Sunday, November 27, 2011

BN Tergugat: MTUC Isytihar Perang Ke Atas BN Jika Akta Kerja Diteruskan

kta Pekerjaan: MTUC mahu MOU dengan Pakatan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bercadang untuk membentuk perjanjian persefahaman dengan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan pindaan kontroversi ke atas Akta Pekerjaan.

Setiausaha kewangan MTUC, Alias Awang berkata, pemimpin Pakatan perlu menandatangani perjanjian persefahaman dengan MTUC untuk menyatakan sokongan yang lebih bulat ke atas usaha untuk memansuhkan undang-undang tersebut.

Dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR hari ini, Alias berkata, beliau juga akan membawa usul untuk membentuk memorandum persefahaman itu di perhimpunan MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 2 Disember depan.

"Saya akan bawa usul, kita akan beri cadangan kepada Pakatan, kena buat MOU untuk kita tunjukkan keikhlasan... Awak tolong saya, saya akan tolong awak," katanya lagi.
"Beliau yang mengisytiharkan perang ke atas kerajaan yang meluluskan undang-undang berkenaan juga berkata, MTUC akan membuat keputusan untuk menyokong parti yang usaha menarik balik undang-undang berkenaan.

Tambahnya, MTUC juga akan meneruskan siri perhimpunan untuk membantah pindaan ke atas Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini.

Alias berkata, perhimpunan besar itu dijangka diadakan di hadapan bangunan Parlimen apabila undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Negara pada 12 Disember, katanya dalam perbahasan di Kongres Nasional PKR hari ini.

Dalam ucapannya, Alias turut meminta para perwakilan supaya memberi sokongan penuh untuk hadir ke perhimpunan berkenaan, disambut dengan laungan "sokong pekerja" oleh para perwakilan berkenaan.

Tambahnya, parti dalam Pakatan perlu menyokong bantahan berkenaan memandangkan golongan pekerja membentuk sejumlah lima juta daripada keseluruhan jumlah pengundi.

"Kalau biarkan (pekerja) berjuang tanpa sokongan saya takut mereka beralih sokongan," kata ahli PKR itu lagi ketika membahaskan usul memartabatkan kaum pekerja.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan.

Rang Undang-undang itu dijadual dibentangkan di Dewan Negara pada persidangan Disember ini. -mk

MTUC isytihar ‘perang’ jika BN enggan batal pindaan Akta Kerja

Sebahagian daripada perwakilan yang mengikuti sidang Kongres Nasional PKR. – Foto oleh Choo Choy May

JOHOR BARU, 27 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan badan induk pekerja itu akan mengisytihrkan perang ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) jika Rang Undang-undang Kerja 1955 dipinda di Dewan Negara 12 Disember ini.

MTUC sebelum ini membantah pindaan terbaru yang menyediakan peruntukan kontroversial sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Ia telah mengadakan piket pada 3 Oktober lalu di pekarangan Parlimen dan peringkat nasional pada 3 November. Seterusnya, satu perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini.

Setiausaha Kewangannya Alias Awang Ibrahim berkata, badan induk itu yang dianggotai 390 kesatuan akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan-pindaan yang dibawa ke atas Akta Kerja sekarang.

“Jika ia diluluskan di Dewan Negara pada 12 Disember, maka MTUC akan mengisytiharkan perang ke atas mereka (kerajaan). Tiada ruang untuk berkompromi,” kata beliau pada Kongres Nasional PKR di sini hari ini.

Pindaan itu sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dan kini tunggu giliran Dewan Negara.

MTUC sudah pun memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 5.7 juta pekerja akan membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pentadbirannya enggan mendengar suara mereka.

Kongres itu telah menulis surat kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.

Minggu lalu, Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini, tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja.

Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja. -

Perhimpunan Aman: ABIM mahu PM hormati rakyat, jangan mundur

1 Muharram 1433H,
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pentadbiran Najib menghormati suara rakyat, bukannya mundur dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan Perlembagaan Perrsekutuan.
Presidennya Amidi Abd Manan berkata, setelah menilai dengan mendalam, ABIM ingin meluahkan bantahan terhadap rang undang-undang  tersebut.
Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat Selasa ini.
Ekoran bantahan, Kabinet setakat Jumaat lalu telah memutuskan untuk meminda sekurang-kurangnya tujuh peruntukan rang undang-undang itu.
“ABIM menilai peruntukan-peruntukan tersebut  bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan berhimpun.
“Antara peruntukan-peruntukan tersebut ialah notis 30 hari (dalam draf asal) diwajibkan ke atas penganjur sebelum tarikh perhimpunan dalam Fasal 9 Undang-undang Perhimpunan Aman 2011,” kata beliau.
Katanya, ABIM juga menuntut penjelasan serta rasional di sebalik larangan mengadakan perhimpunan di rumah-rumah ibadat seperti masjid untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.  
Malah tegas beliau,   ABIM juga memandang berat serta menolak pemusatan kuasa  serta budi bicara untuk polis  mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan.
“ABIM khuatiri menerusi peruntukan tersebut (Fasal 15 dan 21), ia akan membuka ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta  menyuraikan sesebuah perhimpunan,” katanya.
Amidi menambah, dunia sedang bergerak ke hadapan memperkemas dan memperkasa elemen-elemen kebebasan, keadilan, dan hak asasi manusia, langkah-langkah ini dinilai  seakan sengaja mengambil langkah untuk berundur ke belakang untuk menafikan hak asasi rakyat Malaysia.
Dalam hal ini katanya, ABIM ingin menegaskan pendirian bahawa kebebasan dan ketenteraman awam merupakan hak asasi seluruh rakyat Malaysia dan ia perlulah dilaksanakan dengan semangat dan komitmen demokrasi yang tinggi.
“Seharusnya sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.
“Sesungguhnya sebarang maklum balas dari institusi masyarakat sivil juga tidak wajar ditanggapi dengan persepsi yang negatif,” katanya.
Sebarang penafian terhadap hak serta sekatan yang berkaitan akan memberikan persepsi yang negatif di kalangan rakyat terhadap pemerintah, tambah Amidi.
“ Dikhuatiri sekiranya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 dilaksanakan, ia hanya akan memberi implikasi yang kurang menyenangkan terhadap perjalanan konteks hubungan rakyat-pemerintah itu sendiri di samping perkembangan demokrasi secara sihat di negara ini,” katanya.-MI

NYAWA TENTERA DIPERTARUHKAN KERANA GEJALA RASUAH : BEKAS TENTERA

Beberapa bekas anggota tentera, yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, tampil dan mendakwa gejala rasuah dalam Kementerian Pertahanan telah meletakkan nyawa mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

3 man jungle patrol teamSeorang daripada mereka, semasa forum mengenai rasuah dalam industri pertahanan, memberitahu Malaysiakini, bahawa tindakan itu telah menyaksikan beberapa rakannya menjadi ‘kudung’ dan sebahagian besar mereka "menderita secara senyap".

Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu kerana khuatir akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pegawai bukan tentera telah menolak cadangan pihak ketenteraan dan sebaliknya membeli peralatan kurang bermutu yang mempertaruhkan nyawa perajurit negara.

"Kita beli mesin gun AK 33 yang selepas tembakan sebanyak tiga pusingan akan tersekat. Ini memaksa askar mencampangkan senapang itu dan berjuang menggunakan parang,” katanya merujuk kepada satu operasi yang tidak dinamakannya.

military tentera askar soldier malaysia 260307 mobile artilleryContoh lain, katanya, sekitar tahun 1970-an, kaki askar-askar dijangkiti sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana but yang dibekalkan mereka karat. Ini kerana but yang dibekalkan itu diperbuat daripada kepingan zink dan bukannya aluminium seperti yang sepatutnya.

But berkenaan bertujuan melindungi kaki askar dari pancang perangkap samar yang tersembunyi ketika peperangan gerila di hutan. Namun, katanya, ia gagal untuk berbuat demikian kerana senang berkarat ketika askar-askar meredah hutan ketika hujan lebat.

Beliau turut memberi contoh, bagaimana, poncho atau baju hujan yang berkualiti rendah itu seringkali menyaksikan perajurit basah kuyup setiap kali hujan.

"Saya dalam kesejukan berada di hutan sedangkan seseorang telah mendapat habuan besar dan berseronok di tempat lain," katanya pada majlis anjuran Transparency International di Subang.

military malaysia army tentera 131106 jungleLelaki itu juga mendakwa mutu makanan yang berkualiti rendah dibekalkan kepada pasukan tentera dan sekiranya pegawai mereka membuat bantahan, mereka pula akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.

"Mereka tidak peduli. Saya percaya ia masih berterusan. Askar-askar kita  yang menderita,” rintihnya lagi.

Guan Eng:Umno ancam kepentingan Melayu

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak pernah menjadi ancaman kepada kepentingan orang Melayu, sebaliknya hanya Umno, yang merupakan komponen teras Barisan Nasional (BN) mempamerkan sifat-sifat sedemikian.

Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Umno bukan sahaja menjadi ancaman kepada orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan dan mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan salah guna kuasa.

“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka.

“Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insurans, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu,” katanya.

Dalam kenyataannya, Lim menambah, tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan agenda perkauman partinya dan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1 Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas pilihan raya umum ke-13.

“Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

“Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia dengan berkata pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan bersesuaian dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini demi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi.

Muhyiddin berkata sikap fanatik dan taksub akan menyebabkan seseorang itu menutup fikiran mereka daripada menerima sebarang maklumat daripada pihak yang tidak mereka senangi.

Beliau berkata gagasan 1 Malaysia yang membawa nilai-nilai aspirasi seperti budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi turut diterap dan dibudayakan dengan konsep kesederhanaan.

Muhyiddin berkata matlamat akhir pendekatan wasatiyyah masih tidak lari daripada usaha mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, perpaduan, pertahanan, kenegaraan dan sebagainya.

Dalam kertas kerjanya pada seminar itu, Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar pula berkata konsep Malaysian Malaysia bertentangan dengan konsep wasatiyyah kerana ia berat sebelah dan idea dangkal ini meminggirkan hakikat sejarah serta latar belakang politik di negara ini.

Hijrah : Kebangkitan Anak Muda

Perutusan Maal Hijrah Ketua DPP Malaysia :

1. Hijratur Rasul saw adalah satu lembaran agung yang telah memahat sejarah gemilang buat perjuangan Islam yang didokong oleh al Musthafa saw tatkala ia adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah dan noktah gemilang pembentukan sebuah baldatun toyyibah wa rabbun ghafur [ negara yang baik - aman, sejahtera dan membangun - sementara tuhan mengurniakan keampunanNya ]

2. Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.

3. Peristiwa Hijratur Rasul sarat dengan kisah pengorbanan. Samaada pengorbanan nyawa sebagaimana yang dibuktikan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah, pengorbanan harta seperti yang dipamerkan oleh Suhaib ar Ruumi sehingga kisahnya dirakam oleh Allah swt di dalam al Quranil Kareem :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

al baqarah : ayat 207

4. Sunnatullah, bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerakkerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang . Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.

5. Bangkitlah wahai sekelian anak muda dari tidur yang panjang. Kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. Sempena ulangtahun  Hijrah ar Rasul saw kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

UMNO DAN GAGASAN WASATIYYAH - 'KULIT BERTUKAR, ISI TETAP SAMA'




Sempena perhimpunan Umno, parti yang terkenal dengan sifat  perkauman yang tebal secara ironisnya cuba melancarkan gagasan wassatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan wassatiyah (pertengahan). Selepas gagal menjayakan konsep 1Malaysia kerana ketebalan sifat perkaumannya, Umno kini bertukar arah ke konsep gagasan wassathiyyah.

Namun, lebih daripada itu, adakah kemunculan gagasan wassatiyyah petanda Umno kini kian bergelora?

Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat?

Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia?

Tidak menafikan bahawa wassatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam. Namun, harus tegas diingatkan bahawa  gagasan wassathiyyah  wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Gagasan wassatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama. Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering 'flip-flop' seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara?

Tindakan Umno membiarkan beberapa badan NGO pro-Umno, terutamanya Perkasa memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik selama ini jelas mencerminkan gagasan wassatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Walau apapun, gagasan wassatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara. Gagasannya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa-apa tindakan dan pelan bertindak. Gagasan wassatiyyah hanyalah satu slogan kosong sebagaimana slogan-slogan terdahulu.

Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa-apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka.