Sunday, March 6, 2011

BN buru besar tinggi di Merlimau, Kerdau menjelang PRU13..PAS terus menyaingi..!!!


KUALA LUMPUR, 6 Mac — Barisan Nasional (BN) dijangka dengan mudah akan mengekalkan kedua-dua kerusi DUN Merlimau dan Kerdau pada hari ini — bagi membayangkan ia sudah pulih daripada prestasi terburuk tiga tahun lalu dengan kehilangan empat negeri tambahan dan kedudukan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Lusa genap tiga tahun pilihan raya umum ke-12 diadakan.
Kerusi Merlimau di Melaka dan Kerdau di Pahang adalah kubu kuat BN tetapi PAS juga mengharapkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus undi orang Melayu bagi merampas daripada perikatan itu.
Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mendakwa pihaknya sudah pun ada 41 peratus undi Melayu di Merlimau.
Sementara itu calon yang bertanding di Merlimau berharap pengundi di kawasan itu keluar untuk mengundi hari ini dan membuat pilihan bijak.
Calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah berharap 10,679 pengundi di kawasan itu keluar awal untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Walaupun berbeza parti dan dasar pejuangan namun kedua-dua calon itu mempunyai persamaan sama iatu mahu membantu rakyat di kawasan Merlimau.
Roslan yang juga ahli jawatankuasa Umno Jasin berkata, beliau berharap pengundi di Merlimau memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.
“Saya harap pengundi dapat memberikan peluang kepada saya agar saya boleh buktikan dan membantu penduduk di sini.
“Saya sedar ramai di kalangan penduduk di sini mahukan lebih banyak perubahan...lebih banyak pembangunan dan ini akan menjadi fokus saya jika menjadi wakil rakyat di samping membantu penduduk,” katanya.
Jelas beliau, walaupun baru kali pertama bertanding dalam pilihan raya namun sepanjang lapan hari berkempen respon yang diberikan pengundi amat baik.
“Respons pengundi terhadap saya amat baik, saya juga mendengar masalah dan keluhan mereka di kawasan masing-masing.
“Jadi saya harap selepas tempoh berkempen ini pengundi akan membuat keputusan bijak dengan memilih saya dan memastikan kemenangan BN,” katanya.
Sementara itu, Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka berkata beliau meletakkan harapan tinggi kepada pengundi agar membuat perubahan dalam pilihan raya kecil kawasan itu.
Beliau berharap agar pengundi boleh membuat kejutan di kubu kuat BN itu.
“Setelah tujuh hari berjumpa dengan seluruh pengundi-pengundi DUN Merlimau ini harapan saya begitu tinggi hasil reaksi yang diberikan oleh seluruh pengundi.
“Saya begitu yakin pengundi-pengundi DUN Merlimau ini memberi satu kejutan untuk membuat perubahan dalam pilihan raya yang akan berlangsung hari ini,” katanya.
Jelas Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin itu, beliau berjanji akan memberikan khidmat terbaik sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu.
“Saya harap supaya pengundi mengundi kepercayaan kepada saya untuk saya memberikan khidmat terbaik kepada mereka.
“Saya harap pengundi dapat keluar dengan lebih awal dan tak terlalu tergopoh gapah dan kita yakin keselamatan semua terjamin dengan pasukan polis yang mencukupi dan saya harap pengundi-pengundi dapat membuat pilihan yang bijak,” katanya.
DUN Merlimau mempunyai tujuh daerah mengundi termasuk Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.
Pusat mengundi akan mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala keputusan dijangka diumumkan pada pukul 8 malam.

No comments:

Post a Comment