Thursday, January 28, 2010

Anwar, Zulkifli dan Pas


Zulkifli Nordin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengenai kalimah Allah di Balai Polis Masjid India, Kuala Lumpur, 23 Januari lalu.


''Saya telah menegaskan bahawa dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah ini saya tidak akan berkompromi walau setitik. Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Moga Allah memberikan keampunan-Nya kepada saya dan memberi petunjuk-Nya. Amin.''
Demikianlah doa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam blognya apabila mengulas mengenai gesaan supaya beliau dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kerana terus membuat kenyataan menghina dan memperlekehkan Islam.
Ternyata sekali walaupun berhadapan dengan tekanan daripada parti sendiri, Zulkifli ternyata istiqamah dalam mempertahankan pendiriannya dalam memperjuangkan Islam.
Zulkifli sanggup menanggung apa juga risiko termasuk dipecat daripada PKR ''kerana mempertahankan kalimah suci Allah daripada disiat-siat dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik.''
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini tidak sanggup menggadaikan agama semata-mata kerana 'mempertuhankan politik.''
Pendirian itu ternyata berbeza dengan sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik. Ini jelas apabila dalam isu penggunaan kalimah Allah, Anwar mempertahankan bahawa ia berhak digunakan oleh bukan Islam.
Bukan sekali malah berkali-kali Anwar menegaskan pendirian itu dan terbaru dalam ruangan pendapat di The Wall Street Journal.
Di bawah tajuk "Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah." Anwar berkata, hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah Allah.
Sehubungan itu, kata Anwar cendekiawan Islam di luar negara melihat isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menduga ia mencetuskan bantahan dan kemarahan.
Apa yang lebih malang demi mencari keuntungan politik, Anwar bukan sahaja sanggup mempertaruhkan kalimah Allah malah mendakwa perbuatan khianat terhadap rumah ibadat yang berlaku baru-baru ini mencerminkan "kesilapan cara Malaysia melayan rakyatnya yang bukan Islam."
Itulah sikap Anwar, beliau tidak mempedulikan sensitiviti orang Melayu dan umat Islam apabila melontarkan semua hujah itu, apa yang paling penting bagi Anwar ialah meraih keuntungan politik.
Anwar sebenarnya bukanlah hero atau pejuang kepada kaum bukan Melayu atau bukan Islam, tetapi beliau adalah seorang politikus yang bijak mengambil kesempatan demi mendapat kuasa.
Dalam keadaan PKR berhadapan dengan pelbagai isu dalaman malahan nasib beliau sendiri masih belum dapat diketahui berikutan tuduhan liwat yang dihadapi, Anwar cuba melakukan 'manuver-manuver' politik, biarpun ia akan menyinggung perasaan umat Islam.
Apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan, ini termasuklah dakwaan bahawa bukan Islam tidak dilayan dengan adil oleh kerajaan. Anwar memahami situasi sekarang adalah saat terbaik bagi meraih sokongan bukan Melayu.
Semua itu Anwar lakukan kerana sokongan orang Melayu kepada PKR semakin merosot, bukan sedikit tetapi terlalu banyak terutamanya di Perak dan Selangor. Justeru kalau PKR mahu mengekalkan kerusi yang sedia ada maka sokongan bukan Melayu harus diraih sebanyak mungkin.
Tetapi Anwar terlupa dalam isu serangan ke atas gereja-gereja baru-baru ini, ia sudah ditangani dengan baik oleh kerajaan. Mereka yang bertanggungjawab sudah pun ditangkap manakala masyarakat bukan Islam amat menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan.
Tindakan kerajaan dalam menangani isu ini bukanlah bertujuan politik tetapi berasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira apa juga kaum dan agama dilayan secara adil.
Oleh itu perbuatan Anwar yang menggambarkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa berlaku kesilapan dalam Malaysia melayan bukan Islam adalah satu pembohongan dan fitnah.
Tetapi itulah Anwar, beliau tidak peduli apa pun kesan terhadap kenyataannya. Apa yang paling penting bagi beliau ialah memastikan parti pembangkang mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang, biarpun melalui cara pembohongan dan memutar belitkan fakta.
Malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkang lain termasuklah Pas seolah-olah tidak berani menegur keceluparan Anwar. Mereka sanggup menggesa PKR mengambil tindakan ke atas Zulkifli tetapi tidak memberi sebarang ulasan mengenai 'manuver' politik Anwar terutamanya dalam isu kalimah Allah.
Penulis diberitahu oleh beberapa pemimpin muda Pas bahawa ramai ahli parti itu semakin tidak selesa dengan Anwar, malahan sudah ada suara-suara yang bimbang jika Pas akan menjadi mangsa ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam kerana bersekongkol dengan Anwar.
''Ia kerana dalam soal kalimah Allah apa yang dilakukan oleh Anwar sebenarnya sudah melampaui kesepakatan yang dicapai dengan Pas.
''Selain itu, semakin ramai ahli Pas yang mengagumi ketegasan Zulkifli yang dilihat lebih bersikap pejuang Islam berbanding di kalangan sesetengah pemimpin Pas sendiri,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Persoalannya, sampai bilakah Pas akan membiarkan Anwar terus berhujah politik hatta dalam soal berkaitan dengan kepentingan umat Islam sekalipun?
Pas bukannya tidak memahami politik matlamat menghalalkan cara yang dilakukan Anwar tetapi tiada ketegasan yang ditunjukkan oleh Pas bagi menghalangnya.
Tambahan pula di dalam Pas sendiri masih terdapat ramai pengikut setia Anwar termasuklah di kalangan pemimpinnya. Mungkin inilah agaknya yang menyukarkan Pas menyatakan pendiriannya secara tegas.
Tetapi Pas perlu memahami bahana yang menanti jika mereka 'terlalu bertolak ansur' dengan Anwar kerana tidak mustahil satu hari kelak Pas akan didakwa bersikap seperti mana kata Zulkifli dalam blognya, ''Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun Allah terpaksa dipijak.''
Relakah Pas dituduh demikian?
Kesimpulannya, rentak politik yang dimainkan oleh Anwar sekarang terutamanya dalam isu kalimah Allah mungkin sedikit sebanyak boleh menguntungkan PKR dan DAP tetapi tidak kepada Pas kerana dalam situasi apa sekali pun orang Melayu tidak akan merelakan Islam dipolitikkan.
Mungkin orang Melayu boleh berbeza fahaman politik dan dalam soal siapa seharusnya berkuasa tetapi apabila menyentuh soal mempertahankan maruah Islam sudah pasti mereka akan senada.
Tidak dapat dinafikan akan ada seorang pemimpin dua pemimpin Melayu yang 'sekelab' dengan Anwar, tetapi majoriti pemimpin Melayu termasuklah sesetengahnya dalam Pas sendiri bersedia beralih arah demi memastikan Islam tidak terus diperlekehkan semata-mata demi untuk meraih kuasa.
Apa pun masih belum terlambat untuk Pas menegur telatah Anwar kecualilah jika mereka berpendapat tanpa Anwar maka berakhirlah perjuangan parti itu dalam pilihan raya. Mahukah Pas dianggap hanya beretorik dalam perjuangan Islam? Hanya pemimpin parti itu hanya mampu menjawabnya.

No comments:

Post a Comment