Friday, November 28, 2014

Siasat segera fitnah jahat Dr Mashitah.!!

DAP hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah jahat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim, kononnya masyarakat Cina di Kedah membakar Al- Quran. Laporan dibuat di balai polis Tun HS Lee, Jalan Stadium pagi tadi oleh Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dan Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya. Teo berkata, kenyataan Mashitah tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan cuba menimbulkan permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam. “Mashitah sangat tidak bertanggungjawab untuk mengatakan seolah-olah orang bukan Islam, terutama masyarakat Cina di Kedah menghina Islam. “Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kenyataan seperti itu dan harap polis akan siasat dengan segera,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan. Menurut laporan Malaysiakini semalam, Mashitah yang juga perwakilan Wanita Umno Kedah membuat fitnah itu ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno semalam. Ketua bahagian Umno baling itu dilaporkan berkata itu berkata diberitahu bahawa terdapat dakwaan bukan Islam di sebuah negeri di utara membakar helaian al-Quran pada waktu sembahyang. “Rasa tercabar atau tidak? Rasa sensitif atau tak? Rasa sedih atau tak??” katanya seperti dipetik ketika berucap kepada para perwakilan ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial sempena perhimpunan agung Wanita Umno di PWTC semalam. Namun setakat ini, hanya satu insiden seumpama itu yang dilaporkan berlaku, iaitu pada 20 November lalu yang membabitkan seorang lelaki Melayu kurang siuman yang mendapat rawatan di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. “Malah jika benar ada orang Cina yang bakar Al-Quran, ia adalah tindakan peribadi dan bukan minoriti. Saya juga pasti semua orang bukan Islam turut mengecamnya,” kata Ahli Parlimen Kulai itu lagi. Dalam pada itu, Kasthuri menggesa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak agar menambil tindakan, memandangkan ia dibuat ketika perhimpunan agung parti itu. “Setiap kali PAUperhimpunan agung Umno, ia jadi medan menghemtam kaum lain. Sedangkan banyak isu nasional boleh dibincangkan seperti keganasan rumah tangga dan pemerdagangan wanita. “Najib perlu bertanggungjawab kerana ini berlaku di bawah pemerhatiannya. Berdiam diri bermaksud beliau menyokongnya,” katanya lagi. Dyana Sofya yang trut hadir ke balai polis berkata tiada sebab untuk Mashitah cuba menggunakan fitnah itu untuk menimbulkan permusuhan. Ini kerana Mashitah melakukan provokasi dengan bertanya sama ada perwakilan Umno ‘merasa tercabar’ dengan tindakan itu. “Walhal Ketua Polis Kedah sendiri menggesa agar insiden bakar Quran (oleh lelaki kurang siuman itu) tidak dibesar-besarkan.sehingga timbul salah faham,” katanya lagi.

RUM tidak berpuas hati dengan penyelesaian isu piket

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian isu pemecatan 97 anggota kesatuan itu kerana menyertai piket pada 9 Mei lepas.
Presidennya Abdul Razak Md Hassan mendakwa memorandum persetujuan, yang ditandatangani anggota kesatuan itu pada Rabu lepas, adalah berat sebelah dan tidak serupa dengan draf yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Memorandum itu berpihak kepada satu pihak dan bukannya yang memanfaatkan kedua-dua pihak seperti yang diminta oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Bagaimanapun, saya sebagai presiden, meminta semua anggota untuk tanda tangan perjanjian itu supaya dipulihkan ke jawatan mereka dengan segera, walapun saya tidak menandatangani perjanjian itu untuk menegakkan keadilan kepada anggota kesatuan," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.
Abdul Razak berkata beliau juga tidak berpuas hati kerana kandungan memorandum itu mendesak beliau memohon maaf kepada Presiden KTMB Datuk Elias Kadir setiap hari berturut-turut selama tiga bulan di laman Facebook dan blog rasmi RUM.
"Saya anggap ia tidak masuk akal," katanya.
Kesemua kakitangan itu dipulihkan ke jawatan masing-masing selepas menandatangani memorandum persetujuan yang diadakan secara tertutup dan disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Sementara itu, Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad ketika dihubungi Bernama, enggan mengulas mengenai kandungan memorandum itu.
Namun, katanya beliau gembira kerana pekerja dapat dipulihkan ke perkhidmatan mereka.
"Keutamaan saya ialah pekerja yang dibuang dapat kembali ke jawatan mereka dengan segera. Sebagai pengerusi saya gembira isu ini diselesaikan atas dasar kemanusiaan," katanya.

