Saturday, July 30, 2011

Kerajaan Malaysia Kena Saman..!!!!



KUALA LUMPUR 30 JULAI :Dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan BN berhubung penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka pada 9 Julai lalu.

Tindakan saman tersebut akan dilakukan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Menurut Salahuddin, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka sempena himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

“Saya dan Datuk Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada jam 11.50 pagi 9 Julai di sekitar KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang dan dibebaskan pada jam 9.30 malam 9 Julai.

“Sepanjang berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu.

Salahuddin, Mahfuz Fail Saman Kerajaan
“Tindakan pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil tindakan sivil terhadap pihak polis, KDN dan kerajaan BN,” katanya kepada Harakahdaily
.Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu di Balai Polis Petaling, Brickfields, Kuala Lumpur jam 1.01 petang.

Dalam laporannya itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan, pada 9 Julai 2011 lalu lebih kurang pukul 11.50 pagi, beliau bersama Datuk Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berada di KL Sentral untuk menghadiri satu sidang akhbar di Hotel Hilton.

Apabila tiba di KL Sentral di sebelah hentian bas ke LCCT, mereka berjalan kaki menaiki tangga ke tingkat atas KL Sentral dan setibanya di pintu masuk KL Sentral, seorang anggota polis lelaki berbangga Melayu menahan mereka.

“Saya dan Datuk Mahfuz telah dibawa oleh anggota polis tersebut bertemu pegawai polis berbangsa India dan pegawai tersebut menyatakan saya dan Datuk Mahfuz ditahan,” katanya.

Seorang pegawai polis lelaki berbangsa Melayu, katanya, telah bertanya kepada beliau, adakah beliau tahu terdapat perintah melarang beliau memasuki Kuala Lumpur?

“Saya kemudiannya telah menghubungi peguam saya memaklumkan saya telah ditahan dan ditangkap. Walau bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan ke mana saya hendak dibawa. Saya bersama Datuk Mahfuz kemudiannya dibawa ke Lokap Polis Jinjang,” ujarnya.

Sepanjang ditahan, beliau tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Saya juga tidak diambil sebarang kenyataan oleh pihak polis sepanjang penahanan saya. Saya telah dilepaskan pada lebih kurang jam 9.30 malam. Penahanan saya oleh pihak polis adalah ‘mala fide’, tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar Hak Asasi saya,” katanya.

Sementara itu, peguam Zulhazmi ketika ditemui menjelaskan, tindakan saman daripada anak guamnya itu akan difailkan oleh beliau minggu depan atau awal Ogos ini.

Selain Salahuddin dan Mahfuz, jelasnya, tindakan saman ke atas PDRM, KDN dan kerajaan BN berhubung penahanan pada 9 Julai lalu juga akan dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

No comments:

Post a Comment