Tuesday, October 19, 2010

Muhyiddin: Politik berasas kaum Umno bukan rasis



Politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh Umno bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, kata timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut timbalan perdana menteri, ini kerana ia dilaksanakan dalam konteks kesepakatan untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif di mana semua kaum mendapat jaminan hak dan layanan yang adil.

"Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain.

"Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis," kata Muhyiddin.

Ketika berucap bagi merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sebentar tadi, Muhyiddin berkata, Umno sentiasa istiqamah memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

"Umno tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja," katanya dalam ucapan bertemakan "Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan".

"Pemimpin-pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk."

Katanya, pendekatan negara ini yang pada mulanya disangsikan akan berlaku kehancuran akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi akhirnya tidak berlaku.

"Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita telah mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah," katanya yang juga ADUN Pagoh.

Sementara itu, bercakap soal peranan usaha memperkukuhkan perpaduan di negara ini, Muhyiddin menyatakan kegusarannya terhadap suara-suara yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah kaum lain.

"Debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan. Perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman.

"Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina," katanya sambil menyifatkan perkara itu "merumitkan keadaan".

Katanya, walaupun ada pihak yang "menjanjikan bulan dan bintang" kepada kaum lain, Umno membuktikan bahawa kerajaan yang diterajuinya semua kaum mendapat jaminan hak yang adil.

No comments:

Post a Comment