Monday, November 19, 2012

PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara


PAS bukan ‘parti kampung’ bahkan sebuah parti yang kini bersedia untuk mentadbir Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.


Beliau berkata PAS kini didukung ahli dari pelbagai lapisan termasuk pegawai tinggi kerajaan dan pegawai keselamatan yang telah bersara.

(Gambar: Husam bersama petugas Harakah di muktamar.)

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 meletakkan PAS bukan saja untuk PAS tetapi juga PAS untuk semua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Muktmar Tahunan PAS ke-58 yang berakhir di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dekat sini petang semalam.

“Hendak membentuk sebuah kerajaan mesti ada pelbagai aliran kekuatan termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai dari pasukan keselamatan yang telah bersara.

“Dan ini membuktikan PAS tidak lagi sebuah ‘parti kampung’ tetapi sebuah parti yang bersedia untuk mentadbir kerajaan secara yang baik,” ujarnya.

Katanya,, ucapan penggulungan Presiden PAS menunjukkan beliau seorang pemimpin sudah teruji, bahkan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum serta menguasai isu-isu governance dengan cekap.

Beliau turut mengulas isu ‘pengkhianatan Umno’  terhadap Melayu.

Husam mendakwa itu merupakan isu besar yang akan diikuti follow-up program-program yang lain selepas ini.

Ini, ujarnya penting supaya rakyat di luar bandar boleh faham bahawa sebenarnya selama ini mereka adalah terpinggir kerana kecuaian atau pun pengkhianatan Umno.

Mengenai calon PAS untuk PRU13, beliau berharap calon itu mestilah seorang berbudi baik dari perspektif Islam,  beriman, bertaqwa dan ada track record serta rapat dan mesra dengan pengundi.

Pejalan kaki anti Lynas hampiri sasaran


Kumpulan Hijau Anti Lynas yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan untuk ke Dataran Merdeka dan parlimen, tengah hari semalam sampai ke Lanchang iaitu setengah perjalanan.


Rombongan disertai 200 orang itu memulakan perjalanan pagi Selasa dari Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, sebelum berhenti dan bermalam di beberapa lokasi iaitu Gambang, Sri Jaya, Maran dan Mentakab.

(Gambar: Sebahagian peserta jalan kaki anti Lynas berjalan kaki dari Mentakab ke Lanchang.)

Perjalanan tersebut dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan  (NGO) anti Lynas berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan 8 November lalu yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) sekali gus memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi di Gebeng.

Menurut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck, yang mengetuai kempen berjalan kaki itu berharap, kempen akan berlangsung  selama 10 ke 13 hari dengan sasaran jarak perjalanan ditetapkan sekitar 30 kilometer sehari untuk sampai ke Dataran Merdeka pada 25 November ini.

“Kami mendapat sokongan padu sepanjang perjalanan setakat ini termasuk disediakan makan minum, penginapan  dan penyokong setempat yang sanggup memberi sokongan moral berjalan sama. Setiap malam dianjurkan ceramah dan forum anti Lynas.

“Pagi esok kami akan meneruskan berjalan kaki ke Karak dan lusa ke Bentong hinggalah sampai ke Dataran Merdeka dan bangunan parlimen untuk menyampaikan bantahan,” katanya.

Turut menyertai kempen jalan kaki itu ialah NGO anti Rapid Pengerang, anti Sinida Raub, 12 orang Pribumi Sarawak yang membantah projek Hidroelektrik di negeri itu, ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH dan wakil dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang.

Kami sokong penuh Israel pertahan diri - Obama


Presiden Barack Obama berkata Ahad lalu bahawa Israel mempunyai "hak" untuk mempertahankan dirinya daripada serangan peluru berpandu oleh militan di Gaza tetapi memberi amaran bahawa memesatkan serangan dengan menggunakan tentera darat Israel akan menjejaskan harapan proses damai dengan Palestin.

(Gambar: Presiden Barack Obama berucap mengenai pergolakan di Timur Tengah semasa lawatan ke Asia.)
"Mari kita fahami kejadian yang merupakan punca krisis sekarang dan ia adalah kerana serangan peluru berpandu yang dilancarkan bukan sahaja ke wilayah tentera Israel tetapi di kawasan yang didiami orang awam, tiada negara di dunia ini yng akan bertolak ansur dengan serangan peluru berpandu merentas sempadan kepada rakyatnya," ujar Obama ketika sidang akhbar di Thailand, permulaan lawatan tiga negara beliau di Asia.

"Jadi, kami menyokong sepenuhnya hak Israel untuk mempertahankan dirinya daripada pendaratan peluru berpandu di rumah dan tempat kerja orang awam yang berpotensi membunuh orang awam."

Beliau menambah: "Israel mempunyai setiap hak untuk mengharapkan bahawa mereka tidak mendapat serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke wilayahnya. Jika harapan itu dapat dicapai tanpa menambahkan aktiviti ketenteraan di Gaza, maka itu adalah lebih baik. Ia bukan hanya lebih untuk rakyat Gaza. Ia juga lebih baik untuk rakyat Israel, kerana jika tentera Israel berada di Gaza, mereka berisiko tinggi untuk mati atau tercedera. "(nbcnews.com)

Print | PRU13: Dua prasyarat Pakatan tewaskan Umno BN


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan dalam ucapan beliau ketika pembukaan Muktamar PAS ke-58 pagi ini bahawa PAS bersedia untuk mengambil alih kuasa persekutuan dengan teman-teman lain dalam Pakatan Rakyat.


Rakyat Malaysia kini dalam dilema pada Pilihan Raya Umum ke-13, untuk membuat keputusan sama ada Malaysia patut mempunyai sebuah permulaan baru dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru di Putrajaya, atau sama ada rasuah, salahguna kuasa, ketidakadilan dan ketidaksamarataan Umno Barisan Nasional perlu terus menggelapkan masa depan, harapan dan kehendak rakyat.

Terdapat dua prasyarat untuk Pakatan Rakyat menewaskan Umno Barisan Nasional dalam pertembungan merebut Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP mestilah mampu meyakinkan rakyat Malaysia kepada dua perbezaan penting antara Pakatan Rakyat dengan perikatan Umno Barisan Nasional.

Pertama, bahawa Pakatan Rakyat mengamalkan politik “Bersatu dan Perintah” yang membezakan dengan pendekatan tradisional dan memecahbelahkan “Pecah dan Perintah” Umno BN, yang memisahkan rakyat Malaysia  mengikut garis kaum dan agama bukannya menyatupadukan.

Melalui politik pembohongan, penipuan dan menakut-nakutkan, Umno Barisan Nasional menyebarkan mesej berbeza dan bercanggah di kalangan kelompok kaum dan agama yang berbeza, menyemai benih-benih keraguan malahan kebencian, yang tentu sekali bertentangan dengan tugas membina bangsa Malaysia.

Di kalangan orang Melayu, Umno menyebarkan pembohongan dan penipuan dalam bentuk amaran bahawa DAP sebenarnya yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada PRU13, Melayu akan kehilangan hak dan menjadi “pengemis di tanah sendiri”, Islam akan dipinggirkan dan  Malaysia akan menjadi negara Kristian, sistem Raja-Raja akan dimansuhkan dan Malaysia menjadi Republik. Dalam erti kata lain, DAP akan mengkhianati ikrar di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

Di kalangan kaum Cina, MCA akan menyebarkan pembohongan dan penipuan dalam bentuk amaran bahawa PAS sebenarnya yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat menang mengakibatkan korbannya hak-hak politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan agama bukan-Melayu dan bukan-Islam. Di sebalik pembohongan dan penipuan itu adalah mesej bahawa PAS akan mengkhianati ikrar di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

Ini merupakan amalan politik yang sangat tidak bertanggung jawab, tidak menghiraukan akibat buruk daripada taktik “pecah dan perintah” sedemikian rupa kepada proses pembinaan negara Malaysia.

Sebaliknya, parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP mahu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan, dengan visi dan objektif yang sama – untuk memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbir urus yang baik di dalam negara.

Juga tidak seperti Barisan Nasional di bawah pengaruh dan dominasi UMNO, Pakatan Rakyat adalah perikatan yang sama rata dan bergerak atas dasar muafakat. Tiada penguasaan dan dominasi parti-parti tertentu di dalam Pakatan Rakyat.

Kedua, kita mestilah meyakinkan rakyat Malaysia bahawa perbezaan besar Pakatan Rakyat dengan Umno BN adalah perikatan Pakatan Rakyat mengamalkan politik yang ikhlas, jujur dan amanah, yang mana janji dipegang erat dan tiada satu pun daripada tiga parti di dalam Pakatan Rakyat baik PAS, PKR atau DAP akan mengkhianati ikrar dan komitment yang telah dibuat di dalam PR, sama ada di dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga.

Saya menyeru semua pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, sama ada PAS, PKR atau DAP untuk menyokong sepenuhnya  perjuangan bagi membawa perubahan dalam PRU13 memandangkan ini sajalah caranya untuk menamatkan korupsi, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan ketidaksamarataan di bawah pemerintahan Umno BN.

Rencana di atas adalah kandungan ucapan Kit Siang selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur sewaktu Himpunan Kebangkitan Pakatan Rakyat di Stadium Mohammad IV, Kota Baru pada Jumaat, 16 November lalu.

Guna beg plastik, kitar semula mengecewakan


Kempen penjagaan alam sekitar, khususnya berkaitan amalan kitar semula masih tidak mencapai sasaran dan perlu diperhebatkan.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata penggunaan plastik di kalangan penjual dan pembeli yang begitu meluas menyebabkan amalan kitar semula dan pembuangan sisa pepejal begitu mengecewakan.
"Jika kita membeli di pasar malam, ketika membeli ikan adakalanya sampai dua, tiga plastik digunakan untuk membungkus ikan tersebut.  Agaknya plastik-plastik ini murah harganya," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di bawah Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, ke arah menjadikan usaha pemeliharaan alam sekitar itu berjaya, beliau mencadangkan kerajaan perlu mempunyai tempoh sasaran untuk penguatkuasaan penggunaan plastik.
Beliau turut mencadangkan kempen kesedaran mengenai penggunaan plastik digiatkan, di samping pendidikan di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran di peringkat awal.
Perkara tersebut turut menjadi tumpuan ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden, yang menggesa kerajaan agar melakukan langkah proaktif berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan beg plastik yang mudah lupus di pasar raya, kedai runcit dan mana-mana premis perniagaan bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar lebih sihat dan bermutu.

Syarikat penerbangan perlu adil kepada penumpang


AirAsia sebuah syarikat penerbangan tambang murah telah memberi banyak kemudahan kepada pengguna yang kurang berkemampuan untuk menikmati penerbangan tambang murah. Semua penerbangan AirAsia dikendalikan oleh Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).


Ramai yang bersyukur kerana dapat menggunakan khidmat penerbangan murah tersebut, walaupun dulu hanya terdapat sebuah syarikat penerbangan yang mengendalinya dengan mengenakan bayaran yang tinggi.

Walaubagaimana pun ramai juga yang kurang berpuas hati cara pengurusan pihak AirAsia terutama sekali mengenakan caj atau penalti kepada pengguna yang lewat atau tersalah info tentang jadual penerbangan atau tempat berlepas terutama sekali di KL LCCT. Ada juga caj tersembunyi walaupun dikatakan tambang murah.

Contoh penerbangan di KL LCCT untuk penerbangan domestik di mana ada setengah kuanter dibuka untuk penerbangan ke destinasi yang sama tetapi di tempat pintu perlepasan yang berlainan.

Ada sesetengah penumpang yang baru datang agak keliru dengan tempat perlepasan dan ada yang tersilap tempat menunggu sehingga apabila mereka sedar yang pesawat sudah pun berlepas hanya dalam beberapa minit saja.

Antara sebabnya adalah suara pengumuman kurang jelas dan tidak secara menyeluruh di kawasan tempat menunggu dan ada juga petugas tidak berada di kuanter sehingga waktu hendak berlepas barulah mereka muncul.

Ada yang sudah datang awal tetapi tiba-tiba pula jadual penerbangan ditunda lebih dari 1 jam tetapi tiada sebarang bayaran balik atau sekurang-kurangnya kupon hidangan ringan diberikan oleh pihak pengurusan AirAsia. Apabila penumpang datang lewat sedikit atau 10 minit lewat dari jadual penerbangan mereka pula dilarang masuk dan akan dikenakan penalti kalau mahu meneruskan penerbangan.

Inilah satu perkara yang tidak adil kepada pengguna, di mana hanya pihak syarikat yang untung dalam perjanjian yang agak berat sebelah ini. Kalau pihak syarikat yang membuat kesilapan, tidak pula pengguna dapat menuntut bayaran balik walaupun mereka terlewat setengah atau 1 jam lebih dari jadual penerbangan.

Macam-macam syarat pula dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna kalau mahu menuntut bayaran balik.

Pihak pengguna juga berhak menuntut bayaran balik sekiranya mereka terpaksa terlewat penerbangan disebabkan oleh pihak penerbangan AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan yang menangguhkan penerbangan mengikut jadual.

Kita mengesa agar pihak kerajaan mengkaji semula caj atau kos tersembunyi yang selalu dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna. Jangan hanya pengguna saja boleh dicaj atau didenda sedangkan apabila berlaku sebaliknya pihak syarikat pula boleh bebas tanpa sebarang tindakan dikenakan.

Kita mahu semua pihak dilayan dengan adil, bukan hanya pentingkan pihak korporat saja sehingga pengguna menjadi mangsa.

Harap perkara ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan mereka yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan dari pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Liga Arab hantar delegasi runding gencatan senjata


Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby telah berikrar untuk menyokong rakyat Palestin menentang "pencerobohan Israel" dan untuk menamatkan sekatan Gaza semasa rundingan antara menteri luar Arab di Kaherah.

Para pemimpin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu bahawa ketua Liga Arab akan mengetuai delegasi ke Semenanjung Gaza pada hari Ahad dan menyokong usaha Mesir untuk berunding berkenaan gencatan senjata.

Agensi Berita Maan melaporkan delegasi yang diketuai oleh Elaraby akan disertai Riyad Al-Malki, Menteri Luar Palestin, dan empat menteri luar lain. Hamas tidak lagi mengesahkan penyertaan dalam lawatan tersebut.

Mesyuarat Sabtu lalu telah diadakan selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran bermula Rabu lalu kononnya bertujuan menghalang Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, daripada melancarkan roket salvo merentas sempadan.

Pesawat Israel mengebom bangunan kerajaan Hamas Sabtu lalu di wilayah Palestin, selepas kabinet Israel memberi kebenaran mobilisasi sehingga kepada 75,000 pasukan simpanan, bersedia untuk pencerobohan darat.

Mesir telah menaja gencatan senjata tidak rasmi Oktober lalu, yang kini gagal. Mesir berkata mereka sedang mengusahakan satu perjanjian baru.

Presiden Mesir Mohamed Morsi berkata Sabtu lalu terdapat "beberapa petunjuk" gencatan senjata boleh dicapai tidak lama lagi antara Israel dan Gaza Palestin tetapi dia tidak dapat memberi jaminan yang pasti. - (aljazeera.com)

Rakyat Palestin dapat kemenangan atau syahid

Gaza dan Palestin terus diserang, selepas serangan demi serangan berlangsung sejak 1948 sehingga kembali meletus sejak Rabu (14 Nov) lepas. Israel yang bertanggungjawab ke atas serangan ini terus rakus bertindak di luar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa demi menjayakan agenda pembentukan wilayah Israel raya. Amerika Syarikat (AS) pasti sekali bersekutu dan bekerjasama dalam hal ini demi memastikan kepentingannya terpelihara.

Terbaru, Israel telah menyatakan komitmennya untuk melancarkan serangan ke atas hampir 1000 sasaran melibatkan pejabat, rumah pejuang dan pusat ketenteraan Hamas di Gaza. Dalam serangan sejak Rabu lalu itu, kini telah mengorbankan lebih 50 orang penduduk Gaza dan ratusan yang lain cedera teruk.

Gaza kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Dengan bilangan penduduk mencecah 1.7 juta orang di dalam kawasan berkeluasan 140 batus persegi menjadikan Gaza sebagai salah satu tempat paling padat di dunia. Lebih 10% kanak-kanak berusia dalam lingkungan 5 tahun terbantut tumbesaran mereka, lebih 30% hidup tanpa pekerjaan, setiap 1 daripada 5 kanak-kanaknya mengalami Post-Traumatic Stress Disorder, 45% rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan, hak asasi mereka khususnya makanan dan tempat tinggal diragut kejam oleh perbuatan durjana tentera Israel.

Perkembangan terkini ini sangat membimbangkan. Israel dan sekutunya tidak mustahil akan melakukan seperti dalam 'Six Days War' pada tahun 1967 sehingga terjajahnya sebahagian besar bumi Palestin, semenanjung Sinai dan Bukit Golan, atau juga 'Operation Cast Lead' pada tahun 2008 yang mengorbankan lebih 1,000 orang penduduk Gaza, bahkan mereka pasti bersiap siaga untuk melakukan lebih daripada itu.

Jika tiada peranan masyarakat dunia, negara-negara umat Islam yang berjiran dengan Palestin, dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk membendung konflik ini, perang besar pasti akan meletus lagi.

Alhamdulillah, pelbagai pihak telah memainkan peranan masing-masing. Di peringat antarabangsa, kebijakan dan komitmen Mesir dan Turki dalam menangani krisis ini amat diharapkan oleh muslim seluruh dunia.

Liga Arab, OIC dan EU perlu lebih tegas dan melakukan tindakan secara lebih komprehensif dan kolektif. PBB pula mesti bersikap adil menjalankan fungsinya dan tidak menjadi budak suruhan Israel dan AS dengan tunduk kepada kemahuan mereka bersandar kepada alasan "...hak dan tanggungjawab Israel untuk melindungi rakyatnya...".

Di Malaysia pula, kerajaan, parti politik, NGO Islam, pertubuhan hak asasi manusia, media dan masyarakat perlu berpakat berpadu tenaga menyelamatkan warga Gaza dan tanah air Palestin.

Insya Allah, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dengan upaya yang ada akan turut serta berpartisipasi menangani isu ini khususnya dalam memberi kefahaman dan maklumat semasa kepada masyarakat, dan akan mengadakan pertemuan serta kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengatur tindakan yang lebih efektif.

Selepas mengadakan pertemuan dengan duta Mesir Jumaat lalu, Selasa ini Gamis akan bertemu pula dengan duta Turki untuk mendapat maklum balas terkini perkembangan peranan Turki dalam isu ini dan juga bertujuan untuk menyerahkan beberapa cadangan kepada pihak kedutaan. Rabu ini pula Gamis bercadang untuk mengadakan piket mega di hadapan pejabat United Nations (UN) di Kuala Lumpur.

Meneliti sejarah panjang Gaza dan Palestin ini, Gamis yakin dan percaya bahawa pendekatan 'two state solution' pun tidak mampu mengembalikan keamanan di wilayah yang telah bergolak sejak berabad lamanya ini.

Gamis menyokong penuh perjuangan Hamas dan rakyat Palestin untuk terus berurusan dengan Israel dengan 'bahasa darah'. Hamas dan rakyat Palestin pasti sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid. Allahuakbar.

Kemenangan tidak dicapai hanya cakap mahu menang


AlhamduliLlah, Syukur kerana insya Allah kita semua dipilih oleh Allah untuk berada dalam kumpulan Islam seperti yang dinukil Allah dalam surah at-Taubah di mana kemuncaknya adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu politik. Politik ialah salah satu ciri manusia yang dicipta  Allah dan wajib dilaksanakan oleh kita semua. Lari dan meninggalkan politik ibarat menafikan fitrah dan sunnahtuLlah berjamaah dan bernegara.


Al-Quran menyebut tentang politik dengan berbagai-bagai perkataan – antaranya ialah khalifah, al-mulk, imam, manakala hadith menyebut dengan perkataan siasah. Semuanya membawa makna yang satu iaitu politik. Justeru, politik ini bukanlah suatu yang asing khususnya kepada kita anggota Gerakan Islam, PAS.

Peranan wanita @ muslimah dalam perjuangan Islam adalah menyeluruh sehingga mendirikan negara dan peranan ini telah berlangsung sejak awal sama ada di tahap makkiyyah  (yakni sebelum ada Negara) sehinggalah ke tahap madaniyyah (yakni setelah adanya negara).

Muslimat memainkan peranan memunculkan tokoh-tokoh besar sepanjang sejarah. Bukan sahaja Khadijah r.a, yang menjadi orang yang pertama beriman, menyumbangkan semua hartanya, menghabiskan masanya menyampaikan dakwah. Tetapi juga dapat dilihat melalui pengislaman Umar Al-Khattab & Hatim al-Ta’ieyang telah memeluk Islam hasil peranan adik perempuan mereka.Manakala Ikrimah bin Abi Jahal pula memeluk Islam hasil peranan isterinya. Begitu pula orang yang pertama syahid di dalam Islam ialah seorang muslimah. Muslimah hari ini tidak cukup sekadar upaya meratib nama mujahidah-mujahidah hebat ini, tetapi wajib bangkit turuti kecemerlangan, hikmah, fatanah hatta pengorbanan mereka.

“Kita mahu terus melihat Gerakan Muslimat PAS dalam senario politik tanahair ini tegar melolosi  mainstream yang ada. Bertindak pantas dalam budaya hikmah.Cekal berani dalam kelembutannya. Berjiwa Srikandi, berminda ‘alimah. Punya jati diri, jati emosi dan jati hati. Muslimat PAS yang tahu bagaimana untuk memastikan dirinya agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bilamana bersama dengan aktivis-aktivis wanita yang lain. Muslimat PAS yang mampu meletakkan idealisma hatta aqidah perjuangannya jauh tersohor.Lantas  menjadikan mereka jama’at el muslimat yang tinggi ‘izzahnya di sisi makhluk dan juga di sisi Allah.”

Wanita adalah yang pertama beriman. Wanita adalah yang pertama syahid. Wanita adalah yang pertama berjasa. Wanita adalah yang pertama berkorban. Ikuti dan contohi Wanita Pertama ini, bukan mengejar gelaran Wanita Pertama Malaysia!

Perjanjian atau Bai’ah Aqabah kedua telah melibatkan 2 orang muslimat. Justeru itu, Islam telah mendahului Barat selama lebih daripada 1400 tahun dalam melibatkan wanita dalam politik. Berbeza dengan Barat yang baru menyambut Hari Wanita Antarabangsanya pada tahun ini (2012) untuk kali yang ke-101. Maknanya Islam juga mendahului Barat  dalam usaha dan program mengiktiraf dan memartabatkan wanita.

Maka, apakah masih mahu mengambil formula lain dalam menerapkan falsafah Hormat dan Martabat Wanita bagi negara ini? Justeru yang demikianlah, Dewan Muslimat meletakkan Pendidikan dan khususnya intipati Prinsip Hidup Beragama mendahului 7 Tuju Tumpu dalam satu gagasan yang kami angkat dan telah dilancarkan oleh DS TG Presiden pada 1 Muharram 1434 Hbersempena M52 DMPP iaitulah Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia dalam menyahut hasrat Presiden dan Parti. Sebagai agenda awal selepas kita mengambil alih Putrajaya insya Allah.

Muslimat komited bersama PAS yang memilih demokrasi dan muwajahah silmiyyah (damai) kerana ini yang ditunjukkan oleh Allah Taala. Muslimat juga menginsafi bahawa peperangan hanya berlaku bila terpaksa. Hatta ketika berperang sekalipun diwajibkan menerima damai jika ada peluang untuk berdamai. Adapun jika musuh mahu menipu kita, maka Allah beri jaminan, cukuplah Allah sebagai pelindung. Maka bertawakkallah kepada Allah. IttaqiLlah. IttaqiLlah ini pada tiga keadaan ; perbuatan, perkataan bahkan juga perasaan. Kerana sesungguhnya…(Famay ya’mal mis qoola dzarratin khayrayyarah, wamayyakmal misqoola dzarratin sarrayyarah). Dan ini value kita, menjadikan kita sangat berbeza dengan yang lainnya. InshaAllah.

Dewan Muslimat dalam ucapan penangguhan ini mahu kita semua meberi tumpuan kepada 2 perkara: Pertama, Bersedia Daripada Semua Segi Untuk Menghadapi PRU13; dan Kedua Persiapan Mengisi Kemenangan.

Bersedia Menghadapi PRU13

  • Peka kepada permasalahan masyarakat dan rakyat
  • Kebajikan sebagai asas untuk berbuat pahala
  • Merakyatkan semua informasi berkebajikan vs  kebobrokan BN
  • Pendekatan psikologi ceria dan bijaksana.

Mengisi Kemenangan

  • Menggerakkan gagasan pemikiran pemerintah
  • Partisipasi dan merencana agenda untuk Malaysia selari dengan Islam
  • Yakin kepada kepimpinan yang ada ; dan
  • Hebatkan solat dan doa.

Beberapa hari ini kita telah pun mendengar ramai dari kalangan kita mahukan PAS menjadi parti utama dalam Pakatan Rakyat….


Rasional yang paling penting untuk kita fahami ialah ;bila kita kata kita mahu menang dan melangkah ke Putrajaya…maka bekerjalah untuk mencapai hasrat itu. Kemenangan itu tidak akan dicapai dengan hanya bercakap mahu menang. Tidak juga melalui cara cabar mencabar atau desak mendesak agar kita diangkat menjadi Ketua. Demikian juga, bila kita kata kita mahu PAS ini menjadi tonggak dan tulang belakang PR, maka bekerjalah secemerlang yang boleh sehingga kita layak mencapai hasrat itu. Dan, bila kita mahu pimpinan kita khususnya DS TG Presiden yang kita kasihi diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 misalnya; maka wajib kita berusaha sehabis mungkin untuk memenangkan semua kerusi Parlimen yang PAS bertanding, atau sekurang-kurangnya 60 kerusi seperti yang disebut oleh Naib Presiden, DP Hj Husam Musa.


Apakah ini mustahil? Insya Allah tiada yang mustahil. Marilah kita bekerja secara ITQAN dan IHSAN. Kelak inshaAllah Allah, Rasul dan orang-orang beriman akan menilai serta membuat perhitungan terhadap usaha kita. Jangan kelak kita tergolong sepertimana yang disebutkan dalam al Quran surah as soff : “amat besar kemurkaan Allah, bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat”.


Lihat wajah-wajah pimpinan kita di hadapan pentas ini. Lihat wajah DS TG Presiden kita.

Berilah muka kepada pimpinan kita, agar kelak mereka memimpin Negara dengan kekuatan gerak vkerja jentera parti kita (inshaAllah) yang menatijahkan kemenangan dan bukannya atas ihsan rakan-rakan Pakatan.


Ucapan Penangguhan Dewan Muslimat PAS Pusat Sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-58.

Mouaz Al-Khatib: Pemimpin pembangkang baru Syria


DOHA: Dalam soal percampuran politik dan agama, Sheikh Ahmad Mouaz al-Khatib, pemimpin baru pakatan pembangkang Syria mempunyai pepatahnya sendiri: "Ia adalah lebih baik untuk agama mencapai seseorang yang mempunyai kedudukan, daripada seseorang yang beragama mencapai kedudukan. "

Ahad dua minggu lalu, Khatib, seorang imam, penulis dan aktivis, telah dipilih untuk mengetuai Pakatan Kebangsaan Syria, kumpulan pembangkang yang baru bersatu bertujuan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.

Seorang bekas jurutera yang menghabiskan puluhan tahun dekad bekerja sebagai Imam di masjid-masjid di seluruh Damsyik, termasuk masjid berprestij, Masjid Umayyah, Khatib telah menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong revolusi anti-Assad.

Walaupun tokoh agama lain menyokong kerajaan Assad, Khatib adalah antara mereka yang pertama untuk mengumumkan sokongan bagi revolusi berkenaan.

"Ia seperti satu suntikan keyakinan telah disuntik ke rakyat Syria selepas beliau diumumkan sebagai ketua Pakatan Kebangsaan Syria," kata Maha, seorang aktivis pembangkang di Homs yang tidak memberi nama penuh beliau kerana takut dikenakan tindakan. "Kami akhirnya mempunyai seseorang yang benar-benar mewakili kami dan mewakili semangat revolusi."

Bercakap untuk kebebasan

Hanya 20 hari selepas meletusnya protes anti-rejim di seluruh negara pada 15 Mac, 2011, Khatib telah dilihat di pinggir bandar Damsyik, Douma, di pengebumian seorang penunjuk perasaan anti-kerajaan yang dibunuh oleh pasukan keselamatan.

"Kami bercakap untuk kebebasan setiap manusia di negara ini, untuk setiap Ahlus Sunnah wal Jamaah, Alawiah, Ismailiah, Kristian, bagi setiap Arab dan setia Kurd," ucap beliau pada hari tersebut di atas sebuah platform yang tinggi.

Penunjuk perasaan di pengebumian berkenaan memberi tindak balas dengan bersorak: "Orang-orang Syria adalah satu."

Dua hari berikutnya, Khatib di pengebumian penunjuk perasaan lain yang terbunuh di pinggir bandar Damsyik, Madimiyyah.

"Mereka yang bebas merasakan kesakitan orang lain, menijwai perasaan mereka, menangis dengan mereka dan menuntut  hak mereka," katanya kepada mereka yang sedang berkabung di Madimiyyah.

Khatib telah ditangkap beberapa kali kerana penglibatan beliau dalam gerakan, termasuk pemenjaraan yang terbaru pada bulan April 2012.

Dalam satu temu bual dengan Al Jazeera Ogos lalu, Khatib berkata bahawa seorang ahli  dalam lingkungan kecil Assad telah menghubungi beliau pada bulan Februari untuk meminta beliau tampil dengan inisiatif untuk menamatkan pertumpahan darah di negara ini kerana "kapal sedang karam dan kita semua berada di dalamnya".

Khatib berkata pegawai-pegawai kerajaan memberinya jaminan dan "ruang kebebasan" untuk menghubungi tokoh pembangkang dan mencadangkan draf inisiatif. Tetapi sebaik sahaja selepas beliau mengemukakan draf itu, yang memanggil untuk peralihan kuasa yang lancar, Khatib telah ditahan selama 11 hari. Dia melarikan diri ke Kaherah, Mesir, sejurus beliau dibebaskan dari penjara.

Ibrahim al-Assil, seorang penyelidik Syria berusia 28 tahun, yang menghadiri masjid di tempat Khatib mengajar berkata: "Menggunakan platform masjid, Khatib sentiasa mengkritik kesilapan rejim, beliau enggan menjadi seorang yang hipokrit dan memuji presiden dan enggan untuk membaca ucapan yang disediakan untuknya oleh pegawai-pegawai kerajaan. "

Khatib telah dipindahkan dari satu masjid ke masjid yang lain di Damsyik, sehingga pegawai rejim mengharamkan beliau daripada mengajar pada tahun 1994.

Pada tahun 2003, pihak berkuasa mengharamkan abangnya dari mengajar, dipercayai kerana dia adalah pengkritik lantang pilihan raya parlimen dan pencerobohan AS ke atas Iraq.

"Saya melihat Sheikh Mouaz Khatib membantah berseorangan di Masjid al-Huda. Beliau mempunyai kertas yang tergantung di dadanya dan satu lagi yang di belakangnya yang tertulis 'Kenapa mengharamkan abang saya, Menteri khazanah?'," ujar Assil.

"Ini adalah kali pertama dalam hidup saya untuk melihat protes di Syria."

Perjuangan untuk kebebasan bersama-sama pendekatan seorang beliau menjadikan beliau seorang tokoh yang popular dalam kalangan kebanyakan rakyat Syriak. Beliau telah menulis puluhan buku dan artikel mengenai agama dan masyarakat, menyokong kesaksamaan antara lelaki dan wanita, hak minoriti dan kemajmukan politik.

Sikap terpuji

"Saya mengenali beliau secara peribadi selama dua puluh tahun. Saya selalu menghadiri khutbah Jumaat beliau di masjid dengan kawan-kawan saya di Universiti Damsyik, kami semua liberal tetapi sangat berbangga dengan Islam dan mendapati beliau seorang tokoh yang bagus. Dia sangat berfikiran terbuka dan bersedia untuk bercakap dengan kami tentang apa-apa perkara, "ujar Rim Turkmani, astrofizik kelahiran Syria di Imperial College London" Sikap beliau terhadap wanita juga adalah sangat terpuji."

Khatib Adalah seorang yang merendah diri, ujar Assil. "Apabila kami melawat beliau di rumahnya, dia pasti akan melayan kami."

"Saya tidak suka memuja seseorang individu, tetapi beliau adalah seorang yang benar-benar istimewa."

Khatib mampu menjadi seorang tokoh konsensus dalam kalangan pembangkang. Tetapi beberapa pihak di Syria melihat kekurangan pengalaman politik beliau sebagai satu masalah. Pihak yang lain pula berpendapat pemilihan tokoh agama untuk memimpin Pakatan Kebangsaan Syria adalah tidak sesuai.

"Walaupun Sheikh Mouaz adalah seorang yang luar biasa, saya tidak fikir seorang pendakwah agama perlu terlibat dalam politik. Kami mahu mengekalkan sifat sekular Syria dan membina sebuah negeri sivil, di mana politik dan agama adalah berasingan, "ujar Randa, seorang aktivis dari Damsyik Syria.

Tetapi Fadi Salem, seorang penyelidik Syria yang berpangkalan di Dubai melihat Khatib sebagai "Islamis moderat" yang mempunyai banyak sokongan dalam kalangan konservatif Ahlus Sunnah wal Jamaah di bandar. Dia mampu menjadi tokoh untuk menangani ekstremisme.

"Rakyat Syria kini mempunyai pemimpin yang berkarisma dan berwibawa untuk berbincang dengan revolusioner, termasuk pejuang pembangkang, berlawanan dengan demagog yang sentiasa dahagakan darah," kata Salem.

Kemahiran pemimpin baru ini akan diuji serta-merta, dengan dia cuba mengemudi pihak asing dan domestik yang berkepentingan yang meminta membentuk masa depan Syria, Salem katanya.

Ramai rakyat Syria yang takut bahawa Khatib mungkin kehilangan legitimasi beliau dalam kalangan rakyat Syria jika keadaan buntu dengan pihak tentera berterusan dan bantuan antarabangsa tidak tiba.

"Mouaz Khatib adalah bunga. Saya takut ia ditanam dalam tanah yang masin, "tweet Ahmad Bakdash, seorang blogger Syria,.

Tetapi Khatib dengan terus terang memberitahu rakyat Syria Jumaat lalu: "Jika anda mendapati saya berbuat kebaikan maka bantulah saya, dan jika anda mendapati saya berbuat kejahatan maka pecatlah saya." (aljazeera.com)

Dasar perumahan timbul kekeliruan pembeli


Dasar Perumahan Negara yang dibentangkan baru-baru ini dilihat tidak memberi sebarang makna kepada pembeli yang menjadi mangsa projek terbengkalai.
Sebaliknya, ia hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan pembeli yang sebelum ini dijanjikan memperoleh pengecualian bayaran kos faedah atas pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai, tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
"Saya mengharapkan jawapan kementerian hari ini memberikan beberapa ramuan untuk menyelesaikan masalah pembeli yang terkesan dengan projek perumahan terbengkalai.
"Tapi, saya terkejut dengan jawapan menteri yang menyatakan status pembeli masih kekal iaitu terpaksa membayar bayaran bulanan dan juga caj faedah ke atas rumah mereka yang tidak wujud," kata beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
Berkata demikian sebagai mengulas jawapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bagi kementerian tersebut.
Selain menyifatkan pembeli menanggung kerugian sebanyak dua kali, manakala pemaju dan syarikat perbankan mendapat keuntungan dua kali, Azan berkata kerajaan seolah-olah 'takut' dengan pemaju dan syarikat perbankan.
Tegas beliau, pihaknya begitu bersimpati dengan nasib mangsa projek rumah terbengkalai yang sudah pun membuat bayaran ke atas pinjaman dan kadar faedah pinjaman tersebut.
Justeru, Azan mengharapkan kerajaan membuat pertimbangan semula berhubung perkara tersebut bagi memastikan nasib mereka yang teraniaya ini terbela.

Serangan Umno terhadap Nik Aziz sia-sia saja


Penyangga peluru berpandu dan semua muncung senapang Umno kini berpusing kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pula dalam kedudukan 90 darjah. Dua tiga hari lepas Umno menghala muncung senapang dan meriamnya terhadap Nurul Izzah Anwar, dan menyerang pemimpin wanita berbakat itu ekoran pandangannya mengenai sepotong firman berbunyi; tidak ada paksaan di dalam agama.

Bertalu-talu serangan dilemparkan kepada Nurul Izzah, pelurunya bagaikan hujan batu di waktu malam sehingga ahli parlimen Lembah Pantai itu tidak dapat 'mengah'. Ini termasuklah seorang mufti yang melakukan taubat 10 kali sehari dan merasakan dialah paling hebat dan tawaduk menyuruh Nurul Izzah bertaubat.

Walaupun mufti itu tidak menghalusi dan mengkaji dari sudut agama atas empat ilmusyariat, tarikat, hakikat dan marifah terlebih dahulu ke atas kenyataan Nurul Izzah itu, tetapi beliau sudah menjatuhkan hukuman bersalah - minta bertaubat.

Begitulah, dan benarlah kata hukama bahawa empat dari hakim itu tiga akan masuk neraka kerana membuat penghukuman tanpa usul periksa dan lebih kepada menggunakan tukul untuk cari makan. Sebab itulah mereka yang beriman dan beramal dengan imannya menolak dari dilantik menjadi hakim atau mufti.

Kalau Nurul Izzah hanya memberi padangan general begitu sudah diserang bertalu-talu apatah lagi dengan Nik Aziz yang direct menunding kepada Umno seakan sudah murtad itu, lagilah marah orang-orang Umno. Barang kali ada yang naik gila dan melondehkan kain sambil menghala 'anunya" kepada gambar Nik Aziz ekoran kata-kata ulasan Nik Aziz semalam itu.

Para ulamak Umno juga akan 'bercongek ekor' macam murai gila dengan kenyataan Nik Aziz itu. Sudah pasti dari semalam membawa ke Subuh ini, ada ustaz-ustaz Umno yang membelek kitab-kitab baru dan lama mencari hujah-hujah dan nas-nas untuk membaham Nik Aziz balik. Apakah erti dan guna semua itu? Kita bercakap soal perpaduan, soal perlunya ukhwah tetapi bila satu pihak dari kita melakukan kesalahan atas tafsir kita, kita pula membalas kesalahan itu dengan juga kesalahan lebih teruk. Hamlau...

Tidak mustahil juga dalam masa terdekat Majlis Fatwa Kebangsaan akan diperintah bersidang untuk membincang kata-kata Nik Aziz itu. Sebelum itu tentulah para pemimpin NGO-NGO Ubi Kayu, Ubi Keladi atau pun Ikan Ubi akan membuat report polis kononnya kenyataan Nik Aziz itu boleh menimbulkan huru-hara, memecah perpaduan dan mencemari kesopanan Islam. Tidak mustahil akan berlaku kerana ketumpulan jiwa terhadap agama menyebabkan berlaku apa yang tidak sepatut dilakukan itu. 

Semuanya tindakan-tindakan itu bertolak daripada ulasan Nik Aziz berhubung doa yang dibaca oleh adiknya Nik Razi Nik Mat selepas solat hajat dalam satu rapat rakyat di stadium Sultan Muhamad Ke IV malam Jumaat lalu. Adik Nik Aziz di dalam doanya menyebut dan memohon agar Allah menghancurkan Umno, seperti mana Allah menenggelamkan Firaun, Haman, Namrud dan Abu Jahal kerana kejahatan dan kezaliman dilakukannya.

Umno cukup marah dengan patah-patah doa itu dianggap sebagai melampau. Umno merasakan Nik Razi telah menyifatkan mereka sebagai Firaun, Haman, Namrud, Abu Jalal dan Abu Lahab. Umno sepatutnya tidak hairan kalau Nik Razi melabelkan watak dan karektor itu kepada mereka, kerana bekas presiden mereka sendiri pernah mengakui dan mengatakan; saya adalah Mahafiraun. 

Umno juga kurang cerdik dalam melayan doa berkenaan. Silap bagi Umno memberi respons sebegitu sekali. Dalam hal ini yang paling silap dan celaka sekali ialah media massa, seperti TV3 yang memetik dan menyiarkan audio visual setiap malam. Kalau TV3 tidak carry berita berkenaan mungkin ia akan lenyap begitu saja dan Umno tidak menghadapi masalah dengannya. Tanggungjawab sosial dan agama stesen tv berkenaan boleh dipertikaikan.

Sebenarnya jalan mudah bagi Umno untuk tidak berserabut dengan doa itu, parti itu lupakan saja. Ia boleh dianggap sebagai doa politik yang biasa dan boleh terjadi lebih dahsyat dari itu. Bahana kepada Umno apabila media menyiarkan doa itu menyebabkan orang ramai yang tidak tahu kaedah berdoa, akan memahami peranan dan juga bentuk-bentuk doa. Gara-gara itu akan ada di kalangan Umno berjumpa dengan guru mursyid bertanya mengenai status doa berkenaan. Lainlah kalau semua orang Umno memperakui Abdullah Samaah dan Harussani Zakaria sebagai guru mursyid mereka. Kalau ini berlaku walhasilnya Umno akan mengalami kerugian.

Itulah saya katakan media-media PB ini kadang-kadang tidak bijak dalam menangani isu. Media terutamanya wartawan dan editor merasakan apa yang dibuatnya sudah hebat dan penuh bijaksana. Sebenarnya ia menjadi liabiliti kepada taukehnya sendiri. Umno sendiri menerusi pegawai sarafnya harus memantau tingkah laku dan peranan media ini. Sepatutnya pegawai saraf Umno tidak mengiya secara buta tuli apa dilakukan oleh media massa PB.

Motif Umno hendak menjadikan doa itu sebagai isu politik ia tidak banyak memberi untung. Bagi mereka yang sudah kemas pengangan Islam, memahami segala ilmu didalam Islam akan melihat ia begitu saja tanpa menganjak hati mereka untuk menumpaskan simpati kepada Umno.

Dalam menghadapi peperangan politik Umno kena tenggelam isu yang dilemparkan oleh pembangkang yang jelas tidak relevan dengan perkembangan semasa. Ada isu yang boleh diketengahkan sekiranya ia mengalih pandangan dan mendapat sokongan rakyat, ada isu yang perlu didiamkan saja. Misalnya isu doa yang jelas sesuatu yang tepat kena ke atas muka Umno, sepatutnya disembunyikan. Janagan ambil bicara ke atas isu berkenaan. Umno tidak perlu menyelak kainnya untuk isteri sendiri di tengah ramai.

Umno kena faham apa yang berlaku itu ialah bersifat politik. Doa dibaca oleh Nik Razi itu adalah doa politik. Majlis munajat dan doa itu adalah majlis orang-orang politik. Doa politik atau apa-apa doa terserah kepada Tuhan sama ada hendak makbul atau tidak. Sesungguhnya Tuhan Maha Bijaksana menghitungnya.

Dan sebagai badan politik Umno juga boleh berdoa. Panggillah sekalian para ustaz dan ulamaknya berhimpun di Stadium Merdeka atau Bukit Jalail adakanlah solat hajat. Lawan apa yang Pas dan Pakatan Rakyat lakukan. Hujah lawan hujah, doa lawan doa. Solat lawan solat. Dalam kaedah Islam ada istilah "mubahalah". Nah lakukan. Mubahalah ini boleh dilakukan satu pihak atau kedua-dua pihak serentak. Selalu Umno menolak untuk melakukan kegiatan agama itu kononnya tidak mahu menunjuk-nunjuk dan memperalatkan agama untuk politik. Loya mendengar alasan ini sedangkan Umno tergamak menggunakan perkara lebih jijik dari itu untuk tujuan politik. Gambar lucah yang direkayasa telah digunakan Umno sedangkan ia lebih jijik dari doa Umno KO itu.

Apabila Umno nampak kecut perut dangan doa, nampak sangatlah Umno jahil mengenai agama. Kejahilan Umno takutkan kepada doa samalah ketakutan orang berdosa untuk menunaikan haji ke Makkah. Orang berdosa dikejar bayangan dosanya sendiri dengan membayangkan sesuatu yang buruk akan berlaku tatkala dia memijak laman Kabaah atau tanah haram. Ketakutan sebegitu adalah satu bidaah. Umno sebenarnya sedang berendam dalam lautan mitos dan bidaah.

Pas berbuat begitu kerana ia yakin dengan perbuatan Umno adalah satu kekejaman dan kezaliman. Mereka mengira penarikan balik projek pembinaan lebuh raya, di Kelantan satu kezaliman. Penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum satu kezaliman. Dengan segala macam penafian lagi oleh kerajaan BN yang ditulangi Umno satu pengkhianatan. Dalam kamus Pas wajarlah kalau Umno didoakan agar ditenggelamkan Allah seperti mana Haman, Namrud dan lain-lainnya.

Demikian juga kenyataan dan ulasan Nik Aziz, Umno sebagai murtad adalah benar dan persepsi cermin keyakinan agamanya. Apabila Umno tidak mahu melaksanakan Islam dan hanya bercakap saja, ianya ada ciri-ciri munafik dan murtad. Murtad bukan sahaja meninggalkan agama Islam dengan memeluk agam lain. Murtad ialah seseorang yang tidak patuh dan ingkar atau bertindak di luar batas-batas syariat Islam. Sesetengah ulamak menghukumkan pesalah murtad dengan hukuman mati.

Berdasar takrifan itu tepat kalau Nik Aziz merasakan Umno sudah murtad. Ada beberapa bukti jelas yang Umno menolak Islam. Enggan melaksanakan hudud, malahan memperlecehkan hudud adalah sebahagian tanda-tanda keingkaran kepada agama, ia juga murtad. Tidak menempati janji-janji sebagai pemerintah seperti mana disuruh oleh Quran, adalah ciri-ciri murtad.

Jadi Umno kena akur kepada apa yang Nik Aziz kata. Dengan menyerang Nik Aziz, Umno tidak akan mendapat apa-apa kelabaan, melainkan letih dan lelah semata-mata. Nik Aziz tidak boleh dikalah dengan peluru dan serangan hendap. Tubuh Nik Aziz kalis dengan peluru dan dia sendiri sudah mangli dengan serangan-serangan berbentuk moralis. Dia sudah kebal dan keramat. Kekebalannya bukan dia menuntut ilmu batin tetapi kerana keyakinan dan sokongan rakyat ke atas istiqamahnya dalam beragama.
Jalan keluar bagi Umno dalam berhadapan dengan pembangkang terutamanya Pas ialah, Umno harus mencuba melaksanakan beberapa tuntutan politik yang Pas inginkan yang juga berkebetulan sehasrat dengan Umno. Perkara pokok sekali ialah Umno isytiharkan bahawa Quran dan hadith adalah pegangannya. Tidak salah kalau Umno meralatkan atau bertaubat atas dosanya itu. Jika Umno berbuat demikian, nescaya Nik Aziz dan Pas akan mati akal. Umno juga akan mendapat dua pahala, pahala meninggalkan kemungkaran, pahala kerana menegakkan kebenaran. Di sini relatifnya Umno memperolehi pahala lebih banyak dari Pas?

Percayalah dengan menyerang, memburuk-burukkan Pas ia tidak akan memberi bekas. Apa lagi pemburukan itu dilakukan oleh orang yang ditohok oleh Pas. Pas kini umpama sinar terang yang tidak akan bertambah dengan sinaran bikinan manusia seperti Umno. Carilah lampu yang berkuasa tinggi mana sekali pun sinar yang ada kepada Pas yang terpancar dari langit yang bersalutkan Nur Islam tidak akan terlawan.

Kehadiran Umno dengan membawa cerita-cerita di mulut yang mahukan kepada Islam tidak ubah sebutir mentol kalimantang yang digantung di langit pada waktu siang tatkala mentari 'terik mengeni'. Kehadirannya tidak akan terasa dan dirasai sedikitpun. Tambahan hari ini, bukan saja Melayu yang beriman, tetapi yang kafir; Cina, India, Dayak, Iban dan segala macam juga turut sama mahu tumpang berteduh di bawah lambayung Kaabah bikinan Pas. Soalnya kenapa Umno tidak sudi untuk sama-sama membina Kaabah bersama Pas dan selama mana Umno mahu menjadi tentera Abrahyah? -http://msomelayu.blogspot.com/

PBS harus dikaji semula, jangan bebankan guru


PAS memandang serius isu yang sedang melanda bidang pendidikan negara mutakhir ini dalam memastikan konsep Negara Berkebajikan PAS menjadi acuan yang dapat menyelesaikannya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata, pendidikan harus dijadikan sebagai teras dalam Negara Berkebajikan malah dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya.

Tambahnya, gesaan itu selari dengan isu yang sedang melanda pendidikan serta warga pendidik di negara ini setelah Umno BN membawa satu lagi dimensi songsang dalam wahana pendidikan negara dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau berkata, sistem baharu tersebut umpama nanah yang sedang membarah dalam sistem pendidikan negara setelah 55 tahun Kerajaan Barisan Nasional memerintah, perubahan berkenaan dasar pendidikan yang sering diubah, lebih memburukkan keadaan, kebanyakan dasar itu bersifat ‘market-drive’ dan menanggung kerugiaan berbilion ringgit.

Sebagai contoh, katanya dasar PPSMI yang dilaksanakan di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir menelan belanja sehingga RM5.1 bilion, namum keputusan tahap celik pelajar ketika mana Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik hanya sebanyak 4% sahaja.

PBS yang dilaksanakan pada tahun 2011 hanya berdasarkan penilaian kepada mata kasar guru sahaja. Hal ini mendapat bantahan daripada guru keraja segala tanggungjawab berkenaan peperiksaan dibebankan kepada guru. Setiap aspek seperti menggubal soalan, menyemak dan memasukkan data perlu dilakukan guru yang mengajar.

"Saya menyeru supaya penstrukturan semula perlu dibuat dengan kadar segera bagi meningkatkan kembali mutu pendidikan negara dari terus dimanipulasikan dengan pelbagai dasar yang tidak menguntungkan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, ujarnya PAS komited dalam memperjuangkan agenda menambah baik taraf hidup guru dengan penambahan elaun insentif sebanyak RM500 seperti dalam tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang wajar diberi kepada setiap guru demi meningkatkan lagi tahap kredibiliti dan profesionalisme amnya.

Kementerian malu letak polisi Islam untuk belia?

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menggesa kerajaan agar memperkuatkan pembangunan insan kepada golongan belia bagi mengelakkan gejala sosial daripada terus meningkat.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan petang ini.

Menurutnya lagi, pembangunan insan adalah satu perkara yang penting kerana jika ia diterapkan dalam diri belia segala gejala sosial yang berlaku pasti dapat dikurangkan.

"Kita melihat kementerian seolah-olah malu untuk meletakkan polisi keislaman dalam dasar terutamanya melibatkan generasi belia.

"Apa yang pasti kerajaan perlu menjadikan agenda pembangunan insan itu sebagai satu perkara utama dan ini bagi memastikan gejala sosial dapat dikurangkan," katanya.

Jelasnya lagi, selain pembangunan insan kerajaan juga perlu turut mengembalikan golongan belia ini, terutama anak muda kepada konsep ketakwaan.

"Dasar pembangunan belia negara sebelum ini kita melihat beberapa strategi telah dirancangkan.

"Namum kita sendiri tidak pasti adakah ia dilaksanakan atau tidak tetapi yang kita tahu hanya budaya hiburan lebih diberi fokus oleh kerajaan kepada golongan belia," ucap beliau.

Beliau yang juga turut meminta kerajaan mengurangkan sogokan hiburan kepada golongan belia dan menjadikan majlis ilmu suatu keutamaan setiap kali tibanya Hari Belia Kebangsaan.

Tambahnya lagi, gejala sosial yang berlaku di negara ini adalah satu perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

Malah menurutnya, kerajaan perlu mempunyai satu rangka yang khusus dalam mengatasi gejala tersebut terutamanya kes melahirkan anak luar nikah dan pembuangan bayi.

Ahli PAS dekati pengguna dengan Touch n Get


Dengan dunia teknologi yang semakin berkembang pesat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melancarkan satu aplikasi Anroid pada muktamar tahunan ke-58 parti itu di Kota Bharu, minggu lalu untuk ahli dan penyokong PAS mendekati para pengguna melalui medium smartphone.


Parti Islam SeMalaysia (PAS)memperkenalkan aplikasi Android rasmi mereka yang dikenali sebagai PAS Touch n Get (TnG).

Buat masa ini, aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan IT PAS Pusat (JITP) ini masih tidak dimuat-naik ke Google Play Store dan memerlukan pengguna memuat-turun fail APK dan memasangnya pada peranti mereka.

Bagi anda yang menggunakan peranti Android, mungkin boleh memuat-turun dan mencubanya sendiri pada peranti anda hari ini.

Aplikasi Touch n Get (TnG) itu boleh dimuat turun dari laman webhttp://www.pas.org.my/TnG.

Pengarah IT PAS Pusat, Shuhaimi Embong memberitahu aplikasi Android PAS TnG sekarang ini dengan saiz sekitar 10MB masih mempunyai pelbagai kekurangan padanya seperti interface (antaramuka) yang memerlukan pengguna untuk mempunyai akses internet bagi melihat kandungan utama aplikasi berkenaan seperti sejarah PAS, info semasa, semakan daftar pemilih dan sebagainya melalui tujuh menu yang disediakan iaitu Berita, Kenali PAS, Aktiviti PAS, Webtv, Facebook, Twitter, dan Extra.
Dalam menu berita mengandungi berita Harakah, berita mengenai PAS Pusat, Ulamak PAS Pusat, Pemuda PAS Pusat, Muslimat PAS Pusat, Presiden PAS.

Portal seperti Tranungkite, Malaysiakini, Keadilan Daily, Bernama, Islam Online, dan Al-Jazeera boleh diakses menggunakan aplikasi ini.

Dalam menu Kenali PAS mengandungi sejarah, misi, visi, perlembagaan, pimpinan, keahlian, lagu rasmi, hubungi, direktori Pejabat PAS Negeri dan Kawasan.

Dalam menu WebTV mengandungi semua chanel WebTV PAS seperti TVPAS, KelantanTV, TV Selangor, TrgKiniTv, MakmurTV, AmanTV, EhsanTV, YopTV, KinabaluTV dan lain-lain serta Aljazeera, IslamChannel TV, TV Hijrah, etc.

Dalam menu Facebook dan Twitter pula semua ahli PAS Pusat, Ulamak Pusat, Pemuda Pusat, Muslimat Pusat, Harakah Daily, Mursyidul Am, dan Presiden PAS boleh diakses.

Akhir sekali, menu Extra mengandungi bahagian semakan pemilih, Al-Mathurat, Hadith Arbain, Doa Harian, dan Buku Jingga.

Namun, untuk beberapa info tambahan yang ditawarkan oleh aplikasi berkenaan, seperti doa-doa harian, hadith Arbaín, Al-Mathurat dan sebagainya, akses internet tidak diperlukan.

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu


Barisan Nasional tidak dapat meyorokan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh di ketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu bukannya parti yang tidak boleh di ketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang akan datang ini.




Maka pimpinan BN buat pertama kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat untuk beliau duduk di kerusi PM itu.  Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan parti yang baru beliau pimpin itu.

Selain dari masalah kejatuhan sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan penjelasan.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?

Pertamanya UMNO terpaksa berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara. Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih baik dari BN selama ini.

Keduanya, UMNO sendiri bermasalah dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’ dalam banyak hal serta permainan ‘cah keting’ yang menular di setiap peringkat parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.

Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah keadaan berpuak-puak dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’ yang mereka sangka akan mengambilalih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.

Itulah sebabnya saya sibuk melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.

Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.

Malahan ramai di antara mereka telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN) sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa bukannya mereka (BN).

Oleh kerana rakyat sudah merasa sedikit kenikmatan hasil dari pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke Putrajaya.

Seperti yang saya sebut tadi, UMNO mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya di sebabkan mereka hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.

UMNO berpuak kerana mereka sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambilalih secepat yang mungkin, jika boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.

Banyak di antara isu terhadap Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang. Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda tidak berapa lama lagi.

Saya suka mengulangi yang perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’ UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh pembangkang. Pendeknya Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan dalam UMNO itu sendiri.

Saya tidak tahu bagaimana UMNO boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.

Tentu Dr Mahathir tahu apa yang berlaku dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain dalam UMNO yang sudah lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.

Hanya saya berharap dan berdoa tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih Putrajaya jika di izin Tuhan.

Kita hanya merancang, Tuhan sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan mengakui yang kerja Tuhan  penuh misteri. Tetapi jika di dasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.

Jika DIA berkehendak semuanya boleh berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/