Thursday, December 2, 2010

Saman ekor dan keanehannya



Saya memang suka memecut laju sekiranya memandu sendirian. Maka tidak hairan jika saya didapati melebihi had laju di Bentong pada petang 31 Oktober 2010. Satu lagi saman ekor yang dikenakan kepada saya bertempat di Dungun pada 16 Sept 2010. Petang itu saya bersama rombongan keluarga isteri ke Bukit Goh, Kuantan. Dalam perjalanan pulang, adik ipar saya memandu. Saya tidur sepanjang perjalanan pulang sehinggalah kami bertukar semula di stesen Petronas Muktafi Billah Shah pada jam 4.05 petang. Bermakna saman ekor dikenakan dengan mengambil kira pemilik kenderaan, bukan pemandunya.
Isteri saya sedia faham situasi ini dan dia bersetuju membayar bahagian saman ekor di Dungun. Bermakna selepas diskaun, saya perlu menyediakan RM300 apabila mahu menyelesaikan saman. Pada 1 Disember, jam 8.30 pagi saya ke Balai Polis Sentul. Ketika ini saya fikir saya hanya mahu membuat rayuan supaya jumlah RM600 dapat dikurangkan menjadi separuh. Di kaunter, pegawai bertugas berkata, “Bayaran hanya boleh dibuat di Ibu Pejabat Trafik, Jalan Bandar, Petaling Street.” Maka saya bertanya, “Apakah boleh dibuat rayuan?” Jawabnya, “Semalam ada berita. Sila semak dulu.” (Mungkin berita dalam tivi)
Saya meninjau berita dan mendapati The Star menyiarkan cerita diskaun saman pada muka hadapan. Dalam sistem elektronik di web myeg.com.my nilai yang dinyatakan masih lagi RM300. Jumlah ini hanya berubah pada 2 Disember 2010. Saya cuba membayar secara online tetapi capaian internet di pejabat sangat tidak memberangsangkan. Maka saya meneliti kaedah bayaran lain sehingga menjumpai maklumat ini. “Bayaran saman trafik juga boleh dibuat di Pejabat Pos.” Memang saya tidak akan ke Petaling Street kerana saya tidak mahu sesat jalan. Maka saya ke pejabat pos berdekatan Flat Seri Terengganu, kira-kira 1.5 kilometer dari menara yang menempatkan syarikat majikan.
Saya hulurkan kad pengenalan sambil berkata, “Saman ekor tidak ada notis.” Walhal pegawai kaunter pejabat pos sudah maklum. Setelah memasukkan nombor kad pengenalan dalam komputernya, pegawai itu berkata, “Ada dua saman. Satu sudah dibayar, di Dungun. Yang di Bentong belum bayar.” Tentu sahaja melihatkan reaksi saya ketika mendengar kenyataannya pegawai itu mengulang ayat tadi. Maka saya hanya membayar satu saman yang kesalahannya betul-betul saya lakukan. Saya terus dihantui persoalan, “Siapa bayar saman satu lagi?” Saya cuba hubungi isteri tetapi tidak diangkatnya. Saya hantar esemes. Isteri saya menelefon semula dan mengatakan, “Mungkin peminat abang yang bayar.” Saya tiada masa hendak gaduh-gaduhkan hal ini kerana urusan saman sudah selesai.
Semoga Allah berikan ganjaran kebaikan buatnya. Dan saya tahu, selaku isteri tentulah dia tidak mahu jika suaminya diminati oleh orang lain selain dirinya. Saya anggap kenyataan isteri saya itu sebagai gurauan semata-mata. Saya juga sebenarnya tidak suka isteri saya membuat spekulasi bahawa saya mempunyai peminat misteri. Seram sejuk saya mendengarnya. Bukan masa lagi untuk saya fikir siapa gerangan yang membayar saman satu lagi.

No comments:

Post a Comment