Wednesday, February 16, 2011

Nik Aziz: Kelantan sedia RM1.5 juta galak pasangan muda kahwin



KOTA BARU, 16 Feb — Kerajaan PAS Kelantan melancarkan “Gerbang Az-Ziwaaj” dengan peruntukan RM1.5 juta tahun ini bertujuan menggalakkan 1,500 pasangan muda kurang berkemampuan untuk berkahwin.
Semasa melancarkannya, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), berkata program bertemakan “Anda Bijak Kerana Berkahwin” itu bertujuan mengelakkan golongan muda dari terjebak dalam perzinaan dan menghalang kejadian buang anak luar nikah.
Melalui program itu, setiap pasangan diberi RM1,000 dalam bentuk cek dan peserta boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat kadi, pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri, kaunter khidmat pelanggan Setiausaha Kerajaan Negeri atau muat turun borang dari laman facebook “Gerbang Az-Ziwaaj” (Gerbang Perkahwinan). 

Mahathir gesa Nik Aziz henti salah tafsir Islam kerana politik diri sendiri



KUALA LUMPUR, 16 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan agama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang “dalam”, tetapi menggesa Menteri Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
“Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
“Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata bekas perdana menteri ini dalam jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.
Justeru kata bekas presiden Umno ini, “bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya.”
Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.
Sehubungan itu Nik Aziz berkata, Dr Mahathir sudah mula dijangkiti penyakit “Melayu Mudah Lupa” yang pernah disebutnya satu ketika dahulu, ketika menjadi perdana menteri dan presiden Umno.
“Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti Umno diharamkan pada 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.
“Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat timbalan presiden Umno pada 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu,” katanya.
Dalam entri terbaru di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata, percubaan Nik Aziz untuk memperingatkannya bahawa beliau akan berdiri di hadapan Allah satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah dirinya tidak tahu akan agama Islam.
“Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata, Nik Aziz yang Mursyidul Am PAS juga akan berdiri di hadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi.
“Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri,” kata bekas perdana menteri.
“Sehingga kita diadili di akhirat, kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa.
“Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz,” kata Dr. Mahathir sambil menambah, dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t.”
“Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman,” kata beliau lagi.
Dr. Mahathir juga berkata beliau tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundinya kononnya akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat.
“Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz,” kata Dr Mahathir.
Oleh itu jelas beliau, dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa atau menjamin balasan di akhirat kelak.
“Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang Umno sebagai jahiliah,” kata beliau dengan merujuk kepada kempen pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung bulan lalu.
Katanya, orang Umno adalah orang yang beragama Islam walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS.
“Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli Umno dan ahli PAS juga adalah orang Islam.
“Umno tidak mendakwa bahawa hanya orang Umno yang Islam atau dengan mengundi Umno menjadi Islam dan akan ke syurga,” katanya lagi.
Dr Mahathir juga berkatam oleh kerana orang Umno beragama Islam, maka perjuangan Umno ialah untuk bangsa, agama dan negara.
“Demikianlah pegangan Umno kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan Umno mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam.
“Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS,” katanya.
Sehubungan itu kata Dr Mahathir, asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme memandangkan penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis.
“Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam,” kata beliau lagi.
Beliau menambah, tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah.
Sambil bertanya apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup, Dr. Mahathir berkata, jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin beliau akan melihat perjuangan Umno untuk Islam secara yang terpampang di hadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli Umno berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam.
“Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas.
“Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz,” katanya lagi.
Malah Dr Mahathir terus mengkritik dengan berkata, sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihan raya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR.
“Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam.
“Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihan raya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Terima kasih Lokman, ramai lagi la yang benci Rosmah



Tak berapa hari selepas Lokman Nor Adam merajuk dari PKR, saya menemani seorang aktivis PAS menemuinya. Dalam pertemuan itu dia mengadu kesusahan hidupnya. Dia juga mendebik Azmin Ali, Senator Mohamad Ezam Mohd Noor dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana "hidupan mewah". Mohamad Ezamlah yang paling teruk didebiknya. Sampai ke peringkat tuduhan penggelapan wang. Mengenai Dr Wan Azizah pula, dia mendakwa baju-baju yang dipakai oleh Presiden PKR itu "harga beribu-ribu".

Saya sebagai peneman aktivis PAS tersebut, mendengar sahaja. Kadang-kadang melopong. Nak kata betul saya tak ada maklumat. Nak kata tak betul pun tak ada maklumat. Biasanya, saya malas menjadi lawyer tak berbayar. Memang, kalau kawan-kawan dari Umno menghentam pemimpin pembangkang, biasanya saya diam ja. Saya tak nak jadi lawyer tak berbayar kepada mereka. Tetapi, time aku hentam pemimpin-pemimpin Umno BN, mula la depa buat tergeliat telinga. 'Asabiyyah parti kuat nak mampoih, tak kira orang parti mana pun.

