Saturday, July 19, 2014

MH17: Pengganas halang siasatan, cuba hapus bukti - Ukraine

KUALA LUMPUR: Kerajaan Ukraine mendakwa kumpulan pengganas pro-Rusia menghalang pelancaran siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, Khamis lepas.
    
Menurut kiriman terbaru dalam portal rasmi kerajaan Ukraine, http://www.kmu.gov.ua, kumpulan itu menghalang pasukan penyiasat dan pemantau antarabangsa daripada pergi ke lokasi nahas.
    
"Kerajaan dimaklumkan kumpulan pengganas telah memindahkan sebanyak 38 mayat ke rumah mayat di Donetsk di mana 'pakar-pakar' berloghat Rusia mendakwa mereka berhasrat melakukan proses bedah siasat.
    
"Kumpulan pengganas juga sedang mencari lori kargo untuk membawa serpihan pesawat ke Rusia," menurut laman web itu.
    
Kerajaan Ukraine secara rasmi berkata: "Pengganas dengan sokongan Rusia cuba menghapuskan bukti jenayah antarabangsa ini.    
    
"Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk memaksa Rusia menarik balik pengganasnya daripada Ukraine dan membenarkan pakar Ukraine dan antarabangsa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tragedi ini.
    
Kerajaan Ukraine juga berkata tidak ada pengampunan untuk penjenayah antarabangsa mahupun bagi mereka yang menyokong, melatih, membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan itu.
    
"Kerajaan (Ukraine) menyediakan semula peralatan teknikal yang sewajar dan anggota untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan forensik serta apa juga kemudahan untuk menghantar jasad mangsa ke negara asal masing-masing.
    
"Bagaimanapun pada peringkat ini, kumpulan pengganas menghalang usaha ini daripada berlaku," menurut laman web itu.
    
Penerbangan MH17, dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal, ditembak jatuh dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kesemua penumpang dan anak kapal disahkan terkorban dalam nahas tersebut yang berlaku, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.
    
Menurut laman web Pusat Media Krisis Ukraine, sebanyak 170 anggota pasukan mencari dan menyelamat Ukraine sedang menjalankan operasi di lokasi nahas di bawah muncung senjata kumpulan pengganas tersebut.
    
Semasa taklimat di pusat media di Kiev, kira-kira 400km dari lokasi nahas di daerah Sharkhtarsk, wilayah Donetsk, jurucakap Pusat Maklumat Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat begitu rumit sekali dengan kehadiran pengganas bersenjata di kawasan berkenaan.
    
Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat itu meliputi kawasan seluas 25km persegi dengan kira-kira 18km persegi sudah diselesaikan dan pasukan penyelam telah memeriksa lebih dua kilometer takungan air di kawasan itu.
    
"Setakat pukul 7 pagi waktu Ukraine, 19 Julai, sebanyak 186 mayat telah ditemukan," katanya.

Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa hari ini hingga 2 Ogos ini.
    
Ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.
    
"Memandangkan keadaan keselamatan di perairan di beberapa daerah di Sabah dalam keadaan terancam dan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai serta mengganggu kehidupan ekonomi masyarakat setempat berikutan berlakunya pencerobohan pengganas Sulu, maka pihak polis memutuskan untuk menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan terlibat.
     
"Kuasa untuk saya isytihar perintah berkurung adalah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Polis 1967. Kuasa saya, (perintah berkurung) ini tidak melebihi 24 jam.
    
"Tetapi saya sudah menulis kepada menteri dalam negeri dan menteri bersetuju memberi tambahan tidak melebihi 14 hari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Dengan pengisytiharan perintah berkurung berkenaan, Jalaluddin berkata tiada
sesiapa pun, kecuali anggota keselamatan dan orang yang diberikan pengecualian yang boleh berada di dalam kawasan yang telah ditetapkan dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata mana-mana orang, selain anggota keselamatan yang perlu memasuki atau melalui kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung perlu mendapat permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) di kawasan mereka berada.
    
Turut hadir Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun.
    
"Oleh itu, saya telah mengarahkan semua OCPD untuk memberi notis kepada
Jabatan Laut serta semua pihak yang ada kepentingan di kawasan ini termasuk
pengusaha calet dan sangkar ikan yang berada di dalam kawasan perintah berkurung, hari ini. Saya telah berhubung dengan Ketua Menteri Sabah memaklumkan tindakan ini. Saya juga akan berhubung dengan ketua keselamatan negeri dan pegawai daerah," katanya.
    
Jalaluddin berkata sesiapa yang dijumpai di kawasan perintah berkurung adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah Seksyen 3 (2) Akta Polis 1967 serta dituduh di mahkamah dan dihukum mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967.
     
Beliau berkata mana-mana orang yang berada di dalam kwasan perintah berkurung juga apabila diarah oleh anggota pasukan keselamatan untuk berhenti dan diperiksa hendaklah meberi kerjasama dan sekiranya gagal berbuat demikian anggota keselamtan akan mengambil segala tindakan yang perlu termasuk menggunakan kekerasan yang dibenarkan oleh undang-undang.
    
"Memandangkan kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah
berkurung adalah meliputi kawasan lautan dan melibatkan penggunaan bot, perahu atau kapal, maka anggota pasukan keselamatan akan memberikan arahan dengan menggunakan pembesar suara, lampu, siren atau cara-cara lain yang bersesuaian.
    
"Oleh itu orang awam adalah dinasihatkan mengambil perhatian terhadap
cara-cara yang dinyatakan itu," katanya.
    
Beliau berkata mana-mana pihak yang melanggar peraturan perintah berkurung boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
    
kata Jalaluddin, apabila terdapat suspek yang disyaki telah melakukan penculikan ataupun pembunuhan yang hukumannya adalah gantung sampai mati atau penjara seumur berada di kawasan perintah berkurung, maka anggota keselamatan boleh melepaskan tembakan ke sasaran berkenaan.
    
Mengenai nelayan laut dalam yang mungkin terpaksa keluar menangkap ikan pada waktu malam, beliau berkata mereka boleh memohon permit daripada OCPD untuk melalui kawasan perintah berkurung, namun mereka tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan perintah berkurung.
    
Malah katanya pelancong yang berada di pulau peranginan juga tidak dibenarkan keluar dari pulau berkenaan atau melakukan aktiviti selaman dalam tempoh perintah berkurung bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih mantap.
    
"Kalau dalam tempoh 14 hari, saya memikirkan kawasan ini masih tidak selamat, kita akan bincang semula dan kita akan mengambil tindakan susulan sama ada kita menggunakan Public Order (Preservation) Akta 1958 (POPA) atau mengikut pertimbangan undang-undang yang diperuntukan.
    
"Kalau POPA dikuatkuasakan, kuasa diberi kepada OCPD (isytihar perintah berkurung) tidak melebihi 24 jam, Pesurujaya Polis tidak lebih 48 jam dan menteri tiada had. Tapi untuk peringkat permulaan, saya pakai Akta Polis," katanya.

Sidang Parlimen Khas, PAS arah semua hadir

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahli parlimen mereka wajib hadir pada sidang Parlimen Khas mengenai nahas pesawat MAS MH17 yang akan diadakan pada 23 Julai nanti.

Berkata pada Harakahdaily, Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyambut baik cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian atas insiden yang berlaku.

Beliau turut berharap ia akan menjadikan satu permulaan dan amalan yang baik ada sidang sedemikian diadakan pada masa akan datang untuk membincangkan topik-topik yang berlaku di peringkat negara mahupun antarabangsa.

"Saya menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menanggil sidang parlimen khas bagi membincangkan insiden MH17 yang djadualkan pada 23 Julai nanti.

"Ini yang dituntut oleh PAS khususnya Pakatan Rakyat supaya sidang khas diadakan bagi kita membincangkan serta memberi pendapat dalam pelbagai isu terutama membabitkan kepentingan awam," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu meminta agar sidang khas ini tidak menjadi sidang kali pertama dan terakhir kerana perbincangan yang dilakukan di parlimen akan dapat mencari penyelesaian terbaik.

"Sebelum ini sudah banyak kali kita cadangan tetapi kerajaan tidak bersedia, saya harap ini bukan kali pertama dan terakhir.

"Ia perlu dijadikan amalan dan budaya dalam negara ini, seperti isu di Gaza sepatutnya sidang khas diadakan kerana ia membabitkan hal kemanusiaan sejagat serta tanda keperihatinan kita," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut mengarahkan agar semua pejabat dan kompleks PAS di seluruh negara mengibar bendera separuh tiang sebagai tanda simpati kepada nahas tersebut.

Sebelum itu, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah bersama Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Ismail Salleh, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah Musadak Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Kedah Sanusi Md Noor telah menurunkan bendera separuh tiang di Kompleks PAS Negeri Kedah di Batu 9 Jalan Kota Sarang Semua sebentar tadi.

10 lagi penduduk Gaza terkorban dibedil rejim zionis

Serangan tentera rejim zionis Israel yang memasuki hari ke-12 membunuh 10 lagi penduduk Gaza melalui bedilan dari udara awal pagi ini.

AFP yang memetik jurucakap pasukan kecemasan, Ashraf al-Qudra melaporkan tujuh orang terkorban di luar sebuah masjid di Khan Yunis, di selatan Gaza.

Dengan korban terbaru itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh tentera zionis meningkat kepada 306 orang sejak serangan yang bermula 8 Julai lalu.

Sementara itu dilaporkan, hanya seorang tentera dan orang awam negara haram itu terbunuh.

Gaza akan jadi kubur tentera rejim Israel - Hamas




KUALA LUMPUR: Hamas mengingatkan rejim zionis Israel bahawa Gaza akan menjadi perkuburan kepada tentera negara haram itu.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menegaskan demikian semalam, sehari setelah rejim Israel melancarkan serangan darat ke Gaza.

“Kami memperingatkan Israel terhadap perang darat,” katanya kepada bilik berita Lebanon Al-Mayadeen TV.

Ini, jelasnya seperti operasi yang akan memungkinkan Hamas untuk membebaskan tahanan mereka yang masih berada di penjara Israel.

"Kami akan menangkap tentera Israel dan lakukan pertukaran tawanan berikutnya atau Gaza akan menjadi kuburan bagi tentara penjajah, dan ini bukan slogan. Waktu akan mengungkapkan untuk si pengecut Netanyahu. Dia akan membayar harga yang mahal," tegasnya dipetik daripada portal eramuslim.

Ditanya mengapa Hamas tidak mahu menghentikan serangan roket sehingga mendorong kabinet Israel untuk memilih operasi darat, Abu Zuhri menegaskan "itu semacam keputusan yang akan kami lakukan selama masih dalam penjajahan. Dengan pengorbanan darah ini [yang disebabkan oleh pertempuran dengan Israel], kami akan membawa kehidupan yang normal di  Jalur Gaza”.

PAS Kedah anjur solat jenazah ghaib MH17

ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah akan mengadakan majlis solat jenazah ghaib khas untuk jenazah muslim yang terkorban dalam tragedi pesawat MAS MH17.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata (Gambar), makluman kepada semua Yang DiPertua PAS Kawasan seluruh Kedah telah dilakukan untuk dipanjangkan kepada seluruh ahli PAS di negeri ini.

Ujarnya, semua ahli diminta bersiap sedia pada bila-bila masa untuk hadir ke majlis tersebut yang akan diadakan di Kompleks PAS Kedah sebaik sahaja pengurusan jenazah mangsa hingga boleh disembahyangkan di Ukraine diselesaikan.

"Kami akan sentiasa memantau urusan ini dari dekat melalui media dan sumber- yang berada di sana," ujarnya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, sebentar tadi.

PAS Kedah katanya, turut merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu dan diharap mereka terus bersabar serta menyerahkan kepada pihak berkuasa menguruskan kes tersebut diperingkat antarabangsa.

PAS Kedah juga maklumnya, turut menyambut baik seruan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak supaya bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang dan telah mengarahkan semua markaz PAS seluruh Kedah menaikkan bendera separuh tiang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar mengetuai arahan mengibarkan bendera Malaysia separuh tiang di Kompleks PAS Kedah seusai Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sebentar tadi.

Turut sama Timbalan Pesuruhjaya II, Dato' Dr Ismail Salleh; Setiausaha, Ustaz Musoddak Ahmad dan juga Sanusi. –

Pasukan siasatan Malaysia khas tiba di Kiev

KIEV, UKRAINE: Pasukan siasatan khas Malaysia mengenai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev di sini pada pukul 4 pagi (waktu Kiev), Sabtu.
    
Ketuanya Khairil Hilmi Mokhtar berkata pasukan itu, yang terdiri daripada 131 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan, akan berada di Ukraine sehingga 25 Julai.
    
"Saya harap semua proses akan berjalan lancar bagi pasukan sisatan ini," kata Khairil Hilmi, yang juga ketua penolong setiausaha Bahagian Pengurusan Rentas Sempadan Majlis Keselamatan Negara kepada wartawan Malaysia sejurus tiba di lapangan terbang itu.
    
Pasukan itu, yang turut mengandungi pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia dan pegawai perubatan, berlepas dari Kuala Lumpur pada Jumaat malam dengan sebuah pesawat sewa khas.
    
Khairil Hilmi berkata pasukan itu perlu membincangkan dan menyelesaikan beberapa perkara pada Sabtu memandangkan tempat pesawat berkenaan terhempas terletak kira-kira 500km dari Kiev.
    
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji siasatan mendalam akan dijalankan untuk mencari punca sebenar Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine pada Khamis, walaupun pihak berkuasa negara itu percaya ia ditembak.
    
Pada Jumaat, MAS mengesahkan Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang, termasuk tiga bayi, terdiri daripada pelbagai warganegara dan 15 anak kapal warganegara Malaysia.
    
Pesawat Boeing 777-200 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi Jumaat, waktu Malaysia.

Allahyarham Ghafar bantah hidang arak dalam MAS


MASJID TANAH: PAS Kawasan Masjid Tanah menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kejadian yang mengorbankan Ketua Pramugara, Abdul Ghafar Abu Bakar yang bertugas dalam pesawat MAS, MH17 yang dtimpa kemalangan di sempadan Russia-Ukraine.

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan takziah kepada ibu Abdul Ghafar, Maimon Sarpan, 74 di rumah beliau di Kampung Seri Tanjung di sini tengah hari tadi

Maimon berkata beliau terkejut menerima berita kejadian tersebut apabila diberitahu oleh anaknya pada tengah malam peristiwa malam itu.

"Anak saya telefon suruh buka TV tengok berita, dia kata Salim terlibat dengan kemalangan tersebut, saya baru nak tidur masa itu"

"Tidak ada apa yang dapat saya katakan, hanya air mata yang mengalir mengenangkan anak saya ini," ujar beliau.

Menurur Maimon, Salim (nama panggilan keluarga untuk Ghafar) merupakan anak yang baik dan sentiasa ingat kepada keluarga.

"Kita mendoakan roh Allahyarham dan semua penumpang muslim lain dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama roh para anbia, syuhada dan solihin"

"Kami juga mengharapkan Mak Cik Maimon dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah ini," ujar Imran dengan nada sedih.

Dalam pertemuan itu Maimon menunjukkan gambar-gambar Ghafar dan sentiasa memuji kebaikan anaknya yang terkenal dengan kuat beragama dan sentiasa komited menjaga kebajikan keluarga.

Difahamkan Allahyarham Ghaffar adalah seorang yang berani melawan perintah syarikat agar tidak menghidangkan arak di dalam penerbangan yang diketuainya.

Seorang rakannya Halim Hassan menyatakan Ghafar adalah seorang yang suka solat malam, mengaji dalam penerbangan dan menjadi mutawif (pemandu ibadat haji dan umrah) kawan-kawannya semasa umrah, Halim Hassan menulis perkara itu dalam komuniti Whatsapp Masjid Bukit Indah yang kini disebarkan melalui media sosial.

Menurut rakan-rakannya dari kariah Masjid Bukit Indah itu, selain membuat bantahan kepada MAS tentang penghidangan arak di dalam kapal terbang, Ghafar pernah menulis surat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti agar mengeluarkan arak daripada sajian dalam pesawat MAS.

Ghafar juga, kata Halim, pernah meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.