Thursday, September 10, 2015

Memaknai sebuah istilah

Selepas PAS mengalami pergeseran dalaman yang dahsyat, ramai yang mula dapat melihat perbezaan yang dibawa oleh kumpulan progresif dalam PAS dengan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan ulama. Perbezaan itu bukan sahaja berkisar tentang soal meraih kemenangan ke Putrajaya atau soal komitmen terhadap pakatan pembangkang semata-mata tetapi ia juga melibatkan soal pendekatan dalam dakwah dan pelaksanaan Islam dalam pemerintahan. 

Kumpulan progresif yang kini telah berpisah dari PAS dilihat lebih selesa memberi tumpuan kepada isu-isu keadilan sosial selain mengutamakan soal pentadbiran yang telus dan adil. Hasilnya, tema perjuangan mereka lebih berkisar tentang isu amanah, intergriti dan urustadbir yang baik disamping menentang kezaliman pemerintah UMNO/BN.

Kepimpinan Ulama dalam PAS pula berpendirian untuk melihat akan keperluan isu-isu ketelusan dan urustadbir yang baik itu seiring dengan pelaksanaan syariat Islam yang menjadi kewajipan pemerintah. Sebab itu kelompok ini konsisten dengan agenda memartabatkan undang-undang syariah seperti pelaksanaan kanun jenayah syariah Kelantan 1993 disamping tegas memerangi penyelewengan UMNO/BN.


Saya tertarik apabila kumpulan yang akhirnya membentuk gerakan Harapan Baru ini begitu teruja menggunakan perkataan-perkataan seperti adil, amanah, progresif, wibawa, peduli dan sebagainya. Itu belum lagi diambil kira wacana-wacana kelolaan mereka yang kerap melontarkan perkataan 'rahmat', terbuka, anjal, toleran, 'inklusif' dan sebagainya lagi.

Saya tidak mempunyai masalah jika istilah-istilah ini diguna pakai ketika mengenengahkan agenda politik masing-masing, kerana memang tujuan berpolitik ialah bagi memberi kemaslahatan kepada rakyat dan negara amnya. Tiada istilah yang sesuai untuk menggambarkan betapa positifnya nilai-nilai yang didukung dalam perjuangan kita melainkan dengan menggunakan istilah-istilah tadi.

Namun saya melihat apa yang menjadi masalah ialah apabila mereka mula menghalakan beberapa label negatif terhadap kepimpinan PAS sedia ada. Sifat progresif, anjal, rahmat dan inklusif sering di kaitkan dengan jalur pendekatan mereka manakala label konservatif, ekslusif, jumud dan syadid (keras) di sandarkan kepada jalur kepimpinan ulama.

Hakikatnya perkara ini menjadi lebih penting terutamanya apabila istilah-istilah ini dikaitkan dengan mesej perjuangan Islam. Jika istilah-istilah ini dinilai dari kacamata siyasah barat maka saya fikir sesiapa pun berhak menggunakannya, atau menamakan dirinya dengannya. Namun apabila istilah ini digunakan untuk menamakan kelompok atau pendekatan yang kita wakili maka saya fikir biarlah penamaan itu sesuai dengan maksud yang terkandung di dalamnya.

Sepertimana juga kita berhati-hati dalam menilai istilah yang kita labelkan kepada seteru politik kita. Kita akui secara jujur bahawa kita patut menimbang semula dengan insaf istilah-istilah yang pernah kita lontarkan kepada kumpulan progresif PAS dengan tuduhan-tuduhan dan label-label negatif seperti liberal, anwarinas, tolak hudud, anti ulama dan sebagainya sepertimana kita juga mesti bersedia untuk 'menyemak semula' gelaran-gelaran yang di lontarkan kepada kepimpinan ulama yang disifatkan sebagai jumud, kaku, konservatif dan bersifat eksklusif.


Kembalikan maksud lafaz kepada perinciannya

Sebenarnya memang amat mudah bagi kita menggunakan sesuatu istilah yang negatif untuk di labelkan kepada seseorang atau kepada sekelompok manusia. Dan begitu juga mudah bagi kita untuk menyandarkan sesuatu istilah yang membawa maksud positif dan murni kepada diri kita atau kepada kumpulan yang kita wakili.

Namun atas pertimbangan sikap yang adil menuntut kita untuk menilai setiap istilah dan label pada isi kandungannya, dan bukan pada namanya.

Saya teringat krisis yang pernah berlaku antara Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h dengan ulama-ulama di zamannya takkala beliau dituduh dengan gelaran 'al-mujassimah' (orang yang menjisimkan Allah) dan 'al-musyabbihah' (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk).

al-Imam as-Sayuti (849H-911H), yang ketokohannya hampir menyamai al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut: “Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,.. salah seorang tokoh terbilang.... memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi),`illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..” (Al-Imam al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Namun, sebilangan pelampau dari kalangan pengikut ahli kalam dan filsafat telah berusaha untuk menjatuhkan peribadi ulama besar ini dengan menghukum beliau secara berlebihan di luar batas ilmu pengetahuan hingga terzahirlah pembohongan, pendustaan, persepsi yang berat sebelah serta dakwaan yang tidak benar mengenai akidah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Tanpa memahami terlebih dulu manhaj Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam soal akidah sifat serta kaedah-kaedahnya dengan kefahaman yang lurus, adil dan tidak didasari oleh rasa taksub dan berat sebelah kepada pendirian peribadi pihak-pihak tertentu, mereka bersegera melontarkan tuduhan sesat dan kafir kepada beliau kerana kononnya beliau menganut fahaman yang menjisimkan Allah. Mereka yang yang telah dikuasai oleh kejahilan dan sifat taksub ini tidak merasa malu untuk memfitnah peribadi ulama besar ini hanya dengan berpandukan dakwaan yang mereka dengar dari pihak tertentu. Ini sesungguhnya merupakan tindakan terburu-buru manusia yang mengikuti hawa nafsu (Ahlul Hawa) yang akhirnya membawa mereka kepada tertipu dengan kebodohan diri sendiri.

Antara cabaran yang dihadapi oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pada waktu itu ialah masalah penggunaan lafaz-lafaz mujmal (istilah-istilah umum yang maksudnya mungkin benar atau salah) dalam memperkatakan masalah aqidah terutama yang berkait dengan nas-nas sifat. Ini adalah hasil perkembangan pemikiran yang di bawa oleh ilmu kalam dan falsafah sejak awal kurun ke-2 hijrah lagi. Sementelah pula istilah-istilah itu tidak di gunakan di dalam bahasa Al-quran dan as-sunnah.

Sikap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ketika berhadapan dengan penggunaan lafaz-lafaz mujmal (samar-samar) yang berkemungkinan membawa maksud sahih atau batil yang digunakan oleh Ahli Kalam seperti: Tempat, arah, jisim, ruang, kedudukan dan sebagainya, maka beliau mengambil pendekatan Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan mengambil sikap (Tawaqquf التوقف) yakni: Berhenti - Tidak Isbat, Tidak juga Nafi melainkan setelah diperincikan maksudnya terlebih dahulu dan menolak penggunaan lafaz ini dalam menetapkan aqidah.


Ini merupakan kaedah al-salafus soleh yang menjadi pegangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak bersumberkan al-Quran dan sunnah.

Namun sikap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang menerima lafaz-lafaz umum yang selari dengan maksud Al-Quran dan as-sunnah namun bercanggah dengan kaedah falsafah ilmu kalam telah dianggap menjisimkan Allah hingga gelaran al-mujassimah atau al-musyabbihah di lontarkan kepadanya.

Dalam menetapkan maksud sifat istawa Allah di atas arasy umpamanya, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menerima penggunaan lafaz 'bersemayam' jika maksud si pengucap adalah sama seperti yang difirman oleh Allah di dalam Al-Quran, tanpa melanjutkannya dengan sebarang maksud yang ditokok tambah, namun menolak penggunaan lafaz 'bersemayam' jika maksud si pengucap menyalahi maksud yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah. Ini seperti menyamakan sifat bersemayam Allah dengan sifat makhluk secara qiyas atau tasybih.

Atas pegangan inilah, beliau dituduh sebagai al-mujassimah (orang yang menjisimkan Allah ta'ala).

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengulas tentang pandangan yang wujud berkenaan penggunaan istilah jisim :

"Ada pun perkataan jisim dan jirim, sama ada dalam konteks menafikan atau menetapkan kedua-duanya, maka ia adalah satu bid‘ah yang tidak memiliki asal usul dalam al-Qur’an mahu pun al-Sunnah, dan tidak pernah disebut oleh seorang jua daripada kalangan para imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) dan generasi al-Salaf, sama ada untuk menafikannya atau menetapkannya". [Dar’u Ta‘arudh, jld. 4, ms. 146].

Ini jugalah yang ditekankan oleh Al-Allamah Ibnu Abil ‘Izz Al-Hanafi rahimahullahu Ta’ala:

“Maka yang wajib untuk diperhatikan dalam bab sifat ini ialah segala sifat yang diistbatkan (ditetapkan) oleh Allah dan RasulNya maka kita mengisbatkannya dan sifat yang dinafikan oleh Allah dan RasulNya maka kita turut menafikannya. Kita hendaklah berpegang pada lafaz yang dibawakan oleh nas dalam mengisbatkan atau menafikan sifat. Kita mengisbatkan lafaz dan makna yang diisbatkan oleh Allah dan RasulNya. Manakala lafaz yang tidak ada penafian atau pengisbatan oleh nas maka kita tidak akan membiarkannya menjadi umum sehinggalah kita melihat apa tujuan orang yang mengatakannya: Sekiranya makna itu sahih maka kita terima, akan tetapi ia hendaklah diungkap dengan lafaz nas-nas dan bukannya lafaz yang mujmal (umum) kecuali ketika ia perlu disertai dengan qarinah-qarinah yang menjelaskan tujuan itu. Maksud ketika perlu ialah menunjukkan khitab kepada orang yang ada sesuatu tujuan dan tidak akan dicapai sekiranya tidak ditujukan khitab itu kepadanya dan sebagainya.” (Syarah Aqidah At-Thohawiyah).

Maka kesimpulannya, lafaz jisim atau apa-apa istilah yang seumpamanya yang mengandungi pengertian hak atau batil, Syeikul al-Islam Ibn Taimiyyah tidak pernah menetapkannya dan tidak juga menafikannya. Apa yang dimaksudkan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah adalah jelas, bahawa beliau tidak menetapkan sesuatu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Beliau juga tidak menafikan sesuatu melainkan apa yang dinafikan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Maka kita dapati Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah boleh menerima atau menolak lafaz yang sama bergantung kepada maksud si pengucap. Jika maksudnya benar maka diterima namun jika maksudnya salah maka lafaznya di tolak.

Ini kerana al-Qur’an dan al-Sunnah adalah neraca untuk menilai segala bentuk istilah-istilah (jisim, tempat, ruang dan sebagainya) yang digunapakai dalam persoalan ini. Segala istilah tersebut bukanlah rujukan sebenar bagi permasalahan ini, sebaliknya rujukan sebenar ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang berperanan sebagai hakim.


Apa ada pada nama?

Kesungguhan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h dalam menilai setiap istilah dan lafaz menurut neraca syarak memperlihatkan sikap cermat beliau dalam menisbahkan sesuatu terhadap ajaran agama ini. Beliau tidak menerima atau menolak sesuatu istilah secara semberono sebaliknya pendirian untuk menerima atau menolak adalah berpandukan kepada maksud asal yang dikehendaki agama. Ini berbeza dengan pendekatan ilmu kalam yang menentukan sesuatu maksud berdasarkan pada ilmu bahasa dan falsafah ilmu kalam. Akibatnya mereka menghukum sesuatu perkara itu tanpa merujuk pada maksud yang difahami oleh si pengucap sebaliknya pada istilah atau lafaz yang digunapakai. Begitu juga mereka mengenepikan sesuatu istilah atau lafaz sekalipun ia mempunyai maksud dan tujuan yang benar.

Begitulah sikap yang perlu kita contohi apabila berhadapan dengan pelbagai lafaz dan istilah yang kini kerap di kaitkan dengan agama. Hingga menjadikan kita begitu matang dan teliti dalam menilai istilah-istilah dan lafaz yang digunakan. Maka sikap kita adalah bergantung kepada tujuan-tujuan dan maksud yang terkandung di dalamnya. Kita tidak menerima secara terus maksud Islam 'moderate', Islam progresif atau Islam yang 'inklusif' sepertimana juga kita tidak menolak secara terus istilah Islam yang 'konservatif', jumud, kaku dan eksklusif.

Jika sekalipun lafaznya berbunyi 'canggih' namun jika maksudnya bercanggah dengan kehendak agama maka ia ditolak. Namun jika sesuatu istilah itu sekalipun kelihatan jumud dan 'konservatif' tetapi jika maksudnya menepati kehendak agama maka ia diterima.

Namun kita tidak nafikan ramai di antara kita yang mudah menilai sesuatu berdasarkan istilah dan bukan pada isi dan maksudnya, sehingga akhirnya kita telah membuat penilaian yang silap!



Kita sedar kehidupan di zaman kontemporari dan serba canggih menuntut kita untuk 'mempersembahkan' Islam dalam wajahnya yang moden. Lalu istilah-istilah seperti progresif, rahmat', terbuka, anjal, toleran, 'inklusif' dan sebagainya lagi mewarnai mesej gerakan Islam kontemporari. Ramai yang begitu tertarik dan merasa teruja dengannya.

Maka istilah-istilah seperti jumud, kaku, eksklusif, konservatif dan 80-an membawa konotasi negatif kepada si 'pemakai'nya. Maka ramailah yang menjauhi kelompok atau perkumpulan yang mewakili istilah-istilah ini.

Namun kita harus ingat bahawa perkara sebenar yang menentukan keabsahan sesuatu istilah bukanlah pada namanya tetapi pada pengisian, maksud dan tujuannya.

Saya ingin bertanya, benarkah kita akan 'inklusif' jika kita membenarkan orang bukan Islam mempunyai hak mengundi bagi memilih pemimpin, menentukan hala tuju dan dasar utama parti jika kita adalah sebuah jemaah dan gerakan Islam? Benarkah sampai sebegitu sekali sifat 'keterangkuman' yang cuba di gambarkan?

Benarkah kita akan 'eksklusif' jika kita hanya menyerahkan hak untuk menentukan hala tuju dan memelihara dasar parti kepada golongan ulama yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad berpandukan al-Quran dan as-Sunnah?

Benarkah kita akan 'progresif' jika kita mengenepikan disiplin-disiplin dan nas-nas syarak hanya semata-mata mahu menang dalam pilihanraya dan melangkah ke Putrajaya?

Sejauhmana pula kita akan 'konservatif' jika sesebuah jemaah Islam merasa 'izzah' ketika bertegas dalam mendukung dan mempertahankan dasar parti yang diperjuangkan sekian lama?

Benarkah kita akan 'anjal' dan 'toleran' apabila memerlukan persetujuan rakan komponen parti yang bukan Islam untuk melaksanakan undang-undang syariah?

Benarkah pula kita akan 'jumud' dan 'kaku' hanya kerana kita konsisten dengan dasar, matlamat dan hala tuju parti sebagai sebuah jemaah Islam tanpa mempedulikan suara bantahan bukan Islam?

Benarkah kita akan kelihatan 'rahmat' apabila hanya mendiamkan diri membiarkan penentangan dan penolakan bertalu-talu orang kafir terhadap perundangan Islam dan cara hidup Islam?

Benarkah pula kita akan kelihatan 'keras' dan 'bengis' hanya kerana memutuskan hubungan dengan orang kafir yang berterusan memberi penentangan dan menunjukkan rasa tidak senang kepada peraturan dan cara hidup Islam?


Memberi pengertian yang sebenar pada istilah

Ya, jika sekiranya kita ditanya, benarkah Islam itu progresif?

Kita mesti bertanya, apa yang anda maksudkan dengan Islam yang progresif?

Hal ini penting kerana kita tidak menetapkan atau menafikan sesuatu istilah yang tidak memiliki asal usul dalam al-Qur’an mahu pun al-Sunnah, dan istilah itu tidak pernah disebut oleh seorang jua daripada kalangan para imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) dan generasi al-Salaf, sama ada untuk menafikannya atau menetapkannya.

Maka yang penting untuk diperhatikan dalam masalah pendefinisian istilah ini ialah segala definisi yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya maka kita menerimanya dan segala definisi yang dinafikan oleh Allah dan RasulNya maka kita turut menafikannya.

Jika jawapan yang diberikan ialah Islam sentiasa progresif kerana Islam memajukan penganutnya kehadapan kerana Islam terbuka dalam menilai semula perkara-perkara yang berhubung dengan soal mutaghaiyirat (anjal & berubah), maka maksud ini kita terima.

Namun jika yang dimaksudkan Islam yang progresif ialah apabila nas-nas syarak yang thawabit (tetap) perlu ditimbang dan dinilai semula dengan kaedah yang pragmatik, sehingga memungkinkan manusia memberi tafsiran baru kepada nas-nas syarak diluar dari konteks asal yang disifatkan sebagai jumud dan kaku, maka maksud ini kita tolak.

Jika kita ditanya pula benarkah Islam itu konservatif?

Kita mesti bertanya, apa yang anda maksudkan dengan Islam yang konservatif?Jika jawapannya ialah Islam itu konservatif apabila penganutnya enggan keluar dari lingkungan nas syarak berhubung perkara-perkara yang thawabit (tetap), berpegang teguh kepadanya dan beriltizam dengannya, maka maksud ini kita tolak.

Namun jika jawapannya ialah Islam itu konservatif apabila penganutnya enggan keluar dari tafsiran yang bersifat mutaghaiyirat (anjal & berubah), tidak berusaha melakukan tajdid dan pengislahan umat serta berusaha keluar dari kepompong taqlid buta, maka maksud ini kita terima.


Pembaca TMI dakwa PAS diresapi 'ISMA'isme

Keratan rencana The Malaysian Insider BM yang menyiarkan pandangan pembacanya berkenaan fenomena 'ISMA'isme yang sudah mula bertapak dalam PAS.

Perubahan angin politik pasca muktamar ke-61 yang menyaksikan penyingkiran kelompok 'sederhana' dalam PAS telah mengundang persepsi bahawa PAS sudah diresapi elemen dari pertubuhan berhaluan kanan yang dikatakan anti Pakatan. Persepsi ini sudah wujud terutama selepas terbongkarnya screenshot Whatsapp AJK Pas Pusat yang menyaksikan bahawa ada pemimpin dari kalangan AJK Pas Pusat yang mengajak kepada idea gabungan dengan UMNO ketika krisis penyingkiran mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim. Pendedahan itu juga memperlihatkan bahawa memang wujud usaha pemimpin dalam AJK Pas Pusat yang berusaha mengembalikan kuasa politik melayu disamping lebih senang mengambil pendekatan 'menjentik' dan 'menyergah' masyarakat non-muslim yang menggugat hak eksklusif umat Islam.

Keadaan menjadi 'lebih' panas apabila Ketua Penerangan PAS yang baru, Nasruddin Hassan Tantawi di dalam ucapannya ketika Muktamar PAS ke-61 yang lalu memberi amaran kepada DAP agar tidak berterusan menyerang dan menyalahkan PAS di atas usul Dewan Ulama yang mengusulkan agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP. 

                                                                                                       
"Walaupun kami daripada Dewan Ulama rata-ratanya berkopiah dan berjubah namun dalam jubah kami masih ada siku dan lutut yang boleh digunakan," katanya dalam ucapan dasar Presiden ketika Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor, Jun lalu. Hal ini begitu berbeza dengan pendekatan PAS sebelumnya yang dilihat amat berhemah dan begitu berdiplomasi ketika berbeza pendapat dengan rakan sekutu. 

'Perang' saraf oleh golongan 'ustaz-ustaz muda' keatas kelompok progresif dan sederhana dalam PAS bermula sebelum muktamar berlansung lagi. Ini tidak ubah sepertimana serangan yang dilakukan oleh ISMA ke atas kelompok progresif PAS sejak kumpulan ini menguasai hampir sebahagian besar jawatan dalam AJK Pas Pusat. Kemuncaknya kelompok ini tumbang 'segugus' dalam pemilihan Muktamar ke-61 yang lepas.  

Maka dengan senario yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengundang persepsi bahawa PAS telah dikuasai oleh kelompok konservatif yang 'rigid' dan syadid (keras), mirip ISMA. 

"Semua itu adalah hal berkaitan dengan ISMAisme. Apa yang menjadi perhatian mutakhir ini, terutamanya ketika bermula bibit-bibit perpecahan PR, ISMAisme ini semakin meresapi dalam tindak tanduk PAS. ISMAisme dilihat sudah bertapak dalam PAS". Demikian tulisan saudara Mohd Azhar Abd Rahman.

Beliau turut mempersoalkan beberapa prinsip dan pendirian PAS yang dilihat sudah sangat berbeza dengan dahulu. 

"Beberapa kenyataan dan pendekatan PAS semakin mirip dengan pimpinan ISMA. Ini menjadi satu lagi perkara yang membingungkan penyokong-penyokong PAS yang neutral dan dahulunya bermati-matian menyanggah serangan-serangan ISMA terhadap PAS tetapi kini ISMAisme mula menyusup masuk dalam minda ahli-ahli PAS". 


Beliau turut menambah, ketika PAS mengambil pendekatan inklusif dengan mengambil kira kepentingan semua kaum, soal melayu bukanlah satu keutamaan. PAS tidak bergantung harap dengan survival melayu dalam mencapai cita-cita politiknya.  Ini ditambah dengan pendirian tegas TG Nik Abd Aziz yang tidak meletakkan bangsa melayu sebagai asas perjuangan. 

"Namun sejak akhir-akhir ini, PAS semakin terikut-ikut dengan ideologi ISMAisme. Pendirian ISMA yang sebelum ini disangkal PAS dengan bersungguh-sungguh menjadi sebaliknya. Kadangkala kenyataan yang dikeluarkan mengelirukan masyarakat umum samada ini PAS atau ISMA. Kenyataan-kenyataan yang dilontarkan berbau ISMAisme."

Beliau turut melahirkan kebimbangan akan kesan ISMAisme dalam menentukan halatuju PAS dan pengaruhnya dalam kepimpinan PAS. Meskipun kesan serapan itu masih belum ketara namun beliau bimbang perkara ini akan menjadi lebih serius jika ia tidak dikekang. Beliau mengkritik pendekatan ISMA yang dikatakan telah menakutkan masyarakat non-muslim dan berharap agar PAS tidak mencontohinya. 

"Sememangnya secara sedar atau tidak, ISMAisme menakutkan kaum bukan melayu dan bukan Islam. Mereka yang Cina tetapi Islam juga berasa kurang selesa dengan ISMAisme kecuali Ridhuan Tee Abdullah. Mungkin matlamat fahaman ISMAisme mahu melihat Islam didaulatkan itu selaras dengan PAS tetapi menakut-nakutkan kaum lain dan merendah-rendahkan mereka bukanlah ajaran Islam sebenar."ujarnya lagi. 

Kenyataan Media DPPM: "Gesa Kerajaan Bantu Peladang Hadapi Situasi Kejatuhan Harga Komoditi"


1. Kelembapan ekonomi global nyata memberikan kesan secara tidak langsung kepada kejatuhan harga komoditi terutamanya melibatkan industri minyak dan gas (O&G) dan minyak sawit negara. Lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran (BoP) kepada PNK menunjukkan penurunan daripada 4.8 peratus pada 2014 kepada 2 sehingga 3 peratus sahaja bagi tahun ini.
2. Malaysia sebagai negara kedua pengeluar minyak kelapa sawit dunia sudah pasti merasai implikasi daripada kejatuhan harga komoditi dunia tersebut. Ini disebabkan permintaan yang rendah dari China yang mengalami kelembapan ekonomi, pengukuhan dolar AS dan dalam masa yang sama harga komoditi minyak mentah yang rendah, memberi kesan negatif kepada industri biodiesel.

3. Atas faktor ketidaktentuan ekonomi global tersebut di samping permintaan yang rendah, harga komoditi minyak sawit telah menyaksikan penurunan kepada RM1,836.50 per tan berbanding pada 2014, harga komoditi tersebut pada paras di antara RM1,944 dan RM2,921 per tan.

4. Kejatuhan harga minyak sawit juga sudah pasti memberi kesan kepada pendapatan peladang yang bergantung sepenuhnya kepada industri kelapa sawit sebagai sumber utama pendapatan mereka.

5. DPPM menggesa kerajaan agar menyediakan suatu insentif bagi membantu meringankan beban peladang tersebut. Dalam keadaan tekanan ekonomi domestik dan antarabangsa yang dihadapi negara ketika ini, maka, keutamaan tidak seharusnya diberikan hanya dalam memperbaiki kerancakan industri eksport dan import negara semata-mata.

6. Malah, dalam suasana harga komoditi di pasaran antarabangsa kini yang terumbang-ambing dan sukar diramal, DPPM menuntut agar kerajaan segera menyediakan plan jangka panjang bagi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi sebegini. Para peladang selalu menjadi mangsa terakhir yang diabaikan pihak kerajaan setiap kali berlaku kejatuhan harga komoditi. Ia juga mestilah melibatkan pekerja dari semua industri lain yang berkait termasuklah industri getah yang juga mengalami kesan yang sama.

7. Kerajaan perlu lebih peka terhadap keperluan rakyat dan pendapatan keluarga terutamanya para peladang yang merupakan unit asas kepada pembangunan ekonomi sesebuah masyarakat dan negara. DPPM juga memandang serius perkembangan yang berlaku terhadap kejatuhan industri yang melibatkan perdagangan industri komoditi negara dan berharap ia akan segera pulih bagi menstabilkan kedudukan ekonomi negara.

8. Situasi politik ganjil dalam negara yang menyaksikan kekayaan melampau parti pemerintah melalui derma antarabangsa RM2.6 bilion begitu melelehkan air liur rakyat miskin bahawa kekayaan negara hanyalah berputar di kalangan bangsawan politik sahaja. Sayugialah rakyat juga turut diberi peluang merasai 'derma ganjil' ini melalui insentif dan pelan bantuan daripada pihak kerajaan seperti yang dinyatakan di atas.

Sekian, terima kasih.

Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia/Ahli Parlimen Pasir Mas
Bertarikh: 26 Zulqaedah 1436H/10 September 2015

Sajak Melayu