Saturday, June 7, 2014

Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses - Dr Asri


Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses - Dr AsriGelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bekas mufti Perlis mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

"Saya berpandangan isu ini tidak adalah satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini.

"Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini," katanya kepada Astro AWANI.

Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.

"Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.

"Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.


Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

"Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

“Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis,” tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.

Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur DNA babi dan sekaligus halal untuk dimakan. 

RUU kontroversi Johor tetap dibentang Isnin

 
Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin ini, walaupun mendapat pelbagai reaksi dan tentangan segelintir pihak.
 
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) berkata rang undang-undang baharu itu tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan di negara ini kerana akan dibacakan bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
 
"Insya-Allah, kita tengok Isnin nanti... Saya tidak fikir ia akan melanggar konsep Raja Berperlembagaan.
 
"Seperti yang saya sudah jelaskan, rang undang-undang ini mesti dibaca bersama-sama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di mana dalam undang-undang berkenaan menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh Sultan Johor adalah dengan nasihat Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas program Kayuhan Mesra Rakyat di Johor Baharu hari ini.
 
Beliau mengulas sama ada kerajaan negeri akan menangguhkan pembentangan rang undang-undang berkenaan ekoran segelintir pihak menggesa pembentangan itu ditangguh dan diteliti semula.
 
Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata soal pelantikan oleh Sultan Johor menerusi enakmen itu kelak mempunyai banyak persamaan dengan akta di peringkat persekutuan seperti lantikan beberapa jawatan termasuk Ketua Eksekutif Suruhanjaya Koperasi dan Gabenor Bank Negara yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
 
"Lagipun dalam rang undang-undang ini, Menteri Besar diperuntukkan untuk mempengerusikan sebanyak mana mesyuarat yang perlu dilakukan dan tidak pula menyebut Sultan yang akan mempengerusikan mesyuarat," tegasnya.
 
Menurut Mohamed Khaled, apa yang lebih penting penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu kelak membolehkan kerajaan Johor membina lebih banyak rumah murah dan mampu milik di negeri ini sekali gus memastikan rakyat mendapat kemudahan serta kediaman sendiri.
 
- Bernama