Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini, didakwa diarah menghentikan penggunaan pembesar suara ekoran aduan seorang ahli MCA, sebagai “mainan politik” pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.
Beliau menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengurusan masjid agar memperlahankan laungan azan atau tidak lagi menggunakan pembesar suara.
“Ini adalah mainan politik yang cuba dikalutkan oleh pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.
“Ini adalah proses politik yang dimainkan, memang tiada arahan apa pun daripada kita,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini ketika dihubungi
The Malaysian Insider hari ini.
Difahamkan tindakan masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan atas permintaan seorang peguam bukan Islam.
Semalam kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Jamil Khir
(gambar) memberitahu, dakwaan mengatakan pihak pengurusan Masjid Al-Ikhlasiah yang menerima arahan daripada “pihak atasan” supaya berhenti menggunakan pembesar suara ketika azan adalah tidak benar.
“Memang tidak ada arahan (dikeluarkan), lagipun mana boleh buat macam itu. “Tiada arahan bertulis cuma kita hanya dapat surat aduan daripada pengadu sahaja. Bila dapat surat (aduan) itu, kita lihat apa yang berlaku di sana (Masjid Al-Ikhlasiah).
“Sebenarnya memang tidak ada isu pun... hakikatnya tiada arahan yang dikeluarkan. Jadi mereka (pengurusan masjid) tidak perlu nak buat apa yang mereka buat sekarang, itulah hakikat dan tiada masalah,” katanya.
Jelas Jamil Khir, hanya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang ada kuasa untuk mengeluarkan arahan tersebut.
Semalam, ketika dihubungi
The Malaysian Insider, Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali juga menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.
“Bagi kita tiada arahan yang dikeluarkan. Lagipun yang boleh keluarkan arahan adalah Jawi.
“Kalau kita keluarkan arahan mesti satu Malaysia atau satu Wilayah Persekutuan, tapi sekarang Jawi pun tiada keluarkan arahan,” kata Jamil Khir.
Difahamkan peguam itu yang tinggal di Pantai Hill Park yang terletak kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Ikhlasiah telah menghantar surat kepada Perdana Menteri sebelum dibawa ke Jabatan Perdana Menteri dan Jawi dan kemudian dimaklumkan kepada pihak pengurusan masjid.
Dalam suratnya bertarikh 20 Disember 2010, peguam tersebut berkata dia ahli MCA sejak 1998. Katanya, dia tinggal di Pantai Hill Park sejak lima tahun lalu dan terjaga daripada tidur kerana laungan azan.
Dalam salinan surat yang diperoleh dari Internet, peguam itu berkata, “sebagai seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA sejak 1998, saya merasa amat kesal kerana sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas dari pihak Jabatan Perdana Menteri walaupun berkali-kali saya telah menulis surat menyuarakan masalah saya termasuk kepada JPM, MCA dan Gerakan.”
“Sebagai seorang penghuni yang telah lebih daripada lima tahun menghuni di Pantai Hill Park, saya sudah biasa kedengaran bunyi sembahyang subuh dari Masjid Al-Ikhlasiah yang berdekatan dan tidak menghadapi apa-apa masalah,” katanya.
Bagaimanapun kata peguam itu, sejak beberapa bulan lalu dia mendapati bunyi laungan azan tiba-tiba menjadi “amat lantang sehingga mengejutkan saya pada setiap pagi 5.45 pagi.”
“Ambil perhatian bahawa saya tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 21, dan jarak Pantai Hill Park dari masjid tersebut adalah lebih kurang satu kilometer.
“Menurut khabar angin, imam yang baru telah ditukar ke masjid ini,” katanya.
Dia seterusnya menulis, “saya juga pernah menelefon pejabat polis Kuala Lumpur dan menurut pegawai atasan di sana, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang mengawal bunyi sembahyang masjid dan lagi kuat bunyi itu lagi baik, untuk mengingatkan lebih banyak Muslim tempatan bangun bersembahyang.”
“Saya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi hak saya untuk tidur dan rehat serta bersembahyang agama sendiri dengan aman dalam permis persendirian juga harus dihormati.
“Saya berpandangan kekuatan pembesar di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu, melalui peraturan yang saintifik dan rapi seperti pengiraan decibel (dB), tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya sambil menambah,
“Seperti di rumah kampung saya di Seremban, didapati bunyi masjid itu adalah lebih rendah dan terkawal.”