Tuesday, March 4, 2014

Gerakan Suara Orang Kampung dibawa ke ibu negara


Gerakan Suara Orang Kampung bagi membela nasib petani, penternak dan nelayan akan dilancarkan pada Khamis, 6 Mac ini.

Menurut pengarah gerakan tersebut, Sulaiman Ibrahim pelancaran tersebut akan diadakan di hadapan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, dekat sini pada jam satu tengah hari, bersesuaian dengan waktu makan tengah hari bagi pekerja pejabat.

Beliau berkata, setakat ini lebih 200 wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan menyatakan kesediaan menghadiri himpunan tersebut.

Himpunan yang mendapat sokongan Pemuda PAS Malaysia itu akan diisi dengan penerangan isu getah dan perarakan ke Bangunan Lembaga Getah  bagi menyerahkan memorandum mengenai isu harga getah yang tidak stabil.

"Kami akan cuba membawa lebih ramai wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan ke himpunan tersebut bagi menyuarakan permasalahan mereka.

"Mereka akan berpakaian yang menunjukkan identiti masing-masing termasuk membawa alatan asas untuk menoreh, berkebun dan turun ke laut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau lagi, penyerahan memorandum akan diiringi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat.

Sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah subsidi kepada penoreh getah sebagai penyelesaian jangka pendek sementara proses kajian dan semakan yang lebih terperinci dijalankan bagi mengatasi masalah kejatuhan harga getah.

Pemuda PAS juga mendesak kerajaan bertindak segera merangsang usaha penyelidikan menghasilkan produk berasaskan getah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Bersih 2.0 lancar Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini melancarkan ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’ untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Maria memberitahu bahawa Bersih 2.0 akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera hari ini untuk menyeru supaya pertuduhan Zaidi digugurkan.

Katanya, Bersih 2.0 menganjurkan kempen itu melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.

"Bersih 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran," kata Maria.

Jelasnya, semua penyokong diminta mengambil gambar mereka bersama kad yang menyatakan “Gugur pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi” dan menerbitkan gambar tersebut dalam Facebook dan Twitter masing-masing dengan hashtag #sokongzaidi sebelum perbicaraan Mejar Zaidi bermula April nanti.

Satu rombongan Bersih 2.0 yang terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Semenanjung Utara Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat Mandeep Singh dan Adam Adli, serta bendahari Ikram Mustafa Basri telah melawat Mejar Zaidi di rumahnya di Bertam, Kepala Batas pada 24 Februari lalu.

Mejar Zaidi dituduh melanggari arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau dikenakan tiga lagi tuduhan membuat kenyataan media tanpa kebenaran dan menghantar dua SMS yang berbau politik.

Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain.

Ini merupakan ketidakadilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat, kata Maria.

“Mejar Zaidi ialah wira negara yang sebenarnya. Jika kesemua rakyat seperti Mejar Zaidi berani bersuara mengenai yang benar dan adil, pastinya kurang kepincangan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

Maria juga mengingatkan bahawa Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapat keyakinan dan kepercayaan umum.

Namun belum ada sebarang tindakan dikenakan terhadap SPR terhadap kegagalan mereka yang nyata sekali dalam pengendalian dakwat kekal.

“Sebaliknya, seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah,” kata Maria.

Justeru, Maria menggesa orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan pada 8 April hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera TUDM Sg Besi, Kuala Lumpur.

“Tunjukkan kepada Mejar bahawa beliau bukan keseorangan. Sampaikan pesanan kepada semua bahawa tindakan yang patut dibanggakan dan dipuji ini tidak patut dihukum,” kata Maria.

Panel Mahkamah Tentera diketuai Kol Saadon Hasnan yang terdiri daripada Lt Kol Zainurin Mohd Dom, Mej Khuzairi Mohd Arshad, Mej Khairul Nizam Taib, Mej S. Nadzeer Salehuddin dan Mej Noor Azman Ahmad.

Kilang besi pertama dibina di Kelantan

Sebuah kilang besi membabitkan kos RM30 juta akan dibina syarikat Optimum Transform Sdn Bhd di kawasan perindustrian Staphanol, Kuala Krai.

Kilang tersebut yang pertama di Kelantan dibina dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di kawasan seluas 44.4 hektar.

Semalam berlangsung majlis menandatangani perjanjian membina kilang tersebut di antara PMBK dan Optimum Transform di pejabat Menteri Besar.

PMBK diwakili pengerusinya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, manakala Pengarah Urusan Optimum Transform, Steven Lee Seng On mewakili syarikat terbabit.

Menteri Besar berkata, kilang tersebut bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, tanah tersebut diberi dipajak selama 33 tahun kepada syarikat terbabit dijangka dapat meningkatkan lagi perkembangan ekonomi Kelantan.

“Kuantiti bijih besi di Kelantan agak banyak dan dengan adanya kilang syarikat tidak perlu lagi mengeksport bijih mentah keluar negara untuk diproses,” katanya pada majlis berkenaan.

Sebelum ini tanah mengandungi bijih besi yang dilombong di Rantau Panjang dieksport ke China dan Vietnam melalui pelabuhan Tok Bali untuk diproses.

Salinan Al-Quran tetap utuh dalam kereta hangus terbakar


Subhanallah, salinan Al-Quran tetap dalam keadaan utuh dalam kereta yang hangus terbakar di wilayah Jazan selatan Arab Saudi.

"Pemandu itu berkata kepada saya, kereta itu adalah milik ayahnya yang selalu menyimpan salinan Al-Quran di dalamnya," kata seorang saksi, harian Emirates melaporkan pada 2 Mac lalu.

Pengakuan dari pemiliknya menurut harian Saudi, dia sedang memandu keretanya di wilayah selatan Jazan Saudi dan secara tiba-tiba kereta terbakar, sehingga memaksa dia menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari keretanya.

Beberapa saksi memeriksa pemandu tersebut dan keadaan keretanya, mereka menjumpai salinan Al-Quran satu-satunya barang yang tetap utuh dalam kereta yang hangus terbakar.

"Ketika saya melihat ke dalam kereta yang hangus tersebut, saya terkejut melihat semuanya hancur dan hangus kecuali salinan Al-Quran yang masih utuh," katanya dipetik blog Detik Islam.

"Saya memutuskan untuk mendokumentasikan keajaiban ini dengan telefon bimbit saya."

Al-Quran adalah wahyu dari Allah, Pencipta alam semesta dan dunia beserta isinya.

Isu penghakiman ingkar: Jangan undang salah faham

Seluruh ahli PAS dinasihatkan supaya mengambil sikap bertenang dengan isu perintah penghakiman ingkar berhubung saman fitnah RM2 juta ke atas Tuan Guru Presiden.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, ahli-ahli PAS tidak wajar mengeluarkan pandangan yang hanya mengundang salah faham sekaligus menjejaskan kestabilan parti dan Pakatan Rakyat.

"Saya percaya ahli-ahli PAS matang menghadapi isu ini kerana bukan sekali kita diduga dengan masalah dan perbezaan pandangan. 

"Kecenderungan mereka untuk memberi pendapat itu pun tanda mereka prihatin dan sayangkan PAS tetapi tiba satu peringkat lebih molek serahkan pada tindakan selanjutnya di pihak pimpinan," katanya kepada Harakah.

Beliau turut memberi jaminan kontroversi di sebalik tindakan mahkamah oleh bekas calon KeADILan Dun Bukit Besi, Dungun, Mohd Shamsul Mat Amin ke atas Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu sedang diselesaikan dengan kaedah terbaik.

"Saya menyeru semua ahli PAS agar tidak melatah sebaliknya kembali terus bekerja kepada parti dan Pakatan Rakyat seperti biasa.

"Apa lagi, pada musim menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang ini. Kita harus jangan hilang fokus," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kes tersebut tidak melibatkan parti sebaliknya lebih kepada atas kapasiti individu. 

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, Presiden mempunyai beberapa bukti kukuh untuk mengetepikan tuntutan tersebut.

"Tambahan pula kes ini hanya kes biasa yang kerap terjadi dan hanya perlu dilalui mengikut proses biasa di mahkamah," katanya.

Sultan Kelantan mahu lebuh raya KB-KK dibina segera

“Beta tidak mahu isu ini terus dijadikan bahan percaturan yang menanggung beban kesusahan adalah rakyat,” titah Sultan Muhammad V.

Oleh itu baginda berharap projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat disiapkan demi kepentingan rakyat.

Titah baginda masing-masing pihak hendaklah memperlihatkan keikhlasan serta rasa tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan projek tersebut.

Bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dun Kelantan ke-13 hari ini baginda turut berharap projek jalan persisiran pantai dan projek-projek infrastruktur lain hendaklah dilaksanakan segera.

“Beta difahamkan Kelantan diberi peruntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah rolling plan ketiga RMK-10.

“Diharap juga kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek tebatan banjir di Sungai Golok untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah kepentingan rakyat hendaklah diutamakan dengan meminggirkan kepentingan lain.

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dirancang kerajaan pusat sejak Rancangan Malaysia Kelima, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

Berikutan itu kerajaan negeri merancang membina sendiri lebuh raya berkenaan sejauh 68 km melalui dana wakaf.

Kerajaan negeri mengeluarkan tender bagi membina pakej Machang-Kuala Krai bermula 15 Febuari lalu.

Tahun lepas kerajaan pusat turut mengeluarkan tender bagi membina pakej Kota Bharu-Kadok sejauh 7 km membabitkan kos hampir RM170 juta.

Ada bukti ketepikan penghakiman ingkar

Ahli-ahli PAS tidak perlu bimbang dengan perintah penghakiman ingkar berhubung saman fitnah RM2 juta oleh Mohd Shamsul Mat Amin ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana Abdul Hadi sendiri mempunyai beberapa bukti kukuh untuk mengetepikan tuntutan itu.

Bukti pertama yang dimiliki oleh Tuan Guru Abdul Hadi untuk mengetepikan tuntutan itu adalah terdapat beberapa peruntukan yang tidak dipatuhi oleh Mohd Shamsul selaku plaintif ketika menyampaikan pernyataan tuntutannya ke atas Abdul Hadi selaku defenden.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menjelaskan, manakala bukti kedua pula adalah pihak plaintif sendiri tidak mematuhi beberapa peraturan yang sepatutnya untuk mendapatkan perintah penghakiman ingkar daripada mahkamah ke atas Abdul Hadi berhubung kes itu.

"Kesemua bukti itu akan menyokong permohonan kita untuk mahkamah mengetepikan perintah penghakiman ingkar ke atas Tuan Guru Presiden PAS. Jadi ahli-ahli PAS tidak perlu bimbang mengenai perkara ini," katanya Harakah.

Ketika dihubungi 28 Februari lalu, Asmuni menjelaskan, tambahan pula kes tersebut hanya kes biasa sahaja yang sememangnya berlaku di mana-mana dan ia juga hanya perlu dilalui mengikut proses biasa di mahkamah.      

Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi telah menfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon KeADILan bagi kerusi Dun Bukit Besi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Februari lalu. 

"Permohonan itu telah difailkan menerusi saya sendiri, setelah saya sendiri mendapatkan tandatangan Tuan Guru Presiden sendiri. Mahkamah juga telah menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh pendengaran permohonan berhubung kes itu.
   
"Tadi pun (28 Februari), saya dah hantar salinan permohonan itu kepada peguam plaintif. Saya dah buat pos laju yang ditandatangi Penolong Pendaftar Mahkamah. Jadi sekarang kalau plaintif nak lawan, dia kenalah failkan afidavit untuk jawap afidavit yang dah kita failkan semalam," katanya.

Asmuni yang juga peguam kepada Tuan Guru Abdul Hadi bagi kes ini menjelaskan, selepas ini, jika perintah penghakiman ingkar itu dibatalkan, jika pihak plaintif hendak meneruskan dengan tuntutan itu, dia perlu mengambil langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang.

"Jika langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang itu tidak dibuat oleh pihak plaintif, kita pula boleh membuat permohonan untuk membatalkan permohonan itu. Ini samalah juga seperti kebanyakan kes-kes lain yang seperti ini sebelum ini," jelas beliau.   

Menurut Asmuni lagi, sebenarnya beliau baru mengetahui kehadiran perintah itu pada Ahad (23 Februari) walaupun perintah itu masuk pada Isnin (17 Februari) kerana plaintif tidak berkomunikasi dengan beliau atau peguam PAS mengenai perkara itu.
   
23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah memerintahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.
   
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Tuan Guru Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon KeADILan yang menjual pil kuda menjelang PRU13 lalu sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi, sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
   
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada 22 April tahun lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. -

Penjadualan agihan air kurangkan sengsara penduduk

 Kesengsaraan mengangkut air selama 17 hari untuk mendapatkan bekalan air bersih, akhirnya berakhir apabila penjadualan air dijalankan sejak dua hari lalu oleh Syabas selepas campur tangan Kerajaan Negeri Selangor.

Penduduk di Selangor, khususnya Balakong yang terputus bekalan air tanpa sebarang notis makluman melahirkan rasa syukur dan agak lega apabila penjadualan air dijalankan pihak bertanggungjawab.

Seorang pekerja swasta, Nur Suhaili Muhamad, berkata keperitan mengangkut air setiap hari sepanjang 17 hari lalu benar-benar menguji kesabaran, apatah lagi buat beliau yang bekerja.

"Setiap hari menunggu lori air untuk mengangkut air. Kadang-kadang timbul rasa geram kerana bila pulang dari tempat kerja, tangki sudah kosong. Sudahnya tiada air sebab bekalan tidak mencukupi.

"Terpaksa buat aduan, dan kemudian teruskan rutin sama untuk 17 hari dengan menadah dan mengangkut air untuk keperluan memasak dan mandi. Memang susah, sebab kadang-kadang bekalan tidak cukup," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, walaupun krisis air masih belum selesai, penjadualan atau catuan ini benar-benar melegakannya, lebih-lebih lagi apabila notis awal dikeluarkan sebagai persediaan untuk penduduk menyimpan bekalan air.

"Selepas catuan, Alhamdulillah ringan sikit beban. Tidak perlu bersusah-payah angkut air. Dua hari ada, dua hari tidak ada pun sudah bersyukur sebab sempat tadah air. Sepatutnya jika Syabas buat dri mula dulu, tidaklah membebankan pengguna," kata beliau.

Sementara itu, seorang pengguna di Wilayah Persekutuan yang turut berdepan dengan catuan air ini beranggapan krisis air yang melanda Selangor merupakan kejadian alam yang bukan dirancang oleh sesiapapun.

Nor Azmatun Ismail, 39 berkata keadaan cuaca yang menyebabkan kuantiti air di empangan menyusut menyebabkan terdapat beberapa kawasan yang terputus bekalan air, lebih-lebih lagi akibat pencemaran amonia di beberapa loji di Selangor.

"Walaupun saya menetap di Wangsa Maju, kediaman saya turut terlibat dalam catuan ini. Bagi saya, ia tidaklah begitu mendatangkan masalah kerana dimaklumkan awal. Jadi kita bersedia dengan menadah air ketika bekalan diberikan. Lainlh kalau tidak diberikan notis, apabila nak guna, tiba-tiba tiada air. Itu memang pengguna akan marah.

"Lagipun, ia bukan kerana kegagalan mana-mana pihak, tapi sebab cuaca kering yang menyebabkan penyusutan air di empangan. Bagi saya tidak masuk akal kepada sesiapa yang cuba kaitkan krisis air ini dengan kerajaan negeri Selangor," tegas beliau.

Biarpun sebelum ini Azmatun mendapat bekalan air tanpa sebarang masalah, beliau tidak mengganggap catuan ini membebankannya kerana memahami masalah pengguna lain.

Beliau beranggapan catuan ini juga membolehkan semua penduduk dapat menikmati bekalan air, dan bukanlah hanya penduduk tertentu yang menghadapi kesukaran tersebut.

Anak-anak pasangan dibicara di Sweden rindu ibu bapa

Dalam kesibukan bersekolah dan menjalani kehidupan harian di sini, empat anak pasangan warga Malaysia yang dibicarakan di Sweden ketika ini, atas tuduhan memukul dan mendera anak-anak mereka, begitu merindui ibu bapa mereka, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal.
    
Perasaan mereka diluahkan dalam buku yang akan dibawa ke negara itu oleh Duta Malaysia di Sweden Datuk Badruddin Ab Rahman yang mengunjungi mereka di sini hari ini.
    
"Mereka meluahkan dalam buku apa yang mereka rasakan untuk disampaikan kepada ibu bapa mereka di sana. Saya akan beritahu kepada ibu bapa mereka (melalui Badaruddin) bahawa mereka dalam keadaan sihat dan mereka nampak benar-benar rindukan ibu bapa mereka," kata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin yang melawat empat beradik itu di rumah keluarga mereka di sini bersama Badruddin.
    
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan mengikuti perkembangan empat beradik itu.
    
Azizul Raheem dan Shalwati didakwa di mahkamah di Sweden, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.
    
Hamzah telah membawa pulang ke tanah air empat beradik itu bulan lepas.
    
Sementara itu, empat beradik berkenaan masih berdepan dengan masalah penguasaan Bahasa Melayu di sekolah.
    
Aisyah Azizul Raheem, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor manakala  Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Kala sejak 9 Feb lalu. 
     
Aisyah berkata dia dan adik-adiknya masih belum dapat memahami secara menyeluruh Bahasa Melayu. 
    
"Persekolahan kami semuanya ok...tapi bila cikgu bercakap dalam Bahasa Melayu, saya masih tak faham," katanya kepada pemberita selepas kunjungan Hamzah dan Badruddin.