Kejadian dua warga Nigeria lolos diri tidak jejas keselamatan negara - Hishamuddin
KLUANG -- Kejadian dua tahanan warga Nigeria yang berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen dua hari lepas, tidak menjejaskan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata bagaimanapun, kementeriannya memandang serius perkara itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap dua pegawai Imigresen yang mengiringi kedua-dua tahanan berkenaan.
"Dalam hal berkaitan negara, saya sudah kata, kita (KDN) akan mengambil tindakan tegas, tidak kira orang luar atau pegawai kita sendiri sekiranya tindakan mereka menjejaskan keselamatan negara.
"Sudah tiba masanya kita serius hal-hal berkaitan pintu masuk negara dan saya cukup yakin mereka yang terlibat bukan sahaja bertaubat, tetapi menjadi pengajaran kepada pegawai lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali anjuran Parlimen Sembrong dekat di sini hari ini.
Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua pegawai berkenaan kini digantung tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan, dan pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.
Insiden pada 11.30 malam itu berlaku ketika dua warga Nigeria berkenaan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.
Sebelum itu, mereka ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran. Dalam perkembangan lain, Hishammuddin meminta anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis, supaya kekal di kedua-dua negeri untuk tempoh seminggu lagi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.
"Kebanyakan anggota ini datang dari negeri lain. Kalau air sudah surut, kita izinkan mereka pulang, tetapi kita juga tidak menghadapi masalah untuk menggerakkan mereka semula sekiranya diperlukan," katanya.
Beliau berkata anggota polis, JPAM dan Rela yang berada di Kedah dan Perlis kini menumpukan usaha membersihkan tempat ibadat, sekolah dan taman perumahan di kedua-dua negeri.
Dua Tahanan Warga Nigeria Lolos Ketika Dalam Perjalanan Ke KLIA
Dua warga Nigeria berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal, Rabu malam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam berkata kedua-dua lelaki tersebut sebelum ini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran.
Bagaimanapun, difahamkan van Jabatan Imigresen yang membawa Solomon Udo Eneh dan Osuji Chinedu, bersama seorang lagi warga Palestin, singgah di sebuah stesen minyak sebelum dua lelaki yang bergari itu bertindak melarikan diri.
Mahmood berkata dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, dua pegawai Imigresen yang mengiringi tahanan tersebut telah digantung tugas dan usaha menjejak dua warga Nigeria itu sedang berjalan dengan bantuan polis.
"Pasukan petugas khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.
Bagaimanapun, katanya, warga Palestin yang berada dalam kenderaan itu tidak melarikan diri dan dia rela dihantar pulang ke negara asalnya. -BERNAMA
Ulasan GB
Kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan bahawa kejadian dua tahanan warga Nigeria yang berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen dua hari lepas, tidak menjejaskan keselamatan negara itu amat merbahaya.
Ini bererti beliau tidak memandang kejadian seumpama itu sebagai serius.
Kini, dimana anda nak cari dua warga kulit hitam yang dah lepaskan diri itu? Ia seperti menunjukkan kepada kita betapa lemah Jabatan Imigresen dan lemah juga kementerian dan menterinya!
Menteri KDN sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya. Beliau sepatutnya meletakkan jawatan.
No comments:
Post a Comment