RIDHUAN TEE ABDULLAH
28 September 2015
LAMA sudah saya tidak mendengar kata-kata “Cina babi”, kecuali selepas perhimpunan Merah 16 September. Menyamakan manusia, Cina dengan binatang (babi), adalah perbuatan manusia tidak bertamadun. Orang sebegini tidak layak memimpin dan menjadi pemimpin.
Atas apa jua alasan, sama ada orang Cina suka makan babi atau tidak, perkataan ini sepatutnya tidak boleh sama sekali dikeluarkan di khalayak. Apa kata, kalau orang lain berkata, Melayu lembu. Apabila ada yang protes, maka kita pun jawab, ia tidak sensitif, kerana orang Melayu memang suka makan lembu.
Saya harap orang yang mencari alasan sebegini, bertaubatlah. Perbuatan itu tidak menguntungkan dakwah, malah merugikan. Ya, memang saya tidak nafikan, turut melabelkan segelintir Cina dengan istilah ultra kiasu, tetapi saya merujuk kepada sikap mereka, yang asyik mahu menang, tanpa sedikit pun mahu kalah. Tidak kira sama ada Cina atau Melayu atau lain-lain.
Perlu diingat, tidak semua Cina makan babi. Ada Cina Islam dan segelintir Kristian yang tidak makan babi. Terdapat lebih 80 juta Cina Islam di negara China, lima kali ganda jumlah Melayu Islam di Malaysia, yang tidak pernah menyentuh babi, kerana mereka beragama Islam.
Malah, orang Cina di China, menerima Islam lebih awal daripada kita. Orang Melayu menerima Islam 600 tahun lalu. Orang Cina telah menerima Islam hampir 1400 tahun yang lalu. Malah, sejarah pengislaman orang Melayu, turut dilakukan oleh pendakwah Cina.
Tanpa orang Cina datang berdakwah dan berdagang ke Alam Melayu (selain Arab dan India), mungkin pengislaman orang Melayu secara besar-besaran menjadi tidak sempurna.
Justeru, berhati-hatilah apabila 'membabikan' orang lain. Mungkin sebelum Islam dahulu, orang Melayu turut memakan dan bermain dengan binatang ini.
Dalam insiden kali ini menjadikan saya malu dan terasa ingin memohon maaf kepada orang Cina yang tidak ultra kiasu, atas keceluparan orang yang mengaku Islam, menggunakan kata-kata kesat.
Saya melakukan sebegini kerana saya amat faham tentang sifat dan makhluk yang ALLAH jadikan. Babi sekalipun, haram dimakan atau dipelihara oleh orang Islam, namun sifatnya sebagai makhluk ciptaan mesti dihormati, kerana ia ciptaan ALLAH, bukan syaitan. Hatta, syaitan sekalipun adalah ciptaan ALLAH, sekalipun ia musuh kepada manusia dan bertugas menyesatkan manusia.
Apakah salah ALLAH menjadikan syaitan? Begitu juga dengan orang Yahudi. Benar, ALLAH melaknati Yahudi dalam al-Quran, kita pun sebut Yahudi laknatullah. Pada masa sama, ALLAH memberi kelebihan kepada Yahudi. Yahudi menguasai dunia dan ekonomi. Kenapa ALLAH lakukan sedemikian? Patutkah kita menyalahkan ALLAH? Yahudi tidak salah, tetapi sikap Yahudi itu yang perlu ditangani.
Terkadang saya amat sedih melihat orang Melayu yang mengaku Islam, menganiaya makhluk yang tidak berdosa seperti anjing, yang turut menjadi sensitif kepada orang Melayu, sehingga kita sanggup menyamak beratus-ratus troli, sedangkan perkara yang lebih haram seperti rasuah dan riba dibiarkan berleluasa, malah diambil menjadi darah daging.
Justeru, saya memohon supaya kita tidak terlalu beremosi. Ya, memang kita menentang sikap ultra kiasu. Tetapi itu bukan bermakna kita mengambil sikap memusuhi mereka, kecuali ia memberikan ancaman terhadap Islam.
Ambillah iktibar, cerita ibu bapa saya yang berniaga di kawasan orang Melayu suatu ketika dahulu. Ibu saya sanggup ‘mencuri’ beras, yakni mengambil beras tanpa pengetahuan bapa saya dan memberikannya kepada orang Melayu yang mempunyai ramai anak atas dasar belas kasihan.
Saya tidak boleh bayangkan betapa besarnya jasa ibu bapa saya ‘membesarkan’ orang Melayu yang kesusahan di kampung saya, dengan memberikan mereka berhutang, sehinggakan buku hutang bertapuk-tapuk tidak berbayar, sehinggakan ada hutang yang ditulis di dinding-dinding kedai.
Orang kampung membesar dengan hutang kepada ibu bapa ayah. Ramai anak mereka berjaya masuk universiti, hutang masih tidak berbayar.
Bacalah kisah Hajijah Saini mengambil upah menjaga dua anak Cina sejak mereka masih bayi lagi sehingga memberi gelaran nama yang sinonim dengan bangsa Melayu dan Islam iaitu ‘Hassan dan Abu’.
Hajijah menjaga dan menyayangi anak Cina ini seperti anak sendiri. Makan bersuap, tidur di riba, mandi diurus. Adakah wajar kita membenci Cina kerana dia Cina?
Begitu juga kisah seorang Cina tua tinggal seorang diri, membeli nasi lemak daripada peniaga Melayu. Melihat keadaan Cina tua itu, peniaga Melayu ini memberikan nasi lemak secara percuma kepadanya.
Kesimpulan, kita tidak melarang kebebasan berhimpun, jika ada tujuannya. Tetapi jagalah akhlak dan mulut. Jika bersalah, mengakulah. Tidak perlu mencari alasan yang tidak munasabah. Itu ultra kiasu namanya.
Ultra kiasu tidak hanya ada pada orang Cina, tetapi Melayu juga. Berhimpunlah secara baik, tonjolkan imej baik Islam seperti yang dikehendaki pimpinan negara kita.
Sumber : Sinar Harian Online