Semalam, Lokman tibai lagi 'gaya hidup mewah' Dr Wan Azizah. Hari ni orang jawab dalam Malaysiakini, "Who is high maintenance - FLOM or Kak Wan?"

Saya juga selalu mendengar kisah gaya hidup mewah tahap melampau Datin Seri Rosmah Mansor (sila klik gambar di atas supaya lebih cantik). Saya dengar ja. Saya tak tahu. Datuk Mumtaz Jaafar mungkin lebih tahu. Tetapi, bila banyak sangat orang bercerita, saya tak berani nak menolak cerita-cerita itu.

Malah, orang-orang veteran dalam Umno yang mengecam cara Rosmah berbelanja siap bercerita pesanan ayah Datuk Seri Najib, Tun Abdul Razak Hussein kepada isterinya, Tun Rahah Mohd Noah supaya berbelanja mengikut peruntukan. Abdul Razak tak nak malu kepada pegawai-pegawai jika isterinya berbelanja berlebihan, kata mereka. Mereka juga memberitahu, Rahah setia kepada pesanan suaminya dan tak pernah berlebihan.

Bagi saya, Rosmah seorang yang unik. Bukan senang nak jumpa seseorang yang dibenci oleh hampir semua orang - dari veteran Umno, orang Umno sampailah kepada budak-budak. Saya melihat sendiri budak yang berpaling dari TV dan minta TV ditutup apabila keluar muka Rosmah. "Kami tak ajar," kata ayahnya.

Apa pun, terima kasih Lokman kerana membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mengenali dan membenci Rosmah.
 
PB.

SMS, tweets spekulasi rombakan kabinet tersebar


Spekulasi mengenai pengumuman rombakan kabinet tersebar secara meluas melalui tweets dan SMS hari ini.

Bernama menerima banyak pertanyaan selepas khabar angin mengenainya mula tersebar melalui tweets dan SMS.

Malah, portal berita mStar Online melaporkan bahawa dua timbalan menteri akan dilantik sebagai menteri penuh, manakala presiden sebuah parti, juga akan turut dilantik sebagai menteri.

Portal itu menyebut bahawa kenyataan berhubung rombakan kabinet itu dijangka dikeluarkan.

Sebuah krew TV telah berkampung di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya menunggu pengumuman tersebut.

Seorang pembantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika dihubungi kira-kira jam 6 petang tadi, berkata bosnya tidak membayangkan apa-apa mengenai rombakan kabinet selepas mengadakan wawancara dengan sebuah organisasi berita Turki lewat petang ini.

Dan seorang menteri kabinet MCA, ketika dihubungi, berkata perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.
Sementara itu, malam ini, mStar menyiarkan sebuah lagi berita bahawa rombakan kabinet yang disebut-sebut akan berlaku petang ini, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, sehingga lewat petang ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebagaimana yang dijangkakan oleh ramai pihak.

Pada tengah hari tadi, mStar Online melaporkan terdapat desas-desus yang mengatakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein dan Presiden MIC, Senator Datuk G. Palanivel akan dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan kecil kabinet yang khabarnya bakal diumumkan pada lewat petang Rabu.

Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan pada 6 Disember tahun lalu diangkat sebagai presiden MIC menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengundurkan diri selepas 31 tahun menerajui parti itu.

Seorang lagi yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan menteri penuh ialah Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz baru sahaja dilantik sebagai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Jabatan Perdana Menteri.

'Rekrut pelampau Wahabi, andaian tak baik'


Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, dakwaan segelintir pihak kononnya Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Shah Alam merekrut pelampau-pelampau Wahabi adalah satu andaian yang tidak baik.

Beliau berkata Mediu yang beroperasi di Plaza Masalam di Shah Alam bukan sahaja menawarkan pengajian agama tetapi dalam bidang lain seperti bahasa, teknologi komunikasi dan maklumat, pendidikan, sains kewangan, pengurusan serta kejuruteraan.

abdullah ahmad badawi at bn meeting with najib"Jangan terlalu cepat membuat andaian akhirnya merugikan kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat kampus Mediu hari ini ketika diminta mengulas dakwaan penulis blog tertentu kononnya universiti itu merekrut pelampau Wahabi.

Abdullah berkata beliau amat gembira dengan perkembangan Mediu yang kini mempunyai 3,000 pelajar daripada 90 bangsa di seluruh dunia sejak ia beroperasi pada tahun 2007 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Rektor Mediu, Prof Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi berkata pula, berkata Mediu turut menarik pelajar-pelajar dari luar Malaysia untuk mengikuti pengajian secara online sepenuhnya.

Mediu mempunyai pejabat dan pusat pembelajarannya di Madinah, Kaherah, Kuwait, London, Yogyakarta, Makassar, Bangkok, Singapura dan Maghribi.