Friday, October 23, 2015

Isu Tol : PAS bersedia menggalas mandat


Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyarankan kepada mana-mana parti politik dan pimpinan politik mempunyai rasa kebertanggungjawaban yang tinggi dalam mengemukakan cadangan-cadangan ke arah mengatasi kemelut yang dihadapi oleh rakyat. Cadangan-cadangan yang dikemukakan hendaklah holistik, iaitu mengambil kira semua aspek golongan-golongan berkepentingan dan realistik, iaitu mengambil kira semua kedudukan berkaitan status negara pada hari ini. Sebagai sebuah parti yang bersedia menggalas mandat menerajui negara, PAS ingin menjadi sebuah parti yang bertanggungjawab kepada semua rakyat dan negara dengan memberikan penyelesaian yang holistik dan realistik sehingga memuaskan hati semua pihak.
Di samping itu, kewujudan sesebuah parti politik dalam negara ini bukan semata-mata untuk mendapatkan teraju pemerintahan negara, tetapi yang juga penting parti-parti politik harus terlibat dalam memberikan pendidikan politik kepada rakyat. Salah satu aspek pendidikan politik yang terpenting ialah memandu rakyat supaya mereka boleh membuat keputusan politik yang betul dan menarik rakyat untuk bersama-sama terlibat membuat dasar. Sesebuah parti politik dan seseorang pemimpin politik dalam mengemukakan sesuatu cadangan bagi menghadapi sesuatu masalah, perlu mengemukakan kesemua pilihan-pilihan kepada rakyat dan berunding bersama-sama mereka untuk membuat keputusan yang tepat. Adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab mengemukakan sesuatu cadangan yang separa masak, kemudian menggula-gulakan rakyat supaya mudah termakan dengan janji manis tersebut.

Dua hari yang lalu, PPP telah memberi maklumbalas kepada cadangan separa masak Pakatan Harapan (PH), yang berhasrat menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang 1, dengan membebankan pembayar-pembayar cukai jalan lain yang jarang atau tidak pernah menggunakan lebuhraya tersebut. Cadangan untuk menggunakan dana dari kutipan cukai jalan sekitar RM 2.3 billion setahun untuk menyelengggara Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang 1, adalah satu cadangan yang sambi lewa dan culas. Dana dari kutipan cukai jalan yang sekarang hanya digunakan untuk menyelenggara jalanraya-jalanraya tidak bertol yang anggaran panjangnya 100,000 km di seluruh negara, sudah pasti tidak mencukupi sekiranya selepas ini digunakan pula untuk menyelenggara Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

Kos untuk menyelenggara Lebuhraya Utara Selatan yang panjangnya hampir 960 km adalah begitu tinggi ditambah lagi dengan kos menyelenggara Jambatan Pulau Pinang. Dianggarkan sebanyak RM 1 billion diperlukan untuk lebuhraya ini bagi menyelenggara, membiayai operasi dan lain-lain urusan berkaitan setiap. Sekiranya kos ini dipindahkan bebannya kepada pembayar-pembayar cukai jalan, sudah pasti kutipan cukai jalan berjumlah RM 2.3 billion setahun yang sebelum ini digunakan hanya untuk 100,000 km jalanraya-jalanraya tidak bertol, tidak lagi mencukupi menampung penyelengggaran tersebut. Cadangan ini bukan sahaja tidak adil kepada pembayar-pembayar cukai yang jarang atau langsung tidak menggunakan lebuhraya tersebut, bahkan berkemungkinan menyebabkan cukai jalan selepas ini terpaksa dinaikkan.

Selain daripada itu, perlu dipertimbangkan bahawa syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang ini, 49% kepentingannya dimiliki oleh KWSP yang mewakili 13 juta orang pencarum. Dalam membina dan menyelenggara lebuhraya di bawah kendaliannya, syarikat konsesi ini menanggung hutang sekitar RM 11 billion, dengan pengertian lain KWSP dan pencarum-pencarumnya juga terbeban dengan liabiliti tersebut. Sekiranya cadangan simplistik menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang oleh Setiausaha Agung DAP baru-baru ini diambil, daripada mana dana diperolehi untuk melepaskan liabiliti ini? Atau selepas ini KWSP dan pencarum-pencarumnya akan terpaksa menanggung hutang tanpa memperolehi pendapatan sepatutnya dari pelaburan mereka?

Cadangan yang dikemukakan oleh PH melalui Setiausaha Agung DAP ini turut menimbulkan tanda tanya, bagaimana pula tol-tol lebuhraya yang lain. Mengapa hanya Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang dihapuskan, sedangkan tol-tol di sekitar Lembah Kelang yang lebih membebankan penduduk kota yang menggunakannya sehari-hari tiada pula cadangan penghapusan. Lebuhraya Utara Selatan selalunya digunakan oleh mereka yang memandu dari satu bandar ke satu bandar yang lain dengan kekerapan bagi seseorang yang amat rendah. Manakala tol-tol yang berada di sekitar Lembah Kelang terpaksa dilalui oleh jutaan orang penduduk kota setiap hari untuk pergi ke tempat kerja. Mengapa tol-tol ini tidak disentuh? Malah lebih menarik untuk ditanya, kenapa kerajaan negeri dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP sendiri, merancang untuk membina tiga lagi lebuhraya seumpamanya di Pulau Pinang, kalau dia benar-benar berhasrat menghapus tol di Malaysia.

PPP melihat hasrat rakyat untuk menghapuskan tol tidak boleh dilakukan hanya dengan mengemukakan cadangan-cadangan simplistik untuk meraih populariti. Bagi menangani isu ini, rakyat perlu didedahkan dengan kesemua pilihan-pilihan yang ada, analisa kos manfaat, dampak negatif yang kemungkinan timbul dan lain-lain lagi aspek berkaitannya, kemudian proses rundingan berterusan bersama rakyat dan pihak berkepentingan perlu dilakukan sehinggalah hasrat menghapuskan tol tercapai. Proses seperti inilah yang sedang diterokai oleh PAS, IKATAN dan hampir 200 NGO dalam KONGRES RAKYAT dalam mengatasi sesuatu masalah rakyat dan negara termasuklah isu tol. PPP akan mengemukakan kesemua pilihan-pilihan (opsyen) berkaitan isu tol ini kepada rakyat melalui KONGRES RAKYAT dalam tempoh masa terdekat, sehingga satu hari nanti hasrat rakyat menghapuskan Tol tercapai.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki     
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
23 Oktober 2015
10 Muharram 1437

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Jangan ulangi kesilapan lalu

Kedatangan Barat ke Nusantara atas misi perdagangan berakhir dengan kejayaan mereka melaga-lagakan pemerintah di negara ini bagi memudahkan penjajahan mereka ke atas kedaulatan negara. Sistem pecah dan perintah "divide and rule" yang diamalkan oleh mereka ternyata membuahkan hasil yang sangat lumayan, bilamana orang Melayu khasnya raja-raja yang menjadi pemerintah pada masa itu berjaya dipecah-belahkan sehingga sebahagian mereka tanpa segan memohon bantuan Inggeris demi mempertahankan survival kuasa politik mereka.

Akibatnya negeri berada dalam era penjajahan ratusan tahun. Kemerdekaan 1957 hanya berjaya mengembalikan kuasa ke tangan rakyat negara ini, namun sebahagian sistem yang dipaksakan oleh penjajah terus di amalkan sehingga kini.
Kini kita sedang melihat bagaimana hancurnya negara umat islam khasnya Afghanistan, Iraq dan kini Syria dan Yaman.
Golongan yang berbangga memohon pertolongan Amerika dan sekutu Barat satu waktu dahulu, kini menderita di atas tindakan mereka. Kita tentu masih ingat bagaimana ribuan rakyat Iraq menyambut kedatangan tentera Amerika dengan kuntuman bunga dan bersorak kegembiraan bila melihat kedatangan Tentera Bersekutu bersama dengan infantri mereka.
Penjajahan Barat tidak pernah terhenti di dunia moden, ia bukan lagi berkisar pada ketenteraan tapi juga melalui perdagangan dan ekonomi.
Negara kini berada dalam situasi yang hampir sama. Isu TPPA bukan hanya sekadar perjanjian perdagangan tetapi ia adalah satu bentuk penguasaan dan blok pegangan yang akan bertukar kepada blok ketenteraan dan penjajahan baru.
Dalam persaingan untuk menguasai ekonomi dan pengaruh dunia, Amerika menyedari saingan kuasa baru China. Di sisi blok perdagangan, Amerika memerlukan tindakan segera.
Malaysia perlu melepaskan diri dari ikatan perjanjian TPPA yang kini sedang berusaha mengikat dengan pelbagai peraturan ke atas negara kita.
Di saat ini, semua parti politik mesti meletakkan kepentingan negara jauh lebih besar dari polemik kepartian dalam keadaan negara berhadapan dengan kegagalan mengurus pelbagai isu utama yang menimbulkan kemelut dalaman, sehingga meninggalkan negara jauh ketinggalan dalam persaingan global. Namun apa yang perlu disedari oleh semua ialah kemelut tersebut kini menuntut perubahan menyeluruh kepada kepimpinan baru yang lebih bertanggungjawab.
PAS menentang perjanjian TPPA dan mendesak kerajaan tidak menandatangani perjanjian tersebut. Kita perlu memelihara kedaulatan negara dan menentang sebarang campur tangan asing dalam meneruskan masa depan negara.
Di saat ini semua parti politik samada blok pembangkang atau kerajaan mesti sepakat dalam membuat keputusan besar bagi masa depan negara. Kesilapan lalu tidak sepatutnya diulang semula oleh kepimpinan masa kini. Jangan disebabkan skandal seseorang pemimpin, negara diperas ugut untuk bersetuju dengan TPPA.

Tuan Ibrahim Tuan Man 
Timbalan Presiden PAS
22 Oktober 2015
Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Monday, October 19, 2015

Warna warni Himpunan H60K Fastaqim 2015







Kelihatan sebahagian ahli jemaah Musolla Bendang Siam sedang bersiap sedia untuk berangkat ke perhimpunan Fastaqim H60K di Kota Bahru. 






Rombongan jemaah Musolla singgah makan di beberapa gerai dan warung sekitar Kota Bahru.





Kelihatan saudara Zulfarih (kanan sekali, berkopiah hitam), admin utama web Musolla Bendang Siam sedang bergambar bersama rombongan ahli PAS Bukit Gantang.



Ucapan Tuan Guru Presiden yang diambil dari skrin besar.


Turut memeriahkan majlis ialah sokongan tidak berbelah bahagi dari Kelab Himpunan Penyokong PAS (DHPP).




Peserta himpunan menunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah



Kredit foto : Zulfarih





Wednesday, October 14, 2015

Perutusan Maal Hijrah 1437H Presiden PAS

Perutusan Maal Hijrah 1437H Presiden PAS

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :


"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun."
[Surah Al-Nisa', ayat 97 - 99]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh Ummat Islam, khususnya di bumi Malaysia ini. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam Islam yang memberikan pengajaran yang sangat bermakna kepada kita semua sebagai ummat Islam.

Hari ini umat Islam seluruh dunia sedang menghadapi suasana dan ujian yang sukar. Umat Islam di negara kita sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin perlembagaan bahkan terdapat usaha ketara untuk menghalang umat Islam daripada hak untuk melaksanakan tuntutan Islam


Umat Islam di rantau Arab sedang diuji dengan perpecahan dan perang saudara, manakala di Eropah umat Islam sedang diuji dengan Islamophobia yang sedang dicanang oleh musuh-musuh Islam untuk menggambarkan umat Islam sebagai pengganas dan perlu diperangi. Lebih menyedihkan Maal Hijrah tahun ini disambut dalam suasana umat Islam sedang dibunuh di tanah air mereka seperti di Palestin, Burma dan Afghanistan, Iraq dan beberapa negara lain.

Antara kunci penting peristiwa Hijrah ialah kesatuan dan perpaduan ummah, kesatuan muhajirin mendokong perjuangan Islam dan semangat perpaduan ansar menerima saudara-saudara muhajirin yang tidak mereka kenali. Kunci penting inilah yng membawa kepada terbinanya Madinah yang menjadi model Kerajaan Islam terbaik yang dipenuhi rahmat dan penuh keadilan kepada semua penduduknya samada penganut islam dan bukan Islam.

Oleh yang demikian, marilah bersama kita mengambil semangat dan pengajaran daripada peristiwa hijrah untuk kita bina kesatuan dan perpaduan ummah sehingga terbinanya sebuah negara yang menjamin keadilan dan rahmat untuk semua penduduknya. Semoga tahun hijrah 1437 akan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk Islam di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

01 Muharram 1437H / 14 Oktober 2015M

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Setitik Bermagnitud

 


SETITIK BERMAGNITUD
Maka berlalulah
Titik itu menongkah
Laluan berarah-arah
Dari satu titik
Ke suatu titik
Selagi punya waktu dan detik
Dihirupnya udara
Dijamahnya apa yang ada
Dimamahnya perlahan usia
Titik itu berlegar
Selagi umur dan bumi berputar
Apakah yang tersedar
Berobjektifkan sini sahaja
Berorientasikan kefanaan semata
Hanyut dalam alpa dan leka
Terjemahan fikiran
Berbeza dengan tindakan
Titik menyembunyikan kasihan
Masa terus dinamik dan berubah
Memasuki tahun baru hijrah
Titik itu statik dengan megah
Harapnya aku
Bukanlah titik itu

Oleh : Ikhwan.H



Tuesday, October 13, 2015

Peratusan kenaikan tol yang terlampau

Peratusan kenaikan tol yang terlampau

Semalam, kerajaan dengan bangganya mengumumkan kenaikan harga tol di tahun rakyat masih dengan bergelut menyesuaikan hidup akibat inflasi yang dicetuskan oleh GST, kejatuhan nilai Ringgit dan penarikan subsidi.
Peratusan kenaikan tol kali ini agak melampau – di mana ada lebuhraya yang menyaksikan kenaikan setinggi 80% seperti SILK, 67% seperti Akleh, 54% seperti Besraya, 50% LKSA dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17% ke 44%.
Terhadap rakyat, kerajaan berani melaksanakan GST, memansuhkan subsidi dan memekakkan telinga terhadap kos sara hidup yang semakin naik. Mengapa kerajaan tidak menggunakan keberanian yang sama untuk menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol sedangkan keuntungan syarikat konsesi tol terus melipatganda?
Kini, dengan kebanyakan lebuhraya menjadi lebuhraya menggunakan sistem kutipan tol berelektronik, beban rakyat meningkat kerana terpaksa menanggung kos kad TouchNGo dan juga SmartTag.
Dengan kenaikan kadar tol, apa pula faedah yang diberikan kembali kepada rakyat sebagai pelanggan lebuhraya? Tidak. Malah beban bertambah kepada pengguna lebuhraya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal ‘advance payment’. Bayangkan ratusan ribu diperolehi melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperolehi sebarang manfaat dari sistem tersebut.
Oleh itu, PAS mencadangkan syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pelanggan yang terpaksa buat pembayaran awal (advance payment ) melalui sistem pembayaran SmartTag dan TouchNGo.
Sebenarnya syarikat konsesi tol dan kerajaan tiada sebarang alasan ekonomi yang kukuh untuk menaikkan kadar tol. Apakah ada syarikat konsesi tol yang sedang mengalami kerugian meskipun perniagaan ini mempunyai risiko kerugian menghampiri sifar? Tidak.
Kenaikan kadar tol hanya semata-mata mengikut nafsu tamak yang dimeterai di dalam perjanjian konsesi tol yang tempang. Yang lebih menyedihkan ialah fakta bahawa sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan ‘advantage’ sebegini, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat.
Inilah hasil kerajaan BN yang sering mengingatkan rakyat sentiasa didahulukan, terutamanya apabila melihat keputusan mengambil duit daripada rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 Oktober 2015

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Arahan bawa pulang RM 1.83 bilion 1MDB: Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong

Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB: Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong

Kenyataan Media Penerangan. 39
Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB: Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong
1. Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan 3 lesen pelaburan asing 1MDB dan mengarahkan syarikat tersebut membawa pulang dananya yang berjumlah RM1.83 billion adalah amat disokong. Ianya merupakan arahan yang rasional setelah usul siasatan BNM agar 1MDB didakwa dengan prosiding jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953 ditolak oleh Pejabat Peguam Negara.

2. Hakikatnya, keputusan Peguam Negara tersebut secara terbuka merendahkan kredibiliti BNM sebagai pengawalselia pasaran kewangan seolah-olah BNM tidak tahu membuat kerja. Dengan arahan ini, masyarakat dan komuniti perniagaan boleh menilai sendiri sama ada 1MDB benar-benar memiliki kecairan aset seperti yang selalu didakwa oleh PM dan kroni-kroni beliau di dalam syarikat itu atau pun segalanya merupakan suatu pembohongan bersistematik.
3. Sekiranya 1MDB gagal untuk mematuhi arahan BNM, Pejabat Peguam Negara pada kali ini tidak boleh lagi berdalih dalam memulakan prosiding perundangan terhadap 1MDB memandangkan syarikat itu secara terbuka menyanggah kuasa BNM sebagaimana peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.
4. Peguam Negara adalah pegawai undang-undang yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong. Mengambilkira kenyataan Majlis Raja-Raja yang menuntut penyiasatan telus dan adil dalam isu berkaitan 1MDB, sebarang dolak-dalik Peguam Negara mengundang risiko lese majeste terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

5. Maka satu-satunya tindakan munasabah bagi kerajaan UMNO-BN menutup jejak jenayah mereka selepas ini adalah dengan menyasar dan menukar kepimpinan Bank Negara bagi melemahkan penguatkuasaan FSA sekaligus menyelamatkan 1MDB dan memanjangkan talian hayat rejim korup ini. Sama ada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz bakal menerima nasib yang sama seperti Tan Sri Abdul Gani Patail atau pun 1MDB-UMNO-BN membuang masa menunggu kontrak perkhidmatan Tan Sri Dr. Zeti yang dijangka tamat April 2016, ketegasan BNM mempunyai tempoh had masa kerana pastinya PM akan meletakkan seorang Pak Sanggup yang tanpa malu akan menukar arahan ini.
6. Walau apa pun exploitasi UMNO-BN terhadap proses perundangan sedia ada, kesalahan 1MDB telah menjadi satu rekod awam dan di sinilah ketegasan dan keberanian BNM di dalam mengumumkan tindakan-tindakannya amat dihargai. Kesemua rekod mengenai usul prosiding jenayah terhadap 1MDB, pembatalan lesen pelaburan asing dan arahan membawa pulang dana RM 1.83 billion kini telah menjadi pengetahuan umum dan pastinya akan diungkitkan semula oleh rakyat dalam undian PRU14 kelak bagi menghukum kepimpinan UMNO-BN yang korup ini.
Membina Malaysia Sejahtera.
Sekian.
Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

Wednesday, October 7, 2015

Malaysia majmuk dan kepimpinan muslim

Malaysia majmuk dan kepimpinan Muslim


APABILA wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat RA bermesyuarat di medan Thaqifah Bani Sa’eidah bagi memilih pengganti Rasulullah SAW untuk memimpin ummat dan negara yang telah diasas dan dibina di Kota Suci Madinah Munawwarah. Ini menunjukkan Islam bukan hanya sekadar dakwah, ibadat dan akhirat, bahkan penegasan betapa pentingnya urusan politik negara, sehingga sebahagian besar pemimpin para sahabat tidak berada ditempat pengebumian jasad Rasulullah SAW yang mulia itu.

Tiga kumpulan ummat Islam mengemukakan pandangan dan calon masing-masing. Kalangan Ansar daripada kabilah Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah, menegaskan bahawa kalangan merekalah sepatutnya menjadi ketua negara, kerana mereka adalah penduduk asal tempat yang menjadi pusat negara dan penglibatan mereka menegakkan Islam dengan bai’ah dan berjuang bersama Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan Sa’ad bin ‘Ubadah RA pemimpin Ansar.
Adapun kalangan keluarga Rasulullah SAW yang dinamakan Ahli Al-Bait menegaskan supaya dipilih daripada kalangan mereka, lalu mereka mencalonkan Ali bin Abi Talib RA, menantu Rasulullah SAW dan sepupu Baginda. Kalangan ini juga disokong oleh sebahagian para sahabat, di antara mereka ialah Zubair bin ‘Awwam dan Tolhah bin ‘Ubaidillah RA.

Sebahagian besar kalangan Muhajirin pula mencalonkan daripada kalangan mereka dan dipilih daripada kabilah Quraisy. Hujah mereka adalah yang terawal bersama Islam dan menegakkannya bersama Rasulullah SAW dan berhujahkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

"Para pemimpin itu daripada kalangan Quraisy  selagi mereka memerintah berlaku adil."

Langkah pemilihan ini menunjukkan Islam mendahului demokrasi moden sejak beberapa abad, memperkenalkan sistem pemerintahan yang melibatkan rakyat, dengan asas agama yang sangat kukuh. Nyata betapa pengajian orentalis juga mempengaruhi demokrasi moden.

Akhirnya sebahagian besar para sahabat memilih Abu Bakar RA menjadi Ketua Negara bergelar Khalifah, beliau dipilih daripada kalangan muhajirin dan Quraisy. Langkah yang diambil selepas wafatnya Rasulullah SAW sehingga hukum syariat Islam dalam urusan politik pemerintahan negara yang menjadi perbincangan yang dicatit dalam kitab-kitab Tafsir Al-Quran, Aqidah, Feqah dan Tasawuf,  merupakan jurusan-jurusan ilmu Islam yang asasi.

Walaupun aspek ini lebih dekat dengan ilmu Feqah yang dicabut daripadanya ilmu Siyasah Syar’iyyah atau Ahkam Sultoniyyah. Namun, masalahnya tetap berkaitan dengan Nas Al-Quran  dan Hadis. Kalangan Syiah meletakkannya dalam perkara Aqidah menyebabkan dibincang juga oleh mazhab Ahli Sunnah dalam kitab Aqidah, seperti Imam Al Ghazali RA meletakkan bab Imamah (kepimpinan negara) dalam kitab Aqidah karangannya (). Perkara ini juga berkait dengan ilmu akhlak yang menjadi perbincangan ilmu Tasawwuf. Namun kesemua ajaran Islam tetap berkaitan diantara satu sama lain laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan.

ISLAM AQIDAH NEGARA

Para sahabat RA secara Ijmak meneruskan kewajipan bernegara yang berdasarkan aqidah dan dasar Islam, meneruskan segala arahan Al-Quran dan sunnah yang di amal, yang tersurat dan tersirat daripadanya sehingga melahirkan Ijtihad (kajian ilmiah dalam perkara yang tidak ada nas).

Negara yang berteraskan aqidah beribadah (ketundukan kepada Allah) dan adanya perhitungan pahala dan dosa selepas meninggal dunia dalam kewajipan menegakkan keadilan terhadap semua dan rahmat terhadap semua, yang disimpulkan kepada konsep negara berkebajikan dengan makna yang luas, bukan sahaja dalam aspek kemasyarakatan dan ekonomi, membolehkan Islam memerintah masyarakat majmuk.
Firman Allah:

"Dan kalau sekiranya Allah tidak menolak manusia itu berlawanan di antara kumpulan yang memperjuangkan Islam menghadapi penentangnya, nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut agama Yahudi, gereja-gereja penganut Nasrani (Kristian), sembahyang-sembahyang dan Masjid penganut Islam yang disebut didalamnya nama Allah. Demi sesungguhnya Allah tetap menolong sesiapa yang berjuang menegakkan agamaNya. Sesungghnya Allah itu maha kuat lagi maha perkasa." (Surah Al-Hajj, ayat 40)

Menegaskan bahawa kerajaan Islam yang sebenar mampu memerintah masyarakat majmuk di atas ajaran agama Islam yang boleh mengawal semangat fanatik kaum dan agama daripada semangat tanpa ilmu dan kebijaksanaan yang menimbulkan ketegangan diantara kaum dan agama.

KONSEP KEPIMPINAN KAUM MUSLIMIN YANG TERBESAR

Pemilihan kabilah Quraisy yang berpegang dengan Islam kerana jumlahnya yang terbesar dan kedudukannya yang terkuat. Para ulamak Islam  menerima kaum yang silih berganti memimpin negara, berdasarkan konsep tersebut dalam pemilihan Khalifah yang pertama (Abu Bakar RA) dan Khulafa Rasyidin selepasnya (sila lihat Muqadimah: Ibnu Khaldun dan Itmam Al-Wafa: Muhammad Al-Khadri).

