Saturday, October 9, 2010

Petanda BN semakin lemah: AGM Wanita, Pemuda MCA lesu, kurang sambutan



Jumlah kehadiran anggota Pemuda dan Wanita MCA yang rendah di persidangan agung tahunan (AGM) Pemuda dan Wanita di Kuala Lumpur hari ini menimbulkan tanda tanya.

Kehadiran anggota Pemuda dikatakan hanya sebanyak 51 peratus dan Wanita sekitar 56 peratus, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Sesetengah pihak menyifatkan perkara itu sebagai tentangan terhadap kepimpinan sayap masing-masing dan keputusan yang telah diambil oleh pucuk pimpinan parti.

Misalnya dikatakan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan jawatankuasa pusat parti untuk melantik setiausaha agung wanita, Chew Lee Giok sebagai Senator dan bukannya ketua pergerakan, Datuk Datuk Yu Chok Tow.

Satu lagi ialah cadangan untuk melanjutkan tempoh jawatan Senator kepada Senator Khoo Soo Seang untuk sepenggal lagi.



"Apa yang kita lihat ialah mereka mencalonkan orang yang mempunyai hubungan dengan presiden parti untuk memegang jawatan," kata sumber dalaman parti.

Keadaan diburukkan dengan pertelingkahan antara dua kumpulan dalam sayap Wanita, satu yang mempunyai hubungan dengan pucuk pimpinan lepas dan satu lagi yang mempunyai hubungan dengan pucuk pimpinan sekarang.

Namun ketua pergerakan kedua-dua sayap itu menyifatkan peratus kehadiran yang rendah merupakan perkara biasa kerana tahun ini bukan merupakan tahun pemilihan.

"Kehadiran boleh mencecah 80 peratus sekiranya AGM diadakan semasa pemilihan," kata Yu.

"Ia tidak teruk. Sebelum ini kita mempunyai purata kehadiran antara 29 hingga 50 peratus," kata pula ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong.

Terdapat juga pemimpin yang menyifatkan kemungkinan ramai anggota yang tidak hadir kerana meraikan Perayaan Sembilan Maharaja Dewa atau menghadiri majlis perkahwinan sempena tarik 10.10.10.

Namun bagi veteran parti Datuk Yap Pian Hon, perkara itu mungkin berlaku kerana kehilangan keyakinan anggota terhadap parti ekoran prestasi buruk parti pada pilihan raya umum lalu.

"Tahap keyakinan di kalangan ahli masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Yap juga berkata jumlah kehadiran adalah antara 60 hingga 70 peratus, walaupun bukan pada tahun pemilihan.

No comments:

Post a Comment