Mahfuz cabar Mukhriz dedah kontraktor projek lanskap

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir agar memaklumkan kepada orang ramai kontraktor yang dilantik untuk projek lanskap di kediaman rasminya di Seri Mentaloon.
Menurut Mahfuz, projek pengubahsuaian lanskap di Seri Mentaloon itu menelan belanja sehingga RM2.9 juta.
"Kita minta Mukhriz mendedahkan siapakah yang tender penanaman pokok kurma dan royal itu dan mohon diperjelaskan adakah projek berkenaan dalam pengetahuan UPEN dan adakah ianya melalui JKR?
"Saya minta dia jelasnya kepada umum dalam tempoh seminggu.Selain itu saya minta dia maklumkan juga berapa belanja penanaman sebatang pokok kurma dan royal palm sehingga peruntukan RM2.9 juta dibelanjakan," kata beliau kpeada pemberita dalam sidang media, semalam.
Menurutnya lagi, kebanyakan pokok kurma dan royal palm yang ditanam di Malaysia diimpot dari Thailand dan dalam pengetahuannya, kos sebatang pokok kurma sehingga selesai urusan hanya RM1000 dan royal palm antara RM500 hingga RM600 sahaja.
Justeru beliau meohon supaya Mukhriz bersikap telus memaklumkan hal demikian kerana jumlah peruntukan yang besar itu tidak munasabah sama sekali serta tidak berpadanan dengan jumlah pokok yang ditanam di kediamaan rasminya itu.
"Saya dimaklumkan dalam tempoh empat tahun kurma itu dijangka mengeluarkan buah dan kononnya dapat menampung keperluan orang ramai menjelang bulan Ramadan. Tapi belum tentu ianya berbuah dan mengeluarkan hasil sedangkan jumlah yang dikeluarkan terlalu tinggi serta tidak senilai dengan keperluan yang dikatakan.
"Rakyat Kedah bukan mengharapkan kurma dari Seri Mentaloon, setiap tahun mereka boleh beli di Pekan Rabu tapi rakyat memerlukan kebajikan yang lain dan jangan sewenang-wenangnya menggunakan duit rakyat pada perkara yang tidak terlalu diperlukan oleh rakyat," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau merasa amat kesal akan sikap Mukhriz yang cuba berselindung perkara sedemikian dan sebaliknya mencanang projek pengubahsuaian Seri mentaloon diberikan kepada 'abang Ahli Parlimen Pokok Sena' seperti yang didedahkan semasa penggulungan perbahasan bajet Kedah 2015 minggu lalu.
"Perkara tersebut tidak ada kena mengena dengan saya kerana projek berkenaan diberi kepada abangnya melalui tender yang dikeluarkan oleh JKR.
"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan agar abang saya memperolehi tender berkenaan, tetapi yang dipertikaikan ialah apakah keperluan rumah itu di ubahsuai sedangkan perkara yang sama telah dibuat semasa pemerintahan Pakatan Rakyat dulu.
"Tahun 2011, rumah tu sudah di baikpulih untuk dijadikan istana tetamu menyambut Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Brunei. Apakah tak cukup lagikah segala kelengkapan yang diubahsuai?" soal Mahfuz.
Mukhriz juga dibidas kerana berbohong di dalam Sidang Dun tersebut ini dengan mengatakan kedua-dua projek berkenaan diberi kepada abang beliau sedangkan menurut Mahfuz kedua-dua tender berkenaan diberi kepada kontraktor yang berbeza.
"Saya minta dia jawab. Kalau dia tak jawab, saya akan maklumkan. Saya tahu siapa kontraktor tanam pokok kurma dan royal palm tu. Tapi saya nak dia jawab dulu," ujarnya.
Harakahdaily dimaklumkan bahawa kos pengubahsuaian di Seri Mentaloon membabitkan kos RM4.3 juta iaitu rumah kediaman sebanyak RM1.4 juta dan bahagian lanskap sebanyak RM2.9 juta.
Dalam sidang media yang sama, Mahfuz yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat, mengharapkan Kerajaan Kedah mengikuti langkah Selangor yang memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk Adun Pembangkang walaupun disifatkan sebagai satu penghinaan kepada mereka.
"Sebenarnya, Pakatan Rakyat Kedah juga mempunyai perancangan, andainya diberi mandat oleh rakyat sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, akan memberi peruntukan kepada Adun Pembangkang untuk membantu menyelesaikan urusan-urusan berkaitan kebajikan rakyat. Jadi saya harap kerajaan sekarang bolehla meniru macam apa yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor buat," tambah beliau.
Terdahulu, Mahfuz telah menyempurnakan Program Santuni Denyutan Rakyat (Sedara) di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Lam sun, Telok Wan Jah di sini.
Hadir sama dalam program tersebut Adun Derga, Tan Kok Yew dan Adun Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.- HARAKAHDAILY 29/11/2014

Perhimpunan Umno: 'Setakat habiskan karipap saja bang'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Aspan Alias menceritakan mengenai seorang perwakilan Umno pada bahawa Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja.
Beliau menerusi tulisan dalam blognya bertanya kepada salah seorang perwakilan perhimpunan itu tentang hasil perhimpunan yang begitu mendapat liputan meluas itu.
Tulisnya, perwakilan itu menjawab, “tak ada apa-apa, setakat menghabiskan karipap sajalah bang! Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi sebabnya ia hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja..dibawanya kita di bawah ni bersorak dan bertepuk sahaja”.
Tulisan penuh beliau seperti di bawah.
Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan diantara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu.
Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum perhimpunan agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, ‘business as usual’.
Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu?
Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang manambah kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu lakukan.
UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu. Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita.
Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.
Yang membuat masalah kepada negara adalah kepimpinan UMNO yang duduk diatas ‘high table’ itu. Jika keadaannya sama maka UMNO tidak boleh berharap yang kejayaan mereka akan pasti dalam pilihanraya yang akan datang, kerana rakyat dan di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri tidak berpuas hati dengan hasil perhimpunan itu.
Saya bertanya kepada salah seorang perwakilan perhimpunan itu tentang hasil perhimpunan yang begitu mendapat liputan meluas itu. Beliau menjawab, “tak ada apa-apa, setakat menghabiskan karipap sajalah bang! Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi sebabnya ia hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja..dibawanya kita di bawah ni bersorak dan bertepuk sahaja”.
Tidak ada suara yang bercakap secara betul tentang isu-isu ekonmi. 1MDB tidak diberikan penjelasan secara teliti dan isu pendidikan langsung tidak ada pencapaiannya. Malahan perwakilan Kelantan sahaja yang berkata yang ada pihak yang dicemburukan tentang kejayaan 1MDB. Entah apa yang dicemburui oleh sesiapa yang mempunyai pemikiran dan kefahaman sedikit sebanyak tentang 1MDB ini pun tidak siapa yang tahu. Apa sebabnya orang cemburu dengan syarikat pelaburan kerajaan yang hanya boleh disertai oleh mereka yang berkesanggupan untuk mengalami kerugian besar sahaja yang boleh bersama dengan 1MDB itu.
Tidak ada apa-apa isu yang boleh membawa ‘consequence’ besar terhadap parti itu dalam perhimpunan agung itu, hanya setakat melihat pemimpin utamanya berucap bergegar-gegar dengan genggaman tangan yang kuat untuk menambahkan seni pembohongan yang sedang mereka lakukan terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya.
Yang kita tahu kita masih dalam genggaman pemimpin yang gila dengan kuasa dan sifat lahap yang tidak terkawal sahaja. Bagi mereka semuanya bersalah kecuali mereka sahaja. Jika kita lihat kerajaan kita begitu lemah, ia adalah disebabkan oleh kita semua, bukannya oleh kerana kelemahan pimpinan mereka.
Jika ada perselisihan faham diantara rakyat berbilang kaum, ia disebabkan oleh kita, bukannya oleh kelembapan pimpinan mereka. Jika negara sarat dengan rasuah itu kerana kesalahan kita, pemimpin kita tidak rasuah dan akan membawa negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi, walaupun sudah ramai rakyat yang sedang bergelumang dalam kesusahan untuk mengharungi kehidupan yang kian menyepit mereka.
Melebarnya jurang pendapatan diantara segelintir rakyat dengan rakyat yang ramai itu adalah kesalahan kita semua. Ia bukannya kerana sifat pemimpin kita yang mengamalkan budaya kronisma dan nepotisma.
Tidak diberitahu bagaimanakah Najib hendak mentadbir negara dengan kejatuhan harga minyak ke tahap USD70 semalam sdedangkan Najib hanya tahu menghadap rakyat sahaja apabila berdepan dengan keadaan ini. Bila pula cukai-cukai lain hendak dikenakan kepada rakyat kerana isu penurunan harga minyak ini buka satu isu kecil.
Yang kaya-kaya hanyalah mereka yang berada di ‘corridor of power’ dan itu pun salah kita semua, kenapa tidak mengampu dan berkhemah di pejabat menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.
Menghapuskan subsidi bahan bakar itu pun salah rakyat. Subsidi bahan bakar yang diberikan kepada industri tidak dihapuiskan tetapi subsidi terhadap rakyat ditarik balik. Itu pun salah kita. Semuanya salah kita dan pimpuinan UMNO yang mengaku bijak itu tetap tidak bersalah.
Bagaimana hendak menyalahkan pimpinan UMNO, kerana mereka berada di atas itu bukannya tahu apa-apa. Kita tidak boleh menyalahkan kepada mereka yang tidak tahu apa-apa kerana ‘ignorance is not a crime’. Begitu juga ‘stupidity is not a crime’.
Tetapi kita masih bernasib baik. Kita masih mempunyai tanah terbiar yang luas. Rakyat marhaen boleh mulakan menanam ubi kayu sebagai ganti ‘staple food’ kita apabila negara kita jatuh menderum nanti.
Apa nak ditakutkan, bukankah datuk nenek kita biasa dengan makan ubi semasa pemerintahan Jepun dahulu? Jika Jepun membuatkan datuk nenek kita makan ubi, kenapa kita masarah jika UMNO akan membuatkan generasi kita makan ubi sebagai pengganti beras hancur yang sedang dimakan rakyat biasa di bawah-bawah ini?
Yang pentingnya mereka yang berada di atas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu kenyang dan senang lenang dengan memerah keringat rakyat biasa yang serba miskin sekarang ini. Walau bagaimana pun kita tunggu ucapan penangguhan pemimpin-pemimpin kita petang ini dahulu. Manalah kita tahu, mungkin ada yang baik kita akan dengar.
Kepada perwakilan UMNO ucapkan kembali ke kampung dengan selamat. Jangan memandu terlalu laju, elakan kemalangan di jalanraya. Terima kasih banyak-banyak kerana bertepuk dengan bergegar-gegar selama 5 hari berada di ibu kota. Bukannya tidak letih bertepuk dalam dewan itu. 

Ucapan wakil Umno kebal daripada Akta Hasutan?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Di sebalik Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Perhimpunan Agung Umno bergema dengan ucapan perwakilan yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.
Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai jurucakap dalam perhimpunan itu seakan terlupa hakikat itu, tulis Shahbudin Husin dalam blognya.
Menurutnya, banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.
"Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka," tulisnya.
Justeru, bagi beliau untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau Umno, sesuatu yang harus Presiden Umno, Datuk Seri Najib buktikan ialah berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut ke atas mana-mana perwakilan yang berucap pada kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.
"Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali seperti mana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah," ujarnya.
Beliau berpandangan, oleh kerana Dewan Merdeka PWTC bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja, Najib tidak harus 'double standard' kerana akta itu seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.
Menurutnya lagi, jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung Umno, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu. - HARAKAHDAILY 29/11/2014

PAS 63 tahun: Perjuangan Islam tidak akan mati

Ustaz Idris, Nga Kor Ming dan Razman hadir pada perasmian Sambutan Ulang Tahun PAS Kali 63 Peringkat Negeri Perak di Kuala Kangsar, pagi ini. 
KUALA LUMPUR: Pada hari ini Sambutan Ulang Tahun PAS Kali 63 peringkat Negeri Perak berlangsung di Kompleks PAS Kuala Kangsar berhampiran Istana Bukit Chandan.
Di negeri Perak bermula sejarah penubuhan Parti Islam pertama Hizbul Muslimin pada 1948 yang hanya sempat bergerak selama tiga bulan sahaja.
Justeru, tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad bahawa benarlah perjuangan Islam tidak akan mati.
Katanya, itulah janji Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasa akan ada umatku yang menegakkan kebenaran sehingga tidak boleh dimusnahkan, sehingga Allah memberi kemenangan kepada mereka".
Menulis menerusi facebook, beliau menyatakan bahawa mereka yang berilmu sentiasa segar dengan maklumat dan pantas menjawab segala tuduhan musuh.
Menurutnya, mereka mampu membalas serangan musuh berdasarkan ilmu, terutama yang dilontarkan oleh ulama su' (ulama jahat) dan mereka hendak merosakkan perjuangan.
"Dengan ilmu, kita mampu menangkis serangan mereka. Zaman sekarang siapa yang menguasai maklumat maka ia menguasai dunia," tulisnya. - HARAKAHDAILY 29/11/2014

PAS akan terus perkasa Majlis Presiden Pakatan Rakyat

KUALA KANGSAR: PAS akan terus memperkasakan Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagi meningkatkan persefahaman dan kebersamaan dalam parti.
Timbalan Presiden PAS‎, Mohamad Sabu berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa di dalam Pakatan Rakyat.
"Perbezaan pendapat itu perkara biasa, semua pihak mempunyai pendapatnya sendiri tetapi itu bukan masalah utama, malah menguatkan kita.
"PAS akan terus memperkasakan majlis presiden bagi menjadikan Pakatan Rakyat terus kuat dan mantap serta diterima masyarakat umum," ucap beliau ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Kata beliau lagi, PAS perlu bersedia dengan pelbagai isu yang ditimbulkan Barisan Nasional (BN) terutama perkauman.
"Isu perkauman merupakan senjata utama Umno bagi menakutan orang Melayu dan kaum lain.
"Mereka (BN) akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menyebarkan isu perkauman ini dan kita dari PAS perlu peka agar tidak terperangkap dalam permainan mereka," kata beliau.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu menegaskan PAS akan terus menentang kempen perkauman yang ditimbulkan BN dan membawa sebuah politik baru untuk semua lapisan kaum.
Beliau berharap himpunan sambutan 63 tahun PAS itu akan dapat dimanfaat sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. - HARAKAHDAILY 29/11/2014

Mohamad diiringi Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria melawat gerai pameran (atas) dan menyaksikan kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna.
|