Saturday, November 15, 2014

Banjir kilat: PAS Bintulu gesa k'jaan serius

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Bintulu menggesa pihak kerajaan agar serias dalam menangani masalah banjir kilat yang sering kali berlaku di kawasan itu.


Yang Dipertua PAS Bintulu, Ir Mohd Azwani Abdul Rani berkata, kejadian terbaru minggu lalu dibeberapa kawasan sekitar RPR Sebiew dan Kampung Kamunting benar-benar mengecewakan penduduk.

"Dengan musim hujan akhir tahun kian menghampiri, penduduk amat bimbang dengan kejadian sebegini berulang lagi," katanya sambil menambah kerajaan perlu segera menangani masalah ini.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing, yang terus mendesak pihak berwajib menangani masalah itu.

Tiong dalam perbahasannya di Dewan Rakyat minggu lalu menyifatkan kerajaan pusat sebagai 'kong kali kong' kerana sehingga sekarang masih tidak serius menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, tindakan kerajaan yang hanya berjanji apabila tiba pilihan raya, dan tidak menunaikannya selepas menang, hanya memberi 'peluru' kepada pembangkang.

Beliau juga berkata, tidak tahan lagi dimaki oleh penduduk yang marah dengan sikap kerajaan yang lembab dalam menangani masalah itu.

Sementara itu, PAS Bintulu juga memohon jasabaik para penderma budiman untuk membantu adik Ainul Hayat Mohammad yang menghidap penyakit buah pinggang.

Beliau kini terpaksa mendpatkan rawatan susulan sejak lebih 5 tahun dan terpaksa berulang alik dari rumahnya di Kg Jepak, Bintulu dan mengikut rekod dia juga terpaksa melalui proses rawatan di Hospital Umum Kuching.
"Keadaan ibubapanya yang bekerja sendiri dan terpaksa menemani budak ini sewaktu menerima rawatan amatlah menghibakan," kata Mohd Azwani.

Kepada yang berhajat membantu boleh hubungi ayah beliau Mohamad  Junis di talian 013-8314124.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke PAS Kawasan Bintulu - Bank Islam di nombor akaun 11031010021654 dan boleh hubungi Bendahari PAS Kawasan Bintulu, Wan Faiz di talian 019-5511332.-

2.6 juta rakyat M'sia menghidap diabetes tahun ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.6 juta rakyat negara ini menghidap diabetes pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam.


Masyarakat, katanya, perlu memandang serius masalah itu supaya dapat mencegahnya lebih awal kerana kos rawatan penyakit diabetes amat tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Hari Diabetes Sedunia 2014 di sini.

Syahdu dan boleh mengalir air mata dengar ucapan Najib

KUALA LUMPUR: Mana penghargaan dan ruang menyediakan laluan kepada golongan muda melalui kuasa yang ada di tangannya sendiri?

Kenapa hanya pandai meminta orang lain memberi ruang kepada golongan muda sedangkan diri sendiri tidak melakukannya?

Begitulah pertanyaan yang dilontarkan Shahbudin Husin menerusi blognya sebagai respons kepada ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Johor, semalam.

Ulasan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Ketika berucap di majlis perasmian Konvensyen Umno Johor semalam, Perdana Menteri, Najib Razak meminta pimpinan senior dalam parti segera berubah dengan tidak lagi mengamalkan budaya cantas serta menyekat kemasukan golongan muda ke dalam Umno.

Katanya, mereka perlu segera berubah kerana amalan negatif mencantas dan menyekat golongan muda hanya akan menyebabkan mereka semakin menjauhi Umno.

"Kita perlu buang perangai bodoh ini. Kalau terpaksa beri laluan, berundurlah dan beri peluang kepada orang lain," katanya lagi.

Memang nampak cantik, syahdu dan boleh mengalir air mata mendengar apa yang diucapkan oleh Najib ini, tetapi persoalannya adakah beliau sendiri mengamalkannya?

Dalam kabinetnya sendiri, berapa ramai golongan muda berbanding mereka yang sudah berpenggal-penggal berada dalam kerajaan?

Lebih buruk lagi, di ketika menyedari pentingnya sokongan golongan muda itu, dalam pelantikan Senator yang dibuatnya baru-baru ini, semunya bukan saja terdiri daripada warga tua tetapi lebih merupakan kenalan rapatnya saja.