Jawatan Khalifah (Ketua Negara) dalam sejarah Islam bergilir kaum, dipilih daripada kalangan kaum yang terkuat dan majoriti umat yang berpegang teguh dengan Islam, berpandukan juga firman Allah:

"Dan jika sekiranya kamu berpaling (daripada menegakkan Islam dan syariatnya), nescaya Allah menukarkan kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak saperti kamu." (Surah Muhammad, ayat 38)

Kenyataan sejarah kegemilangan Islam membuktikan mukjizat Al-Quran wujudnya berbagai bangsa penganut Islam yang beriman, berilmu dan budiman memimpin negara besar masyarakat majmuk dengan sistem dan hukum yang adil dan menegakkan tamdun dunia yang berjaya. Kepimpinan bertukar daripada bangsa Arab, kepada Kurdis, Turki dan lain lain.

Dalam masa yang sama pemerintahan Islam juga melibatkan kalangan bukan Islam berbagai bangsa berada dalam kabinet Wazarah Tanfiz (kementerian yang tidak berkait dengan perkara dasar) dan Idarah (pengurusan) mengikut kepakaran dan kedudukan mereka yang munasabah.

MALAYSIA WAJIB BERPEMIMPIN ISLAM MELAYU

Islam telah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat telah mengubah landskap negara menjadi masyarakat  bersama kaum-kaum  yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun negaranya mengikut konsep Islam sepenuhnya dilemahkan oleh penjajah. Namun penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

Berasaskan pelaksanaan Islam yang tersebut, daripada ajaran Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahanya dengan cara yang betul, bersama kepimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Dalam masa yang sama wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan melibatkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan adanya perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

Adapun ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama daripada politik, ekonomi dan segala pengurusan bermasyarakat, tidak mampu mengawal fanatik dan cauvinisma yang tetap akan merumitkan lagi masalah yang telah sedia ada, bahkan boleh menambahkan kerumitan atau mengundang masalah baru. Kenyataan ini bukan kerana taksub kepada Islam atau kaum bangsa, tetapi melalui hakikat yang wujud dalam ajaran Islam dan perbezaannya dengan ideologi-ideologi lain.

Al-Quran memaparkan segala sistem pemerintahan dunia sejak Nabi Adam tanpa mengira sama ada sistem Ketua Negara secara Malakiah (beraja mengikut warisan) atau Khilafah (mengikut pemilihan). Nabi Daud dan Muhammad SAW secara Khilafah, manakala Nabi Sulaiman AS dan Zukarnain yang adil adalah mengikut system Malakiyyah (beraja), semuanya diiktiraf oleh Allah. Yang diharamkan dan dikutuk ialah pemerintah yang zalim berkuku besi yang menyalah gunakan kuasa, memperhambakan rakyat dan tidak amanah terhadap rakyat dan harta yang menjadi isi negara.

Maka kewajipan kita ialah mengislahkan keadaan dengan melakukan tajdid bagi menghapus peninggalan penjajah dan adat  yang negatif dan menerima segala kebijaksanaan berpandukan petunjuk Islam dengan menafsirkan Perlembagaan yang ada mengikut kebijaksanaan sendiri, tanpa pengaruh warisan penjajah.
Firman Allah:

"Wahai hamba-hambaKu!  Bertaqwalah ! Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada pelampau supaya memperhambakan diri kepada pelampau itu, (sepatutnya) mereka kembali kepada memperhambakan diri kepada Allah sahaja. Bagi mereka berita gembira (kebaikan dunia dan akhirat). Maka sampaikan berita gembira kepada hamba-hambaKu, apabila mereka mendengar kata-kata, nescaya mereka mengikut yang terbaik. Merekalah orang yang mendapat petunjuk Allah  dan merekalah orang berakal fikiran (yang bijak)." (Surah Az-Zumar, ayat 16-18)

Sabda Rasulullah SAW juga menafsirkannya, merujuk kepada kitab Sunan Ibnu Majah:

"Ungkapan kata yang bijaksana itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka dimana sahaja didapatinya, maka dialah yang paling berhak mengambilnya."

Maka Islam menegakkan tamadunnya dengan menimba semua ilmu yang berfaedah daripada semua sumber, bukan sahaja ilmu wahyu daripada Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW bahkan ilmu dan pengalaman yang bijaksana daripada semua kaum dan negara saperti Rom, Parsi, Mesir, China, India dan lain-lain, bahkan Islam menolak segala yang mungkar dan zalim walau pun daripada kalangan bangsa arab yang dilahirkan di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Maka masyarakat majmuk adalah ruang mesej Islam yang bersifat sejagat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

23 Zulhijjah 1436H / 07 Oktober 2015

Thursday, October 1, 2015

Himpunan Selamatkan Masjid Al-Aqsa di Masjid Jamek Besok


KUALA LUMPUR: PAS menganjurkan Himpunan Mengutuk Kekejaman Israel dan Selamatkan Masjid Al-Aqsa di pekarangan Masjid Jamek, Jalan Tun Perak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, esok (2 Okt).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata himpunan bersebelahan stesen LRT Masjid Jamek itu bermula selepas solat Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua NGO dan orang ramai hadir pada himpunan itu. 
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut memaklumkan tentang perubahan tempat himpunan itu.

Sebelum ini, himpunan Membantah Pencerobohan Masjid Al-Aqsa anjuran Pemuda PAS dijadual diadakan di hadapan Kedutaan Amerika. 

Harga Minyak Dunia Turun, Harga Minyak Malaysia Naik.

Ketika kerajaan memulakan perlaksanaan GST pada bulan April 2015 yang lalu banyak yang telah dijanjikan kepada rakyat.

Antara lain harga barangan diberitahu akan menjadi lebih rendah. Bahawa dengan hasil cukai yang bertambah, kerajaan akan punya lebih wang untuk memberi berbagai manfaat tambahan kepada rakyat.

Malangnya semua itu tidak benar. Harga barangan pengguna naik dengan banyak meningkatkan kos hidup. Tinjauan yang pernah dibuat oleh Gabungan Persatuan Persatuan Pengguna Malaysia ( FOMCA) mengesahkan itu.
Wang yang dikatakan akan bertambah seolah olah tidak memberi manfaat dan tenggelam dalam skandal 1MDB yang begitu besar melibatkan pinjaman 42 Billion Ringgit yang mencurigakan masyarakat antarabangsa dan segenap lapisan rakyat Malaysia.

Bank Negara Malaysia tanpa berselindung mengaitkan masalah ekonomi negara dengan isu 1 MDB.

Kejatuhan nilai matawang ringgit yang kini jatuh ke paras terburuk RM4.44 untuk setiap Dollar Amerika mengurangkan kuasa beli wang ringgit.

Rakyat semakin kekurangan wang. Tapi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mudah sahaja dapat wang. 'Ada pihak' yang sudi menderma RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau.

Bila ada pemimpin peminpin kanan UMNO yang mempertahankan derma ini sebagai 'biasa', kita terperanjat. Adakah nilai 'derma' berbillion masuk ke akaun pemimpin pemimpin UMNO sudah begitu banyak kali berlaku sehingga ia tidak dianggap luar biasa oleh pemimpin pemimpin UMNO.

Dalam keadaan harga minyak mentah dunia merosot dengan banyak menjadikan harga petrol dan diesel menjadi lebih murah ditempat lain, mulai esok, harga petrol dan diesel di Malaysia naik lagi 10 sen setiap liter.

Kerajaan dijadualkan membentang Belanjawan 2016 pada bulan ini, Oktober. Mungkin boleh jadi satu silap mata sedang dirancang. Naikkan harga minyak hari ini, kemudian diatur 'berita gembira' untuk rakyat, ole ole segera dalam belanjawan nanti.

Sampai bila rakyat terus sanggup terpedaya dengan permainan ambil dengan banyak hasil dari rakyat dan sumber asli negara dan kemudian pulangkan kembali cuma sedikit bagi menutup kesalahan penyelewengan dan ketidakcekapan.

Rakyat mengecam kenaikan harga bahanapi asas ini, Petrol dan Diesel. Kerana disebalik pelbagai jaminan yang pernah dibuat oleh kerajaan, tindak balas rantaian terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pengguna tetap akan berlaku dari bahan makanan asas hinggalah pengangkutan awam.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
1hb Oktober 2015

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat