Wednesday, February 16, 2011

SMS, tweets spekulasi rombakan kabinet tersebar


Spekulasi mengenai pengumuman rombakan kabinet tersebar secara meluas melalui tweets dan SMS hari ini.

Bernama menerima banyak pertanyaan selepas khabar angin mengenainya mula tersebar melalui tweets dan SMS.

Malah, portal berita mStar Online melaporkan bahawa dua timbalan menteri akan dilantik sebagai menteri penuh, manakala presiden sebuah parti, juga akan turut dilantik sebagai menteri.

Portal itu menyebut bahawa kenyataan berhubung rombakan kabinet itu dijangka dikeluarkan.

Sebuah krew TV telah berkampung di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya menunggu pengumuman tersebut.

Seorang pembantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika dihubungi kira-kira jam 6 petang tadi, berkata bosnya tidak membayangkan apa-apa mengenai rombakan kabinet selepas mengadakan wawancara dengan sebuah organisasi berita Turki lewat petang ini.

Dan seorang menteri kabinet MCA, ketika dihubungi, berkata perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.
Sementara itu, malam ini, mStar menyiarkan sebuah lagi berita bahawa rombakan kabinet yang disebut-sebut akan berlaku petang ini, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, sehingga lewat petang ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebagaimana yang dijangkakan oleh ramai pihak.

Pada tengah hari tadi, mStar Online melaporkan terdapat desas-desus yang mengatakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein dan Presiden MIC, Senator Datuk G. Palanivel akan dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan kecil kabinet yang khabarnya bakal diumumkan pada lewat petang Rabu.

Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan pada 6 Disember tahun lalu diangkat sebagai presiden MIC menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengundurkan diri selepas 31 tahun menerajui parti itu.

Seorang lagi yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan menteri penuh ialah Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz baru sahaja dilantik sebagai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Jabatan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment