Saturday, November 29, 2014

Telus perlu jadi asas utama penstrukturan semula MAS

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata, prinsip ketelusan harus menjadi asas utama dalam penstrukturan semula Malaysia Airlines System (MAS) bagi memastikan ia mampu menamatkan kerugian.

Kelmarin, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Malaysia Airlines System Berhad (Pentadbiran) 2014 bagi melaksanakan penstrukturan semula syarikat itu.
RUU itu antaranya memberi kuasa meluas kepada pentadbiran baru atau ‘NewCo’ yang akan menggantikan MAS.
Mengulas isu itu kata beliau, kerajaan antaranya perlu membentangkan terma penstrukturan kewangannya kepada rakyat.
“Oleh kerana kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar mengatakan suntikan kewangan RM6 bilion dari kerajaan bukan ‘bail out’, namun terma penstrukturan kewangannya perlu dibentangkan.
“Contohnya pembayaran MAS kepada tiga syarikat; Assets Global Network Sdn Bhd, Penerbangan Malaysia Berhad dan Turus Pesawat Sdn Bhd yang berperanan membeli aset (kapal terbang dan bangunan) dan menyewanya kembali kepada MAS,” katanya dipetik Roketkini.
Ketiga-tiga syarikat itu menanggung hutang terkumpul berjumlah RM12.1 bilion yang dijamin kerajaan.
“Sebarang perubahan pembayaran oleh ‘NewCo’ akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan, maka kerajaan perlu telus dan memaklumkan terma itu kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, ujar beliau lagi, pentadbiran baru juga perlu memastikan rundingan semula terhadap kontrak sebelumnya diadakan dengan adil dan saksama.

Batu api dah biasa dalam Umno - Najib

KUALA LUMPUR: "Jadi batu api sikit-sikit tak apa, dah biasa dalam Umno," ujar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung parti itu di PWTC, petang tadi.
Beliau menyatakan demikian mengenai Akta Hasutan yang dikekalkan.
Katanya, akta itu ditokok tambah dan akan dibawa ke persidangan Parlimen akan datang.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Peguam Negara supaya mempunyai kuasa pendakwaan.
"Kita minta ketegasan daripada Peguam Negara, polis buat siasatan rapi, SKMM buat siasatan sewajar supaya kita bagi isyarat jelas, tiada siapa harus takut dan bimbang kalau tidak melanggar undang-undang negara kita," ujarnya.
Justeru, katanya tiada sesiapapun harus takut dengan akta itu jika tidak mengapi-apikan dan menghasut orang. - HARAKAHDAILY 29/11/2014

Khalid sedia disiasat Selcat isu pampasan RM2.3 juta

PELABUHAN KLANG: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembayaran pampasan kepada pegawai-pegawainya semasa beliau menjadi menteri besar Selangor dilakukan dengan mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor.

Beliau berkata pembayaran berjumlah RM2.3 juta kepada lapan pegawai kontrak MBI dilakukan mengikut skim pemisahan sukarela selepas pertukaran menteri besar.

"Pembayaran dilakukan secara telus dan profesional serta berhemah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program 'jamuan rakyat' di sebuah masjid dekat Telok Gong di sini, hari ini.

Pembayaran itu, yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai tidak munasabah, dilakukan pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebagai menteri besar sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih pada 23 Sept.

Dalam hubungan ini, Abdul Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Pelabuhan Klang berkata beliau sedia disiasat oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung isu pembayaran pampasan, jika perlu. 

'Kami telah tiada waktu itu, jagalah perjuangan ini'

KUALA KANGSAR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff meminta kepimpinan muda menjaga PAS dengan baik agar parti itu terus mantap pada masa hadapan.
Beliau turut berharap agar kepimpinan muda yang akan menerajui PAS dalam tempoh 63 tahun akan datang menghayati pengorbanan kepimpinan terdahulu yang membawa parti ke tahap sekarang.
"Kepada pimpinan muda serta anak muda yang ada sekarang di dalam PAS, saya menyeru agar mereka menjaga parti ini dengan baik.
"Pengorbanan pimpinan terdahulu sangat besar untuk mereka bawa PAS sehingga tahap sekarang, ini yang sepatutnya pimpinan muda hargai," katanya ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 di sini, hari ini.
‎Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut berpesan agar anak muda beristiqamah meneruskan perjuangan dan menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran.

"‎Remaja yang lahir hari ini, untuk 63 tahun akan datang akan jadi pemimpin dan kami semua telah tiada pada waktu itu.
"Jagalah perjuangan ini sebab perjuangan yang dibina sebelum ini penuh dengan cabaran, bukan setakat keringat tetapi turut disulami air mata dan ada yang terkorban dalam menegakkan perjuangan Islam," sambung beliau.
Beliau juga berharap agar pemimpin akan datang mengambil pengalaman mereka sebelum ini sebagai panduan untuk memelihara PAS pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY 29/11/2014

Mampukah Umno pertahan kampung warisan?

BANDAR JENGKA: Akhirnya nasib, keluhan dan suara hati penduduk Matau di sini diserahkan melalui memorandum kepada pemimpin Umno pada perhimpunan agung parti itu pada Jumaat lalu melalui Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). (Foto atas oleh Nasir Sudin)
Memorandum berkenaan antara lain meminta pemimpin-pemimpin parti pemerintah turut mempertahankan tanah warisan yang telah diteroka sejak berpuluh-puluh tahun lalu, daripada terlepas kepada kaum kapitalis terutama bukan Melayu.

Memorandum tersebut dirasakan tepat pada masanya di saat terdapat beberapa kerat perwakilan Umno yang begitu lantang mahukan kerajaan dan Umno sendiri mempertahankan tanah milik Melayu daripada terlepas ke tangan bangsa lain.

Seperti perjuangan mempertahankan Kampung Banggol Donas di Terengganu dan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, Matau yang kini dalam proses dimangsakan atas nama pembangunan juga turut menuntut perhatian pemimpin Umno.

Mengikut catatan sejarah, Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja sebuah syarikat pembalakan dari Kanada yang beroperasi di situ. Selain daripada itu ada juga penghijrah-penghijrah berbangsa Melayu dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh Majlis Daerah Maran (MDM) dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL (cukai pendudukan tanah sementara). Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran tol seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga sering kali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

Terdapat hampir 600 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 27 ekar itu.

Akhirnya MDM telah mengeluarkan notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut. Alasannya MDM telah menandatangani satu perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd.

Bagi penduduk, mereka tidak boleh menerima apapun alasan untuk pembangunan berkenaan kerana di pekan Sungai Jerik, iaitu juga dalam daerah Maran, diizinkan pula peneroka awal bukan Melayu meneruskan perniagaan mereka. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya.

Perkembangan terkini menyaksikan sudah banyak premis dirobohkan dan tanah diratakan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan tersebut.

Difahamkan pemaju akan membina lot kedai bangunan tiga tingkat dengan harga menjangkau setengah juta ringgit setiap unit.

Penduduk telahpun membawa kes berkenaan di mahkamah namun rayuan mereka untuk terus kekal menetap di situ telah ditolak.

“Kita mungkin tidak dapat lagi untuk mengembalikan tanah Matau kepada penduduknya, akan tetapi kita mahukan keadilan kepada mangsa-mangsa terutamanya peniaga,” kata salah seorang pejuang tanah Matau Mohd Syafie Mohd Isa.

“Apa yang dapat kita perjuangkan sekarang ialah menuntut kerajaan negeri memberikan pampasan setimpal yang sesuai dengan mereka.

“Umpamanya mereka perlu diberi tapak gantian yang sesuai sesuai kepada pengusaha-pengusaha kilang keropok, kilang sos, bengkel motosikal, tapak pasar mini, kedai runcit, kedai tayar, hardware dan lain-lain agar mereka dapat meneruskan perniagaan mereka seperti sedia kala.

“Mereka tidak minta jutaan ringgit sebagai tekanan atau pampasan tetapi yang mereka minta ialah tempat berteduh dan premis atau tapak yang sesuai untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Syafie, pada masa ini perniagaan penduduk Matau terpaksa ditutup sedangkan mereka dapat menyaksikan tanah milik mereka sedang diagihkan kepada bangsa lain di atas nama pembangunan.

“Dengan itu kita minta siapa saja terutama wakil rakyat agar berbuat sesuatu demi sedikit keadilan untuk penduduk yang teraniaya ini,” keluhnya.

Tambahnya, sudah tiga generasi penduduk bermukim di situ dan setiap kali menjelang kali pilihan raya mereka dijanjikan dengan penyelesaian yang menang-menang. Namun pada hakikatnya, janji tidak pernah ditepati. - HARAKAHDAILY 30/11/2014

35,000 Rumah Selangorku sebelum 2018 realistik - Exco

KUALA LUMPUR: Jumlah 15,000 unit Rumah Mampu Milik atau Rumah Selangorku yang diumumkan oleh Menteri Besar semasa Ucapan Belanjawan adalah sasaran di bawah insentif yang diumumkan dan mesti dibina pada tahun 2015.
"Walau bagaimanapun seperti yang saya telah umumkan pada hari pertama sidang kali ini bahawa terdapat 15,529 unit Rumah Selangor yang sama ada telah dibina, sedang dibina atau telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Iskandar Abdul Samad.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri itu berkata sebanyak 5,473 unit dibina oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri dan 9,786 unit oleh pemaju swasta.
Selain dari itu, ujarnya kerajaan negeri terus menerima permohonan dari pemaju-pemaju untuk membina Rumah Selangorku.
"Malah jawapan saya pada hari pertama sidang dewan tidak melibatkan projek-projek yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada minggu lepas. Ia merangkumi 4,346 unit Rumah Selangorku," katanya lagi.
Ini, jelas beliau bermakna bilangan keseluruhan Rumah Selangorku yang diluluskan setakat ini adalah 19,865 unit.
Oleh yang demikian, katanya sasaran agar 35,000 unit mula dibina sebelum tahun 2018 adalah sesuatu sasaran yang realistik.
Walau bagaimanapun, tambah beliau perlu ada pemantauan agar projek-projek yang diluluskan oleh MMKN mendapat kebenaran merancang (KM) secepat mungkin.
"Untuk memastikan ini berlaku, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar sendiri," katanya.
Beliau menambah, ianya bertindak untuk membincangkan projek-projek Rumah Selangorku sebelum memasuki unit pusat setempat (OSC) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelas Iskandar, PBT dan agensi-agensi yang terlibat akan dipanggil supaya apabila projek itu memasuki OSC, ia tidak mempunyai masalah untuk diluluskan.
Kerajaan negeri juga, kata beliau akan menghukum pemaju-pemaju yang mendapat kelulusan MMKN untuk membina Rumah Selangorku tetapi gagal membuat permohonan KM.
Tambahnya, tindakan menyenarai hitam (blacklist) akan dilaksanakan untuk pemaju-pemaju yang gagal. - HARAKAHDAILY 30/11/2014

'Kecewa jika miliki aset maju tetapi tidak boleh diguna'

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang secukupnya bagi penyeliaan dan penyelenggaraan peralatan ketenteraan.
Baginda bertitah bagi menghadapi musuh-musuh yang mengancam negara, peralatan dan persenjataan sedia ada mestilah diselia dengan baik dan sempurna supaya dapat digunakan pada bila-bila masa.
"Adalah amat mengecewakan jika memiliki aset yang maju dan canggih tetapi tidak boleh digunakan dan disimpan di dalam stor atau gudang kerana tidak mempunyai alat ganti disebabkan kekurangan kewangan," titah baginda yang juga Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baginda bertitah demikian pada majlis Santapan Diraja Kapten Yang Dipertua TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Istana Alam Shah di Istana Alam Shah, Klang, Sabtu malam.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Roslan Saad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kira-kira 800 pegawai TLDM, TUDM dan PDRM.
Selain itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga meminta semua peringkat pasukan keselamatan negara supaya berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas serta mengutamakan kualiti kerja yang cemerlang.
"Gejala rasuah, salah guna kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi hendaklah dielakkan," titah baginda.
Baginda memuji langkah kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan meminta ia diperluaskan dari semasa ke semasa.
Baginda menyeru rakyat supaya memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan agar matlamat untuk mengekalkan keamanan di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya. 

63 tahun, istiqamah perkuatkan parti - Presiden PAS

KUALA KANGSAR: ‎Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan semua pemimpin dan ahli parti wajib beristiqamah dalam memperkuatkan parti.
Berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 beliau berkata‎ dalam usia 63 tahun, setiap ahli perlu kesepakatan dalam membentuk parti.
"Walaupun ramai yang telah meninggalkan kita termasuk mereka yang berjawatan tetapi semakin ramai yang menyertai kita.
"Kita wajib beristiqamah dalam membawa parti kita yang telah berusia 63 tahun ini agar lebih teguh," ucap beliau.
Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, PAS ditubuhkan dengan tujuan membawa politik mengikut ajaran Islam.
"Kita memilih jalan damai untuk perjuangan sebab itu demokrasi menjadi keutamaan kita.
"Namun dalam masa kita menebarkan perjuangan yang betul, muncul kumpulan yang rakus menentang Islam.
"Jadi untuk mendirikan negara Islam dan menentang kerakusan tersebut kita perlu mempunyai asas yang teguh dan kuat," ujar beliau.
Mengulas tema sambutan 'Istiqamah Menggalas Perjuangan' beliau menasihatkan setiap ahli agar perlu bersabar kerana kemenangan belum diperolehi sepenuhnya.
Katanya, walaupun belum mencapai kejayaan tetapi perjuangan Islam akan tetap menemui kemenangan.
Beliau turut melancarkan kad keahlian PAS yang baru dengan wajah baru yang mempunyai gambar ahli.‎
Sebelum itu, beliau tiba di tapak program kira-kira jam 9 pagi turut memeriksa‎ perbarisan Jabatan Amal Malaysia, Pemuda dan Briged Muslimat. - HARAKAHDAILY 30/11/2014