Sebuah stesen televisyen bebas Libya turut mendakwa bahawa Gaddafi telah melarikan diri sebagai seorang yang pengecut. Beberapa pemimpin dunia sebelum ini meminta Gaddafi yang berkuasa sejak tahun 1969 menyerahkan diri selepas para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinannya.
Namun, Gaddafi yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan kemungkinan ditawarkan hidup dalam buangan di Angola atau Zimbabwe oleh Kesatuan Afrika. Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) yang diiktiraf Barat sebagai badan pentadbir Libya menyatakan anak Gaddafi, Seif Al-Islam dan Al-Saadi sudah ditangkap.
Menurut TNC, seorang lagi anak Gaddafi, Muhammad dilaporkan sudah menyerahkan diri. Ketua TNC, Mustafa Abdel Jalil memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Seif dikawal rapi dan ditempatkan di sebuah tampat yang selamat. Kemuncak pergolakan yang berlaku di Libya sejak Februari lalu adalah kemaraan para pemberontak di Tripoli dari bandar Misrata pada Ahad lalu menerusi laut.
Ekoran kejayaan para pemberontak menguasai Tripoli, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan tidak lagi akan membekukan aset Libya yang berjumlah AS$20 bilion (RM59.31 bilion). Jerman turut mengumumkan rancangan sama.
Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata aset Libya yang dibekukan selama ini lebih AS$10.1 bilion (RM29.95 bilion). Itali juga telah menghantar sebuah pasukan ke Benghazi untuk membantu membina semula pengeluaran minyak dan gas asli. - Agensi
No comments:
Post a Comment