Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menolak dakwaan kontraktor Melayu dipinggirkan dari memperoleh kontrak menerusi sistem tender terbuka yang diamalkan negeri itu sejak Mac 2008.
Kata beliau, tanggapan bahawa orang Melayu tidak boleh bersaing dengan kontraktor bukan Melayu melalui sistem tender terbuka adalah salah sama sekali.
“Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang telah melaksanakan 23 tender terbuka di mana 7 (30%) daripada 23 dimenangi oleh kontraktor bukan Melayu dan baki 16 (70%) dimenangi oleh kontraktor Melayu.
“Manakala bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang telah mengeluarkan 66 tender terbuka, 22 (33%) dimenangi oleh kontraktor bukan Melayu dan 44 (67%) dimenangi oleh kontraktor Melayu,” kata Lim dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengamalkan sistem tender terbuka dalam semua kontrak dan pembelian Kerajaan melalui internet.
Lim mengatakan demikian sebagai mengulas pandangan beliau gagal memberikan kepimpinan baik di Pulau Pinang.
Rabu lalu bekas Pengerusi PKR Negeri Datuk Seri Zahrain Hashim menyifatkan Lim sebagai seorang Diktator, Cauvanis dan berfikiran Komunis.
Zahrain dipetik sebagai berkata PR tidak akan berkrompomi dengan pemimpin dari Melaka itu kerana Lim telah gagal memenuhi janji pilihan rayanya.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sistem tender terbuka, kontraktor kelas F yang mana hanya diberikan kepada golongan Bumiputera sahaja, buat pertama kali memberi peluang kepada mereka yang bukan kroni UMNO untuk mendapatkan kontrak di Pulau Pinang.
Sebelum ini, kontrak-kontrak hanya diberikan kepada kroni-kroni UMNO dan mereka dari luar Pulau Pinang.
Lim berkata adalah jelas persaingan melalui tender terbuka yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) adalah lebih telus serta telah memberi manfaat kepada semua golongan berbanding sistem rundingan terus Kerajaan BN kepada kroni-kroninya.
Apa yang amat menarik adalah hasil daripada pelaksanaan sistem tender terbuka kepada semua kaum, katanya.
Tambah beliau sistem tender terbuka telah membuktikan kontraktor Melayu dapat bersaing dengan kontraktor bukan Melayu dan berjaya memperoleh kontrak tersebut melalui merit dan kebolehan mereka sendiri.
“Jelaslah kepada kita bukan kebolehan sesuatu kaum yang menjadi persoalannya sekarang tetapi polisi yang salah yang telah menjadikan mereka bergantung hidup terutamanya apabila ia membantu Kerajaan BN mengekalkan kuasa yang dimilikinya.
“Contoh terbaik adalah negara China yang mengalami kebuluran dan keadaan ekonomi yang teruk disebabkan oleh polisi makan daripada “periuk besi tunggal” tanpa mengira sejauh mana mereka bekerja keras atau tidak.
“Walau bagaimanapun, semenjak negara China membuka pintu ekonominya dan membenarkan seseorang itu menentukan kejayaan dan pulangannya melalui kesungguhan dan kerja keras, negara China telah berjaya mentransformasikan negaranya daripada sebuah negara yang “sakit di rantau Asia” dalam tahun 1960-an kepada kedudukan ekonomi kedua terbesar di dunia menjelang tahun 2011,” katanya.
Lim berkata, BN telah mengamalkan polisi yang menyekat inisiatif, kerja keras, kesungguhan dan produktiviti yang mana ia hanya memberi faedah kepada segelintir kroni mereka.
Contohnya, kata Lim, kuota sebanyak 30% saham terbitan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia diberikan kepada orang Melayu hanya memanfaatkan segolongan orang Melayu sahaja sedangkan golongan kebiasaan yang lain tidak pernah mendapat saham atau pulangan daripada kerajaan persekutuan.
Oleh itu menurut Lim, kerajaan negeri berasa kesal dengan unsur-unsur yang bersekutu dengan BN yang terdapat di kalangan kerajaan PR dalam menentang usaha kerajaan melaksanakan sistem tender terbuka dan urus tadbir CAT.
Sumber -
Malaysian Insider