Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Chong Eu yang berkhidmat untuk 21 tahun (selaku Ketua Menteri) meninggal dunia pada 24 November pada usia 91 tahun, diberikan penghormatan pengebumian negara. Penghargaan, pujian dan sanjungan melimpah dari pemerintah mahupun pembangkang, pertubuhan dan media. Dari sumbangan politik beliau, hinggalah layanannya terhadap orang bawahan - berita-berita ini menghiasi ruang dada akhbar. Namun, perkara yang sensitif sentiasa tercicir daripada lambakan pujian ini.
Selama 39 tahun Lim Chong Eu (gambar kiri) berkecimpung dalam arena politik, pernah mengetuai Parti Radikal Malaya, MCA, United Democratic Party dan Gerakan. Seandainya diimbas riwayat politiknya, Lim Chong Eu sememangnya seorang tokoh politik yang dikagumi. Pentadbiran beliau selama 21 tahun di Pulau Pinang telah menjadi asas kemajuan dan kemakmuran negeri ini, dan sumbangan ini sentiasa dikenang dan disanjung sehingga kini.
Biarpun tempoh jawatan Presiden MCA yang disandang Lim Chong Eu tidak genap 18 bulan (Mac 1958 hingga Julai 1959), namun ia merupakan detik yang penting dalam sejarah politik kaum Cina di tanahair ini. Lim Chong Eu menegaskan bahawa MCA harus bertanding 40 daripada 104 kerusi parlimen, memandangkan bilangan pengundi Cina telah melebihi 1/3 jumlah pengundi. Malah, beliau mahu perkara pendidikan Cina dimasukkan ke dalam manifesto Perikatan, memandangkan ada tuntutan daripada masyarakat Cina.
Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman tidak menyetujui kedua-dua permintaan Lim Chong Eu tersebut, maka Tunku memilih untuk menyokong sekta Tan Siew Sin dalam MCA. Pada tahun 1959, Lim Chong Eu bukan sahaja tidak tahu-mengetahui senarai calon MCA yang bakal bertanding, malah dirinya tidak disenarai sebagai calon. Akhirnya, beliau meletak jawatan dan keluar parti. Tan Siew Sin yang disokong Tunku Abdul Rahman menerima peruntukan 31 kerusi (untuk ditanding MCA) sebagai kompromi.
Prestasi Lim dalam MCA tidak dinilai sewajarnya
Sabotaj "sekta kompromi" dalam MCA menjadi faktor utama ketidaksampaian hasrat Lim Chong Eu dalam dua perkara di atas. Dan ini mungkin titik permulaan MCA tunduk kepada UMNO untuk puluhan tahun kemudian. Seandainya kedua-dua tuntutan Lim Chong Eu berjaya, mungkin ia merupakan satu jasa untuk menyekat dominasi UMNO, dan menjurus ke arah kesaksamaan antara kaum. Peristiwa ini menjadi detik hitam yang gagal dihapuskan MCA untuk selama-lamanya.
Namun, ketika memperkenalkan bekas Presiden ini dalam laman rasmi MCA, penilaiannya berbunyi, "tidak tepat ketika memutuskan untuk mara atau undur, dan akhirnya terpaksa berundur setelah menyedari rintangan di depan." Jelas, penilaian ini menafikan ketetapan beliau, malah mungkin bertujuan untuk menjustifikasikan sikap pemimpin MCA seterusnya yang tunduk kepada UMNO.
Malah, sesetengah penilaian daripada penganalisa politik dalam media juga bertitik tolak dari perspektif "arus perdana" MCA. Misalnya, "Berikutan kegagalan rundingan Lim Chong Eu dengan Tunku Abdul Rahman dalam isu pengagihan kerusi dan pendidikan Cina, maka ia menjadi tanda mulanya beliau tersisih dari pucuk kuasa. Malah, (Lim Chong Eu) kehilangan peluang terakhir untuk memperjuangkan keperwakilanan MCA yang lebih adil dalam Perikatan". Dengan kata lain, media mempersalahkan Lim Chong Eu untuk kelemahan MCA kemudiannya, dan bukannya Tan Siew Sin yang mengambil kesempatan untuk menggulingkan Lim Chong Eu dengan sokongan UMNO. Penilaian sebegini sekali lagi mengesahkan kata-kata bahawa "sejarah ditulis oleh pemenang".
Jasa silap dalam sejarah hanya mencapai kata dua apabila seseorang itu disemadikan. Salah satu peristiwa yang belum diputuskan sama ada "jasa" mahupun "silap" adalah - Lim Chong Eu yang memimpin Gerakan, yang merupakan parti pembangkang pada PRU tahun 1969, berjaya mengambil alih kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang, malah memperolehi 2/3 kerusi DUN.
Namun, beliau membentuk kerajaan bersekutu dengan Perikatan pada tahun 1972 setelah mengangkat sumpah selaku Ketua Menteri. Bahkan, beliau memimpin partinya menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974. Tindakan ini, setidak-tidaknya bercanggah dengan matlamat asal penubuhan Gerakan dari kaca mata pengasas parti seperti Syed Hussein Alatas, Tan Chee Khoon dan lain-lain lagi. Lebih-lebih lagi, tindakan ini menyebabkan Gerakan yang berdikari pada mulanya, bertukar menjadi pak turut kepada UMNO. Ia juga tindakan yang bercanggahan dengan niat pengundi yang menyokong Gerakan untuk menafikan Perikatan dalam PRU tahun 1969.
Jasa silap ahli politik bakal dinilai ahli sejarah, namun penilaian terhadap tokoh politik tidak boleh hanya dilakukan sekadar dari perspektif pembangunan ekonomi, misalnya meningkatkan pendapatan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Mengambil contoh Lim Chong Eu, pada ketika beliau berjasa untuk kononnya pembangunan ekonomi, apakah pula nilai penting yang telah ditinggalkan? Misalnya, sejauh manakah bangunan warisan sejarah dirobohkan, sepanjang proses pembinaan bangunan KOMTAR yang setinggi 65 tingkat? Semua ini perlu penilaian yang objektif, supaya dijadikan ingatan dan iktibar untuk generasi yang akan datang. Sesungguhnya, jasa silap tidak boleh dinilai hanya dari perspektif ekonomi.