Monday, January 13, 2014

Bibit perbezaan Najib dan Muhyiddin mula ketara, terhangat


Tulisan Shahbudin Husin “Bibit perbezaan Najib dan Muhyiddin mula ketara” adalah artikel yang diminati para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-2, 2014.

Tulisan itu mengalahkan berita bertajuk “Penemba”k hendap VAT69 diarah tidak lepas tembakan” dan “Hard Rock: Bertambah lagi ‘menteri cap ayam’” yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

Berikut ialah 10 berita panas bagi minggu 5 hingga 11 Jan:

1
 
2
 
3
 
4
 
5
 
6
 
7
 
8
 
9
 
10
 

Jangan salahkan k'jaan bila barang naik - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata adalah tidak adil menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku kenaikan harga barangan.
    
Ini kerana, kata Perdana Menteri, kerajaan telah dan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara bagi memastikan rakyat sentiasa menikmati kehidupan lebih baik.
    
"Kerajaan sentiasa bersama rakyat, janganlah dipersalahkan kerajaan kalau harga barang naik, dan kerajaan Barisan Nasional pula dimomokkan sebagai "Barang Naik'," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir dan meraikan sukarelawan peringkat nasional di sini, semalam.
    
Beliau menjelaskan harga barangan meningkat kerana pelbagai sebab dan faktor termasuk keadaan semasa, ekonomi dunia, faktor cuaca serta fenomena cuaca ekstrem yang menyebabkan barangan mengalami kekurangan bekalan.
    
"Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang. Masa harga (barangan) turun, tak puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji," katanya. 

Najib berkata kerajaan sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.
    
"Kerajaan lakukan transformasi untuk ekonomi negara, dah hasilnya nanti akan dipulangkan semula kepada rakyat," katanya.
    
Pada majlis itu, kerajaan menerusi kerjasama parti politik, badan bukan kerajaan dan agensi berkaitan menyalurkan sumbangan berupa produk barangan seperti televisyen, peti sejuk, bantal dan tilam serta dapur kepada mangsa banjir di Terengganu.
    
Buat julung kalinya, sebanyak 19,205 keluarga di Terengganu menerima bantuan merangkumi produk bernilai RM5,000 selain bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri. - Bernama

Tahanan reman pegawai khas menteri dilanjut

Tempoh reman bagi dua individu termasuk seorang pegawai khas menteri dilanjutkan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan permintaan dan pemberian wang suapan berkaitan pemberian tender.
    
Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang Rozaidi Yaacob membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari bermula esok untuk pegawai khas itu dan seorang lagi ahli perniagaan berpangkat Datuk.
    
Mereka yang berusia 44 dan 48 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
    
SPRM mengemukakan permohonon tahanan reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari mulai Khamis lepas manakala seorang wanita berjawatan setiausaha ditahan reman tiga hari untuk kes sama.
    
Wanita itu dibebaskan semalam. - Bernama

Jika tak mahu bayar i-Kad, jangan ambil pekerja asing - Zahid

Majikan yang tidak bersetuju dengan kos RM110 bagi i-Kad, tidak perlu mengambil pekerja asing bekerja di syarikat mereka, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar)
    
Beliau berkata pada masa ini, kos bagi mengambil pekerja asing di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding yang dikenakan negara-negara lain walaupun dengan bayaran i-Kad tersebut.
    
"Kalau tidak setuju jangan ambil pekerja asing, hantar mereka pulang... di negara lain seperti Singapura dan UAE (Emiriah Arab Bersatu), mereka membayar tidak kurang daripada US$5,000 bagi setiap pekerja.
    
"Di Malaysia levi paling tinggi cuma RM1,850 dan dengan pemeriksaan kesihatan, i-Kad dan pelbagai bayaran lain, mereka membayar tidak lebih daripada RM3,000," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sambutan pelajar baharu Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sini, semalam.
    
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar kelmarin mengenai Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang membantah langkah kerajaan mengenakan bayaran RM110 untuk seorang pekerja asing memiliki i-Kad kerana didakwa membebankan para majikan.

Kira-kira 2.3 juta pekerja asing yang telah berdaftar untuk Program 6P wajib memiliki i-Kad yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan selewat-lewatnya akhir tahun ini sebagai usaha membanteras pendatang asing tanpa izin di negara ini.
    
Ahmad Zahid berkata majikan di negara ini sepatutnya menggaji rakyat tempatan yang masih ramai memerlukan pekerjaan.
    
Bagaimanapun, katanya para majikan sering kali memberikan alasan bahawa rakyat tempatan tidak mahu bekerja di sektor tertentu yang dipelopori warga asing pada masa ini.
    
"Jangan mengganggap orang tempatan tak nak bekerja tetapi kerajaan telah menetapkan gaji minimum, mereka hendaklah diberikan gaji minimum dan beberapa faedah...masalahnya mereka (majikan) mahu untung banyak, menggaji rendah," katanya. - Bernama

Jangan sambut Maulidur Rasul seperti Abu Lahab


Firman Allah swt dalam Al-Quran (maksudnya): “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab: 21)

Alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberi kita nafas yang cukup baik untuk kita meneruskan hidup di muka bumi Allah. Sangat banyak nikmat Allah sehingga kita tidak mampu untuk menghitung nikmat Allah apatah lagi membayar semula. Bertepatan dengan firman Allah swt (maksudnya): “..dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya..” (Surah Ibrahim: 34)

Hanya yang mampu untuk kita lakukan adalah dengan bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Bersyukur bagaimana? Dengan melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt. Bagi manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan Allah swt, maka Allah akan mengazab mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

Hari ini kita telah menjejak ke dalam bulan Islam iaitu hari kelahiran Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semestinya hari ini merupakan antara hari yang sangat istimewa buat seluruh umat Islam terutama yang mencintai diri Rasulullah itu.

Tetapi apa yang menjadi persoalan dalam benak pemikiran saya adalah, benarkah umat Islam Islam benar-benar mencintai Rasulullah  s.a.w.? Kalau benar mereka mencintai Rasulullah, kenapa masih ada yang menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan mereka tidak menepati ciri-ciri aurat yang ditentukan oleh Islam? Kenapa yang menyambut Maulidur Rasul yang dikatakan mencintai Rasulullah s.a.w. tetapi masih lagi tidak menjalankan hukum-hukum Allah?

Saya boleh simpulkan bahawa hari ini ramai kalangan umat Islam yang menyambut Maulidur Rasul bukan datang dari perasaan kasih sayang yang sangat mencintai Rasulullah akan tetapi mereka hanya menyambut sekadar adat sahaja. Orang lain buat, kenapa tidak untuk aku membuatnya?

Apabila tiba hari kelahiran Nabi s.a.w, umat Islam bertungkus lumus membuat bermacam-macam program untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah saw. Ini usaha yang sangat baik tetapi sama seperti program-program yang birthday party yang dianjurkan oleh manusia lain.

Saya berkata begini kerana, yang menyambut Maulidur Rasul ada kalangan manusia yang buka aurat, tutup aurat pun masih lagi tidak menepati ciri-ciri yang digariskan untuk Islam, pemimpin Islam tetapi masih lagi menolak hukum Allah dan masih tidak melaksanakan.

Adakah tindakan ini seakan-akan menyamai Abu Lahab, bapa saudara Nabi s.a.w. yang pada mula kelahiran Nabi s.a.w., dialah antara orang yang paling gembira dengan menyembelih beratus-ratus ekor unta? Dengan erti kata lain Abu Jahal menyambut Maulidur Rasul (kelahiran) pada ketika itu.

Abu Lahab sangat mencintai Nabi s.a.w. tetapi apabila Nabi s.a.w. mula menyampaikan risalah Islam, Abu Lahab mula membenci Nabi s.a.w. Sedangkan dahulunya dialah antara orang yang paling gembira menyambut Maulidur Rasul.

Oleh itu, bagi saya ulang tahun kelahiran Nabi s.a.w. ini adalah untuk kita semakin kuat mengingati Rasulullah sebagai penyelamat umat. Bukan hanya sekadar berarak ketika Maulidur Rasul tetapi kita perlu menghayati peritnya perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan Islam.

Seterusnya kita melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan tinggalkan apa yang di larang. Rata-rata umat Islam hari ini juga suka menyambut Maulidur Rasul tetapi pada masa yang sama tidak menutup aurat, melanggar hukum-hukum Allah, menolak hukum Allah, tidak mengikut garis panduan Islam dan sebagainya maka samalah seperti perangai Abu Jahal.

Akhir kata muhasabah untuk diri saya dan seluruh umat Islam bahawa kita menyambut Maulidur Rasul dengan penuh menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan Islam dan sekaligus cuba untuk menjadi umat Islam yang lebih baik dengan tidak menjadikan sambutan Maulidur Rasul itu sebagai adat yang mesti dibuat. Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam.

Akhirnya Mukhriz mengalah & Kuin kembali ke Kuala Ketil


PROGRAM pertama Kolej Universiti Insaniah (Kuin) selepas kerajaan negeri bertukar tangan ialah memindahkan semula pusat pentadbiran dari kampus induk di Kuala Ketil kembali ke tapak asal yang sempit di Mergong.
Sebaik kampus induk Kuin dirasmikan pada Disember 2012 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pusat pentadbiran institusi pengajian yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri itu berpindah dari Mergong ke Kuala Ketil.
Semua kuliah pengajian Kuin juga turut dipindahkan secara berperingkat. Walaupun pada peringkat awal terdapat pelbagai masalah kerana asrama pelajar belum sempat disiapkan namun akhirnya masalah tersebut diatasi dengan pelbagai usaha.
Ditakdirkan Pakatan Rakyak tumbang dalam PRU14, maka pentadbiran Kuin pun bertukar tangan selepas rektornya Prof Dr. Mohd Jamil Othman melepaskan jawatan.
Pemangku Rektor kemudian diserahkan kepada Dato’ Che Barni Mohd Nor, seorang yang bukan dari latarbelakang pengurusan akademik.
Melalui keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan baru dan pentadbiran baru, pusat pentadbiran kembali dipindahkan di Mergong. Mereka memberi pelbagai alasan terhadap perpindahan tersebut. Antaranya kerana kos pengurusan yang terlalu tinggi dan kerajaan negeri tidak sudi membuat pelaburan dalam projek yang ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
Namun terdapat sumber dalaman menyebut bahawa antara sebab kembali ke Mergong adalah kerana terdapat pegawai yang tinggal di Alor Setar tidak sanggup berulang alik ke Kuala Ketil yang agak jauh. Jika benar dakwaan ini maka teruk sungguh pegawai tadbir di bawah kerajaan BN.
Manakala sebab kerajaan negeri mahu pusat pentadbiran berpindah ke Mergong, tidak lain tidak bukan berpunca dari sikap ego. Iyalah, jika mereka kekal di Kuala Ketil, ia macam pengiktirafan terhadap kejayaan yang dibuat oleh kerajaan lalu. Mukhriz yang pernah menjadi peserta demonstrasi haram bersama segelintir kakitangan Kuin menghentam kerajaan negeri tentulah rasa tercabar untuk mengiktiraf buah tangan Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Sekalipun kembali ke Mergong adalah perbuatan 'kurang cerdik' tapi bagi kerajaan Mukhriz biarlah 'kurang cerdik' asal jangan iktiraf kecerdikan kerajaan lalu.
Di Mergong pelajar terpaksa kembali bersesak menghadiri kuliah. Siapa yang datang lewat terpaksa berada di luar kelas, mengikuti pengajian melalui tingkap. Di zaman siber ini semua gelagat lucu itu terakam dan tersebar dengan pantas ke alam maya. Teruknya kerajaan BN mentadbir Kuin menjadi bahan gelak ketawa dunia luar.
Kampus induk yang besar dan lengkap segala kemudahan tidak digunakan sebaliknya mereka memilih suasana penuh kedhaifan. BN dapat Kuin diibaratkan seperti kera dapat bunga.

Rektor baru
Kerajaan negeri kemudiannya memilih rektor baru iaitu Prof Datuk Mohd Yusof Kasim. Beliau adalah orang akademik dan bukan orang politik. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan campur, tolak, darab, bahagi – pengurusan akademik. Beliau memilih untuk kembali ke kampus induk di Kuala Ketil.
Nampaknya dalam menguruskan negeri, kerajaan Mukhriz jadi macam Lebai Malang sekejap ke hulu, sekejap ke hilir dan kembali ke hulu. Macam Pak Pandir, sentiasa salah dalam membuat keputusan. Macam Pak Kadok, jadi bahan gelak ketawa orang ramai dengan gelagat baju kertasnya.
Alhamdulillah, akhirnya kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kampus induk yang menjadi buah tangan Ustaz Azizan. Memang itu yang sepatutnya dilakukan dari awal.
Terbaru, Mukhriz berkata kerajaan negeri bersetuju menggunakan sepenuhnya kampus induk tahun ini, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai anak negeri yang dapat memimpin masyarakat serta mencorakkan kehidupan masa depan yang lebih berkualiti. Mukhriz terlewat tujuh bulan untuk mula berfikiran murni seperti itu. Tak apalah sekurang-kurangnya lebih baik dari tidak terfikir langsung mengenainya.
Tanggal 11 Januari baru-baru ini Istiadat Konvokesyen Ke 15 diadakan di kampus induk Kuin Kuala Ketil, disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Di hadapan Agong, Mukhriz menyebut perihal pelan transformasi Kuin menyasarkan pencapaian taraf universiti penuh menjelang tahun 2015. Sebenarnya itulah yang dihasratkan oleh Ustaz Azizan dahulu apabila membina kampus induk di atas tanah yang berkeluasan lebih 300 hektar itu dengan segala prasarana yang melayakkannya untuk diiktiraf sebuah universiti penuh.
Jika Kuin terus terperap bawah longkong tempurung macam di Mergong maka sampai bila-bila Kuin tidak jadi sebuah universiti penuh.
Ustaz Azizan juga pernah mensasarkan suatu masa Kuin akan mencapai kedudukan kewangan yang stabil serta tidak bergantung lagi pada kerajaan negeri, walaupun pada peringkat awal ia seolah menjadi bebanan kepada negeri.
“Kuin juga dijangka mencapai kelestarian kewangan dan mampu berdikari mulai 2017,” itu ucapan Mukhriz selepas tujuh bulan mendapat Kuin yang ditinggalkan Ustaz Azizan.
Mukhriz membuktikan kebenaran wawasan Ustaz Azizan walaupun terpaksa menempelak muka sendiri dengan sikap dan tindakan lalu.

Hard Rock: Bir RM8, kalau minum Coke RM16

"Nama pun sudah Hard Rock, macam mana nak ada persembahan nasyid? Memang mustahil," kata bekas pemain gitar bass Kumpulan XPDC, Zuar diiringi ketawa geli hati.

Zuar atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, 48, menyifatkan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar Putrajaya membuka Hard Rock Cafe (HRC) yang tidak menyajikan minuman keras dan mempunyai persembahan nasyid sebagai tidak masuk akal.

Ketika diminta memberikan pandangan mengenai HRC dari kaca matanya sebagai bekas artis kumpulan Heavy Metal dan Hard Rock, Zuar berkata, mimuman keras merupakan hidangan wajib malah lebih murah berbanding minuman biasa.

"Hard Rock itu sendiri kita dengar pun dah tahu macam mana. Dalamnya dengan muzik, dengan liquor (minuman keras) dia, sebut sahaja Hard Rock orang akan terbayang benda-benda haram itu.

"Saya pernah masuk dulu, bir lebih murah daripada minuman biasa. Bir RM8, kalau minum Coke RM16.

"Dulu pernahlah masuk nak tengok persembahan tapi tak minum. Pesan Coke sahaja sudah RM16, sekali ganda mahal dari minuman keras.

"Kalau kata nak buka Hard Rock Islamik memang tak logik. Kena tukar konsep dan nama baru boleh," katanya ketika ditemui di sebuah restoran, dekat sini baru-baru ini.

Cawangan HRC kini terdapat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Menurut Zuar yang sudah berhijrah dan menyertai PAS pada 2011 berkata, pada era 90-an, HRC memang mengutamakan artis dari luar negara.

"Dulu masa dengan XPDC pernah masuk Hard Rock tapi bukan showcase pun, cuma kita buat sidang media. Dulu kalau artis boleh buat sidang media di Hard Rock memang rasa banggalah.

"Hard Rock itu sendiri bukan artis-artis Malaysia yang buat persembahan, kebanyakan artis luar. Artis tempatan tak dapat tempat. Resident band pun dari Filipina, Indonesia, jarang pemuzik Malaysia," katanya lagi.

Bercerita lagi, Zuar berkata, kebanyakan pengunjung HRC ialah orang Melayu dari golongan korporat.

"Kebanyakan yang masuk Hard Rock dan jadi ahli kelab Orang Melayu Malaysia dan golongan VIP, korporat.

"80 peratus orang Melayu, 25 tahun ke atas. Pekerja pun ramai lelaki dan perempuan Melayu. Hard Rock buka 24 jam cuma siang cuma ada makan dan iringan muzik sahaja. Hiburan mula jam 10 malam hingga dua pagi.

"Kalau ada artis dia kenakan bayaran meja. Kalau ada show kena ada tiket. Kalau ada tiket minuman pertama percuma.

"Pengalaman saya, yang banyak lepak di Hard Rock ni golongan korporat. Jarang budak-budak muda sebab mahal. Yang datang mereka nak berhibur di tempat yang tertutup.

"Sebab itu nak buka di Putrajaya, targetnya pegawai-pegawai atasan kerajaan, korporat," katanya.

Di akhir perbualan, Zuar mencadangkan agar pusat hiburan berkonsepkan Islamik dibuka di Putrajaya dan sesuai untuk menjadi tempat bersantai bersama keluarga.

"Saya minta sangat kurangkanlah pusat hiburan berkonsepkan seperti Hard Rock. Kita nak hilangkan secara drastik tak boleh tapi kurangkanlah sebab kita nak menuju pentadbiran Islam.

"Bukalah restoran berkonsepkan hiburan Islam, utamakan ciri-ciri Melayu dan sesuai sebagai ruang santai bersama keluarga. Tak perlu Hard Rock," katanya yang masih mengekalkan imej rambut panjang.

PKFZ: Pendakwa tarik balik kes, bekas menteri bebas

Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
    
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Rahim di dalam kamar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.
    
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Chan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kesemua pertuduhan yang dihadapi Chan selepas menghalusi representasi yang dikemukakan anak guamnya.
    
Beliau berkata pihak pendakwaan juga menarik balik pertuduhan itu selepas mempertimbangkan keterangan saksi dalam kes perbicaraan bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan berhubung projek sama.
    
Mahkamah juga membenarkan permohonan Chan, 58, supaya wang jaminannya sebanyak RM1 juta dikembalikan kepadanya.

Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Tan mengenai keputusan mahkamah itu, Chan yang berada di galeri awam kelihatan gembira diiringi tepukan gembira penyokongnya sambil mengucapkan tahniah kepada bekas menteri itu.
    
Selepas keputusan, Chan terus bergegas keluar dari bilik mahkamah.
    
Pada 25 Okt tahun lepas,  Ling, 70, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada akhir kes pembelaan selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi.
    
Chan pula didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.
    
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
    
Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan. - Bernama

Sambut Maulidur Rasul ketika poket rakyat dinodai

Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah ummat Islam. Terutama sekali setiap tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh ummat Islam sedunia bersama bagi mengingati saat kelahiran Nabi Muhammad SAW. Rasul yang bertuah, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah. Lahir pada Tahun Gajah di bumi Mekah sebagai perubah kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah.
Kelahiran dan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar kebahagiaan kepada ummat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain, di mana yang kuat memerintah, yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kos kehidupan rakyat Malaysia terus meningkat bermula dari sekecil-kecil barangan keperluan manusia sehinggalah kepada keperluan-keperluan besar yang lain. Tarif itu naik dan barang ini naik! Namun pernahkah kita bertanya, APA ERTI AKU MENYAMBUT MAULIDUR RASUL ketika mana kita seolah-olah masih meredhai kezaliman yang  terus mencengkam kehidupan rakyat Malaysia pada hari ini. Adakah sikap tidak prihatin ini disukai oleh Rasulullah s.a.w kiranya baginda masih hidup?

Cukai-cukai semakin menggila melepaskan amarahnya kepada rakyat jelata namun pada kali ini ianya bergerak menodai poket rakyat jelata di atas nama suntikan ekonomi dan penyelarasan subsidi! Ketahui apa yang berlaku ini adalah kerana manusia meninggalkan ajaran dan perundangan Allah s.w.t.

Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terpancar dengan penghapusan apa saja bentuk penindasan terhadap apa sahaja hak hak asasi manusia yang dinodai.

Rasulullah s.a.w juga turut membawa satu mesej yang jelas kepada seluruh alam apabila Rasulullah s.a.w memerangi penyakit semangat kebangsaan sempit yang merosakkan keadilan sesama manusia. Ianya bersesuaian dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW itu sendiri sebagai rasul pembawa seruan Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa semesti sahaja sebagaimana para nabi sebelum ini.

Ketahuilah umat Islam di negara ini hanya akan menjadi kuat dan dikurniakan izzah bilamana kita berpadu di atas nama Islam dan bukannya atas nama perkauman sempit yang dikeji oleh Rasulullah s.a.w.

Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Ka’abah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu al-Quran kalimah Allah.

Manakala kelemahan umat Islam dapat dilihat juga dengan jelas apabila aqidah umat Islam dipecah-belahkan dengan meniggalkan ajaran Islam yang sebenar  sehingga ramai yang mengambil ideologi ciptaan kuffar sebagai pedoman hidup serta ramai di kalangan umat Islam menyuburkan kembali semangat kebangsaan yang sempit juga menyebabkan jurang pemisah mula timbul kembali setelah dihapuskan oleh Rasulullah SAW.

Di samping itu ummat Islam hanya menggunakan al-Quran sebagai bahan bacaan semata-mata sedangkan segala sistem dan tutur cara yang terkandung dalam al-Quran yakni turut melibatkan masalah pemerintahan, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan  terus diabaikan dan ada juga menerima pakainya tetapi dalam bab yang berkenan di hati sahaja. Inilah antara penyakit teramat bahaya yang timbul dalam masyarakat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah SWT dengan pelbagai penyakit termasuk peperangan.

Menyedari tentang bahayanya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus ditawan serta dijajah, maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan gahnya oleh Rasulullah SAW.

Sempena menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal ini maka seluruh ummat Islam bukan sahaja menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan yang ada pada diri Rasulullah SAW, tetapi mesti bertindak segera dalam mengikuti segala yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW kita dalam mengembalikan semula kegemilangan dan kemuliaan ummat Islam.

Biarlah perasaan gembira yang kita gambarkan dan hamparkan dalam mengadakan sebarang majlis Maulidur Rasul sama keadaannya antara perasaan pada zahir dan batin bukannya pada zahir sahaja kita begitu gembira menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW sedangkan pada batinnnya umat Islam sedang menangis hiba akibat dijajah oleh musuh dalam segenap penjuru kehidupan mereka akibat kesilapan dan kesalahan mereka sendiri.

Firman Allah SWT dalam ayat 39 surah at-Taubah:

إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولاتضروه شيئا والله على كل شىء قدير

“Jika kamu tidak turut serta berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantikan kamu dengan suatu kaum yang lain dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah SWT bukan penentang dan peruntuh Islam.

Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan ummat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini.

Jangan diungkit tentang keletihan dalam perjuangan kerana ianya adalah lumrah, ketahuilah bahawa golongan yang mentang perjuangan kita jauh lebih letih dan penat menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berupa takhta dan harta yang semuanya berbentuk sementara, bukan selama-lamanya. Yakinlah kepada janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah SWT. Islam akan subur tatkala jahiliah semakin hancur, Islam akan menang ketika rangkaian mula keletihan, Islam akan berdiri gagah ketika penyokong jahiliah semakin lemah, Islam akan kembali merajai dunia ketika jahiliah tersungkur jatuh penuh hina.

Wallahua’lam.

~RAHMAT UNTUK SEMUA ~

Hari Hijab Sedunia, 1 Feb

Tarikh 1 Februari akan sampai kira-kira dua minggu lagi. Di Malaysia, 1 Februari diingati sebagai sambutan Hari Wilayah. Biasanya pada tarikh tersebut pelbagai program diadakan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri kahwin ataupun bercuti bersama keluarga.

Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa pada peringkat dunia, pada tarikh yang sama, wanita di seluruh dunia menyambutnya sebagai Hari Hijab Sedunia. 

Kempen memakai tudung ini bermula pada tahun pada 2012 oleh Nazma Khan, dari New York, Amerika Syarikat. Beliau yang berasal dari Bangladesh melalui pengalaman perit sebagai remaja yang berhijab di kota raya Amerika Syarikat itu.

Atas pengalaman itulah, timbul idea untuk mengajak wanita di seluruh dunia sama ada Muslim atau tidak untuk melalui pengalaman berhijab. Inisiatif yang dimulakan oleh beliau kini mendapat sambutan daripada wanita di seluruh dunia – Muslim dan bukan Muslim.

Tujuan kempen ini antara lain ialah untuk memberi penghormatan yang sewajarnya kepada pemakai hijab dan menghormati agama anutan mereka. 

Oleh hal yang demikian, rakyat Malaysia turut digalakkan menjadikan hari tersebut sebagai suatu usaha menyedarkan masyarakat tentang kebaikan berhijab di samping menghormati mereka yang berhijab. Di samping menyedarkan masyarakat tentang syariat Islam akan kewajipan berhijab.

Jika ini berjaya dilaksanakan, tidak timbullah isu majikan yang enggan mengambil pekerja yang berhijab - wal hal agama rasmi Malaysia ialah agama Islam. Kerajaan patut menyiasat perkara tersebut dan lesen perniagaan mereka wajar di tarik balik.

Pelbagai cara digunakan untuk menggerakkan kempen Hari Hijab Sedunia ini termasuklah di laman web dan facebook. Yang berikut ialah antara komen dan nukilan yang diambil daripada World Hijab Day di facebook.

“Hijab freed me from my fickle and narcissistic addiction with fashion trends. It also freed me from the catish, negative, and competitive nature that hurts our sisterhood between sisters of all faiths. Hijab restored my ability as a woman with intellect, wisdom, and a good brain rather than being viewed as simply being an object of desire. World Hijab Day is a beautiful, safe, and loving way to share my choices with women everywhere.” 

– Fatima Omar aka Spiritual Biz Mom (respected speaker and author)

"I work in a the Emergency Medical Service as an ambulance nurse-medic. When I reverted to Islam in the year 2009, my colleagues laugh at me because of my Hijab. They thought that one day I will remove it. But little did they knew I love the sense of it. My mom who is not a Muslim but she feels women should cover as it is ordered even in the Bible that is why she wears Hijab, how much more we Muslims? On Feb. 1; we will show the world that Hijab is not just a cover. It is where you can define modesty, and chastity, and righteousness." 

-Maryam Shila (Dubai)

“This video actually brought tears to my eyes. Im a non-Muslim women planning on participating in February. I greatly admire Hijabi women for their commitment to their faith.” 

- Kacie Brunette comment on video STRANGERS TRYING THE HIJAB!

Anda juga boleh berkongsi banyak kisah lain di worldhijabday.com. Moga wanita di Malaysia tidak ketinggalan menjayakan program dan kempen ini.

Di sebalik cadangan Mahathir kembali diberi kuasa


“Mananya kepimpinan dan pemimpin negara ini? Sebaliknya kita ada pemimpin dalam diri PM yang mengikut cita rasa umum dan suka dipandang popular,” tulis Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd.Ariff Sabri Abdul Aziz di dalam blognya.

Menurutnya, kepada sesiapa yang belum mengenali Najib, Perdana Menteri itu seorang yang mahukan setiap orang menyukainya. 

Justeru, jelasnya kalau ada 10 orang, maka Najib mahukan semua kesepuluh menyukainya, sesuatu yang mustahil. 

“Saya pernah menyatakan kepada beliau, kenapa anda mahukan 100%, 60% sudah pun menang merujuk kepada kecenderungan nya menyukakan hati semua orang. Kebenarannya, ialah mustahil untuk please everyone.

“Elok kita berdepan dengan reaiti dan jangan berselindung dengan pahit yang digula-gulakan,” tulisnya lagi. 

Justeru, bagi beliau apabila bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin menyarankan supaya Dr Mahathir kembali mengetuai kerajaan, ia mengesahkan bahawa Najib seorang pemimpin yang incompetent dan berkelas F, lebih teruk daripada Pak Lah.

“Apa punca masalah kepimpinan Najib?” soalnya.

Antara Maulidur Rasul dengan Hard Rock Cafe


Umat Islam seharusnya peka kepada isu-isu semasa khususnya isu melibatkan kepentingan Islam sebagai tanda mencintai Nabi Muhammad s.a.w. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Riduan Mohd Nor berkata, bukti kecintaan kepada Nabi Muhammad harus ditunjukkan dengan perbuatan, bukan hanya dilafazkan di bibir apabila tiba bulan kelahiran baginda.

"Sempena bulan Rabiulawal, bulan kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. umat Islam sepatutnya peka kepada isu-isu semasa kerana nabi bukan sekadar mengajak kita memuliakan masjid, menunjukkan akhlak yang baik tapi juga mewujudkan tapak pemerintahan Islam yang jauh daripada maksiat dan kemungkaran," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau berkata, Nabi Muhammad s.a.w sudah menunjukkan contoh pentadbiran negara yang cemerlang dari segi ilmu dan agama yang harus menjadi ikutan oleh pemimpin negara, lebih-lebih lagi mereka yang mengaku sebagai pejuang Melayu dan Islam.

"Cuba kita bayangkan pakej Kota Madinah itu sebagai pusat ilmu, pusat ketamadunan, dengan adanya ahli suffah ada Masjid Nabawi menunjukkan bahawa bagaimana tamadun yang nabi bina, bandar yang nabi bina, pengkalan kuasa yang nabi bina, berkonsepkan ilmu.

"Pemimpin negara yang sentiasa melaungkan mereka sebagai pejuang Melayu pejuang Islam  harus mengambil cakna aspirasi yang ada pada sirah nabi yang kita sambut dalam bulan Rabiulawal," katanya lagi.

Mengaitkan Rabiulawal dengan cadangan Putrajaya untuk membuka pusat hiburan Hard Rock Cafe di kawasan tersebut, beliau berkata ia sangat bercanggah dengan contoh yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w.

"Elemen pemerintahan nabi kita terapkan dalam pemerintahan kita sebagai satu manifestasi rasa kasih dan sayang kita kepada nabi kerana sayang kita kepada nabi bukan sekadar berselawat semata-mata tapi kita mengamalkan apa yang disuruh nabi dan meninggalkan apa yang dilarang," tegasnya.

Dr Riduan juga berkata, Hard Rock Cafe sangat tidak sesuai dibuka di Putrajaya yang terkenal sebagai pusat pentadbiran bercirikan Islam.

"Hasrat penubuhan Putrajaya sebagai nadi pembangunan negara malah dibanggakan oleh pemimpin Umno sebagai kota pentadbiran Islam, malah satu rumah ibadat agama lain pun tidak dibina di Putrajaya, tiba-tiba mahu dibuka pusat hiburan.

"Orang-orang kampung, orang Felda  selalu dibawa melawat Putrajaya dalam misi mendoktrin mereka bahawa Malaysia betul-betul mengamalkan pemerintahan Islam," katanya.

Justeru tegasnya, sebagai tanda mencintai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. orang Islam harus bangkit menentang perkara ini.

"Jika masayarakat tak bangkit menentang bersungguh-sungguh hampir pastilah akan wujud Hard Rock Cafe.

"PAS di seluruh peringkat akan menentang jika Putrajaya dijenamakan dengan hiburan yang melalaikan," tegasnya.

Tambah beliau juga, kewujudan Hard Rock Cafe tidak akan memberikan kebaikan kepada masyarakat malah meningkatkan lagi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat khususnya orang Melayu Islam.

"Tidak ada contoh kebaikan pun yang akan kita dapat daripada kewujudan Hard Rock Cafe. 

"Ia lebih kepada pusat bersantai, menghabiskan wang dan mercu tanda kepada hedosnisme dan secara tak langsung kita meremehkan budaya bangsa kita sendiri yang lebih sopan," katanya.

"Berilah keadilan kepada saya," rayu pempetisyen Lubok Merbau

Mohd Ridzuan (tiga dari kiri) bersama para pemimpin Pakatan Rakyat Perak selepas sidang media. 

IPOH: "Berilah keadilan kepada diri saya," demikian luahan pempetisyen Dun Lubok Merbau, Mohd Ridzuan Asit ketika mengulas perjalanan perbicaraan petisyen pilihan raya yang berlangsung pada 8, 9 dan 10 Januari lalu.

Mohd Ridzuan kesal kerana bukan sahaja tidak dapat diwakili peguam malah beliau juga tidak dibenarkan untuk mempertahankan diri sendiri dengan alasan tidak mematuhi peruntukan di bawah Kaedah 9 dan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954.

Kata beliau, Hakim Abdul Rahman Sebli juga tidak membenarkan saksi-saksi memberikan keterangan untuk mengemukakan bukti-bukti kesalahan pilihan raya bagi mencabar kemenangan BN di Dun tersebut dengan majoriti 53 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Ridzuan menjelaskan, perbicaraan petisyen itu berlangsung dalam suasana tidak adil apabila pihak hanya responden sahaja yang boleh memberikan keterangan dengan barisan peguam.

"Saya cukup hairan, kenapa hakim membenarkan responden membangkitkan bantahan awal seperti apa yang berlaku pada perbicaraan dahulu sedangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan hakim sebelum ini batal.

"Apabila terjadi lagi begitu, ianya menampakkan keadilan itu tidak ada untuk diri saya. Saya berhak mendapat keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya ketika mengadakan sidang media bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Perhubungan PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir dan mantan Calon PAS Dun Lubok Merbau, Zainuddin Mohd Yusof.

Jelas Ridzuan, dalam perbicaraan itu, beliau telah beberapa kali merayu agar hakim mengundur diri daripada mengadili perbicaraan namun rayuannya langsung tidak dilayan.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar menegaskan, Pakatan Rakyat mewakili pempetisyen akan menghantar sepucuk surat kepada Ketua Hakim Negara,Tun Arifin Zakaria.

Ini katanya bertujuan untuk merayu Ketua Hakim Negara menilai semula perjalanan perbicaraan kes itu.

"Ketua Hakim negara perlu mengambil perhatian serius akan perjalanan perbicaraan kes ini kerana ianya memberikan kesan kepada imej institusi kehakiman negara.

"Kami akan mengutus surat kepada beliau hari ini dan berharap beliau dapat membuat tindakan sewajarnya," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menjelaskan, PAS Perak melahirkan rasa dukacita akan perjalanan perbicaraan kes itu.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan perbicaraan petisyen itu memberikan satu sinar kegembiraan namun perjalanan perbicaraan tidak seperti yang diharapkan.

"PAS Perak melahirkan rasa dukacita terhadap situasi ini dan berharap agar kes petisyen didengar berdasarkan merit kes.

"Kami juga menzahirkan sokongan terhadap pempetisyen dan berharap keadilan diberikan kepadanya," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Mohd Ridzuan Asit, pengundi Dun Lubok Merbau telah memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Adun BN, Dato' Siti Salmah Mat Jusak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Walaubagaimanapun, dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah tersebut telah menolak petisyen yang difailkan oleh pempetisyen dengan kos.

Melalui rayuan yang dibuat selepasnya, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan petisyen itu dan memerintahkan agar kes ini dibicarakan pada 8, 9 dan 10 Januari lalu sebelum mahkamah memutuskan keputusannya akan diumumkan Khamis ini.

Skandal NFC: Suami Shahrizat saman Nurul Izzah



Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya hari ini menfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkaitan satu kenyataan mengenai pembelian lapan unit kondominimum yang disiarkan oleh sebuah portal televisyen propembangkang.
  
Beliau dan syarikatnya menamakan Nurul Izzah sebagai defendan pertama dan turut menfailkan saman sama terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution sebagai defendan kedua.
  
Mohamad Salleh menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co pada 24 Dis lepas dan media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu hari ini ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.
  
Peguam Y. Sheelan yang mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp memberitahu pemberita bahawa Hue menetapkan 27 Feb depan untuk pengurusan kes sementara menunggu kesemua defendan menfailkan pernyataan pembelaan mereka.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah telah membuat satu kenyataan berhubung pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disalurkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan di Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.
  
Mohamad Salleh turut mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan itu terhadapnya yang membawa maksud bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan wang NFCorp untuk membeli lapan unit kondominium bagi kegunaan peribadinya dan keluarga, bukan untuk syarikat itu.
   
Beliau mendakwa ekoran kenyataan fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai seorang berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dikritik masyarakat.
  
Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - Bernama