Friday, June 20, 2014

Kes Aslam: Mana transformasi Najib, soal PKR

 Tindakan kerajaan yang mengambil tindakan terhadap pelajar Malaysia, Aslam Abd Jalil hanya kerana menghadari satu program bersama pemimpin Pakatan Rakyat dikecam banyak pihak.


Aslam yang belajar di Australian National University (ANU), Canberra didakwa menerima surat tunjuk sebab dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas alasan telah mengambil bahagian dalam forum mengenai isu semasa Malaysia.

Forum tersebut diadakan di universiti itu pada 22 April lalu bersama panel Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU) Tony Pua yang bertajuk 'Race, Religion, Royalti with YB Tony Pua".

Aslam menerima surat tersebut pada 18 Jun lalu yang dikirim secara emeil melalui Penasihat Pendidikan dan Latihan Australia JPA Shahrezan Md Sheriff.

Dalam surat tersebut, beliau didakwa melanggar perjanjian 5.5 di dalam perjanjian biasiswa dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau telah dituduh penghasut atau melakukan tunjuk perasaan, yang pada pendapat kerajaan ia akan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.

Beliau juga telah diarah untuk mengemukakan satu penjelasan bertulis dalam masa 24 jam dan jika beliau gagal melakukan demikian, pihak kerajaan akan mengambil tindakan terhadapnya

Mengulas perkara itu hari ini, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, apa yang berlaku menunjukkan transformasi yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak hanya cakap kosong semata-mata.

"Bagi saya ke semua sesi forum ini dilihat tidak ada langsung sebarang agenda hasutan ataupun melanggar kepentingan tanah air.

"Melainkan jika ada seseorang yang mempertimbangkan untuk mengadakan satu perdebatan terbuka yang mengancam negara," kata Nik Nazmi pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, tindakan tersebut satu tradisi kerajaan untuk menakut-nakutkan pelajar di luar negara supaya tidak menyertai apa-apa program yang melibatkan pembangkang.

Beliau turut menggesa pihak kerajaan termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia dan JPA memberi penjelasan berhubung tindakan itu.

"Kita juga minta mereka jelaskan mengapa mereka mengganggap bahawa forum-forum ini menentang kepentingan Malaysia.

"Lebih-lebih lagi apabila forum ini melibatkan pengubal undang-undang di negara ini," sambung beliau.

Aslam pernah berucap di dalam sebuah forum bersama Speaker Hannah Yeoh dan Nik Nazmi sendiri 26 Mei lalu. -

Isma, Perkasa dijemput sertai himpunan solidariti Kg Chubadak

Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal mempelawa semua NGO masyarakat untuk menyertai himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak pada Isnin ini.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, beliau turut menjemput Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk turun ke himpunan tersebut.

Menurut Mazlan, beliau menghargai usaha Perkasa yang turun melawat penduduk Kg Chubadak Tambahan biarpun agak lewat.

"Bagi saya meskipun tindakan Perkasa agak lewat, ia lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.

"Saya juga telah menghantar surat kepada Isma dan badan NGO lain untuk menyemarakkan himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak pada isnin ini," kata Mazlan.
Sebelum ini Mazlan dalam kenyataannya melahirkan rasa kesal dengan sikap NGO yang mendakwa mahu membela nasib orang Melayu tetapi membisu dalam isu Kg Chubadak.
Ekoran kenyataan itu, Perkasa kemudian dilihat turun bertemu penduduk kampung terbabit.

Himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak akan diadakan Isnin ini di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpr (DBKL) bermula jam 9 pagi.

Himpunan ini anjuran Pertahankan Kampung Tradisi dan Warisan Bangsa & Peneroka Bandar (Anak Warisan) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat.

"Kerajaan mesti kekalkan Kg Chubadak, Kg Puah Seberang dan saki baki kampung tradisi melayu di Kuala Lumpur.

"Jadikan ia kampung warisan, naik taraf perkampungan dan kemudahan asas demi survival umat Islam di bandar," kata Mazlan. -

Ugut, cabar keluar Malaysia sangat tidak matang

Mengugut untuk keluar dari Malaysia atau mencabar supaya sesuatu pihak keluar dari Malaysia ketika menghadapi perbezaan pendapat adalah tindakan yang sangat tidak matang.

Justeru, pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua pihak sama ada parti politik, NGO atau individu agar sentiasa beriltizam dengan semangat persekutuan yang telah dimeterai melalui pengisytiharan Malaysia pada tahun 1963.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua memelihara dan mempertahankan keutuhan setiap inci tanah air ini termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, IKRAM terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia mempertahankan keutuhan negara yang satu.

Tambahnya, sebarang seruan ke arah sebaliknya, sama ada seruan secara emosi atau provokasi, perlulah dihentikan serta-merta.

Katanya lagi, keresahan dalam kalangan penduduk yang merasakan ketidakseimbangan agihan hasil mahsul negara perlu diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, IKRAM prihatin terhadap keperluan Sabah dan Sarawak kepada kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih, bekalan elektrik, perumahan, pendidikan, perubatan, pengangkutan, lebuh raya dan yang seumpamanya.

Mohd Parid menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil bumi dan sumber manusia perlu dibangunkan secara optimum oleh kerajaan pusat supaya pulangannya kembali kepada rakyat kedua-dua negeri.

Ini, ujarnya akan memastikan pembangunan bersepadu yang lebih saksama serta mengelak perasaan dianaktirikan oleh rakyat kedua-dua negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya saling bermuafakat dan menghormati antara satu sama lain ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik.

“IKRAM mengingatkan bahawa Allah S.W.T. mengajar kita semua untuk menyuburkan bumi ini dengan seruan-Nya, ‘Rahmatan Lil 'Alamin’ iaitu membawa rahmat dan kasih sayang kepada seluruh penduduk bumi,” ujarnya.

IKRAM juga, ujar beliau menyeru semua pihak agar menghormati Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan.

“Sebarang seruan atau ancaman ke arah perpecahan perlu dihentikan serta-merta. Mari kita laksanakan seruan mulia ini,” kata beliau. -

UiTM: Bukan pasal model tapi soal kroni

Penjelasan UiTM berhubung projek penswastaan pembinaan beberapa kampus universiti itu tidak langsung menjawab persoalan kronisme yang wujud tetapi lebih berkisar kepada model pembiayaan yang bukannya menjadi pokok persoalan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli(gambar) berkata, pihak pengurusan UiTM tidak sedikit pun menyangkal pendedahan beliau mengenai kroni-kroni Umno yang berada di belakang syarikat-syarikat konsesi tersebut malah gagal menyangkal kos sewa tahunan yang terpaksa ditanggung bagi setiap kampus seperti didedahkan beliau.

"Saya mengalu-alukan jawapan rasmi dari pengurusan UiTM mengenai projek-projek penswastaan UiTM kampus-kampus cawangan Pasir Gudang, Jasin, Seremban III, Puncak Alam, Tapah dan Kota Samarahan.

"Kenyataan media UiTM semalam merupakan jawapan rasmi yang pertama setelah seminggu saya mendedahkan bagaiman kroni Umno yang akhirnya mengaut keuntungan dari dasar penswastaan kampus-kampus baru UiTM yang sedang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, penjelasan UiTM itu telah membantu mengesahkan bahawa kesemua fakta yang dikemukakan selama ini mengenai kroni di belakang setiap syarikat konsesi dan pertambahan kos lima kali ganda yang akan membebankan UiTM itu adalah benar dan tepat.

Pengurusan UiTM, ujar beliau hanya mampu menjawab bahawa pendekatan menswastakan kampus-kampus cawangan UiTM kepada syarikat-syarikat konsesi ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi melalui kaedah “private finance initiatives” (PFI).

Beliau turut mempersoalkan kaedah PFI yang diguna pakai UiTM bagi membina kampus-kampus baru memandangkan konsesi dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus.

"Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah PFI sekiranya ia dibuat secara telus dan terbuka. Negara-negara lain turut mengamalkan kaedah PFI dalam beberapa projek tetapi tender dibuka kepada semua. Akhirnya, syarikat yang menawarkan harga dan nilai terbaik kepada kerajaan yang akan terpilih," ujarnya.

Menurut beliau, apabila konsesi penswastaan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus, ia menimbulkan banyak masalah.

"Pertamanya, syarikat-syarikat kroni ini tidak ada pengalaman dalam menguruskan projek sebesar itu kerana kebanyakan mereka hanyalah pemimpin Umno yang tidak mempunyai perniagaan besar sebelum itu dan syarikat mereka hanya ditubuhkan semata-mata untuk mendapatkan konsesi.

"Akhirnya, pelaksanaan projek mengalami banyak masalah termasuklah kemudahan yang tidak mengikut spesifikasi, khidmat penyenggaraan yang tidak baik kelak dan lain-lain," ujarnya.

Rafizi menambah, apabila konsesi penswastaan dirunding terus dengan syarikat-syarikat kroni, terma perjanjian konsesi adalah berat sebelah dan hanya menguntungkan pemegang konsesi.

Dalam kes konsesi penswastaan UiTM, jelas beliau kos keseluruhan menanggung bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi sebanyak RM8.6 bilion adalah lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Menurutnya, rakyat Malaysia telah lama terbeban dengan bayaran tahunan kepada pemegang konsesi akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh BN dan syarikat kroni.

"Beban itu sekarang dirasakan terus oleh rakyat, misalnya kadar elektrik yang lebih tinggi akibat perjanjian konsesi penjanaan bebas (IPP) yang membebankan Tenaga Nasional Berhad dan kadar tol yang terus menguntungkan syarikat tol sedangkan rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barang," ujarnya.

Malah tambah beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa mewarisi perjanjian konsesi dengan syarikat kroni di dua institusi pendidikan tinggi iaitu Unisel dan KUIS.

Kedudukan kewangan Unisel dan KUIS, tambah beliau terjejas kerana bayaran sewa yang hanya menguntungkan syarikat kroni milik wakil rakyat Umno dan pelajar pula terbeban dengan kenaikan sewa kampus mengikut perjanjian konsesi.

"Sebab itu, saya tekad untuk terus menentang penswastaan kampus-kampus cawangan UiTM ini kepada syarikat konsesi.

"Bagi tahun 2014 sahaja, bayaran sewa (yang hanya merupakan sebahagian saja sewa tahunan) kepada syarikat konsesi telah mencecah 14% dari peruntukan keseluruhan UiTM.

"Apabila siap sepenuhnya dan lebih banyak kampus diswastakan dengan cara ini, bayaran sewa kepada syarikat konsesi akan menjadi belanja paling besar yang ditanggung oleh UiTM setiap tahun – seperti mana bayaran kepada syarikat IPP menjadi tanggungan paling besar TNB setiap tahun," tegas beliau.

Beliau khuatir UiTM terpaksa mengikat perut dan memotong peruntukan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting malah kebajikan pelajar akan terabai apabila sewa bilik di kampus akan naik kerana UiTM perlu membayar sewa.

"Peruntukan melanjutkan pelajaran kepada pensyarah-pensyarah terpaksa dikecilkan kerana peruntukan digunakan untuk membayar sewa. Program-program naik taraf kampus akan dihentikan kerana kampus bukan lagi milik UiTM tetapi milik syarikat konsesi.

"Dan pelbagai kesan lain yang hanya merugikan pelajar dan warga UiTM," ujarnya memberi amaran.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga UiTM untuk bersatu menentang penswastaan kampus cawangan UiTM demi kelangsungannya sebagai institusi pengajian tinggi utama rakyat terbanyak.