Thursday, March 10, 2011

Miskin Tegar : Taib nafi anaknya aktif berpolitik.....


Terdapat sekumpulan penyokong BN melobi Mahmud Abu Bekir menjadi wakil rakyat mereka.

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjelaskan anaknya Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib tidak cenderung untuk melibatkan diri secara aktif dalam kancah politik.
Beliau berkata, sebelum ini juga terdapat sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) melobi Mahmud Abu Bekir untuk menjadi wakil rakyat mereka termasuk di Samarahan, Asajaya, Mukah serta beberapa kawasan lain.
“Kalau anda (media) ingin tahu secara terperinci boleh tanya beliau (Mahmud Abu Bekir) sendiri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keinginan sekumpulan kecil penduduk Sadong Jaya untuk melihat Mahmud bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.
Kawasan Dun Sadong Jaya kini disandang oleh Dato Wan Abdul Wahab Wan Sanusi setelah memenangi kerusi tersebut selama enam penggal berturut-turut sejak tahun 1983.
Menurut Taib, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan wakil rakyat sesuai dicalonkan untuk bertanding di kawasan masing-masing.
“Saya biarkan rakyat meluahkan perasaan mereka mengenai apa yang diingini,” ujarnya.
Taib menambah, Mahmud Abu Bekir pernah melahirkan rasa ragu-ragu menjadi ahli politik kerana adik lelakinya sudah menyertai arena politik.
“Keputusan calon bertanding terletak dalam tangan pimpinan parti. Calon bagi Sadong Jaya dan begitu juga dengan calon-calon BN yang lain akan diketahui semasa hari penamaan calon nanti,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Taib berkata, pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam adalah untuk memastikan pilihan raya negeri akan datang berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment