Friday, December 17, 2010

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak kena penjara 19 tahun dan denda RM210,000 kerana rasuah



Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, menjatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 terhadap bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie atas tujuh tuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM5,200 dalam tiga kes berasingan antara Ogos dan September 2007.
Difahamkan Hassan Basri adalah hakim mahkamah syariah pertama di negara ini yang didakwa atas pertuduhan rasuah dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada 20 November tahun sama.
Hakim, Tan Hooi Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Hassan Basri dan memerintahkan supaya denda dibayar hari ini atau berhadapan tambahan penjara 42 bulan lagi jika beliau gagal melunaskan denda yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Tan berkata, hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan dan jaminan RM5,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.
Dalam kesemua tuduhan yang dihadapi, Hassan Basri, didakwa meminta dan menerima suapan daripada individu yang sama iaitu Mohamad Imran Abdullah yang bertindak sebagai orang tengah bagi ‘menyelesaikan’ satu kes melibatkan seorang pengusaha pusat hiburan dan dua kes poligami.
Mengikut tuduhan pertama, Hassan Basri didakwa meminta rasuah sebanyak RM3,000 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan untuk melepaskan wang ikat jamin kepada seorang pengusaha pusat hiburan, Yoong Hor Kit yang terlibat dengan lima kes jenayah syariah.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Restoran Wawa, Tambun pada pukul 8.15 malam, 15 Ogos 2007.
Bagi tuduhan itu, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Tuduhan seterusnya, dia didakwa menerima wang tunai sebanyak RM3,000 bagi melepaskan jaminan kepada Hor Kit dalam sebuah kenderaan di tempat letak kereta di Taman DR. Seenivasagam di sini pada 6 September 2007.
Hassan Basri didakwa mengikut Seksyen 11(a) akta yang sama bagi tuduhan tersebut.
Tuduhan ketiga pula, Hassan Basri didakwa meminta suapan sebanyak RM1,100 sebagai dorongan membantu Mohamad Asri A. Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
Seterusnya, Hassan Basri dituduh bersetuju menerima suapan wang tunai sebanyak RM1,100 bagi membenarkan Mohamad Asri berkahwin dengan Nor Farihan.
Beliau juga menghadapi tuduhan kelima kerana didakwa bersetuju menerima suapan wang tunai RM1,100 sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Mohd. Jefri Afandi Ahmad bagi membenarkan lelaki itu berkahwin dengan Nur Liza Musa tanpa melalui prosedur.-

No comments:

Post a Comment