Menurut beliau, kejayaan enam Cabang yang diterajui wanita-Ampang, Johor Bharu, Pasir Mas, Lembah Pantai, Kuantan, Permatang Pauh dan dua calon Naib Presiden wanita adalah suatu yang amat membanggakan dan sebagai bukti pencapaian berterusan Wanita PKR.
"Matlamat Perlembagaan 18.3 PKR yang menetapkan agar 30% kedudukan jawatan di setiap peringkat, menampakkan kejayaan apabila secara keseluruhannya, seramai sembilan pimpinan wanita telah dipilih untuk menerajui jawatan-jawatan utama di Pusat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kejayaan Pemilihan 2010 yang lalu juga menunjukkan bahawa ruang-ruang diskriminasi dalam PKR telah berkurangan.
"Anggota yang semakin bijak dan matang dalam menilai tidak lagi hanya memilih berdasarkan keutamaan jantina dan lebih memihak kepada penilaian merit, keupayaan dan kredibiliti calon," tambahnya.
Namun katanya, demi meneruskan kemantapan organisasi Wanita PKR khususnya dan PKR umumnya, diharap supaya parti bersifat lebih fleksibel agar laluan buat kepimpinan wanita berkebolehan untuk melibatkan diri dalam organisasi akan lebih terbuka dan mudah.
Beliau mencadangkan supaya satu garis panduan disediakan dan peruntukan tetap jawatan buat wanita harus diambil perhatian.
"Bersemangatkan perpaduan yang lahir dari Pemilihan 2010, pimpinan Wanita Pusat PKR akan terus komited dalam memperjuangkan hak, martabat dan kedudukan wanita di Malaysia," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment