Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Ansari Abdullah berkata dalam kesibukan pemimpin BN mengejar kekayaan mereka telah melupakan tanggungjawab asas membela nasib rakyat miskin dan golongan yang memerlukan bantuan.
Bercakap kepada penduduk Kampung Cenderamata, sebuah penempatan setinggan di pinggir Sandakan semalam, Ansari menambah kegagalan pemimpin yang kononnya berpegang kepada prinsip 'rakyat didahulukan' menyebabkan antara lain masalah perumahan rakyat tidak diatasi, bekalan air dan elektrik tidak dibekalkan, jalan raya berlubang dan tidak berturap serta tidak ada khidmat pengangkutan sampah.
"Ini adalah faktor utama mengapa pengundi Cina di Batu Sapi menolak BN menyebabkan mendiang Edmund Chong kalah di semua kawasan majoriti Cina. Mereka pindah ke Batu 4 dan Batu 7 kerana keselamatan mereka tidak terjamin disebabkan masalah pendatang asing yang sudah tidak terbendung lagi. Akhirnya ekonomi kawasan Tanah Merah dan Bandar Leila di mana dahulunya ramai penduduk Cina semakin kosong dan sudah menjadi 'slum'.
"Malangnya yang memenangkan Edmund Chong ketika itu adalah pengundi Melayu di kawasan Melayu yang hidup melarat dengan pendapatan rata-rata RM200 hingga RM300 sebulan yang hidup di kawasan setinggan yang kotor dan tidak terurus.
"Kalau pengundi Cina yang menguasai perniagaan di Batu Sapi sudah tolak BN mengapa pengundi Melayu yang miskin masih mahu terus menyokong BN yang telah mengkhianati mereka," tanya Ansari.
Suara Keadilan yang mengikuti rombongan Ansari ke ceramah kelompok di kawasan tersebut mendapati kampung setinggan itu amat kotor sekali dengan sampah sarap di merata tempat serta mengeluarkan bau yang meloyakan.
Malah jambatan katu (catwalk) yang digunakan oleh penduduk kampung untuk berjala di celah ratusan rumah kayu yang usang dan bertampal dengan zink buruk sudah berlubang-lubang dan membahayakan pejalan kaki.
"Pakatan Rakyat berharap pengundi Batu Sapi mengambil sikap rakyat di Sibu yang mengambil keputusan menolak BN sekali gus menamatkan riwayat parti itu.
"Tuhan telah memberi peluang kepada rakyat Batu Sapi untuk melihat samada mereka mahu membuat perubahan atau tidak , kerana Tuhan tidak mengubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah nasib mereka.
"Kemenangan kerusi Parlimen yang pertama bagi Parti Keadilan Rakyat di seluruh Borneo akan menandakan runtuhnya Putrajaya pada pilihan raya umum nanti. Ayuh mari kita sama-sama buat perubahan di batu Sapi dan insyaAllah kemenangan di tangan kita," kata Ansari menyuntik semangat kepada penyokong.
Sebelum itu ketika sampai di Kampung Gas baru, sebuah lagi penempatan setinggan, secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan Ansari terpaksa memberi penerangan berlampukan lilin.
"Inilah akibatnya mengundi BN. Di Semenanjung kalau terputus bekalan elektrik dua minit sahaja riuh satu Semenanjung tetapi di Sabah terutamanya di Batu Sapi rakyat hanya menyerah kepada takdir apabila hari ini ada eletrik, luas tiada, lepas itu ada, dua hari tiada dan begitulah seterusnya yang berlaku selama berpuluh-puluh tahun. Negeri kaya, pemimpin BN yang kenyang dan rakyat terus dihimpit kemiskinan," tegas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment