12 Muharram 1433H,
GEORGETOWN, 8 DIS: Setelah hampir dua tahun lamanya menanti Scorpene KD Tun Razak “dibaiki”, akhirnya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerima jemputan rasmi Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mencuba kapal selam yang penuh dengan kontroversi itu.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau menanti begitu lama setelah Zahid membuat cabaran awal kepadanya pada sidang Parlimen 17 Mac 2010 untuk menaiki kapal selam tersebut.
Jelasnya, ini membuktikan Zahid tidak dapat lagi menyembunyikan hakikat bahawa kapal selam itu memang tidak dapat menyelam semasa penyerahannya kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak lama dulu.
Namun, Guan Eng tetap akan menerima cabaran Zahid menaiki kapal selam itu di Langkawi esok, walau sudah terlampau lewat seolah-olah ada sesuatu yang mahu disembunyikan oleh menteri berkenaan sejak 21 bulan yang lalu.
“Pada masa sama, rakyat Malaysia masih lagi menunggu jawapan kepada soalan-soalan tentang kos pembelian yang tinggi dan penganugerahan kontrak perkhidmatan yang kini juga terlibat dalam kes saman di negara asing.
“Zahid juga tidak menjawab soalan-soalan mengenai kos pembelian sebanyak RM3.68 bilion dan kontrak perkhidmatan atau “komisyen” sebanyak RM534 juta.
“Adakah pembetulan kecacatan teknikal itu mengambil masa begitu lama?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, jemputan terbaru Zahid itu sebenarnya akan membangkitkan lagi lebih banyak persoalan oleh rakyat Malaysia, iaitu kos pembelian yang terlampau mahal dan keraguan mengenai kontrak perkhidmatan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat ‘misteri.’
“Kerajaan Barisan Nasional sedar bahawa isu ini melibatkan bukan sahaja wang awam sebanyak RM4.214 bilion, tetapi juga keselamatan para pelayar TLDM.
“Kerajaan hendaklah memastikan bahawa semua sudut keselamatan dan penyenggaraan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang terbukti,” katanya.
No comments:
Post a Comment