Tiga orang yang dilantiknya itu ialah Nallakaruppan, 68 tahun yang mulutnya hanya tahu memainkan isu mengenai peribadi Anwar Ibrahim semata-mata, Ibrahim Abu Shah, 64 tahun bekas Naib Canselor Uitm yang sebelumnya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno serta bekas Setiausaha Sulitnya suatu ketika dahulu, Abdul Halim Samad yang sudah pun berusia 74 tahun.

Mana penghargaan dan ruang menyediakan laluan kepada golongan muda melalui kuasa yang ada di tangannya sendiri?

Kenapa hanya pandai meminta orang lain memberi ruang kepada golongan muda sedangkan diri sendiri tidak melakukannya?

"KITA PERLU BUANG PERANGAI BODOH INI. KALAU TERPAKSA BERI LALUAN, BERUNDURLAH DAN BERI PELUANG KEPADA ORANG LAIN."

Siapa yang bodoh? Dan siapa yang tak beri peluang?

Najib sepatutnya menujukan kata-katanya ini kepada dirinya sendiri, bukan orang lain.

Jais lewat selenggara masjid, tiada kepakaran jurutera

KUALA LUMPUR: Tiada kepakaran jurutera di dalam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi urusan baik pulih dan pengauditan masjid di negeri itu antara punca menyebabkan kebanyakan masjid kurang diselenggara dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata bilangan masjid yang banyak di Selangor menyebabkan tanggungjawab Jais adalah lebih besar berbanding negeri lain, lapor Selangor Kini.

Katanya, hal itu juga menyebabkan keupayaan Jais sebagai agensi pelaksana memiliki batasan termasuk menguruskan projek sedia ada.

“Kita perlu bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyediakan senarai kuantiti (BQ) untuk menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, ketiadaan jurutera di Jais menyebabkan proses baik pulih atau audit di peringkat masjid dan sebagainya menjadi lambat kerana penyeliaan bukan mudah, kena ada profesionalisme,” katanya kepadaSelangor Kini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengambil inisiatif untuk melantik jurutera secara kontrak bagi memastikan proses baik pulih dilakukan dengan selamat dan mengambil kira semua faktor.

“Saya akan bincang dengan pengarah sendiri dan bahagian terbabit untuk melihat bagaimana perkara ini boleh dibaiki daripada kita berkocak di luar,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendapati masalah bumbung adalah bentuk kerosakan tertinggi pada sekurang-kurangnya enam buah masjid kelolaan Jais.

Malah, laporan itu mendedahkan tujuh bentuk kerosakan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang belum dibaiki.

Ku Li bimbang pengangguran anak muda, graduan IPT

MELAKA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan kebimbangan dengan kedudukan pengangguran di kalangan anak muda dan graduan institusi pengajian tinggi di negara kita dewasa ini.

Menurutnya, di kalangan anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% dalam tahun 2011, atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sempena Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah ke-19 Kolej Yayasan Saad Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Berikut ialah petikan ucapan beliau.

Seperkara lagi yang membimbangkan saya, demi masa depan anak bangsa dan ekonomi negara kita, ialah kedudukan pengangguran di kalangan anak muda dan graduan institusi pengajian tinggi di negara kita dewasa ini.

Di kalangan anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% dalam tahun 2011, atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000.  Di kalangan graduan pula, keadaan lebih teruk.

Dalam tahun 2013, Bank Dunia telah menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan telah mencecah 21%; di kalangan pemegang STPM/Diploma purata penganggurannya ialah 13%, di kalangan PMR-SPM/SPMV 10%.  Pengangguran di kalangan anak muda kita adalah antara yang tertinggi di rantau Asia melainkan Indonesia. Tak kiralah keadaan di Eropah lebih buruk.  Tetapi kita tidak harus bersenang hati dengan keadaan ini.

Jika ekonomi negara menghadapi krisis, yang kita jangka dalam masa terdekat, masalah pengangguran belia ini sungguh membimbangkan.

Yang menjadi isu yang lebih besar dalam hal pengangguran ini ialah taraf kemahiran yang ada pada anak muda ini; apa yang kita keluarkan dari sekolah dan institusi pengajian tinggi kita sekarang semakin kurang menggalakkan jika diambil kira keperluan industri.

Mengikut Bank Dunia, dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2009, yang menyentuh maklumbalas dari majikan tentang keupayaan pelajar lepasan pengajian menengah dan tinggi, terdapat beberapa konstrain atau kekurangan kemahiran dalam beberapa bidang. 

Empat puluh lapan peratus (48%) dari majikan yang dibanci menyatakan kekurangan keupayaan IT di kalangan graduan muda kita, 46% melaporkan kekurangan Bahasa Inggeris, 37% melaporkan kekurangan dalam kebolehan am berkomunikasi, 30% dalam keupayaan kreativiti, dan 28% berkata kekurangan kemahiran teknikal/profesyenal, dan 25% dalam penyelesaian masalah (problem solving).

Dalam kajian Talent Corp bagi 2014, didapati 81% majikan melaporkan defisit kemahiran di kalangan graduan baru lepasan universiti negara kita dalam bidang kemahiran komunikasi; 56% dalam pemikiran kritikal dan kreatif; 51% defisit dalam kemahiran analisis; dan 47% mengatakan mereka kurang upaya bekerja secara sendiri atau bebas, tanpa tunjuk ajar.

Saya tidak terlibat dengan Pasma - Husam

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata,” tegas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,” katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-60.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulama dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam. –

Media baru: Anggap saluran terbaik tapi ancam PAS

TEMERLOH: Teknologi komunikasi melalui media baru yang sebelum ini dianggap menjadi saluran terbaik untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada rakyat, mulai menjadi ancaman berat kepada PAS.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Saleh berkata, ini kerana bukan media arus perdana sahaja yang menyerang PAS malahan ahli-ahli PAS turut menggunakan media baru untuk berbuat demikian.

“Sepatutnya media baru dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi kemudahan dunia langit terbuka dengan pelbagai aplikasi media sosial ini diambil kesempatan sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Selain beliau, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menyampaikan kertas kerja kedua.

Di bawah tajuk ‘Istiqamah Untuk Membawa Kebaikan Menerusi Media Baru’ Nik Zawawi berkata, PAS terus istiqamah untuk menggunakan media baru sebagai saluran rasmi parti bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan cepat.

Justeru, ujarnya pimpinan di segenap peringkat diseru memanfaatkan ICT dan media baru bagi tujuan menyampaikan maklumat parti. PAS negeri-negeri juga disaran menjadikannya sebagai alat rasmi parti bagi menyampaikan maklumat yang betul kepada ahli dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, saluran media baru hendaklah sentiasa dipantau demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.

“Hentikan kenyataan mencemuh atau kenyataan sensasi. Jangan perkecilkan ulama. Ingat, sesiapa membuka keaiban orang, Allah akan buka keaibannya.

“Media organ parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm hendaklah menjadi media yang sentiasa efektif dalam menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti dari masa ke semasa,” katanya.

Mengenai istiqamah terhadap disiplin ilmu dan tarbiyah, beliau mengingatkan agar ahli-ahli jangan kerja bermusim, jangan tiada mesyuarat dan program kerana merasakan jauhnya lagi pilihan raya.

“Keadaan ini akan membuatkan ahli-ahli pada waktu dia ada selera dia berjuang tapi apabila tiba waktu dia tak suka dia akan berhenti sehingga mengakibatkan ruginya parti,” ujarnya lagi. –

Insinerator: KTI gesa menteri adakan forum terbuka

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) menyeru Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengadakan forum terbuka untuk membincang keperluan membina loji pembakaran.

Memandangkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan banyak kali menyalahkan pihak anti loji pembakaran menyebarkan maklumat yang kurang tepat untuk menakutkan masyarakat terhadap loji pembakaran, KTI meminta menteri mengadakan forum atau perbahasan terbuka, supaya kedua-dua pihak dapat bersama-sama membincangkan keperluan projek pembakaran tersebut.

Tiga orang ahli KTI menghadiri program ‘Hari Kitar Semula Kebangsaan 2014’ yang diadakan di Taman Tasik Seri Serdang pagi ini, untuk menyerahkan surat rasmi yang meminta forum terbuka kepada menteri.

Oleh sebab menteri tidak hadir, surat rasmi tersebut telah diterima oleh wakil menteri – Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Arfah Abdul Razak.(Foto atas)

KTI dalam satu kenyataan menyatakan selain daripada itu, oleh kerana sesi penerangan terhadap projek loji pembakaran yang diadakan oleh kerajaan sebelum ini hanya mengumum dan menjemput sebahagian penduduk tempatan, KTI juga mengemukakan permintaan dalam surat itu supaya kementerian tersebut mengadakan dialog bersama dengan penduduk Jinjang, Kepong dan Batu, mendengar suara penduduk tempatan dengan ikhlas, tanpa mengehadkan jumlah kehadiran.

Datuk Seri Arfah mewakili menteri membaca ucapan daripada menteri pagi ini. Menteri sekali lagi menyalahkan setengah pihak menyebarkan maklumat tidak tepat, menakutkan masyarakat supaya menolak loji pembakaran.

Dalam ucapan menteri, menteri menyatakan kerajaan akan berusaha untuk memberi maklumat yang tepat kepada masyarakat mengenai keperluan pembinaan kemudahan Waste to Energy.

KTI telah banyak kali menyerah surat kepada menteri untuk mengadakan dialog. Malangnya, KTI tidak pernah menerima balasan daripada menteri. KTI berasa dilayan secara tidak adil terhadap teguran menteri yang disebut atas.

KTI berharap menteri boleh mendengar suara tentangan rakyat dengan ikhlas, dan membincangkan keperluan projek loji pembakaran dengan mengadakan forum atau perbahasan terbuka.

Selain daripada itu, menteri juga menyatakan kepentingan 3R dalam ucapan beliau. KTI rasa projek loji pembakaran sampah mengingkari matlamat 3R, kerana loji pembakaran menjadi bahan-bahan yang boleh dikitar semula kepada abu yang toksik.

KTI tulus hati berharap menteri dapat memenuhi tanggungjawab beliau, membolehkan segala maklumat tentang projek pembakaran disebarkan secara terbuka, dan memberi penduduk tempatan kuasa untuk membuat keputusan yang bijaksana bersama-sama dengan kerajaan. 

6 IPTS berminat terima pelajar perubatan AUCMS

KUALA LUMPUR: Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan telah mewujudkan satu Jawatankuasa Bersama bagi menyelaras penyelesaian isu penempatan pelajar-pelajar perubatan AUCMS.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jawatankuasa itu telah mengambil kira keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan supaya kelonggaran diberikan kepada kuota pengambilan pelajar secara one-off dan pada masa yang sama, memastikan pematuhan kepada nisbah pengajar dan pelajar pada kadar 1:8 di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang akan menerima pelajar AUCMS berkenaan.

“Jawatankuasa Bersama ini telah menerima permohonan daripada enam buah IPTS yang berminat untuk menerima pelajar-pelajar perubatan daripada AUCMS,” ujarnya merangkap Yang Dipertua Majlis Perubatan Malaysia dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merujuk kepada isu berkaitan pelajar-pelajar perubatan daripada Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS).

Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan telah mewujudkan satu Jawatankuasa Bersama bagi menyelaras penyelesaian isu penempatan pelajar-pelajar perubatan AUCMS. Jawatankuasa ini telah mengambil kira keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan supaya kelonggaran diberikan kepada kuota pengambilan pelajar secara one-off dan pada masa yang sama, memastikan pematuhan kepada nisbah pengajar dan pelajar pada kadar 1:8 di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang akan menerima pelajar AUCMS berkenaan.

Jawatankuasa Bersama ini telah menerima permohonan daripada enam buah IPTS yang berminat untuk menerima pelajar-pelajar perubatan daripada AUCMS. Melalui mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang diadakan pada 14 November 2014, permohonan yang dikemukakan oleh semua IPTS yang berminat telah diteliti dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua belah pihak iaitu pelajar-pelajar yang sedia ada di IPTS berkenaan, serta kebajikan dan kepentingan pelajar-pelajar AUCMS yang akan diterima.

Jawatankuasa Bersama telah memutuskan agar cadangan jumlah pelajar AUCMS yang dapat ditawarkan kepada setiap IPTS perlu selaras dengan jumlah tenaga pengajar yang dimilikinya, dan penerimaan tawaran yang diberikan ini adalah tertakluk kepada kemampuan IPTS berkenaan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran seperti ruang kuliah dan ruang belajar, kemudahan perpustakaan dan makmal, memiliki skill lab yang mencukupi serta kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan selaras dengan standard akreditasi yang digunapakai termasuklah pematuhan kepada nisbah tenaga pengajar dan pelajar pada kadar 1:8.

Dengan mengambil kira perbezaan kurikulum antara IPTS penerima dan AUCMS serta tempoh masa di mana pembelajaran pelajar-pelajar ini telah tergendala, pihak IPTS perlu melakukan perbandingan kurikulum antara IPTS penerima dan AUCMS (curriculum mapping) bagi membolehkan pelajar-pelajar ditempatkan pada tahap yang bersesuaian selaras dengan dasar credit transfer yang digunapakai bagi memastikan para pelajar dapat melengkapi keperluan pembelajaran Program Perubatan mereka.

Jawatankuasa Bersama juga telah memutuskan bahawa sesebuah IPTS yang berkenaan adalah dibenarkan untuk menerima jumlah pelajar melebihi daripada jumlah yang ditawarkan, tetapi ini adalah tertakluk kepada kemampuan IPTS tersebut untuk menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi bagi pembelajaran di peringkat pra-klinikal dan klinikal selaras dengan nisbah yang ditetapkan, serta mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran yang lain selaras dengan standard akreditasi yang digunapakai bagi Program Perubatan pada masa ini. Lawatan pemantauan bagi memastikan pematuhan kepada standard akreditasi Program Perubatan akan dilakukan dari masa ke semasa.

Adalah diharapkan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bersama ini akan dapat membantu pelajar-pelajar AUCMS meneruskan pelajaran mereka di dalam Program Perubatan. Pada masa yang sama, adalah diharapkan semua Institusi Pengajian Tinggi yang menguruskan Program Perubatan, memberi perhatian yang mendalam kepada kepentingan pengurusan yang baik dan berkesan demi kelangsungan pendidikan Program Perubatan di negara ini.

Lampiran:

Enam buah IPTS yang memohon untuk menerima penempatan pelajar-pelajar Program Perubatan AUCMS-MD telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Bersama KPM/KKM dan pengagihan 425 pelajar adalah dicadangkan seperti berikut:

i. Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS)
86 pelajar

ii. AIMST University
81 pelajar

iii. UniKL Royal College of Medicine of Perak (RCMP)
66 pelajar

iv. Malaka Mannipal Medical College (MMMC)
99 pelajar

v. MAHSA University
79 pelajar

vi. SEGI University
14 pelajar

Pembangunan tanah di Lojing terkawal

KOTA BHARU: Pembangunan pertanian di Tanah Tinggi Lojing masih lagi terkawal biar pun kerap berlaku banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, biar pun kedudukan Lojing tidak jauh dari Cameron Highlands, namun sehingga kini belum berlaku tanah runtuh dan banjir kilat di sebelah Kelantan.

Katanya, keadaan pembangunan pertanian di Lojing masih lagi terkawal dan kerajaan negeri sentiasa memantau dari dekat bagi mengelak berulang tragedi seperti di Cameron Highlands.

“Sehingga sekarang keadaan masih lagi terkawal biar pun kedudukan kedua-dua kawasan pertanian tanah tinggi itu tidak jauh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Himpunan Pendidik Islam 2014 di Balai Islam, hari ini.

Program tersebut dianjur kerajaan negeri dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota Exco, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaffar, Adun Gual Periuk, Muhamad Awang dan Pengerusi Pendidik, Normala Sudirman.

Program peringkat kebangsaan itu merupakan kali kedua diadakan, di mana sebelum ini di Selangor.

Pesertanya datang dari seluruh negara. Pada sebelah pagi diadakan wacana perdana disampaikan bekas Rektor UIAM, Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Pada 6 November lepas berlaku banjir kilat sehingga mengorbankan empat penduduk termasuk warga asing di Cameron Highlands.

Kejadian berlaku di Jalan Ulu Merah, Ringlet. Kejadian serupa pernah berlaku Oktober tahun lalu terletak kira-kira 4 km dari kawasan tersebut.

Sementara itu pada majlis berkenaan enam tokoh pendidik menerima anugerah khas disampaikan Menteri Besar.

Anugerah Tokoh Pendidik Muda diberi kepada Yusaini Yahya dari Kangar, Perlis; Tokoh Ilmuan Muslimat – Ustazah Mariam Omar dari Kubang Kerian, Kelantan.

Tokoh Penggerak Pendidik – Noh Ahmad dari Perak, Tokoh Tok Guru Pondok – Ustaz Wan Mohamad Wan Osman dari Pondok Pasir Tumbuh.

Manakala bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohamed Daud Iraqi diberi Tokoh Pendidik Ummah dan Tokoh Murabi Negara dianugerah kepada bekas anggota Exco kerajaan Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik.

Sebelum ini bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diberi anugerah Tokoh Ulama Nusantara. -