Para
pemimpin Umno diakui sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai
kerana mereka sebenarnya tidak pernah bersungguh-sungguh berjuang untuk
kepentingan bangsanya.
Sebaliknya,
mereka ternyata hanya berjuang untuk kepentingan diri sendiri, tetapi
sengaja mengaburi mata orang ramai terutama di kampung-kampung kononnya
berjuang untuk kepentingan bangsanya.
Untuk
menutupi tindakan mereka itu, mereka sanggup menyalahkan bangsa-bangsa
lain termasuk Cina dan India kononnya sebagai penghalang untuk mereka
bertindak lebih jauh bagi kepentingan bangsa Melayu.
"Adakah
ahli-ahli Umno di kampung-kampung percaya dengan perkara itu? Tetapi
percaya atau tidak, memang itulah realitinya yang perlu disedari,"
tegas bekas pemimpin Umno yang juga bekas wakil rakyat dari Umno, Datuk
Mohd Ariff Sabri Aziz.
Ketika
mendedahkan perkara itu, beliau menegaskan, kemiskinan orang Melayu
bukanlah berpunca dari tindakan kaum lain yang tamak dan mengambil
kesempatan dari ekonomi negara.
Sebaliknya,
perjuangan untuk membebaskan orang Melayu dari kemiskinan tidak
dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin Umno, sehingga
menyebabkan usaha mencapai saham bumiputera 30 peratus daripada
kekayaan negara sebenarnya tidak pernah berkembang.
Beliau
mengatakan demikian dalam tulisan terbarunya yang disiarkan sebuah
laman berita internet dan kemudian turut didedahkan dalam blog "Apa
Khabar Ganu Kita" semalam.
Bekas
Adun Pulau Manis, Pahang itu menegaskan, punca-punca kemunduran orang
Melayu adalah disebabkan oleh tingkah laku pemimpin Melayu itu sendiri.
Katanya,
kepimpinan Melayu di semua peringkat tidak bertindak demi kepentingan
orang Melayu sebenarnya, namun 30 orang pemimpin elit orang Melayu
bertambah baik kehidupannya.
"Walaupun
pemimpin Umno berjuang kononnya mempertahankan 30 peratus pemilikan
orang Melayu, mereka sebenarnya mengeksploitasikan hak-hak tersebut
untuk diri sendiri.
"Pemimpin
elit Umno itulah yang sebenarnya yang menjadi perasuah dan pengampu
yang berselindung di sebalik ketuanan Melayu," katanya.
Datuk
Mohd Ariff adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan yang
diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Jawatan
Ketua Penerangan itu bukan ditentukan secara pemilihan, sebaliknya
melalui cara lantikan oleh Ketua Bahagian dan beliau adalah orang
kepercayaan Najib sehingga dipilih sendiri olehnya untuk menjadi Ketua
Penerangan Umno Bahagian Pekan.
Dengan
jawatan-jawatan yang pernah disandang olehnya dan hubungan baiknya
dengan Najib, beliau berharap agar pendedahannya itu akan memberikan
kesedaran kepada orang-orang Melayu yang masih menyokong Umno agar
tidak lagi menaruh kepercayaan kepada parti itu dan BN untuk memerintah
negara pada PRU Ke-13 akan datang.