmad Said, Datuk Wan Ahmad Wan Muda ditukarkan dari jawatan CEO Terengganu Incorporated ke jawatan “peti sejuk” di pejabat SUK.

Wan Ahmad yang selama ini dianggap sebagai MB Terengganu kedua yang menghuru-harakan pentadbiran Ahmad Said selama enam tahun.

Maka tindakan Setiasaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah adalah tepat lapor Free Malaysia Today

Gelatin haiwan termasuk babi halal dimakan - Yusof Al-Qardhawi



Ulama tersohor dunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberitahu gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.

Memetik kenyataan daripada laman rasmi ulama tersebut, beliau menjawab kekeliruan pengguna, terutamanya dari masyarakat Islam berkenaan status halal sesuatu produk yang dicampuri unsur mengelirukan termasuk haiwan tersebut.

"Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: Apabila sesuatu najis ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasimenjadi sesuatu bahan yang lain - asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu yang lain - contohnya menjadi sabun.

"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. Mereka berkata: Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan.

"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu: Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi dipetik sebagai berkata.

Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury - coklat susu dengan kacang Hazel serta coklat susu dengan badam, dikesan mengandungi DNA babi atau 'porcine'.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat berkenaan secara rawak di pasaran.

Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula memainkan peranannya dan membuat ujikaji yang sama namun coklat itu diambil terus dari kilang Cadbury dan bukannya diambil secara rawak dari pasaran, seperti mana dibuat KKM.

Perkembangan terbaru selepas ujikaji yang dilakukan oleh Jakim itu mengesahkan dua produk Cadbury tersebut adalah tiada unsur babi sekaligus halal untuk dimakan.

Meskipun begitu, rakyat Malaysia kini masih berasa was-was berikutan masyarakat terdedah kepada membeli coklat yang sama diambil KKM untuk ujikaji itu dan bukannya produk yang selamat (dari kilang) sepertimana di analisa Jakim.