Thursday, July 1, 2010

Pembaharuan di Kelantan : Tok Guru arah semua pejawat awam berdakwah


KOTA BHARU, 1 Julai: Penjawat awam di Kelantan diarah melengkapkan diri dengan kemahiran berdakwah bagi membawa kecemerlangan kepada seluruh masyarakat selepas terbukti dasar Islam yang dilaksanakan telah mencipta pelbagai kejayaan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ucapan beliau di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam kompleks Kota Darulnaim pagi ini mahu setiap anggota pentadbiran mendalami ilmu dakwah supaya penyebaran Islam di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terus berkembang dan diterima dengan baik.

Beliau yang membawa bersama sebuah buku karangan Dr. Yusuf Qardhawi bertajuk 'Thaqafatul Da'iyyah' meminta semua yang hadir membaca dokumen tersebut sebagai rujukan utama.

"Semua perlu telaah kitab ini, dan kepada yang tidak boleh berbahasa Arab bolehlah cari terjemahan," kata beliau di hadapan lebih 1200 penjawat awam yang bertugas di pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sebagai negeri yang telah mencipta kejayaan dalam soal pelaksanaan Islam, Nik Aziz mahu penyebaran Islam diusahakan dengan lebih gigih supaya penerimaan Islam tidak diragui oleh mana-mana pihak.

"Islam adalah agama dakwah dan tugas berdakwah terletak kepada setiap individu muslim," kata beliau.

Rekod di Kelantan kata beliau menunjukkan Islam telah berjaya mewujudkan keadaan harmoni tanpa amalan buruk hasil kesedaran tentang wujudnya hubungan manusia dengan Allah.

"Tanpa kesedaran asas ini, kita tidak mampu berharap kepada mana-mana pihak termasuk polis, badan pencegah rasuah atau siapa pun bagi membendung sikap buruk manusia yang diruntun syaitan, " tambah beliau.

Menyentuh tanggungjawab penjawat awam dalam melakukan tugas seharian, beliau mahu semua mengingati bahawa konsep ibadah dalam Islam adalah tidak terhad kepada ibadat khusus seperti solat dan puasa samata-mata.

"Segala aktiviti kita dalam menjalankan tugas di pejabat seperti datang mengikut waktu, menyiapkan tugas, menjaga amanah di pejabat adalah dikira ibadah yang akan dibawa bersama apabila bertemu Allah di akhirat nanti.

"Oleh itu kita mesti melaksanakan segala tugas dengan penuh kesedaran dan keikhlasan," ujar beliau lagi

-
Alhamdulillah...Hidup Pakatan Rakyat!!!

No comments:

Post a Comment