Kepada ibu bapa yang mempunyai anak remaja, rajin-rajinlah memeriksa bilik mereka terutamanya pada waktu pagi (dinihari) . Bukan apa, takut-takut mereka berselimut (berkhalwat) dengan seseorang yang bukan mahram....
[SINAR HARIAN] DUNGUN – Rahsia seorang remaja yang menjadikan bilik tidur rumahnya sebagai tempat untuk memuaskan nafsu bersama kekasihnya terbongkar setelah rumah berkenaan diserbu pihak berkuasa pagi semalam.
Lebih dikesalkan, perbuatan itu dikatakan berlaku sewaktu ibu bapa remaja lelaki berkenaan berada di rumah dan perkara itu mula disedari setelah beberapa anggota polis menyerbu masuk, dan mendapati kedua-duanya sedang berpelukan dalam selimut di atas katil dalam bilik rumah itu.
Sebaik serbuan dibuat, kedua ibu bapa remaja terbabit hanya terkedu setelah mendapati anak lelaki mereka menjadi buruan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah itu sanggup melakukan perkara terkutuk di dalam bilik tidur sedangkan ketika itu mereka berada di rumah.
Setelah disoal siasat, kedua-duanya didapati tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim dan gadis dari Batu Lima itu dipercayai
bertandang ke situ pada malam sebelumnya, lalu bermalam di rumah teman lelakinya yang difahamkan lepasan kolej swasta di Kemaman.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, hasil risikan mendapati remaja lelaki terbabit dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah lalu satu serbuan dilakukan di rumah yang terletak berdekatan Sekolah Menengah (SM) Tengku Intan Zaharah itu kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
“Hasil serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid itu membawa kepada
penahanan seorang lelaki berusia 19 tahun dan kekasihnya berusia 21 tahun.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis 'meth' dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala teman wanitanya dibebaskan setelah negatif dadah,” katanya.
Gadis terbabit yang difahamkan anak seorang anggota renjer hutan ketika ditanya Sinar Harian turut mengaku mula menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelakinya hampir setahun lalu.
Dia yang hanya mengenakan jeans ketat dan baju T lengan panjang itu mengakui turut melakukan aksi cumbuan dengan teman lelakinya, dan difahamkan perbuatan itu menjadi sebahagian daripada rutinnya setiap kali mengadakan pertemuan sulit dengan kekasihnya.
Pasangan terbabit juga dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan berkhalwat yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.
No comments:
Post a Comment